Páginas

Thursday, July 22, 2010

::Beramal kerana Allah::




Beramal Kerana Allah(Al-amalulillah) by Shoutul Amal



Beramal (2X) amal kerana Allah 
Beramal (2X) amal kerana Allah 
Beramal kerana Allah itu syiar kami 
Beramal kerana Allah itu syiar kami 

Allah (2 X) Allah Tuhan kami 
Allah (2X) Allah matlamat kami 
Al-Rasul ikutan kami (2X) 
Al-Quran panduan kami (2X) 

Beramal (2X) amal kerana Allah 
Beramal (2X) amal kerana Allah 
Beramal kerana Allah itu syiar kami 
Beramal kerana Allah itu syiar kami 

Berjihad (2X) jihad jalan kami 
Berjihad (2X) jihad jalan kami 
Mati dijalan Allah cita tertinggi kami 
Mati dijalan Allah cita tertinggi kami 
Cita tertinggi kami 3 X 

Lirik: Hussin Bin Ismail 
Lagu: Hussin Bin Ismail

p/s:Subahanallah...I love this song. Pembakar semangat.  Lihat pada liriknya sahaja. Beramal kerana Allah.Takbir!

Wednesday, July 21, 2010

::Bagaimana seharusnya seorang pemimpin itu?::






I. Definisi Kepimpinan

Kepimpinan merupakan satu ’seni’ yang mengarah kepada suatu proses untuk menggerakkan sekumpulan manusia menuju ke suatu tujuan yang telah ditetapkan dengan mendorong mereka bertindak dengan cara yang tidak memaksa yakni kerana mereka mahu melakukannya. Kepimpinan yang baik menggerakkan manusia ke arah jangka panjang, yang betul-betul merupakan kepentingan mereka yang terbaik. Arah tersebut boleh bersifat umum, seperti penyebaran Islam ke seluruh dunia, atau khusus seperti mengadakan conference atau persidangan mengenai isu tertentu. Walaubagaimanapun, cara dan hasilnya haruslah memenuhi kepentingan terbaik orang-orang yang terlibat dalam pengertian jangka panjang yang nyata. Kepimpinan adalah suatu peranan dan juga merupakan suatu proses untuk mempengaruhi orang lain. Pemimpin adalah anggota dari suatu perkumpulan yang diberi kedudukan tertentu dan diharapkan dapat bertindak sesuai dengan kedudukannya. Seorang pemimpin adalah juga seseorang dalam suatu kumpulan yang diharapkan menggunakan pengaruhnya dalam mewujudkan dan mencapai tujuan kelompok. Pemimpin yang jujur ialah seorang yang memimpin dan bukan seorang yang menggunakan kedudukannya untuk memimpin. Fenomena kepimpinan dapat dijelaskan melalui konsep-konsep dasar berikut:

  1. Kepimpinan adalah suatu daya yang mengalir dengan cara yang tidak diketahui antara pemimpin dengan pengikutnya, mendorong para pengikut supaya mengerahkan tenaga secara teratur menuju sasaran yang dirumuskan dan disepakati bersama. Bekerja menuju sasaran dan pencapaiannya memberikan kepuasan bagi pemimpin dan pengikutnya.
  2. Kepimpinan juga mewarnai dan diwarnai oleh media, lingkungan, pengaruh dan iklim di mana dia berfungsi. Kepimpinan tidak bekerja dalam ruangan yang hampa, tetapi suasana yang diciptakan oleh pelbagai unsur.
  3. Kepimpinan sentiasa aktif, namun boleh berubah-ubah darjatnya, kepentingannya dan keluasan tujuannya. Kepimpinan itu bersifat dinamik.
  4. Kepimpinan bekerja menurut prinsip, methodologi dan matlamat yang pasti dan tetap.

II. Kepimpinan yang Efektif

A. Apakah kepimpinan yang efektif?

Kepimpinan yang efektif ialah suatu proses untuk menciptakan wawasan, mengembangkan suatu strategi, membangun kerjasama dan mendorong tindakan. Pemimpin yang efektif:

  1. Menciptakan wawasan untuk masa depan dengan mempertimbangkan kepentingan jangka panjang kelompok yang terlibat.
  2. Mengembangkan strategi yang rasional untuk menuju ke arah wawasan tersebut.
  3. Memperoleh dukungan dari pusat kekuasaan yang bekerjasama, persetujuan, kerelaan atau kelompok kerjanya diperlukan untuk menghasilkan pergerakan itu.
  4. Memberi motivasi yang kuat kepada kelompok inti yang tindakannya merupakan penentu untuk melaksanakan strategi.

Suatu kombinasi dari proses biologi, sosial dan psikologi yang kompleks menentukan potensi kepimpinan seorang individu. Potensi ini harus dibina dengan baik supaya efektif. Bukan sesuatu yang pelik sekiranya seseorang itu memiliki sifat kepimpinan namun tidak memanfaatkannya. Dalam kehidupan manusia yang berbeza-beza, sifat ini mungkin diwujudkan dalam suatu situasi yang bervariasi dan muncul pada tahap yang berlainan. Pelaksanaan kepimpinan dipengaruhi oleh lingkungan dan peluang serta keadaan yang terbatas.

B. Pemimpin, Pengurus dan Pengikut

Pemimpin mengendalikan bawahannya untuk mencapai tujuan dengan motivasi dan teladan peribadi. Pengurus memperoleh tingkah laku yang diinginkan dengan menggunakan kedudukan rasmi mereka yang lebih tinggi dalam struktur organisasi. Pemimpin yang baik menyedari bahawa mereka juga harus menjadi pengikut yang baik. Boleh dikatakan, pemimpin juga harus melapor kepada seseorang atau kelompok. Oleh sebab itu mereka juga harus mampu menjadi pengikut yang baik. Pengikut yang baik harus menghindari persaingan dengan pemimpin, bertindak dengan setia dan memahami serta menunjung baik idea, nilai dan tingkah laku pemimpin secara konstruktif. Pengikut atau pemimpin terikat dalam suatu hubungan yang terarah. Oleh itu, pemimpin harus sentiasa memberi perhatian pada kesejahteraan anak buahnya. Pengikut pula harus mendukung pemimpin selagi pemimpin berada di landasan yang benar dan lurus.

III. Ciri-Ciri Pemimpin Islam

Nabi Muhammad SAW bersabda bahawa pemimpin suatu kelompok adalah pelayan kelompok tersebut. Oleh kerana itu, pemimpin hendaklah melayani dan menolong orang lain untuk maju. Beberapa ciri penting yang menggambarkan kepimpinan Islam adalah seperti berikut:

  1. Setia Pemimpin dan orang yang dipimpin terikat kesetiaan kepada Allah.
  2. Tujuan Pemimpin melihat tujuan organisasi bukan saja berdasarkan kepentingan kelompok tetapi juga dalam ruang lingkup tujuan Islam yang lebih luas.
  3. Berpegang pada Syariat dan Akhlak Islam. Pemimpin terikat dengan peraturan Islam, boleh menjadi pemimpin selama ia berpegang pada perintah syariat. Ketika mengendalikan urusannya ia harus patuh kepada adab-adab Islam, khususnya ketika berurusan dengan golongan oposisi atau orang-orang yang tidak sehaluan dengannya.
  4. Pembawa Amanah. Pemimpin menerima kekuasaan sebagai amanah dari Allah yang disertai dengan tanggungjawab yang besar. Al-Qur’an memerintahkan pemimpin melaksanakan tugasnya untuk Allah dan menunjukkan sikap baik kepada pengikutnya sebagaimana Firman Allah SWT:

“iaitu orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka, nescaya mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat yang ma’ruf dan mencegah perbuatan yang mungkar, dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.” (Surah Al-Hajj, ayat 41).



IV. Prinsip-prinsip Dasar Pelaksanaan
Kepimpinan Islam ada tiga prinsip dasar yang mengatur pelaksanaan kepemimpinan Islam:Syura dan Musyawarah, Keadilan, serta Kebebasan Berfikir dan Memberi Pendapat.

A. Syura dan Musyawarah

Musyawarah adalah prinsip pertama dalam kepemimpinan Islam. Al-Qur’an menyatakan dengan jelas bahwa pemimpin Islam wajib mengadakan musyawarah dengan orang yang mempunyai pengetahuan atau dengan orang yang dapat memberikan pandangan yang baik.
“Dan orang-orang yang menerima seruan Tuhannya dan mendirikan solat, sedangkan urusan mereka (diputuskan) dengan musyawarah antara mereka; dan mereka menafkahkan sebagian rezeki yang kami berikan kepadanya”. (Surah Asy-Syura, ayat 38).

Rasulullah SAW juga diperintahkan oleh Allah supaya melakukan musyawarah dengan sahabat-sahabat beliau:
“Maka rahmat Allah-lah yang telah menyebabkan kamu berlemah-lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras dan berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Oleh kerana itu maafkanlah mereka, mohonlah ampunan bagi mereka, dan bermusyawarahlah dengan mereka dalam urusan tersebut. Kemudian apabila kamu telah membulatkan tekad maka bertawakallah kepada Allah. 

Sesungguhnya Allah menyukai orang yang bertawakal kepadaNya” (Surah ‘Ali Imran, ayat 159).

Pelaksanaan musyawarah memungkinkan anggota organisasi Islam turut serta dalam proses membuat keputusan. Pada saat yang sama musyawarah berfungsi sebagai tempat mengawasi tingkah laku pemimpin jika menyimpang dari tujuan umum kelompok. Tentu saja pemimpin tidak wajib melakukan musyawarah dalam setiap masalah. Masalah rutin hendaknya diselesaikan dengan pendekatan berbeza dengan masalah yang berkaitan perbuatan kebijaksanaan. Apa yang rutin dan apa yang tidak harus diputuskan dan dirumuskan oleh setiap kelompok berdasarkan dan bersesuaian dengan ukuran, keperluan, sumber daya manusia, suasana dan lingkungan yang ada. Apa yang pasti, pemimpin harus mengikuti dan melaksanakan keputusan yang telah diputuskan dalam musyawarah. Dia harus menghindari dirinya dari memanipulasi bermain kata-kata untuk menonjolkan pendapatnya atau mengungguli keputusan yang dibuat dalam musyawarah. Secara umum petunjuk berikut dapat membantu untuk menjelaskan ruang lingkup musyawarah:

  1. Urusan-urusan pentadbiran dan eksekutif diserahkan kepada pemimpin.
  2. Persoalan yang memerlukan keputusan segera harus ditangani pemimpin dan dibentangkan kepada kelompok untuk ditinjau dalam pertemuan berikutnya atau langsung melalui telefon.
  3. Anggota kelompok atau wakil mereka harus mampu membuat pemeriksaan semula dan menanyakan tindakan pemimpin secara bebas tanpa rasa segan dan malu.
  4. Kebijaksanaan yang harus diambil, sasaran jangka panjang yang direncanakan dan keputusan penting yang harus diambil para wakil terpilih diputuskan dengan cara musyawarah. Masalah ini tidak boleh diputuskan oleh pemimpin seorang diri.

B. Keadilan dan Pemimpin yang Adil
Pemimpin seharusnya memperlakukan manusia secara adil dan tidak berat sebelah tanpa mengira suku bangsa, warna kulit, keturunan dan lain-lain. Al-Qur’an memerintahkan agar kaum Muslimin berlaku adil bahkan ketika berurusan dengan para penentang mereka.

“Sesungguhnya Allah memerintahkan kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum antara manusia supaya kamu berlaku adil.” (Surah An-Nisa’, ayat 58).

“Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum mendorong kamu berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil lebih dekat kepada taqwa.” (Surah Al-Ma’idah, ayat 8.)

“Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu benar-benar penegak keadilan, menjadi saksi kerana Allah walaupun terhadap dirimu sendiri, ibu-bapa, dan kaum kerabatmu, sama ada ia kaya atau miskin, kerana Allah akan melindungi.” (Surah An-Nisa’, ayat 135).

Selain memenuhi prinsip keadilan yang menjadi asas tertegaknya masyarakat Islam, pemimpin organisasi Islam juga mesti mendirikan badan peradilan internal atau lembaga hukum untuk menyelesaikan pelbagai perbezaan atau pengaduan dalam kelompok itu. Anggota-anggota lembaga tersebut harus dipilih dari orang-orang yang berpengetahuan, arif dan bijaksana.

C. Kebebasan Berfikir dan Memberi Pendapat
Pemimpin Islam hendaklah memberikan ruang dan mengundang anggota kelompok untuk mengemukakan kritikannya secara konstruktif. Mereka dapat mengeluarkan pandangan atau masalah-masalah mereka dengan bebas, serta mendapat jawapan dari segala persoalan yang mereka ajukan. Al-Khulafa’ al-Rasyidin memandang persoalan ini sebagai unsur penting bagi kepimpinan mereka. Ketika seorang wanita tua berdiri untuk memperbetul Saidina Umar ibn al-Khattab sewaktu beliau berpidato di sebuah masjid, beliau dengan rela mengakui kesalahannya dan bersyukur kepada Allah SWT, kerana masih ada orang yang mahu membetulkan kesalahannya. Pada suatu hari Saidina Umar pernah pula bertanya kepada umat Islam mengenai apa yang dilakukan oleh mereka jika beliau melanggar prinsip-prinsip Islam. Seorang lelaki menyebut bahawa mereka akan meluruskan dengan sebilah pedang. Lantar Saidina Umar bersyukur kepada Allah kerana masih ada orang di dalam lingkungan umat yang akan memperbetulkan kesalahannya. Pemimpin hendaklah berjuang menciptakan suasana kebebasan berfikir dan pertukaran gagasan yang sihat dan bebas, saling kritik dan saling menasihati antara satu sama lain, sehingga para pengikutnya merasa senang membincangkan masalah atau persoalan yang menjadi kepentingan bersama. Seorang Muslim disarankan memberi nasihat yang ikhlas apabila diperlukan. Tamim bin Aws meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW pernah bersabda:

“Agama adalah nasihat”, Kami berkata: “Kepada siapa?” Beliau menjawab: “Kepada Allah, Kitab-kitab-Nya, Rasul- Nya, pemimpin umat Islam dan kepada masyarakat kamu seluruhnya.” (Hadith Riwayat Imam Muslim).
Secara ringkas kepimpinan Islam bukanlah kepimpinan tirani dan tanpa koordinasi. Pemimpin Islam, setelah mendasari dirinya dengan prinsip-prinsip Islam, bermusyawarah dengan sahabat-sahabat secara objektif dan dengan penuh rasa hormat, maka selepas itu menjadi tanggungjawabnya untuk membuat keputusan dan tindakan dengan seadil-adilnya. Perlu difahami dan dingatkan bahawa pemimpin bertanggungjawab bukan hanya kepada para pengikutnya malah apa yang lebih penting ialah dia bertanggungjawab kepada Allah SWT di Akhirat nanti! Sebagai kesimpulannya, di dalam pencarian model pemimpin dan kepimpinan Islam, empat elemen iaitu intelek, rohani, jasmani dan emosi hendaklah diperkukuhkan dan dimantapkan. Keempat-empat elemen ini perlu saling lengkap-melengkapi di dalam pembentukan karakter dan jati diri pemimpin yang unggul. Pastinya ilmu, iman, berhemah tinggi dan hikmah merupakan transformerpenganjak yang mesti diaktifkan dan dipastikan terus mengaliri urat nadi kepimpinan umat masa kini dan generasi harapan pimpinan masa depan secara keseluruhannya. Ingatlah bahawa sesungguhnya generasi hari ini penentu kemandirian generasi mendatang. Kitalah rijal dan nisa’ penentu serta pembina hala tuju untuk masa depan agama, bangsa dan negara yang lebih cemerlang, gemilang dan terbilang! Wallahu a’la wa a’lam.


* Artikel dipetik dari www.muhtarsuhaili.wordpress.com

Monday, July 19, 2010

::Hidup untuk berkongsi::


   Perbezaan antara orang yang tahu matlamat sebenar hidup di dunia berbanding mereka yang hidup bermatlamatkan dunia semata-mata memberikan satu gambaran bahawa permanifiestasian cinta terhadap Allah itu haruslah bertunjangkan pemahaman tentang tujuan penciptaan seseorang insan itu oleh Rabbnya serta sasaran akhir sebuah kehidupan. Ketijakjelasan terhadap asbab sebenar terhadap penciptaan setiap daripada makhluk Allah yang bergelar manusia itu memberikan implikasi yang jika dilihat pada hari ini amat menyedihkan. Manusia semakin hari semakin bijak tetapi malangnnya daripada segi segi akhlak kecundang. Bukankah Rasulullah mengajar kita agar sentiasa berakhlak mulia dengan berpandukan Al-quran dan as-Sunnah. Biarlah kepintaran kita itu selari dengan akhlak yang mulia dan memikat jiwa. Bukankah ia lebih cantik dan indah? Tahukah setiap daripada kita bawa tujuan Rasulullah itu diangkat menjadi Rasul dan Nabi adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia dan merupakan pembawa rahmat  ke seluruh alam?

“Dan tidak kami(Allah s.w.t) mengutuskan engkau Muhammad melainkan membawa rahmat ke seluruh alam”
(Al-Anbiya’:107)

  Cuba tanyakan kepada Si Pencopet di jalanan apa matlamat hidup mereka? Cuba tanyakan kepada kaki-kaki rempit yang sedang melepak apa tujuan hidup mereka? Cuba tanyakan kepada seorang pengerak dakwah apa matlamat hidup mereka? Seharusnya sasaran sebuah kehidupan itu adalah untuk mencari keredhaan Allah. Teringat sewaktu belajar subjek FIM di universiti tercinta. Kata ustaz, “ The goals of our life if only to praise Allah s.w.t”. Ya, hidup kita ini hanyalah bermatlamatkan keredhaan daripada Allah s.w.t. Bukan bermatlamatkan pangkat di dunia dan bukan juga bermatlamatkan untuk mendapat tempat hati manusia. Kalau mahu dibandingkan sejauh mana penghayatan masyarakat kita pada masa ini berbanding ketika zaman para sahabat terhadap sasaran akhir hidup mereka memang jauh berbeza. Bagaimana mujahadahnya para sahabat untuk mendapatkan ilmu? Bagaimana tekunnya mereka menyampaikan risalah dakwah yang Rasulullah s.a.w bawakan? Subhanallah memang kita tidak mampu menandingi mereka.

“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah s.w.t dengan jihad yang sebenarnya. Dialah yang memilih kamu mengerjakan suruhan agama dan Dia tidak menjadikan kamu kesusahan dalam agama Islam”
(Al-Haj:78)

Manusia seperti magnet?

   Namun begitu, penglestarian sesuatu perkara itu bukanlah perkara yang mudah. Merujuk kepada sejauh mana pemahaman seorang penggerak dakwah atau yang mengikuti tarbiyah dengan si kaki-kaki rempit di jalanan atau “mat-mat pet” memanglah diibaratkan sperti langit dan bumi. Seorang da’ie itu dididik agar matlamat hidupnya adalah redha Allah manakala si mat rempit di jalanan itu matlamat hidupnya adalah enjoy. Apa yang berbeza antara dua kumpulan ini? Sudah semestinya cara mereka mengekspresikan erti sebenar hidup mereka. Kendatipun, bukankah perbezaan ini boleh dijadikan satu rahmat. Ya rahmat yang mana semua itu adalah dalam pengetahuan Allah Taa’la. Bukankah yang faham itu tugasnya memahamkan orang yang tidak faham? Analogi terhadap perbezaan antara dua kumpulan yang berbeza sikapnya, berbeza tingkah lakunya bukankah seharusnya seperti magnet yang berlainan kutubnya yang akan saling menarik antara satu sama lain? Lihat sahaja pada kisah Saidina Umar Al-Khatab yang sikapnya bengis sewaktu zaman jahiliyahnya. Apa yang menariknya masuk Islam? Bukankah kerana kesyahduan bacaan Al-Quran yang dibaca oleh adiknya yang lain perwatakannya? Bukankah itu seperti magnet yang sentiasa menarik tetapi yang menang pasti yang baik. Bukankah itu sunatullah?
  
   Begitu juga kita seharusnya. Yang faham itu sepatutnya menarik yang kurang faham itu untuk sama-sama faham. Nah, bila semua sudah faham bukankah ia akan menghasilkan satu implikasi yang amat besar. Mereka yang dahulunya mat-mat pet tanggungjawabnya menarik kawan-kawan mereka yang masih lagi hidup dengan angan-angan dunia yang tidak akan kemana. Tetapi apa yang terjadi sebaliknya. Yang terbiar dibiarkan begitu sahaja. Yang tidak faham dibiarkan tidak faham. Lebih teruk daripada itu yang tidak faham dihukum.Kita hanyalah manusia biasa yang tidak boleh menghukum seseorang itu tanpa usul periksa. Yang selayaknya menghukum itu adalah Allah Yang Maha Adil. Bukankah hidayah itu milik Allah? Sedangkan dakwah Rasulullah kepada bapa saudaranya yang tercinta sehingga saat sakaratul mautnya masih tidak berjaya, inikan kita yang hanya hamba yang hina.  Hati kita itu Allah yang pegang, jikalau Allah mengkehendaki seseorang itu baik, maka baiklah dia tetapi jika sebaliknya, bukankah semua itu perancangan Allah?

“Sesungguhnya, engkau Muhammad tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah member petunjuk, kepada orang yang Dia kehendaki, dan Dia yang lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk”
(Al-Qasas:56)
 
Khalifah Allah atau I’badullah?

“dan (ingatlah ) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat:”Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seseorang khalifah di muka bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata) :”Adakah Engkau(Ya Allah) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahui”.


   Setiap daripada kita itu diciptakan Allah sebagai khalifah untuk mengimarahkan muka bumi. Tugas khalifah itu banyak cabangnya daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Bukankah nada Allah di dalam ayat ini menunjukkan bahawa Allah percaya akan kemampun hambaNya yang bergelar manusia sedangkan Dia tahu yang kita ini pasti akan melakukan bencana dan melakukan merosakkan bumi? Bukankah ini amanah Allah kepada kita? Mengimarahkan bumi dengan perkara-perkara yang haq. Menggunakan sebaik-baik yang mungkin akal dan kudrat yang Allah kurniakan untuk tugas sebagai khalifah. Khalifah itu maksudnya ketua atau dalam kata lainnya “Amir” untuk semua pemduduk bumi. Diciptakan pelbagai kelebihan daripada makhluk yang lainnya. Diciptakan perasaan yang mampu merasakan bagaimana seharusnya tertanam rasa ambil berat dalam peri pentingnnya memakmurkan bumi Allah.

  Kalau pemimpin yang diberi jawatan di dalam sesuatu persatuan atau sesuatu pertubuhan hanya dianggap pemimpin bukankah ia menyalahi norma kepada natijah penciptaan manusia sebagai khalifah? Biarpun, tidak disandarkan sebagai pemimpin di dalam sesebuah persatuan mahupun pertubuhan tetapi kita juga adalah pemimpin buat diri sendiri. Si bapa pimpinannya keluarganya, si isteri pimpinannya anak-anaknya dan begitu juga si anak pimpinannya adalah diri sendiri. Bentuk dan cara yang digunakan untuk memimpin itu terpulang kepada diri sendiri asalkan tidak lari daripada apa yang Allah perintahkan. Tunggu nanti di akhirat kelak Allah akan tanya.


Kalian adalah pemimpin, maka kalian akan dimintai pertanggung jawaban.
Penguasa adalah pemimpin, maka akan dimintai pertanggungjawaban atas kepemimpinannya.
Suami adalah pemimpin keluarganya, maka ia akan dimintai pertanggung jawaban atas kepemimpinannya.
Istri adalah pemimpin (rumah tangga suaminya), maka akan dimintai pertanggungjawabannya.
Pelayan adalah pemimpin (atas harta tuannya), maka akan dimintai pertanggung jawaban atas pengelolaannya.
Oleh karena kalian adalah pemimpin, maka kailan akan dimintai pertanggungjawabannya.” (HR. Bukhari Muslim)


   Begitu peri pentingnya kita Allah ciptakan di dunia sebagai khalifah. Bagaimana pula dengan penciptaan kita untuk beribadah kepada Allah?


“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat kepadaKu”

(Az-Zariyat:56)



    Selain daripada itu, tugas menyembah Allah s.w.t yang satu atau beribadat kepadaNya memberiakn satu pegangan kepada kita bahawa matlamat hidup kita hanyalah untuk Allah. Diciptakan syariat agar kita bersolat, berinfak, berpuasa dan juga menunaikan haji. Bukankah semuanya mengandungi hikmah? Bersolat adalah salah satu cara untuk kita berhubung dengan kekasih kita yang tercinta yakni Allah. Apabila kita mengangkat takbir maka terputuslah hubungan kita dengan dunia buat sementara dan tenggelamlah kita dengan sifat kehambaan kita yang sebenar-benarnya dengan Rabb kita. Bagaimana mungkin rasa perhambaan kita itu harus dipupuk andai tanggungjawab bersolat tidak dijalankan? Atau solat tetapi seperti menaiki bas express. Macam ayam mematuk makanan sahaja gayanya. Solat itu seharusnya dilakukan dengan tenang dan bisa merehatkan kita daripada kepenatan dunia yang macam-macam suasananya. Tambahan pula, solat itu merupakan pencegah kepada kelakuan mungkar. Kata Syeikhunna:

Bila solat seseorang hamba itu tidak dihadirkan secara zahir dan batinnya adalah umpama seorang hamba yang menghadiahkan Rajanya dengan seorang puteri yang cantik jelita tetapi malang sudah tidak bernyawa. Adapun seseorang hamba Allah yang solat yang hanya menghadirkan zahirnya diibaratkan seorang hamba yang menghadiahkan Rajanya seorang puteri yang bijak dan petah berkata-kata tetapi malang cacat”.

   Jadi, bukankah beribadah kepada Allah itu adalah salah satu tanda bahawa kita mahukan redha Allah? Jangan lupa bekal permusafiran kita adalah "TAQWA". Ya bagi mereka yang mahukan redha Allah Alhamdulillah tetapi yang mahukan sebaliknya? Wanau’zubillah.

   Kesimpulannya, kepentingan terhadap kefahaman seseorang itu terhadap matlamat hidup dan hikmah penciptaan sebagai khalifah serta hamba Allah itu merupakan salah satu induksi terhadap kematangan kita dalam meniti hidup sehari-hari. Hidup dibuai angan-angan bukanlah cara yang Rasulullah ajarkan. Berpijaklah di bumi nyata. Selagi mana hidup masyarakat di luar sana kucar-kacir dan masih lagi parah dek penangan virus-virus barat, jangan kan tidur lena, makan pun belum tentu kenyang. Ya, begitu seharusnya kita. Ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya.

Sabda Rasulullah s.a.w

“Tidak sempurna iman seseorang sehingga ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri”
(Hadis 40)

Wallahua’lam


  

Sunday, July 11, 2010

::C.I.N.T.A::



Ana bukanlah orang yang terbaik untuk berbicara tentang C.I.N.T.A ini. Mungkin ramai yang lebih arif dan expert  di dalam hal ini. Namun begitu, tidak salah bukan sekiranya ana ingin berkongsi pemahaman dan pandangan ana tentang bab yang digemari oleh kita ini? Mungkin ada betulnya dan salahnya apa yang cuba disampaikan.

   Apabila berbicara sahaja bab C.I.N.T.A, pasti ramai yang memberikan respon positif dan tidak kurangnya respon negative. Lihat sahaja di program-program yang berkenaan cinta pasti ramai yang datang(Ana menulis berdasarkan pengalaman sewaktu mengadakan program-program “talk” terutamanya tentang perihal cinta ini). Letakkan sahaja tajuk “CINTA”, jangan risau pasti kerusi-kerusi di dalam dewan yang tersusun kemas akan dipenuhkan. Begitu penangan cinta. Subhanallah hebat bukan?

   Cinta itu fitrah bagi setiap insan. Siapa yang tidak merasakan keajaiban cinta bukankah meyalahi fitrah? Namun begitu, istilah cinta itu adalah suci dan bukan untuk sewenag-sewenangnya digunakan. Pertembungan antara cinta hakiki dan dan cinta palsu menyebabkan kebanyakan daripada kita khususnya, menghadapi dilema perasaan yang kronik. Krisis cinta palsu telah memapah manusia ke medan pertembunagan yang memusnahkan etika spiritual malah membunuh solidarity dan juga menodai sosial. Kepincangan pemikiran terhadap istilah cinta yang seringkali disalahtafsirkan menyebabkan pelbagai natijah yang merumitkan.

   Saksikan sahaja bagaimana permainan cinta palsu itu. Berapa ramai anak-anak yang lahir tidak punya bapa? Berapa ramai anak-anak gadis menjadi ibu tetapi tidak mempunyai suami disampingnya?  Bagaimana bayi-bayi yang dilahirkan dibuang di dalam tong sampah, ditinggalkan  di tepi-tepi jalan? Allah…di mana letaknya cinta kita itu sebenarnya? Bagaimana pula kita memandu nafsu kita terhadap cinta? Atau nafsu yang memandu kita?


“Dan janganlah kamu mengikut hawa nafsu, kerana ia akan menyesatkan kamu dari jalan Allah. Sesungguhnya orang yang sesat dari jalan Allah akan mendapat azab yang berat kerana mereka melupakan hari perhitungan”
(Surah sad:26)


   Cinta kita sebenarnya bertunjangkan apa sebenarnya? Nafsu atau iman?  Kita seringkali tertewas dengan penangan si nafsu yang seringkali menggila. “Nafsu itu bukan mainan”. Nafsu itu, seharusnya kita asuh dan kita didik sebaiknya. Ustaz kami pernah berkata, “ Nafsu itu harus di lawan. Mujahadah dan didiklah ia sebaiknya”.(Rujuk kitab Bidayatul Hidayah karangan Imam Al-Ghazali)  Pengurusan nafsu yang baik adalah pacuan buat kita ke arah destinasi cinta kita yang sebenarnya. Menelusuri cinta bahagia dan hakiki sayungianya melangkal melalui lebuh raya yang luas terbentang menuju penyata ilahi.Sebarang lorong dan alur rentas yang tidak menuju Irsyadur rabbani hanyalah mempertemukan cinta dan nafsu dalam serkap yang gelita.


“Dan diantara manusia ada orang-orang yang menyembah tandingan-tandingan selain Allah. Mereka menyintainya sebagaimana mereka menyintai Allah. Adapun orang-orang yang beriman sangat cinta kepada Allah. Dan jika seandainya orang-orang yang berbuat zalimitu mengetahui ketika mereka melihat siksa pada hari kiamat bahawa kekuatan itu kepunyaan Allah semuanya dan bahawa Allah amat berat seksaannya(nescaya mereka menyesal).
(Al-Baqarah:165)


Menangis sehingga bengkak-bengakak mata kerana putus cinta. Mahu gantung diri seperti di dalam filem-filem Hindustan kerana cinta ditolak sang kekasih. Bukankah itu antara tanda-tanda cinta palsu atau berlandaskan nafsu?


“Kamu bolehlah bercakap sebab kamu tidak pernah rasa.”


   Sebab tidak pernah merasalah, kita tidak mahu orang-orang di sekeliling kita sesekali tertipu dengan cinta palsu ini. Sudahlah, biarlah air mata itu jatuh kerana rasa rindunya kita dengan Sang Kekasih yang paling utama yakni Allah serta takutnya kita dengan azabNya kerana dosa kita yang menggunung tinggi. Bukankah cinta Allah tidak pernah mengecewakan? Tidak mengapa. Apabila terkena penangan cinta palsu ini. Kembalilah dan sedarlah, pasti Allah mahu hadiahkan cinta yang lebih baik. Sekali kita salah, jangan sesekali berniat untuk mengulanginya. Bukankah Allah itu sebaik-baik perancang? Semuanya ada di dalam pengetahuan Allah Taa’la.


“Dan janganlah kamu campur adukkan kebenaran dengan kebatilan dan janganlah kamu sembunyikan kebenaran sedangkan kamu mengetahuinya”
(Al-Baqarah:42)


  Biarlah cinta Allah itu diletakkan di tempat yang pertama dan keduanya Rasul, ketiganya ibu bapa serta seterusnya. Jangan sampai cinta kepada manusia melebihi cinta kita kepada Allah. Cinta sesama manusia itu biarlah dijadikan ladang untuk menyemai kecintaan kepada Allah yang haq. Bilakah cinta itu seharusnya di semai? Biarlah selepas ikatan yang yang suci. Bukankah Islam itu Indah? 

Wallahua’lam

Wednesday, July 7, 2010

::Teristimewa buatmu ADAM::







Buatmu yang bergelar Adam. Warkah ini ana ambil daripada nota seorang sahabat ana di facebooknya. Ana suka akan bait kata-kata yang ditulis ini. Subhanallah... Baca dan hayatilah, semoga peroleh ibrahnya. 




Buatmu yang bergelar ADAM




Adam….Maafkan aku jika coretan ini memanaskan hatimu. Sesungguhnya aku adalah Hawa, temanmu yang kau pinta semasa kesunyian di syurga dahulu. Aku asalnya dari tulang rusukmu yang bengkok. Jadi, tidak hairanlah jika perjalanan hidupku sentiasa inginkan bimbingan darimu, sentiasa mahu terpesong dari landasan, kerana aku buruan syaitan.


Adam…Maha Suci Allah yang mentakdirkan kaumku lebih ramai
bilangannya dari kaummu di akhir zaman, itulah sebenarnya ketelitian Allah dalam
urusanNya. Jika bilangan kaummu mengatasi kaumku nescaya merahlah dunia kerana
darah manusia, kacau bilaulah suasana, Adam sama Adam bermusuhan kerana Hawa,
kaumku sendiri rupanya!

Buktinya cukup nyata dari peristiwa Habil dan Qabil sehinggalah pada zaman cucu-cicitnya. Pun, jika begitu maka tidak selaraslah undang-undang Allah yang mengharuskan Adam beristeri lebih dari satu,
tapi semestinya tidak lebih dari empat pada satu waktu. Tentu engkau lebih tahu dari diriku sendiri.

Adam…Bukan kerana ramainya isterimu yang membimbangkan aku. Bukan kerana sedikitnya bilanganmu yang merungsingkan aku. Tetapi, aku risau, gundah dan gulana menyaksikan tingkahmu. Aku sejak dulu lagi sudah tahu bahawa aku mesti tunduk ketika menjadi isterimu. Ah..semuanya sudah
aku maklumi.


Namun…terasa berat pula untukku nyatakan isi perkara pokoknya…

Adam…aku tahu bahawa dalam Al-Quran ada ayat yang menyatakan kaum lelaki adalah menguasai
terhadap kaum wanita. Kau diberi amanah untuk mendidikku, kau diberi tanggungjawab untuk menjagaku, malah untuk memerhati dan mengawasi gerak perilaku aku agar sentiasa di dalam redha Tuhanku dan Tuhanmu, Allah azzawajalla…



Tetapi Adam, nyata dan rata-rata apa yang sudah terjadi pada kaumku kini, aku dan kaumku telah ramai menderhakaimu. Ramai yang telah menyimpang dari landasan yang sepatutnya lebih lurus, jalan yang ditetapkan asalnya Allah mahukan aku tinggal tetap di dalam rumah. Di
jalan-jalan, di pasar-pasar, di bandar-bandar bukan patutnya menjadi jejak kaki ini. Jikapun ada, patutnya engkau lebih maklum tentu kerana aku hanya terpaksa, tetapi aku tak lupa untuk menutup seluruh tubuh dan aurat perempuanku, darilah hujung rambut( kalau tak botak), hinggalah hujung kakiku yang ayu.

Tetapi…realitinya kini, hawa telah mengada-ngada, telah lebih dari
yang sepatutnya.


Adam…mengapa kau hanya membiarkan aku begini? Engkau
mahu aku jadi isteri, aku sudah buat. Engkau mahu aku jadi ibu pada anakmu, juga
aku telah laksanakan. Engkau mahu aku jadi seorang guru, juga aku anggukkan
kepala. Engkau lihat, aku telah menjadi ibu dan guru pada anak-anakmu. Engkau
suka kan? Tetapi, pada masa yang sama juga, adakah engkau faham, aku telah
menjaja diriku ke muka dunia, menguruskan hal Negara, aku ke hutan memikul
senjata…padahal engkau hanya mampu duduk goyangkan kaki, sambil menyanyi lagu
Mariah Carey lagi. Seronokkan? Engkau lihat, ada antara kaummu yang mengganggur
tiada kerja. Kau perhatikan sahaja aku panjat tangga di pejabat bomba, kainku
tinggi menyinsing peha…seksi kan? Tetapi aku masih baik, masih mahu selamatkan
Negara kita. Apakah sekarang engkau tidak lagi seperti dulu? Apakah sudah hilang
kasih sucimu terhadap perempuan baik seperti aku?

Adam...Marahkah jika ku
katakan andainya Hawa terpesong, maka Adam lah puncanya, engkaulah yang patut
tanggung! Mengapa begitu Adam?! Ya!! Ramai orang berkata jika anak jahat
emak-bapak tak pandai mendidik, kononnya kita ni macam orang tak pernah pergi
sekolah. Jika murid bodoh, guru yang tidak pandai mengajar, seolah tak ada sijil
universiti lulusan dari Amerika! Adam…kau selalu berkata, hawa memang degil, tak
mahu dengar kata, tak suka makan nasihat (sebab kami suka makan coklat ajer),
kepala batu (walaupun rambutku pakai syampu sunsilk)! Pada fikiranku ini Adam,
seharusnya kau tanya dirimu dahulu, apakah didikanmu terhadapku sama seperti
didikan Nabi Muhammad SAW terhadap isteri-isterinya? Memang engkau bukanlah
seorang Nabi, tetapi sedarlah bahawa namamu seorang Lelaki?! Engkau kenal siapa
itu lelaki? Kau tanya dirimu, adakah kaum Adam melayani kaum Hawa sama adilnya
seperti psikologi Muhammad terhadap mereka? Adakah akhlak Adam-Adam boleh
dijadikan contoh terhadap kaum Hawa?

Adam…Kau sebenarnya imam dan
tentulah aku menjadi makmumnya. Aku adalah pengikut-pengikutmu kerana kau adalah
seorang ketua. Tentu kau suka kan Adam-atau lebih patut ke Hawa memanggil diri
Adam sebagai Boss? Kau hanya mampu duduk tersengih. Itu sahajakah yang mampu kau
hadiahkan? Ketua-jika kau benar, maka benarlah aku. Jika kau lalai, lalailah
aku. Kau punya kelebihan akal dan aku banyak dilebihkan dengan nafsu. Akalmu
sembilan (9), nafsumu satu (1)…akalku (1), nafsuku beribu! Banyakkan Adam?! Oleh
itu, pimpinlah tanganku kerana aku ini seorang yang pelupa, aku juga lalai dan
alpa. Aku banyak kekurangan. Sering juga aku tergelincir ditolak sorang oleh
nafsu dan kuncu-kuncunya.

Bimbinglah daku untuk menyelami kalimah Allah.
Perdengarkanlah daku mengenai kalimah syahdu daru Tuhan kita agar dapat menjadi
terang hidupku ini. Tiuplah roh jihad ke dalam dadaku, agar aku menjadi
mujahidah kekasih Allah! Adam…andainya kau masih lalai dan alpa dengan karenahmu
sendiri, masih segan mengikut langkah para sahabat, masih gentar mencegah
mungkar, maka kita tunggu dan lihatlah, dunia ini akan kau saksikan hingga
menjadi hancur bila kaumu sendiri yang akan
mentertawakanmu, kerana pada masa
itu tentu kaum Hawa berpeluang memerintah Negara! Malulah engkau Adam! Malulah
engkau pada dirimu sendiri dan pada Tuhan kita yang engkau agungkan…Jika hari
ini kau tidak mampu berganjak, engkau tunggu dan lihatlah...nantazir wa
nara...ilal liqa`

Wallahualam.



Oleh: Ukhti Al-Jarumi