Páginas

Tuesday, September 28, 2010

:: Puasa Syawal dan Qadha'::



Pendahuluan


Puasa 6 hari di bulan Syawwal adalah termasuk di dalam ibadah puasa Tathawwu’ (amalan ketaatan yang boleh mendekatkan diri kepada Allah). Kebanyakan ahlil ilmi mengatakan sunnat berpuasa 6 hari di bulan Syawwal termasuklah Ibn Abbas, Thaus, Sya’bi, Maimun bin Mahran, Ibn Mubarak, Imam Syafi’e, Imam Ahmad, Ishaq dan lain-lain[1].


Imam Nawawi mengatakan: Hadith ini (iaitu hadith Abu Ayyub al-Anshari di bawah) jelas menjadi dalil bagi mazhab Imam Syafi’e, Imam Ahmad, Daud dan ulama yang sependapat dengan mereka bahawa disunatkan berpuasa enam hari (di bulan Syawwal)[2].


Puasa ini seolah-olah seperti ucapan selamat jalan (taudi’an) kepada bulan Ramadhan dan boleh menampal (jabran) kecacatan yang mungkin berlaku dalam puasa fardhu tersebut[3].


Sesungguhnya puasa selama 6 hari di bulan Syawwal mengandungi pahala yang sangat besar sekali. Ini adalah berdasarkan hadith daripada Abu Ayyub al-Anshari, sesungguhnya Rasulullah bersabda:


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ ثُمَّ أَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ كَانَ كَصِيَامِ الدَّهْرِ
Mafhumnya:Barang siapa berpuasa Ramadhan kemudian mengikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawwal, maka baginya pahala seumpama mengerjakan puasa sepanjang tahun[4].


Sebahagian ulama menafsirkan, mengerjakan puasa sepanjang tahun ini merujuk kepada ganjaran kebajikan yang ada pada puasa wajib di bulan Ramadhan dan puasa sunnat di bulan Syawwal ini. Ini lebih jelas disebutkan di dalam hadith daripada Thauban, daripada Rasulullah, sesungguhnya Baginda bersabda:


مَنْ صَامَ سِتَّةَ أَيَّامٍ بَعْدَ الْفِطْرِ كَانَ تَمَامَ السَّنَةِ، مَنْ جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشَرَ أَمْثَالُهَا
Mafhumnya: Barang siapa berpuasa enam hari selepas Eidul Fitri (Hari Raya Puasa), adalah (seolah-olah mencukupkan puasa) sepenuh tahun. Barang siapa yang melakukan satu kebajikan, maka baginya (digandakan) sepuluh kebajikan sepertinya[5].


Oleh kerana itu, puasa sebulan di bulan Ramadhan seolah-olah berpuasa 10 bulan (atau 300 hari kerana 30 hari x 10), dan puasa 6 hari Syawwal seolah-olah berpuasa 2 bulan (atau 60 hari kerana 6 hari x 10) yang menjadikan jumlahnya setahun (atau 360 hari dan setahun mengandungi 360 hari)[6].


Di dalam hadith lain daripada Ibn Umar berkata: Rasululullah bersabda:


مَنْ صَامَ رَمَضَانَ وَأَتْبَعَهُ سِتًّا مِنْ شَوَّالٍ خَرَجَ مِنْ ذُنُوبِهِ كَيَوْمِ وَلَدَتْهُ أُمُّهُ
Mafhumnya: Barang siapa berpuasa Ramadhan dan mengikutinya dengan puasa 6 hari di bulan Syawwal, keluarlah dosa-dosanya (sehingga dia menjadi bersih dari dosa) seperti hari dia dilahirkan oleh ibunya[7].


Waktu dan perlaksanaannya
Imam Nawawi berkata di dalam Syarah Muhazzab: Telah berkata Ashab kita (iaitu ulama’ Syafi’iyyah): Dan disunnatkan puasa enam Syawwal itu berturut-turut pada awal Syawwal dan jika dicerai-ceraikan dia (iaitu puasa itu) atau dita’khirkan (dilewatkan) dia daripada awal Syawwal nescaya harus[8].


Ibn Mubarak memilih awal bulan dan beliau mengatakan jika bercerai-cerai harus[9].


Afdhal


Imam Nawawi berkata di dalam Syarah Muslim: Telah berkata Ashab kita: Bermula yang afdhal bahawa puasa ia enam hari berturut-turut mengiringi hari fitrah (iaitu bermula dari 2 Syawwal)[10].


Qadha’ puasa dan puasa sunnat Syawwal
Mengqadha’kan puasa bulan Ramadhan adalah sesuatu yang wajib. Jika ia dilakukan secara berasingan (separated) dengan puasa sunnat Syawwal, maka ia jelas difahami akan bolehnya. Persoalan timbul apabila ia dilakukan sekali gus (combined) dengan puasa Syawwal dalam bulan Syawwal. Para ulama’ khilaf mengenainya.


1) Imam Syamsuddin al-Ramli[11] mengatakan:
ولو صام في شوال قضاء أو نذرا أو غيرهما أو في نحو يوم عاشوراء، حصل له ثواب تطوعها كما أفتى به الوالد رحمه الله تعالى تبعًا للبارزي والأصفوني والناشري والفقيه علي بن صالح الحضرامي وغيرهم، ولكن لا يحصل له الثواب الكامل.
Maknanya: Dan jika seseorang berpuasa pada bulan Syawwal secara qadha’ atau nazar atau selain keduanya atau pada hari seumpama hari 'Asyura`, hasil baginya (dia mendapat) pahala puasa sunnat hari tersebut seperti mana telah difatwakan oleh ayahku (iaitu ayahanda Imam al-Ramli iaitu Imam Syihabuddin al-Ramli) kerana mengikut fatwa Imam al-Barazi, al-Ashfuni, al-Nasyiri, al-Faqih Ali bin Sholeh al-Hadhrami dan selain mereka, akan tetapi tidaklah hasil baginya pahala (puasa sunnat) yang sempurna[12].


Rumusan:
1- Jika puasa qadha’ atau nazar dilakukan pada bulan Syawwal atau hari Asyura, orang tersebut akan mendapat juga pahala puasa sunnat hari yang dia berpuasa itu (dia akan mendapat pahala puasa sunnat bulan Syawwal atau puasa hari Asyura).
2- Walau bagaimanapun, dia tidak akan mendapat pahala puasa sunnat yang sempurna.


Pendapat Imam Syaikh Ramli ini diikuti oleh ramai ulama termasuk ulama di dunia Melayu. Di sini, dinukilkan pendapat mengenainya seperti yang termaktub di dalam 3 kitab Jawi besar dalam fiqah di dunia Melayu yang menjadi rujukan oleh kitab-kitab fiqah lain.


2) Kitab Sabil al-Muhtadin (di alam Melayu dikenal dengan kitab Sabilal Muhtadin), karangan Al-Alim al-Allamah Syaikh Muhammad Arsyad al-Banjari. Beliau menulis:


(Soal) Jika seorang puasa qadha’ atau nazar atau lainnya di dalam bulan Syawwal, adakah hasil baginya puasa sunnat Syawwal atau tiada? (Jawab) Kata Syaikh Ramli di dalam Nihayah: Hasil baginya pahala sunnat Syawwal, jika tiada diqasadnya mengerjakan puasa sunnat Syawwal itu kemudiannya (selepasnya)[13]. Dan jika diqasadnya mengerjakan dia kemudian (selepas) daripada umpama qadha’ itu, maka tiadalah hasil baginya pahala sunnat Syawwal kerana diqasadnya akan yang demikian itu jadi sharif (pemalingan) daripada menghasilkan dia daripada puasa Syawwal, maka pada ketika itu hendaklah dikerjakannya puasa Syawwal itu kemudian daripada qadha’ umpamanya, jika ada lagi tinggal bulan Syawwal. Dan jika tiada, maka sunnat mengqadha’ dia pada bulan Zulqaedah[14].


Rumusan:
1- Jika dia puasa qadha’ atau nazar tanpa sebelumnya ada niat puasa sunnat Syawwal selepas puasa qadha’ atau nazar itu, dia akan mendapat pahala puasa sunnat Syawal. Jika dia ada niat seperti itu, maka dia tidak mendapat pahala sunnat Syawwal.
2- Oleh kerana jika dia sudah berniat berpuasa sunnat Syawwal selepas puasa qadha’, hendaklah dia berpuasa sunnat Syawwal tersebut dalam bulan Syawwal itu juga.
3- Jika bulan Syawwal sudah selesai, maka sunnat dia mengqadha’kan puasa sunnat Syawwal itu di bulan Zulqaedah.
2) Di dalam kitab Bughyah al-Tullab li Murid Ma’rifah al-Ahkam bi al-Showab, Syaikh Daud bin Abdullah bin Idris al-Faththoni, beliau menulis:
(Dan jika ada) padanya puasa qadha’ atau nazar atau lainnya, maka jika ada niatnya hendak puasa sunnat Syawwal itu kemudian daripadanya, maka tiada hasil sunnat Syawwal serta qadha’ atau nazar itu. Dan jika tiada seperti ia niatkan serta qadha’ atau nazar, sunnat syawwal, hasillah pahala keduanya, atau tiada diniatkan puasa sunnat Syawwal serta qadha’ atau nazar itu, lepaslah tuntutannya, yakni tiada dituntut puasa sunnat Syawwal lagi. Demikianlah disebut pada Mudabaghi tempatnya. Hasilnya itu, jika tiada diniatkan puasa Syawwal itu kemudian daripada qadha’ atau nazar…[15]


Rumusan:
1- Jika dia ada berniat untuk berpuasa sunnat Syawwal selepas puasa qadha’ atau nazar, maka dia tidak mendapat mendapat pahala sunnat Syawwal, cuma mendapat pahala puasa qadha’ atau nazar sahaja.
2- Jika dia berniat puasa qadha’ atau nazar sahaja, maka dia mendapat pahala puasa kedua-duanya (pahala qadha’ atau nazar dan pahala puasa sunnat Syawwal).
3- Jika dia tidak berniat puasa sunnat Syawwal ketika melakukan puasa qadha’ atau nazar, maka dia tidak dituntut untuk menunaikan puasa sunnat Syawwal.


3) Kitab Al-Bahr al-Wafi wa al-Nahr al-Shafi, karangan Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni. Beliau juga menukilkan pendapat Imam Ramli dalam tulisannya:
(Tanbih) Jika puasa ia di dalam bulan Syawwal itu akan puasa qadha’ atau puasa nazar atau lainnya, nescaya hasil baginya pahala sunnatnya atau puasa ia di dalam umpama hari 'Asyura` akan puasa qadha’ atau puasa nadzar atau lainnya nescaya hasil baginya pahala sunnatnya, seperti yang difatwa oleh Syaikh Ramli Kabir (yakni ayahanda Imam ar-Ramli) mengikut ia akan Syaikh Barazi dan Syaikh Ashfuni dan Syaikh Nasyiri dan al-Faqih Ali bin Shalih al-Hadhrami dan lainnya. Tetapi tidak hasil baginya pahala yang sempurna yang diperaturkan atas yang mathlub (yang dituntut dalam hadits)[16].


Rumusan:
1- Seperti rumusan pada qawl (pendapat) perkataan Imam Syamsuddin al-Ramli dalam Nihayah al-Muhtaj di atas.


Natijah:
Daripada perbincangan para ulama’ (di dalam kitab-kitab yang telah disebutkan di atas), dapat diambil panduan hukum iaitu:
Seseorang mendapat pahala puasa qadha’ dan pahala sunnat puasa 6 Syawwal walaupun tidak sempurna pahala sunnat puasa 6 itu, sama ada – semasa puasa itu – berniat qadha’ sahaja atau niat qadha’ serta sunnat puasa 6 sekali gus, dengan syarat dia tidak berniat terlebih dahulu untuk puasa 6 Syawwal selepas berpuasa qadha’ itu. Ini adalah pendapat Imam al-Barazi, al-Ashfuni, al-Nasyiri, al-Faqih Ali bin Sholeh al-Hadhrami, Imam Syihabuddin al-Ramli (Syaikh Ramli al-Kabir) dan anaknya Imam Syamsuddin al-Ramli (Syaikh Ramli al-Shaghir), termasuklah sekumpulan ulama mutakhir seperti Imam al-Khathib al-Syarbini, Syaikh Arsyad al-Banjari dan Syaikh Muhammad bin Ismail al-Fathoni dan lain-lain.


Penutup


Beberapa perkara yang boleh dinyatakan di dalam persoalan puasa qadha’ Ramadhan yang disertakan (combined) dengan puasa sunnat 6 hari di bulan Syawwal antaranya:


1) Ia adalah antara perkara khilaf di kalangan para ulama’.
2) Kebanyakan para ulama mengatakan seseorang mendapat pahala puasa qadha’ dan pahala sunnat puasa Syawwal dengan syarat dia tidak berniat terlebih dahulu untuk puasa 6 Syawwal selepas berpuasa qadha’ itu. Justeru, boleh menggabungkan puasa qadha’ dan puasa sunnat Syawwal sekali gus.
3) Terdapat juga sebahagian ulama yang berpendapat hanya mendapat pahala qadha’ sahaja dan tidak mendapat pahala sunnat 6, jika hanya berniat qadha’ dan tidak berniat puasa sunnat. Walau bagaimana pun, jika dia berniat qadha’ serta sunnat sekali gus, maka tidak sah dan tidak mendapat pahala untuk kedua-dua puasa tersebut. Ini adalah pendapat Imam Nawawi dan Imam Asnawi[17]. Ada juga ulama yang mengatakan dia hanya mendapat pahala qadha’, tidak mendapat pahala sunnat, melainkan jika ada niat puasa sunnat itu. Ini adalah pendapat Imam Ibnu Hajar al-Haitami[18].
4) Bagi pandangan al-Faqir- setelah merujuk kepada panduan pendapat para ulama dan masyaikh di dalam kitab dan perbincangan mereka-, jika bulan Syawwal masih panjang, adalah lebih baik menunaikan puasa qadha’ dahulu dan selepas itu menunaikan puasa 6. Ini adalah kerana mengikut kaedah: مَا أَكْثَرَ فِعْلاً أَكْثَرَ فَضْلاً (Apa-apa yang banyak dibuat, maka banyak pula fadhilatnya). Ia juga sebagai suatu ihthiyath (berhati-hati) memandangkan ada pendapat yang tidak membolehkan menyertakan sekali kedua-dua puasa ini. Jika bulan Syawwal sudah di penghujung, maka menggabungkan di antara puasa qadha’ dan sunnat Syawwal adalah baik. Wallahu a’lam.
4) Berusahalah bersama-sama agar kita tidak terlepas untuk menunaikan puasa 6 hari Syawal ini sebagai taqarrub (untuk menghampirkan diri kepada Allah) di samping ganjaran yang besar seperti yang disebut di dalam riwayat hadith.


والله أعلم بالصواب


(Petikan Teks daripada Al-Fadhil al-Ustaz Muhadir Haji Joll, UIAM-muha_71@hotmail.com)
Nota kaki:


[1] Rujuk Lathaif al-Ma’arif fi ma li Mawasim al-‘Am min al-Wazhaif, Al-Imam al-Hafiz Zainuddin bin Rajab al-Hanbali, ta’liq Muhammad al-Iskandarani, Beirut: Dar al-Kitab al-Arabi, Cetakan Kedua, 1416H/ 1996M, ms 209.
[2] Rujuk Syarah Shahih Muslim, Imam Nawawi, Bairut: Dar al-Qalam, 1987, 8/56.
[3] Rujuk Al-Nashaih al-Diniyyah wa al-Washaya al-Imaniyyah, Al-Imam al-Habib Abdullah bin Alawi al-Haddad, tahzib wa taqdim, Syaikhuna, Al-Faqih Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki, Bogor: Al-Ma’had al-Ali li al-Tafaqquh fi al-Din, Cetakan Kedua, 1418H/ 1997M, ms 179.
[4] Diriwayatkan oleh Muslim dalam kitab Al-Shiyam, Abu Daud dalam kitab Al-Shiyam,Tirmizi dalam kitab al-Shawm, Ibn Majah dalam kitab Al-Shiyam.
[5] Diriwayatkan Ibn Majah. Hadith ini disebut di dalam kitab Fadhail al-A’mal, Al-Hafiz Dhiyauddin, Muhammad bin Abd al-Wahid bin Ahmad al-Maqdisi, Madinah: Jam’iyyah al-Birr, 1412H, ms 42.
[6] Disebut oleh Imam Nawawi di dalam Syarah Muslim seperti yang dinukilkan oleh Syaikh Muhammad Idris al-Marbawi dalam Bahr al-Mazi Syarah bagi Mukhtasar Shahih al-Tirmizi, 5/127. Rujuk juga Bughyah al-Tullab li Murid Ma’rifah al-Ahkam bi al-Shawab, Syaikh Daud bin Abdullah bin Idris al-Fathoni, Dar al-Fikr, 2/128. Bilangan 360 hari di sini merujuk kepada hari dalam setahun tahun Hijriyyah, bukan Masahiyyah.
[7] Diriwayatkan oleh Tabrani di dalam Al-Awsat.
[8] Bahr al-Mazi, 5/127. Lihat juga Al-Shirat al-Mustaqim, Al-Alim Al-Allamah Syaikh Nuruddin Jilani bin Ali Hasanji bin Muhammad Humaid al-Raniri (kitab ini berada di tepi kitab Sabil al-Muhtadin), ms 138.
[9] Rujuk Bahr al-Mazi , 5/126.
[10] Rujuk Al-Iqna’ fi Hall Alfaz Abi Syuja’, Syaikh Muhammad Al-Syarbini al-Khatib, Fathoni: Matba’ah Ibn Halabi, t.t, 1/245, Bahr al-Mazi, 5/127, Matla’ al-Badrain wa Majma’ al-Bahrain, Syaikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fathoni, Pulau Pinang: Percetakan al-Muarif, t.t, ms 65, Kifayah al-Muhtadi pada Menerangkan Cahaya Sulam al-Mubtadi, Syaikh Muhammad Nur bin Muhammad bin Ismail al-Fathoni, Thailand: Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahdi wa Awladih, 1351H, ms 162 dan Idaman Penuntut pada Menghuraikan Yang Kusut, Haji Abdul Ghani bin Haji Yahya, Penggal Pertama, 1983, ms 148.
[11] Beliau ialah salah seorang ulama besar dalam fiqh mazhab Syafi’e. Diberi gelaran Imam Syafi’e al-Shaghir (Imam Syafie kecil) kerana kedalaman dan kewibawaannya dalam ilmu pengetahuan. Kitabnya Nihayah al-Muhtaj dan Tuhfah al-Muhtaj sentiasa menjadi rujukan utama para ulama untuk mengetahui pendapat yang dipakai di dalam mazhab Syafi’e.


[12] Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj fi al-Fiqh 'ala Mazhab al-Imam al-Syafi'e, Syaikh Ramli, Egypt: Dar al-Kutub al-'Ilmiyyah, 1993, 3/208–209. Pendapat beliau disokong juga oleh Al-Imam Al-Khatib al-Syarbini (rujuk Mughni al-Muhtaj, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiyyah, 2/184).
[13] Umpamanya dia mengqasadkan (meniatkan) beberapa hari sebelum dia mengerjakan puasa qadha’: “Aku nak puasa qadha’ dulu. Lepas puasa qadha’ ini, aku akan puasa sunnat Syawwal 6 hari pula”. Jika dia berniat seperti itu, maka, dia tidak mendapat pahala puasa sunnat Syawwal 6 hari itu, jika dia menyertakan (combine) puasa qadha’ serta puasa sunnat Syawwal sekaligus kerana dia sudah berniat untuk melakukan puasa sunnat itu tidak sekali (separate) dengan puasa qadha’.
[14] Rujuk Sabil al-Muhtadin li al-Tafaqquh bi Amr al-Din, Al-Imam al-Allamah al-Syaikh Muhammad Ahmad bin Abdullah al-Banjari, Thailand: Maktabah wa Matba’ah Muhammad al-Nahdi wa Awladih, t.t, 2/160–161.
[15] Bughyah al-Tullab, Dar al-Fikr, 2/128.
[16] Rujuk Al-Bahr al-Wafi, kompilasi oleh Syaikhuna al-Marhum, Tuan Guru Haji Wan Muhammad Soghir bin Abdullah al-Riawi al-Fathoni, Kuala Lumpur: Khazanah Fathoniyyah, Cetakan Kedua, 2005, ms 376.
[17] Rujuk Fath al-Mu’in, Al-Alim al-Allaamah Syaikh Zainuddin bin Abdul Aziz al-Malibari.
[18] Rujuk I’anah al-Tholibin hasyiah bagi Fath al-Mu’in, Syaikh Abu Bakar Syatha al-Bakri al-Dimyathi, murid Syaikhul Islam, Syaikh Sayyid Ahmad Zaini Dahlan.

p/s : Risalah ini dicopy daripada blog sahabat Syaikhuna, Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll. InsyaAllah boleh dipanjang-panjangkan. Semoga redha Allah bersama kita. Allahumma Ameen.

:: Kalam buat ahli pengajian talaqi daripada Syaikhuna::




Berkata Al-Faqiirul Haqiirul Faanii, al-Muznibul Jaanii, ar-Raajii min Rabbihil ‘Afwa ma’a Buluughil Aamaanii, Muhadir bin Haji Joll as-Sanariyy:

“Para masyaikhku telah menasihatkanku beberapa perkara:

“Ikhlaskan niatmu dalam menuntut ilmu kerana sukar bagi hati untuk dimasuki cahaya jika di dalamnya ada sesuatu yang dibenci Allah.”

“Sucikan hatimu dari kekotoran maksiat kerana hati yang kotor tidak dapat menerima rahsia-rahsia ilmu dan kurniaan Allah.”

“Tuntutlah ilmu agama secara talaqi daripara masyaikh yang bersanad kerana ada padanya madad dan keberkatan.”

“Ilmu adalah sangat mulia. Justeru, bersabarlah dalam menuntut ilmu kerana semakin bertambah mulia sesuatu yang dituntut, maka semakin bertambah pula keletihan dan kepayahan dalam mencapainya.”
“Muliakanlah para ulama’, ilmu dan kitab-kitab mereka. Lazimikanlah dirimu untuk membaca kisah-kisah dan kitab-kitab para Salafus Soleh dan ulama Khalaf yang soleh terutamanya kitab Ihya ‘Ulumiddin karangan Hujjatul Islam, Al-Imam Al-Ghazzali kerana ia adalah perbendaharaan dari segala macam ilmu dan penawar yang mujarab bagi penyakit-penyakit hati.”

“Menuntut ilmu bukan hanya untuk mengisi otak dan fikiran, tetapi juga untuk memperhaluskan perasaan dan menyuburkan kebijaksanaan. Apa yang dicari bukan hanya semata-mata ilmu, tetapi juga manfaat dan keberkatannya. Justeru, jagalah adab-adab ketika menuntut ilmu untuk memperolehinya.”

“Cintailah Rasulullah dan keturunannya kerana jika hanya berilmu tanpa Mahabbatun Nabi, hati akan menjadi ‘gersang’.”

Demikianlah nasihat ini ditujukan juga kepada semua ahli pengajian talaqiku khasnya dan kepada semuanya penuntut ilmu amnya.”

::Nasyid : Setiap kali::


Tajuk: Setiap kali
Mursyid: Devotees


"wahai tuhan, nasib kami di tanganMU"

Setiap kali mendapat nikmat
jarang kusedari itu pemberian-Mu
terkadang rasa itu kerana
segala usaha dan penat lelahku sahaja

setiap kali ditimpa musibah
kumengeluh risau bertambah gelisah
hingga terlupa pada-Mu Allah
tempat kembali segala masalah

oh Tuhan Yang Maha Penyayang 
leraikanlah aku dari keluh kesah 
yang membelenggu jiwa dan fikiran 
ditambah dengan hasutan syaitan 

kurniakanlah kepadaku ketabahan 
singkapkanku hikmah segala ketentuan 
Moga sinar-Mu berikanku pedoman 
Hanya pada-Mu segala ketetapan 

oh tuhan yang maha penyayang
leraikanlah aku dari keluh kesah
yang membelenggu jiwa dan fikiran
ditambah dengan hasutan syaitan
durjana yang sentiasa mengarahku
kepada kemurkaanmu
kurniakanlah kepadaku ketabahan
tunjukkan ku hikmah segala ketentuan
Moga sinar-Mu berikanku pedoman
Hanya pada-Mu segala ketetapan
Ya Allah kau redhailah diri ini


seandainya diri ini
mampu meraih cinta keredhaan-Mu
seandainya akulah insan yang terpilih
pimpini hidupku

Sunday, September 5, 2010

::AMALAN 10 MALAM TERAKHIR::

RISALAH AMALAN 10 HARI TERAKHIR RAMADHAN


بسم الله الرحمن الرحيم
AMALAN UMUM :


a) Sebolehnya beri’tikaf.
b) Mandi antara solat Maghrib dan Isya’.
c) Tidak bersama (jima’) dengan isteri.
d) Makan sedikit waktu iftar .
e) Solat fardhu berjemaah.
f) Solat Rawatib dan Nawafil.
g) Baca Al-Qur’an sebanyak-banyaknya.
h) Bersedekah.
i) Membuat segala amal kebaikan yang termampu termasuk pergi ke majlis ilmu dan muzakarah, menziarahi para alim ulama’ dan orang-orang soleh, khidmat kepada kedua orang tua atau guru/ masyaikh, bersifat ihsan/ belas kasihan kepada semua makhluk dan lain-lain.
j) Usahakan untuk mengkhatam pada setiap hari bermula 20 Ramadhan :
1- لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ (1000x)
2- أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ الَّذِي لاَ إِلَهَ إِلاَّ هُوَ الْحَيَّ الْقَيُّومَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ (1000x)
3- اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ (1000x)
4- Surah Al-Ikhlas (100x, atau paling sedikit 25x)




AMALAN KHUSUS:


PAGI:
1- Solat sunat sebelum Subuh, solat fardhu Subuh berjemaah, wirid selepas solat .
2- Al-Wird al-Lathif dan Hizb an-Nawawi.
3- Sebelum naik matahari baca :
i- سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ وَلاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ (100x)
ii- لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ (100x)
iii- سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ (100x)
iv- سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيمِ وَبِحَمْدِهِ (100x)
v- لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِي وَيُمِيتُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (100x)
4- Solat sunat Isyraq dan sunat Dhuha.


TENGAHARI:
1- Solat Qabliyyah Zohor, solat fardhu Zohor berjemaah, solat Ba’diyyah Zohor.
2- Ratib al-Aththos.
3- أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِجَمِيعِ الْمُسْلِمِينَ وَالْمُسْلِمَاتِ وَالْمُؤْمِنِينَ وَالْمُؤْمِنَاتِ، اَلأَحْيَاءِ مِنْهُمْ وَاْلأَمْوَاتِ (25x)
PETANG:
1- Solat Qabliyyah Asar, solat fardhu Asar berjemaah.
2- Hizb al-Bahr.
3- اَللهُ أَكْبَرُ (100x)
MAGHRIB:
1- Berzikir dan berdoa ketika hampir waktu berbuka puasa .
2- Berbuka puasa, solat fardhu Maghrib berjemaah, solat Ba’diyyah Maghrib.
3- Solat sunat Awwabin.
4- Ratib al-Haddad.






ISYA’:
1- Solat Qabliyyah Isya’, solat fardhu Isya’, solat Ba’diyyah Isya’.
2- Solat Tarawih dan Witir.




Amalan pada malam yang diharapkan Lailatul Qadar :


Bermula pada pukul 12 tengah malam:
1- Mandi, memakai pakaian yang bagus, berhias diri dan berwangi-wangian .
2- Berwudhu’, solat sunat Wudhu’.
3- Solat Hajat mohon agar dipertemukan dengan Lailatul Qadar.
4- Membaca Al-Qur’an.
5- أَسْتَغْفِرُ اللهَ الْعَظِيمَ وَأَتُوبُ إِلَيْهِ (100x)
6- لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ (1000x)
7- لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ، يُحْيِي وَيُمِيتُ، وَهُوَ حَيٌّ دَائِمٌ لاَ يَمُوتُ، بِيَدِهِ الْخَيْرُ، وَهُوَ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (400x)
8- لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ الْحَلِيمُ الْحَكِيمُ، سُبْحَانَ رَبَّ السَّمَاوَاتِ السَّبْعِ وَرَبَّ الْعَرْشِ الْعَظِيمِ (3x)
9- سُبْحَانَ اللهِ وَالْحَمْدُ لِلَّهِ لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَاللهُ أَكْبَرُ (100x)
10- سُبْحَانَ اللهِ وَبِحَمْدِهِ سُبْحَانَ اللهِ الْعَظِيمِ (200x)
11- اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ (1000x)
12- Ayat Al-Kursi. (3x)
13- Solat sunat Tahajjud, Taubah, Hajat, Tasbih, Witir.
14- Al-Wird al-Lathif.
15- Membaca doa khusus .
16- Solat Lailatul Qadar .
17- Paling kurang solat Isya’ berjemaah dan solat Subuh berjemaah .
LAMPIRAN:


(A):


Sebelum berdoa bacalah:


وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ


Sebelum berselawat bacalah:


إِنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا
\
Sebelum berzikir atau bertasbih, bacalah:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ اَمَنُوا اذْكُرُوا اللهَ ذِكْرًا كَثِيرًا. وَسَبِّحُوهُ بُكْرَةً وَأَصِيلاً


Tujuannya ialah supaya mengingatkan hati agar sentiasa tunduk dan patuh kepada suruhan Allah untuk berdoa, berselawat dan berzikir serta bertasbih kepadanya .


(B):


Usahakan untuk tidak meninggalkan 2 amalan ini selepas salam pada solat Subuh:


1) Membaca sebanyak 10 x dalam keadaan masih duduk Tahiyyat Akhir (sama ada masih duduk Tawarruk atau Iftirasy) dan tidak berkata-kata sehingga selesai bacaan:


لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيتُ، وَهُوَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ


“Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya segala kerajaan dan bagiNya segala pujian, Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”


Fadhilat:
Hadith dari Abu Zar berkata: Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang membaca selepas solat Subuh dalam keadaan kakinya masih seperti kedudukan duduk Tasyahhud Akhir, sebelum berkata-kata 10 kali, ditulis baginya 10 kebaikan, dihapuskan daripadanya 10 kejahatan (dosa), diangkatkan baginya 10 derjat (kedudukan), dan dia pada hari itu terjaga dari segala perkara yang dibenci, terbenteng dari syaitan, serta tidak ada suatu dosa yang dapat membinasakannya pada hari itu kecuali perbuatan syirik (menyekutukan) Allah.”
2) Membaca sebanyak 7 x sebelum berkata-kata sehingga selesai bacaan:


اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ


“Ya Allah, peliharalah aku dari api neraka”


Fadhilat:
Hadith dari Al-Harith bin Muslim dari ayahnya berkata: Nabi bersabda: Apabila kamu selesai menunaikan solat Subuh, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata: اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ 7 kali, maka sekiranya kamu meninggal dunia pada hari itu, Allah menulis bagimu perlindungan dari api neraka. Dan apabila kamu selesai menunaikan solat Maghrib, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata: اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ 7 kali, maka sekiranya kamu meninggal dunia pada malam itu, Allah menulis bagimu perlindungan dari api neraka.”


Cacatan:
Boleh juga menggunakan shighah (bentuk) jama’ (ramai) umpamanya:


اَللَّهُمَّ أَجِرْنَا مِنَ النَّارِ


“Ya Allah, peliharalah kami dari api neraka”


(C):


Zikir dan doa ketika hampir berbuka puasa:


1- أَشْهَدُ أَن لاَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ، أَسْتَغْفِرُ اللهَ نَسْأَلُكَ الْجَنَّةَ وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ النَّارِ (3x)
2- اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيمٌ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا (3X)
3- يَا كَرِيمُ (1x)
4- Doa:


اََللَّهُمَّ سَلِّمْنَا لِرَمَضَانَ وَسَلِّمْ رَمَضَانَ لَنَا، وَسَلِّمْهُ لَنَا مُتَقَبَّلاً حَتَّى يَنقَضِيَ وَقَدْ غَفَرْتَ لَنَا وَرَحِمْتَنَا وَعَفَوْتَ عَنَّا، اَللَّهُمَّ ارْزُقْنَا فِيهِ الْعَافِيَةَ الْحَالَةَ وَالرِّزْقَ الْحَسَنَ وَدِفَاعَ اْلأَسْقَامِ، وَالْعَوْنَ عَلىَ الصَّلاَةِ وَالصِّيَامِ وَالْقِيَامِ وَتِلاَوَةِ الْقُرْآنِ، اَللَّهُمَّ ارْزُقْنَا لَيْلَةَ الْقَدْرِ، وَأَعِنَّا عَلَى الصَّلاَةِ وَالْقِيَامِ وَتِلاَوَةِ الْقُرْآنِ وَالْعَمَلِ فِيهَا حَتَّى تَرْضَى عَنَّا.


“Ya Allah, selamatkanlah kami untuk Ramadhan dan selamatkanlah Ramadhan untuk kami. Dan selamatkanlah ia untuk kami sehingga ia pergi dalam keadaan Engkau telah mengampuni kami dan merahmati kami. Ya Allah, berikanlah kami di dalamnya keafiatan yang segera, rezeki yang baik, perlindungan daripada penyakit, serta pertolongan untuk melakukan solat, puasa, beribadah pada waktu malam dan membaca Al-Qur’an. Ya Allah, rezekikanlah kami Lailatul Qadar dan bantulah kami untuk bersolat, beribadah pada waktu malam, membaca Al-Quran dan beramal di dalamnya sehingga Engkau redha dengan kami.”


Boleh juga membaca doa dan zikir-zikir lain.


(D):


Walaupun tarikh berlakunya Lailatul Qadar menjadi rahsia Allah, para ulama dan Ahli Sufi telah membuat kaedah dengan harapan berjumpa dengan malam berkat tersebut, mengikut pengalaman masing-masing.


Kaedah:


Di dalam kitab Hasyiah Fath al-Wahhab disebutkan bahawa: Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau Rabu, Lailatul Qadar diharapkan akan terjadi pada malam ke 29, jika hari Isnin, malam ke 21, jika hari Selasa atau Jumaat, malam ke 27, jika hari Khamis, malam ke 25 dan jika hari Sabtu, malam ke 23. Kaedah ini juga disebut di dalam Al-Barmawi dan Al-Qalyubi (2/26).


Di dalam kitab Al-Jauhar al-Mauhub dan Al-Bujairami ‘ala al-Khathib (2/410), disebutkan bahawa ahli-ahli Sufi termasuklah Syaikh Abu Bakar al-Maghribi, Imam Al-Ghazali dan lain membuat dhobith (kaedah) iaitu jika awal Ramadhan jatuh pada hari Jumaat, Lailatul Qadar diharapkan akan terjadi pada malam 29, jika hari Sabtu, malam ke 21, jika hari Ahad, malam ke 27, jika hari Isnin, malam ke 29, jika hari Selasa, malam ke 25, jika hari Rabu, malam ke 27 dan jika hari Khamis, malam ke 21 .


Walau bagaimanapun, kebanyakan ulama’ mentarjihkan (menguatkan) pendapat yang mengatakan Lailatul Qadar terjadi pada malam 27 Ramadhan berdasarkan keterangan hadith daripada Ubay bin Ka’ab dan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada malam 27 itu .
Tanda-tanda:


1- Malamnya tenang (tidak bunyi bising/ hiruk pikuk), tidak panas dan tidak sejuk.
2- Cahaya matahari pada paginya kelihatan putih cerah, tidak banyak sinarannya .
3- Anjing tidak menyalak .


(E):


Doa khusus dibaca pada malam Lailatul Qadar:


بسم الله الرحمن الرحيم


اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّّ الْعَفْوَ فَاعْفُ عَنَّا، عَفْوُكَ يَا عَفُوُّ فِي الْمَحْيَا، وَفِي الْمَمَاتِ عَفْوَكَ، وَفِي الْقُبُورِ عَفْوَكَ، وَعِندَ النُّشُورِ عَفْوَكَ، وَعِندَ تَطَايُرِ الصُّحُفِ عَفْوَكَ، وَفِي الْقِيَامَةِ عَفْوَكَ، وَفِي مُنَاقَشَةِ الْحِسَابِ عَفْوَكَ، وَعِندَ الْمَمَرِّ عَلَى الصِّرَاطِ عَفْوَكَ، وَعِندَ الْمِيزَانِ عَفْوَكَ، وَفِي جَمِيعِ اْلأَحْوَالِ عَفْوَكَ، يَا عَفُوُّ عَفْوَكَ.


“Dengan nama Allah, Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang. Ya Allah, sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, Engkau menyukai keampunan, maka ampunilah aku. Aku memohon keampunanMu, wahai Yang Maha Pengampun, dalam kehidupan, dalam kematian, aku juga memohon keampunanMu, dalam kubur aku juga memohon keampunanMu, ketika dibangkitkan aku juga memohon keampunanMu, ketika diberikan lembaran amal, aku juga memohon keampunanMu, ketika sidang perhitungan amal, aku juga memohon keampunanMu, dalam semua keadaan, aku juga memohon keampunanMu, wahai Tuhan Yang Maha Pengampun, aku memohon keampunanMu.”


Baca juga doa-doa lain. Boleh juga bermohon dalam Bahasa Melayu kepada yang ada hajat jika tidak boleh berbahasa Arab .


(F):


Solat pada malam berlakunya Lailatul Qadar
Lafaz niat:


أَصَلِّي سَنَّةَ لَيْلَةَ الْقَدْرِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ لِلَّهِ تَعَالَى


“Sahaja aku sembahyang sunat Lailatul Qadar empat rakaat kerana Allah Ta’ala.”


Pada setiap rakaat, selepas membaca Al-Fatihah, hendaklah membaca Surah At-Takathur sekali dan Surah Al-Ikhlas tiga kali.


Solat pada malam 27 Ramadhan .


Ia dikerjakan sebanyak 12 rakaat. Pada pendapat Al-Faqir, boleh juga dikerjakan dengan dua rakaat dan salam, kemudian meneruskannya sehingga ke dua belas rakaat. Pada rakaat pertama, setelah membaca Surah Al-Fatihah, dibaca Surah Al-Qadar 1x dan Surah Al-Ikhlas 15x untuk setiap 2 rakaat.
Rujukan:


Bahasa Arab:
Ihya’ Ulum ad-Din, Imam Al-Ghazali, tahqiq Abu Hafhs Sayyid bin Ibrahim, Al-Qaherah: Dar al-Hadith, 1419H/1998M.
Khulashoh Syawariq al-Anwar min Ad’iyah as-Sadah al-Akhyar, Syaikh Masyaikhuna, Al-Arif billah al-Muhaddith, as-Sayyid Muhammad bin ‘Alawi al-Maliki al-Hasani, Al-Qahirah: Dar Wahdan, t.t.
Latho’if al-Ma’arif fima li Mawasim al-‘Am min al-Wazha’if, Imam Ibn Rajab al-Hanbali, ta’liq wa muraja’ah Muhammad al-Iskandarani, Bairut: Dar al-Kitab al-‘Arabi, Cetakan Kedua, 1416H/1996M.
Mafatih al-Qurb, Al-Arif billah al-Muhaddith, Syaikh Muhammad Zaki bin Ibrahim, Cetakan Kelapan, 1420H/1999M.


Kitab Jawi:
Bughyah ath-Thullab li Murid Ma’rifah al-Ahkam bi ash-Showab, Syaikh Daud bin Abdullah al-Faththoni, Dar al-Fikr, t.t.
Jam’ al-Fawa’id wa Jawahir al-Qala’id, Syaikh Daud bin Abdullah al-Faththoni, Maktabah wa Mathba’ah Muhammad an-Nahdi wa Auladuh, t.t.
Al-Jauhar al-Mauhub wa Munabbihat al-Qulub, Syaikh Ali bin Abdur Rahman al-Kalantani, Maktabah wa Mathba’ah Muhammad an-Nahdi wa Awladuh, t.t.
Sair as-Salikin fi Thoriqah as-Sadat ash-Shufiyyah, Syaikh Abdus Shomad al-Falimbani, Pulau Pinang: Percetakan Al-Ma’arif, t.t.


Bahasa Melayu:
Amalan Pelbagai Shalat Sunat: Amalan Bulan Ramadhan & Syawal (Bahagian Keempat), Syaikhuna, Syaikh Haji Wan Mohd. Shaghir Abdullah, Kuala Lumpur: Persatuan Pengkajian Khazanah Klasik Nusantara & Khazanah Fathaniyah, 1425H/2004M.
Fazilat Bulan Rejab, Sya’ban dan Ramadzan, Budiman Radzi, Kedah: Alor Setar, 1408H/ 1988M, ms 34-39.
Perukunan Sembahyang Melayu, Haji Abdur Rasyid Banjar, Pulau Pinang: Percetakan al-Ma’arif, t.t.
Rangkaian Doa Ramadhan: Amalan Meraih Rahmat dan Ampunan, Bonus Majalah al-Kisah, Edisi 18/2008, 16-17, 19-20.
Tazkirah Ramadhan, Syaikhuna, Syaikh Muhammad Fuad bin Kamaludin al-Maliki, Negeri Sembilan: Abnak Production, Cetakan Kedua, 1423H/2002M.




* diizinkan untuk disebarkan dengan niat memanjangkan amalan dan menta’mimkan manfaat dengan menyebut sumber rujukan demi keberkatan ilmu. Bacalah dahulu Surah Al-Fatihah 1x untuk Rasulullah dan ahli baitih, para sahabat, tabi’in dan tabi’in yang mengikuti jejak langkah mereka sehingga hari kiamat, juga kepada seluruh Auliya’illah, para ulama’, fuqaha’ dan muhaddithin, khususnya kepada masyaikh yang mengajar ilmu dan amalan kepada kita…..AL-FATIHAH.


Disusun oleh:
Al-Faqir al-Jani ila Rabbihi al-Qodir al-Ghani
Muhadir bin Haji Joll
24 Ramadhan 1431H/ 4 September 2010M.

Friday, September 3, 2010

::Misi: Memburu Lailtul Qadr::







raredour photographic
   Saat  seluruh Selangor kelam dek kerana ketiadaan elektrik. Lailatul Qadr kami memburumu. Mungkinkah malam ini adalah malamnya? Malam ke 23 Ramadhan? Malam yang mana beberapa hari lagi sebelum kedatangan Eidul Fitri yakni hari kemenangan bagi mereka yang berjaya menjalani ibadah puasa?  Allah…sungguh kami ingin sekali menemui malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini. Malam yang mana pintu rahmat diluaskan selebar-lebarnya dan juga bumi ini menjadi sempit dek kerana turunnya malaikat ke bumi. Ya Allah… temukanlah kami ya Allah temukanlah kami dengan malam ciptaanMu ini.

   Perkataan Lailatul Qadr berasal daripada dua patah perkataan yakni “Lailah” yang bermaksud malam dan “Qadr” yang bermasud penentuan atau ketetapan, sempit dan juga kemuliaan. Sempit di sini menurut Syaikhuna bermaksud bumi menjadi sempit kerana kehadiran malaikat ke bumi pada malam tersebut dan kemuliaan yang cuba dinyatakan adalah kemulian kerana diturunkan barakah oleh Allah s.w.t ta’ala pada malam tersebut dan kemulaiaan kerana pada malam itu, Allah akan memberikan ganjaran yang berlipat kali ganda buat hambaNya yang bangun dan untuk taqarrub kepadaNya serta disebabkan kemuliaan pada Rasulullah dan juga Al-quran. Subhanallah, lihat sahaja pada definisi yang telah Syaikhuna perjelaskan, sungguh Lailatul qadr itu sangat indah.

“Siapa berusaha, dia akan dapat”.

   Begitulah apa yang telah di perkatakan oleh Syaikhuna,  Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll  diawal kata-katanya ketika menyampaikan perihal Lailatul Qadr. Siapa yang berusaha dan tidak pernah kenal erti penat serta terus-terusan beramal demi menemui malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini, pasti dan sesungguhnya Allah yang sifatNya Ar-Rahman itu akan menemukan hambaNya  dengan malam  yang Allah rahsiakannya di dalam 10 malam terakhir Ramadhan. Subhanallah, sungguh Allah itu sifatnya Maha Bijaksana. Cuba sekiranya malam itu Allah sebutkan dengan jelas pada malam ini dan pada waktu itu, pasti kita hanya akan bersungguh-sungguh  melakukan ibadah, berqiamulail  dan amalan-amalan yang lain pada waktu yang telah disebutkan itu sahaja. Lihat sahaja betapa Ramadhan ini Allah jadikan sebagai salah satu Madrasah untuk kita mentarbiyah diri. Subhanallah. Rahmat Allah itu sangat luas.

“Ya Allah ya Rahman ya Rahim, jadikanlah kami tergolong di dalam golongan hamba-hambaMu yang sentiasa bersyukur”

  “Maka nikmat Allah yang mana yang mahu kau dustakan?”.  Jadi, masih berkira-kira lagi? Masih berkira-kira untuk beramal kerana Allah? Masih berkira-kira untuk bangun malam dan berqiamullail, masih berkira-kira untuk meninggalkan yang batil dan mencari yang haq?! (pesanan buat diri yang faqir ini juga). Malunya kita dengan Allah, sesungguhnya Allah tidak pernah berkira-kira dengan hambaNya. Allah… hinanya kami.  Lailatul Qadr ya Lailatul Qadr sungguh kami ini ingin sekali bertemu denganmu, menangis mengenangkan dosa-dosa kami yang menggunung tinggi ini di dalammu.

Firman Allah:-

“Mintalah kamu akan aku, nescaya akan aku perkenankan”


   Menurut Guru kepada Guru kami Sheikh Fahmi Zam-zam Al-banjari An-nadwi ketika memberikan syarahan bab Adab-adab berdoa  di dalam kitab Sairus Salikin karangan Sheikh Abu Somad Al-Falimbani mengatakan bahawa, “Berdoa itu adalah merendahkan diri kepada Allah s.w.t dan kerana betapa kita ini faqir dan tidak punya apa-apa melainkan Allah”. Selain itu, menurut Sheikh lagi, “Doa itu otak ibadah” dan “Tiada sesuatu yang lebih mulai melainkan doa”. Subhanallah walhamdulillah wallah hu Akhbar, sesungguhnya ketika malam lailatul qadr ini doa kita akan diangkat dan didengar oleh para malaikat, bertapa beruntungnya kita andai dapat bertemu dengan lailatul qadr. Allah…sungguh, hebat ciptaan Allah. Mampukah kita mendapat lailatul qadr?

Sheikh Abu Somad Al-Falimbani  kitabnya Sairus Salikin ada menyebutkan;

“Bahawasanya yang meminta doa itu dan tiada salah pada mereka itu tiga perkara yakni:-

1.      Terkadang diampuni dosanya
2.      Terkadang disegerkan kebaikan olehnya
3.      Ditaruhkan olehnya kebajikan di akhirat

  Kata Sheikh lagi, semua doa itu akan dimakbulkan oleh Allah tetapi waktu diperkenankan itu hanya Allah yang menentukannya sama ada akan  diperkenankan sewaktu di dunia atau ditangguhkan di akhirat kelak. Jadi, yakinlah bahawa Allah pasti akan memakbulkan doa hambaNya. Bukankah Allah tidak pernah berkira dengan kita? Tetapi kita?

“Mencari Lailatul Qadr itu sunat”

(Sheikh Fahmi Zam-Zam Al-banjari An-Nadwi)


      Tanda-tanda Lailatul Qadr Menurut Sheikh Fahmi Zam-Zam Al-Banjari An-Nadwi:-

1)      Malam itu malam yang ganjil.

2)      Apabila puasa bermula pada hari Rabu, Lailatul qadr dengan izin Allah akan jatuh pada malam ke 27 Ramadhan yakni pada hari Isnin.

3)      Apabila puasa bermula pada hari Khamis, Lailatul qadr dengan izin Allah akan jatuh pada malam ke 23 Ramadhan hari yakni pada hari Jumaat.

4)       Apabila puasa bermula pada hari Jumaat, Lailatu qadr dengan izin Allah akan jatuh pada malam ke 29 Ramadhan.

5)      Apabila puasa bermula pada hari Sabtu, Lailatul qadr dengan izin Allah akan jatuh pada malam ke 21 Ramadhan.

6)      Apabila puasa bermula pada hari Ahad,Lailatul qadr dengan izin Allah akan jatuh pada malam ke 27 Ramadhan yakni pada hari Jumaat.

7)      Apabila puasa bermula pada hari Selasa, Lailatul qadr dengan izin Allah akan jatu pada malam ke 25 Ramadhan.


 Tanda daripada diri kita:-

1)      Murah air mata pada malam itu.

2)      Diselubungi perasaan hiba.

3)      Menggeletar anggota badan.


Tanda-tanda luar:-

1)      Hujan tetapi tidak terlalu lebat

2)      Panas tetapi tidak terlalu panas

3)      Tidak kedenganran anjing menyalak.

4)      Matahari terbit pada keesokkan harinya pucat sedikit.


Tanda-tanda Lailatul Qadr menurut Syaikhuna Al-Fadhil Ustaz Muhadir Haji Joll:-

1)      Di dalam sebuah hadis sahih ada menyebutkan:-

Hendaklah kamu berusaha untuk mendapatkan malam Lailatul qadr pada 10 malam terakhir Ramadhan”

2)      Di dalam Sahih Al-Bukhari diperincikan lagi yakni pada malam yang ganjil di dalam 10 malam terakhir Ramadhan.

3)      Pada keesokkan harinya matahari keputih-putihan kerana menurut Sheikh Muhammad Idris di dalam kita karangannya “Bahul Mazi”- Matahari keputih-putihan kerana dilindungi oleh sayap para malaikat yang turun ke bumi pada malam lailatul qadr.

4)      Menurut Ibnu Abbas:-

·        Tenang atau tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk
·        Matahari lembut
·        Langit bersih pada malamnya

5)      Anjing tidak menyalak pada malamnya (Kitab Hidayatus Salikin)

6)      Kitab Hasyiyah Fathul Wahab:-

·        Apabila Ramadhan bermula pada hari Ahad atau Rabu, Lailatul qadr akan jatu pada malam ke 29 Ramadhan.
·        Apabila Ramadhan bermula pada hari selasa atau Jumaat, Lailatul Qadr akan jatuh pada malam ke 27 Ramadhan.

Pesan Sheikh Fahmi Zam-Zam Al-Banjari An-Nadwi kepada ahli pengajian :-

“Lazimilah berqiamullail kerana itulah tanda orang-orang yang sukses”

  Selain itu, tanda-tanda orang yang mendapat malam lailatul qadr menurut Sheikh ialah apabila ibadahnya pada malam selepasnya adalah lebih hebat berbanding malam sebelum-sebelumnya. Allah…mampukah kita meraih lailatul qadr? Disamping itu, menurut Syaikhuna yang merupakan anak murid kepada Sheikh Fahmi Zam-Zam Al-banjari An-Nadwi, pada malam itu Jibril akan mengarahkan para malaikat untuk masuk ke dalam rumah hamba-hamba Allah yang bertakwa dan bangun untuk menghidupkan malamnya dengan beramal pada malam yang digelar malam seribu bulan ini.

 Kata-kata Syaikhuna yang sangat-sangat al-faqir ingat :-

“Sepatutnya misi memburu lailatul qadr itu hendaklah dimulakan pada seawal bulam Ramadhan lagi kerana jika permulaan kita baik, maka Insyaallah dengan izin Allah mendapat pengakhiran yang baik juga”

Wallahua’lam