Páginas

Monday, May 10, 2010

::Cerita Ikhlas dan seorang pemuda::




Di dalam sebuah kampung yang didiami oleh masyarakat yang mengamalkan kepercayaan “anamisme”, tinggal seorang pemuda yang bijak dan amat membencikan sebarang bentuk aktiviti yang tidak bertepatan dengan ajaran Islam. Pantang nampak kemungkaran, pasti ditegurnya. Tidak lama kemudian, berita tentang kegilaan masyarakat kampungnya yang menyembah pokok itu sampai ke pengetahuannya. Tidak senang duduk si pemuda dibuatnya apabila mendapat tahu kemungkaran yang berlaku di kampungnnya. Dengan tekad yang jitu, si pemuda mengambil keputusan untuk menebang pokok-pokok yang menjadi sembahan masyarakat di kampungnnya itu. Si pemuda mengatur strategi untuk menjayakan rancangannya.


Pada keesokan harinya, dengan hati yang membara si pemuda berjalan dengan penuh semangat menuju ke tempat pokok sembahan masyarakat kampungnya. Sepanjang perjalanan si pemuda cuba menyusun kembali strategi yang telah di susunnya pada malam sebelumnya. Tiba-tiba, perjalanan disekat oleh seorang lelaki tua yang cuba menghalangnnya daripada meneruskan hastratnya . Menurut si pemuda itu, lelaki tua yang cuba menghalangnnya itu hanyalah seorang manusia biasa sepertinya,walaupun pada hakikatnya lelaki itu adalah seekor syaitan yang bersumpah tidak akan jemu-jemu menggoda manusia.


Si syaitan berusaha sedaya mungkin untuk mematahkan hasrat hati si pemuda itu. Namun, semua usahanya itu menemui kegagalan dan sehinggalah pada percubaannya buat kali terakhir. Si syaitan mendapat satu akal. Dia cuba menggunakan taktik material sepertimana yang telah digunakannya sebelum-sebelum ini untuk mematahkan keikhlasan hati si pemuda kerana apabila keikhlasan hati seseorang manusia itu goyah maka mudahlah baginya untuk melaksanakan tugasnya. Si syaitan menawarkan wang kepada pemuda itu agar dia tidak menebang pokok yang menjadi sembahan seluruh masyarakat di kampungnya itu. Akhirnya, usaha si syaitan yang durjana itu membuahkan hasil. Maka, bersorak kegembiraanlah si syaitan yang tidak jemu-jemu menggoda makhluk Allah yang digelar manusia itu.


“Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia cinta terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas dan perak, kuda pilihan, haiwan-haiwan ternakan dan sawah lading. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan sisi Allalah tempat kembali”

(Ali Imran:14)


Namun, keesokan harinya si pemuda itu pergi semula untuk meneruskan hasratnya itu, tetapi dihalang oleh si syaitan durjana itu. Taktik yang sama digunakan untuk mematahkan hasrat si pemuda itu. Si syaitan cuba menyogoknya dengan wang yang banyak sebagai ganjaran sekiranya dia tidak menebang pokok-pokok tersebut. Perkara yang sama berlaku setiap kali si pemuda itu cuba untuk melaksanakan hasratnya. Sehinggalah pada suatu hari, si pemuda menyedari bahawa ada sesuatu yang tidak kena pada dirinya.


Dia kembali ke tempat pokok-pokok sembahan masyarakat di kampungnya di tanam dengan harapan usahanya pada kali ini bakal membuahkan hasil. Malangnnya, si syaitan datang kepada si pemuda itu dengan wajahnya yang sebenar . Si pemuda yang bijak itu terkejut melihat si lelaki tua itu bertukar wajah seraya bertanya kepada si syaitan tentang siapa sebenarnya dia dan mengapa usahanya tidak berhasil setiap kali cuba untuk menebang pokok sembahan itu. Maka, si syaitan memperkenalkan dirinya yang sebenar. Dialah salah satu makhluk Allah yang dilaknat Allah sehingga hari kiamat dan tidak akan pernah jemu untuk menggoda manusia. Berderau darah si pemuda apabila si syaitan memperkenalkan dirinya yang sebenar kepadanya. Bertalu-talu persoalan tentang mengapa usahanya itu seringkali gagal dan apa kesalahan dirinya. Gelak besar si syaitan apabila mendengar soalan daripada pemuda itu.


“Sesungguhnya ketidakikhlasanmu dalam untuk mengerjakan amalanmu yang menyebabkan kau gagal dan juga kerana nafsu amarahmu yang mendorongmu untuk bertindak menebang pokok-pokok itu. Wahai manusia bodoh, ingatlah jika engkau melakukan sesuatu kerana pangkat,harta dan nafsu amarahmu nescaya kejayaan akan berpihak kepadaku tetapi sekiranya engkau ikhlas dalam melakukan sesuatu perkara maka kejayaan adalah milikmu. Kau manusia bodoh yang seringkali tergoda hanya dengan wang,harta, pangkat dan perkara-perkara keduniaan”



Ibrah yang boleh diambil daripada kisah ini ialah:-

1) Keikhlasan itu amat sukar untuk diperolehi dan perlunya mujahadah untuk menjadi hamba Allah yang mukhlisin.

2) Wang,harta, pangkat dan wanita (penyakit-penyakit wahan) penyebab utama sesuatu misi sesuatu perkara untuk kepentingan Islam itu tidak akan berhasil.

3) Pupuklah ikhlas dalam diri kita sama ada daripada segi a’mal jama’ie kita atau a’mal fardiyah kita.

4) Allah menilai hambanya berdasarkan hatinya. Jika hatinya ikhlas maka pekerjaannya akan mendapat redha Allah tetapi jika sebaliknya maka kembalilah pada apa yang Allah ajarkan.

5) Dakwah itu perlunya dengan hati tetapi bukannya emosi. Tak perlu manzahirkan kemarahan atau kebencian terhadap sesuatu melalui cara-cara yang membuatkan dakwah itu menjadi fitnah kepada Islam.

6) Perlunya perancangan yang rapi untuk melakukan sesuatu perkara.

7) Pemerhatian yang serius terhadap aspek niat. Perlu ditekankan awal-awal sebelum gerak kerja berjalan dan sentiasa muhasabah diri.


Sabda Rasulullah s.a.w:

"sesungguhnya dalam diri manusia itu ada seketul daging.apabila daging itu baik,maka baiklah seluruh anggota.dan apabila daging itu rosak,maka rosaklah seluruh anggota.ketahuilah,itulah hati."

Wallahua’lam

Tuesday, May 4, 2010

::Salam Imtihan::



Assalamualaikum warahmatullahiwabarakatuh...

Suasana CFS IIUM Petaling Jaya semakin hari semakin sayu... Mana tidaknya, masing-masing menghitung hari perpisahan dengan kakak-kakak dan abang-abang senior yang bakal ke Gombak dan ke Kuantan. Tinggal lebih kurang beberapa hari lagi tempoh untuk si junior dan si senior sama-sama mengukir kenangan pahit dan manis b sebelum masing-masing membawa haluan yang berbeza ketika di Main Campus. Suasana? Cara belajar? dan sudah tentunya pemikiran yang perlu dibawa seharusnya berbeza berbanding di CFS.

Kita lupakan dahulu kesedihan kita. Kunci kejap-kejap dalam hati kerana kita ada misi yang lebih utama iaitu misi bermujahadah untuk final examination. Oleh itu, pemilik blog ini ingin mengucapkan salam Imtihan dan Salam Mujahadah buat semua sahabat-sahabat sama ada yang berada di CFS IIUM mahupun sahabat-sahabat dari universiti-universiti lain. Pemilik blog dengan rendah hati memohon sebilion kemaafan kepada semua andai pernah terkasar bahasa atau salah berbicara. Memang fitrah seorang manusia, tidak akan lepas daripada melakukan.kesalahan. InsyaAllah semoga Allah bantu kita.=)

"Kejayaan kita kejayaan Islam Jua"

“Dan orang-orang yang berjihad untuk(mencari keredhaan) Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami, dan sesungguhnya Allah benar-benar bersama orang-orang yang berbuat kebaikan.”

(Al-Ankabuut:69)

::Dosa-dosa facebook::


Semenjak empat bulan terlibat dalam menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.



Perlakuan dan perbuatan melalui facebook yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya senaraikan enam perkara, iaitu :-

1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.

Terdapat beberapa kes yang dilihat sama ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Tertekanlah sang suami atau isteri.



Sebagaimana yang disebut oleh ramai specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya, bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian. Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.



Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.



Pendedahan masalah dan info yang boleh mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.

Terdapat sebahagiannya info tidak secara langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua, rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.

Beramanahlah, berikan suami dan isteri anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan memadam (delete) mana yang perlu jika dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.

2) Terlebih gambar

Ramai di kalangan wanita hari ini sudah mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga memenuhi ruang kotak gambar) dan jauh (beramai-ramai atau seorang diri). Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.



Agak pelik juga kerana sebahagian mereka sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran' nafsu.



Lebih pelik, tuan punya facebook yang sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan dating, kahwin - padahal wanita telah bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.



Berterusan bercanda mereka melalui ruang komentar, si lelaki dan wanita ada juga yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.



Saya bimbang, ramai pula lelaki yang menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat kurang sempurna) ditayang sehabisnya di facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sin (
http://www.zaharuddin.net/index.php?option=com_content&task=view&id=546&Itemid=99)



3) Penyamaran

Lelaki menyamar sebagai wanita untuk menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga, sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di internet, diletakkan sebagai dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar itu.



Si wanita yang pada asalnya merasa selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar tersebut masih terhad dan terjaga.



4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.

Dimaklumkan juga, akibat dek kerana gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya. Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.

Malangnya, golongan rupawan ini kelihatan lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan ...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.

Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah, ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat dosa.


5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam yang membuka aurat.

Tagging atau menandakan sesuatu gambar yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga telah pernah diulas oleh beberapa penulis lain seperti Sdr Shahmuzir dan Ust Abu Umair.



Ini adalah kerana, terdapat ‘trend' menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan boleh dilihat oleh semua friend punya rakan (friend).



Ini boleh menjadi dosa, kerana :-



a- Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya yang tidak menutup aurat adalah haram.

b- Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya, kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya, sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka. Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap salah dan berDOSA di dalam Islam.

c- Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan ‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran dibuat.



6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan



Adakalanya terdapat juga wanita-wanita berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis, adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam. Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.



Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh rakan-rakan lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem', ‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu', 'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.



Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia mengaku tidak lagi solehah, tidak suci dan sebagainya?. Demikian juga ayat-ayat lain di atas.? Ia juga sekaligus seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik, seolah mendahulukan yang kurang baik.





KESIMPULAN

Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.

Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama'ukhuwah' untuk berbuat dosa.

Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran. Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah di kalangan mukmin.

Sekian



Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

ORIGINAL ARTICLE :
http://www.zaharuddin.net/content/view/930/72/