Páginas

Saturday, August 27, 2011

:: Berkahwinlah jika sudah bersedia::


 Bismillahi walhamdulillah serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم. Ramadhan hampir melabuhkan tirainya. Sedih kerana ia bakal meninggalkan kita. Bukan tidak gembira dengan kehadiran Eidul Fitr, tetapi dek kerana terlalu sukakan kemuliaan dan keberkatan bulan yang sangat indah ini, hati agak keberatan melepaskannya pergi. Seolah-olah ianya sesuatu yang sangat berharga dan sukar untuk dilepaskan. Teringin menjadi seperti para sahabat Rasulullah  صلى الله عليه وآله وسلم  yang bilamana datangnya bulan Ramadhan mereka bergembira tetapi saat berakhirnya  Ramadhan hanya tangisan yang mengiri. Subhanallah Tabarakallah sungguh mengagumkan akhlak para sahabat. Adakah hamba hina lagi faqir ini mampu menjadi seperti mana para sahabat? Adakah Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang lebih baik daripada sebelumnya?  Cukuplah persoalan ini dijawab di lubuk hati yang paling dalam ini kerana biarlah Allah sahaja yang menilainya kerana hanya Allah sebaik-baik penilai.

Barakallahulakuma Wajama'a Bainakuma fi khair
  Masih tercegat di hadapan laptop pada saat ini, kerana ada satu urusan yang belum diselesaikan. Sudah membuat perjanjian dengan seorang sahabat untuk berkongsi berkenaan isu Baitul Muslim. Maka rasa tidak enak pula ditangguh-tangguhkan. Nanti dulu, sebelum itu mari sama-sama kita tajdidkan niat dan berhusnu dhzon sesama kita kerana kebanyakan daripada kita apabila seseorang itu berbicara perilah nikah kahwin ini, terlintas perasaan yang bukan-bukan di hati.  Bukan anda yang membaca entri ini barangkali mereka-mereka di luar sana. Jangan pula menebak yang hamba yang faqir lagi hina ini terlalu mengfokuskan isu Baitul Muslim hingga hal yang lainnya ditinggalkan ke belakang. Tidak sama sekali, kerana sesungguhnya isu Baitul Muslim ini adalah isu yang harus dipandang serius dan bukan semudah mencoretkan kata-kata di FB mahupun ditututkan di bibir sahaja. Kerana isu ini isu yang bakal menentukan bagaimana bentuk serta hala tuju hidup kita pada masa hadapan kelak.

  Khair, berbalik kepada tujuan asal mencoret kali ini. Bilamana menyebut perihal “Baitul Muslim” ianya adalah melibatkan suami dan isteri serta anak-anak yang bakal dilahirkan kelak. Kelestarian sesebuah “Baitul Muslim” adalah bergantung ke atas setiap ahli di dalamnya. Adapun, tanggungjawab yang lebih utama di dalam sesebuah rumah tangga adalah bergantung di atas pundak si “ketua” keluarga. Bilamana menyebut “ketua keluarga” ianya adalah merujuk kepada si lelaki yang bergelar suami. Sekiranya si lelaki itu pincang akhlaknya bagaimana mungkin dia mampu untuk memberi didikan yang baik buat keluarganya. Kasihan pada si isteri dan anak-anak. Mulalah berlaku hal-hal yang tidak diingini seperti suami dera isteri, si suami suka keluar malam tanpa alasan yang jelas akhirnya beraku kesalahfahaman di antara satu sama lain. Natijah yang bakal terjadi seterus-seterusnya? Mungkin akan menjadi semakin rumit. MaasyaAllah, oleh sebab itu semakin ramai yang berani mengambil jalan mudah iaitu atau di dalam bahasa lainnya bercerai. Seolah-olah cerai  dan talak itu seperti perkara yang boleh dibuat main-main. Tidak suka pada suami minta cerai, tidak suka pada isteri jatuhkan talak. MaasyaAllah, takut pula melihat senario masyarakat kita.

 Walau bagaimanapun, ingin ditegaskan bahawa sesungguhnya setiap apa yang berlaku di dalam hidup kita adalah di atas kehendak dan kekuasaan Allah swt. Hatta perihal jodoh kita dengan siapa sekalipun, itu semua adalah atas kehendak daripadaNya. Sungguhpun, barangkali apabila bertemu jodoh dengan tidak seperti mana yang kita idamkan, damailah kerana apa sekalipun keadaan yang dikurniakan kepada kita itu adalah kerana barangkali Allah punya agenda yang lebih baik buat kita pada masa hadapan. 

“Dialah (Allah) yang menciptakan segala apa yang ada di bumi untukmu kemudian Dia menuju ke langit, lalu Dia menyempurnakannya menjadi tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu”
(Al-Baqarah:29)

lukisan cinta ini hanya buat si dia yang telah ditakdirkan buatku
 Namun,  Allah itu sifatnya Maha Adil. Diciptakan setiap makhluk berpasang-pasangan. Dan telah dikhabarkan oleh Allah di dalam kitabNya bahawa. “Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, lelaki yang baik buat perempuan yang baik. Manakala perempuan yang jahat buat lelaki yang jahat dan sebalikNya”. Subhanallah Maha Suci Allah Dialah yang mengatur segala-galanya. Allah Maha Hebat!  Kita jarang untuk bermuhasabah dalam kehidupan seharian kita tidak terkecuali diri yang faqir ini. MaasyaAllah Semoga Allah mengampuni segala dosa kita. Mana mungkin kita mahu si ‘dia’ yang baik akhlaknya untuk dijadikan suri mahupun peneman hidup kita sedangkan akhlak kita belum cukup baik untuk mendapatkannya. Pernah dengar atau terbaca ayat-ayat seperti ini di mana-mana? 

“ Hang ni walaupun aku ni mat rempit, hang ingat aku nak ka pompaan-pompuan yang terdedah sana terdedah sini dibuat isteri?”
(Anonymus)

 Subhanallah, bukanlah niat dihati untuk mengatakan yang buruk-buruk pada siapa-siapa tetapi hanya sekadar perkongsian berdasarkan senario masyarakat kita saat berbicara perihal perkahwinan. Adapun pada pandangan hamba yang faqir ini, setiap daripada kita itu berhak mengimpikan seseorang yang baik akhlaknya untuk dijadikan peneman hidup dalam melayari bahtera berumah tangga. Ya itu hak kita. Namun begitu, adalah menjadi hak pasangan kita itu untuk mendapatkan hal yang sama yang kita ingin daripadanya. Jikalau kita ingin si dia seorang yang rajin bertalaqi sebagai contoh, kita juga harus rajin bertalaqi. Indah bukan sekiranya tertanam sifat seperti ini di dalam diri kita. Menghormati hak satu sama lain. MaasyaAllah, masih banyak yang perlu al-faqir perbaiki. Sebab itu Allah masih simpan jodoh al-faqir. Bagaimana dengan anda? Jadi, jangan masih ada rasa mahu bertangguh-tangguh untuk memperbaiki akhlak. Kerana belum tentu ada hari esok buat kita. 



Ya Allah..kurniakanlah kami isteri atau suami penyejuk hati kami
  Selain daripada itu, ramai juga di antara kita yang sering kali menyatakan bahawa masih terlalu awal sekiranya dalam usia 20 tahun untuk memikirkan hal-hal berkaitan munakahat ini dan tidak terkecuali diri yang faqir ini suatu ketika dahulu. Apabila sudah banyak yang bertanya dan memberikan pendapat, sedikit demi sedikit rasa ketidakpentingan memikirkan hal ini dikikis daripada kotak fikiran al-faqirah. Bukanlah apabila kita memandang serius hal ini bermakna kita ini seorang yang terlalu ingin sangat mendirikan rumah tangga. Tidak sama sekali. Kita ada hak untuk menentukan dalam golongan apa diri kita ini patut dietakkan. Wajibkah? Sunatkah? Makruhkah? Haruskah? Adapun di dalam agama Islam tiada paksaan. Jika merasakan sudah masanya mendirikan berumah tangga, maka silakanlah. Adapun jika belum, tumpukan dahulu kepada apa yang lebih penting buat masa ini. Tetapi sekiranya kita masih dalam golongan yang belum berkeinginan, jangan pula kita berfikir yang tidak-tidak terhadap mereka yang cenderung untuk mendirikan rumah tangga di usia yang muda kerana mereka juga ada alasan yang kukuh.

   Namun begitu, adalah menjadi tanggung jawab kita untuk melestarikan salah satu sunah Rasulullah saw biarpun lambat mahupun cepat. Berusahalah untuk sentiasa berdoa dikurniakan yang terbaik buat kita tetapi bukan mahu yang begini dan begitu. Dan begitulah apa yang selalu diajarkan Guru kami iaitu Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll. Dalam kita berdoa, usaha dan tawakal kepada Allah, ianya juga haruslah sentiasa bergerak seiring. Allah tidak suka kita hanya meminta tetapi malas berusaha. Bagaimana bentuk usaha yang seharusnya dilakukan adalah bergantung kepada individu tersebut asalkan usahanya itu berjalan di atas landasan syari’atullah

  Di samping itu, tidak dilupakan kepada nasihat Guru kami Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll tatkala berbicara isu nikah kahwin ini. Kata ustaz, faktor yang harus ditumpukan dalam urusan menentukan siapa calon yang cocok selain daripada dia yang soleh mahupun solehah adalah penting bagi kita memastikan kesejahteraan Aqidah si dia yang bakal menjadi nakhoda mahupun anak kapal bahtera rumah tangga yang bakal berayar kelak. Sejahtera yang bagaimana? Sejahtera yang dimaksudkan ialah berpegang kuat dengan Aqidah Ahli Sunnal Waljamaah (ASWJ) kerana walaupun yang datang melamar ataupun dilamar itu baik akhlaknya namun, dek kerana aqidahnya yang menolak ASWJ adalah menjadi suatu masalah bagi kita terutamanya mereka yang dilamar. Bagi seorang isteri, ketaatannya adalah ke atas suaminya. Adapun sekiranya yang melamar itu aqidahnya menolak aqidah ASWJ, jadi kasihan bukan kepada si dia yang dilamar? Itulah yang ditakuti dan dibimbangi oleh guru kami itu. Aqidah adalah asas kepada kehidupan kita. Ia ibarat akar yang mencengkam tanah untuk mengukuhkan pertumbuhan sebatang pokok itu. Bilamana akarnya rapuh, mana mungkin pokok yang bertumbuh itu kukuh dan sihat. Sama seperti aqidah juga. Jika asas aqidah rapuh, bagaimana Baitul Muslim yang bakal dibina nanti? MaasyaAllah, semoga Allah permudahkan segala urusan kita.


Ikatan cinta di antara dua hati
  Oleh yang demikian, apabila ingin melamar mahupun mengkhitbah seseorang itu adalah lebih baik bagi seseorang lelaki itu untuk menggunakan seseorang yang kita thiqah padanya untuk mengusulkan hasrat kita itu dan sebelum meminta diusulkan hasrat adalah lebih baik sekiranya meminta pandangan daripada orang-orang ‘alim berkenaan hasratnya kerana sudut pandang orang ‘alim itu adalah lebih baik daripada apa yang sering kali menjadi sangkaan kita selama ini. Namun begitu, cara bagaimana hendak melamar adalah bergantung pada lelaki tersebut. Tetapi bagi al-faqirah sendiri dengan menggunakan orang yang kita thiqah padanya akan lebih molek caranya berbanding menyatakan sendiri hasrat ingin melamar kepada si wanita itu sendiri. Mengapa? Kerana sudah dinyatakan di dalam satu entry yang pernah ditulis al-faqirah dahulu bahawa ia baik buat menjaga hati kita.

   Akhirul kalam, dengan rendah hati hamba yang hina lagi faqir ini ingin memohon seribu kemaafan seandainya  percerahan berkenaan Baitul Muslim yang cuba disampaikan oleh al-faqirah kali ini tidak kena pada kehendak hati sahabat pembaca. Almaklumlah, Allah masih berkehendak menyimpankan jodoh al-faqirah. Namun demikian, coretan kali ini hanyalah sekadar pandangan peribadi dan sedikit sebanyak penghayatan terhadap perihal Baitul Muslim berdasarkan pemerhatian, pengalaman-pengalaman yang diceritakan oleh sahabat-sahabat yang terlebih dahulu melangsungkan perkahwinan dan daripada apa yang didengar daripada kalam guru kami. Pesanan akhir buat sahabat-sahabat pembaca sebelum menamatkan kalam dan buat diri sendiri khasnya, jangan ambil mudah urusan berkaitan baitul muslim ini kerana ia melibatkan bakal zuriat yang akan menjadi generasi penerus perjuangan Rasulullah saw pada masa akan datang.

Wallahu’alam



Nota kaki :Ambil tahu bukan bermakna kita terlalu ingin berkahwin pada waktu ini. Tetapi ambil tahu adalah sebagai persediaan fizikal dan rohani sebelum menghadapinya. Maka, bilamana datang yang melamar, kita sudah punya prinsip dan jawapan kita sendiri. Allahu Allah.. Coretan ini ikhlas daripada lubuk hati ini buat sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah. Adapun jika terdapat kecacatn tegurlah dan perbetulkanlah. ~ Barakallahu fik=)
 

Monday, August 22, 2011

:: Nanti, Raya lambat lagi::



Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Ali Sayyidina Muhammad. Allahmdulillah wa syukurillah, kerana diberi kesempatan oleh Allah untuk bernafas di dalam keadaan Iman dan juga Islam sehingga saat ini. Dengan berkat kasih sayang Allah kita sudah 22 hari kita berpuasa di bulan mulia ini yakni Ramadhan. Adapun, tinggal beberapa hari lagi untuk kita berhari raya. Tetapi tunggu dahulu! Ada urusan yang masih belum selesai di dalam diari hamba Allah yang sedang menempuh bulan yang penuh keberkatan ini. Yakni, tanggungjawab untuk melestarikan misi kita untuk memburu Lailatul Qadr. Malam yang disembunyikan bila ia akan berlaku. 

Walaupun tarikh berlakunya Lailatul Qadr menjadi rahsia Allah, para ulama dan Ahli Sufi telah membuat kaedah dengan harapan berjumpa dengan malam berkat tersebut, mengikut pengalaman masing-masing.


Kaedah:


Di dalam kitab Hasyiah Fath al-Wahhab disebutkan bahawa: Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau Rabu, Lailatul Qadar diharapkan akan terjadi pada malam ke 29, jika hari Isnin, malam ke 21, jika hari Selasa atau Jumaat, malam ke 27, jika hari Khamis, malam ke 25 dan jika hari Sabtu, malam ke 23. Kaedah ini juga disebut di dalam Al-Barmawi dan Al-Qalyubi (2/26).


Di dalam kitab Al-Jauhar al-Mauhub dan Al-Bujairami ‘ala al-Khathib (2/410), disebutkan bahawa ahli-ahli Sufi termasuklah Syaikh Abu Bakar al-Maghribi, Imam Al-Ghazali dan lain membuat dhobith (kaedah) iaitu jika awal Ramadhan jatuh pada hari Jumaat, Lailatul Qadar diharapkan akan terjadi pada malam 29, jika hari Sabtu, malam ke 21, jika hari Ahad, malam ke 27, jika hari Isnin, malam ke 29, jika hari Selasa, malam ke 25, jika hari Rabu, malam ke 27 dan jika hari Khamis, malam ke 21 .


Walau bagaimanapun, kebanyakan ulama’ mentarjihkan (menguatkan) pendapat yang mengatakan Lailatul Qadar terjadi pada malam 27 Ramadhan berdasarkan keterangan hadith daripada Ubay bin Ka’ab dan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada malam 27 itu .
Tanda-tanda:


1- Malamnya tenang (tidak bunyi bising/ hiruk pikuk), tidak panas dan tidak sejuk.
2- Cahaya matahari pada paginya kelihatan putih cerah, tidak banyak sinarannya .
3- Anjing tidak menyalak .

(Rujukan: Risalah Amalan 10 Malam terakhir)

Selain daripada itu, berikut adalah pesanan Syeikhuna Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll bersempena 10 malam terakhir Ramadhan ini:-

Berusahalah beramal bersungguh-sungguh pada malam ini (21 Ramadhan) dan siangnya, malam 27 dan siangnnya, juga malam 29 dan siangnya. Amalkan juga doa: 

1-ALLAAHUMMA INNAKA ‘AFUWWUN KARIM, TUHIBBUL ‘AFWA FA’ FUANNAA. 

2-ALLAHUMMARZUQNAA LAILATAL QADR, FII HAAZIHIS SANAH, WA FII KULLI SANAH, WA A’INNAA ‘ALAA QIYAMMIHAA.

3- ALLAAHUMMA INNAA NAS’ALUKA KHAIRA HAAZIHIL LAILAH, FATHAHAA WA NASHRAAHAA WA NUURAHA WA BAROKATAHA, YA A ARHAMAR ROOHIMIINA WA YAA AJWADAL AJWADIN.

Amalkan juga SUNNAH NABI SAW setiap hari : Selepas salam untuk solat Subuh dan maghrib 

(1)    tetap di dalam keadaan duduk tahiyyat akhir (sama ada tawarruk atau iftirasy jika sakit kaki), jangan rongkaikan kaki dan jangan berkata-kata sehingga selesai membaca 10 kali : اَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيتُ، وَهُوَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (“Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya segala kerajaan dan bagiNya segala pujian, Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”)


Fadhilatnya: Hadith dari Abu Zar berkata: Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang membaca selepas solat Subuh dalam keadaan kakinya masih seperti kedudukan duduk Tasyahhud Akhir, sebelum berkata-kata 10 kali, ditulis baginya 10 kebaikan, dihapuskan daripadanya 10 kejahatan (dosa), diangkatkan baginya 10 derjat (kedudukan), dan dia pada hari itu terjaga dari segala perkara yang dibenci, terbenteng dari syaitan, serta tidak ada suatu dosa yang dapat membinasakannya pada hari itu kecuali perbuatan syirik (menyekutukan) Allah.”


(2)    jangan berkata-kata sehingga selesai membaca 7 kali :

اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ (“Ya Allah, peliharalah aku dari api neraka”)


Fadhilatnya: Hadith dari Al-Harith bin Muslim dari ayahnya berkata: Nabi bersabda: Apabila kamu selesai menunaikan solat Subuh, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata: اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ 7 kali, maka sekiranya kamu meninggal dunia pada hari itu, Allah menulis bagimu perlindungan dari api neraka. Dan apabila kamu selesai menunaikan solat Maghrib, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata: اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ 7 kali, maka sekiranya kamu meninggal dunia pada malam itu, Allah menulis bagimu perlindungan dari api neraka.”


Walaubagaimanapun, adalah lebih baik sekiranya kita berusaha untuk istiqamah dalam beramal di dalam sepuluh malam terakhir kerana barangkali ia dapat melatih kita untuk sentiasa ikhlas dan istiqamah di daam beramal bukan sahaja hanya pada bulan Ramadhan tetapi juga pada bulan-bulan selainnya.
Wallahu'alam





Sunday, August 21, 2011

::Allah itu Maha Adil::



Sollu 'Alan Nabiyuna SAW
Bismillahiwalhamdulillah wa 'ala Rasulillahi Sollallahhu 'Alaihiwassalam. Salam Mahabbbah,seluas mahabbatun Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  salam Ramadhan dan Selamat Memburu Lailatul Qadr. Allahu Allah...sudah lama tidak mengupdate blog kerana agak kurang membaca di rumah, maka agak ketandusan  idea untuk menulis. Ada sahaja idea, tetapi jari ini kaku pula hendak bersilat gayong di atas keyboard ini.Dan di pagi yang indah dan penuh barakah ini yakni pada hari ke 21 kita berpuasa, Allah kuniakan kudrat untuk hamba yang faqir lagi hina ini menaip. (Wahai cik Wardah Ad-Deen jangan malas-malas kerana orang malas selalu rugi) 

   Alhamdulillah, ketika ber"FB"walking terjumpa satu kata-kata hikmah yang indah buat seseorang yang bergelar "wanita". Daripada seorang sahabat. Susunan kata yang membuat kita berfikir, wanita khasnya, bahawa Allah itu sifatnya Maha Adil dan Maha Bijaksana di dalam setiap perkara yang diciptakan olehnya. Tiada istilah, mengapa lelaki lebih ini lebih itu? Mengapa wanita begini dan begitu? Allah..sesungguhnya diciptakan lelaki dan wanita itu untuk saling melengkapi. Maka, hayatilah perkongsian dan fikir-fikirkanlah hikmah diciptakan seorang wanita itu.


Seindah perhiasan adalah wanita solehah
Wahai Wanita..

Siapa kata jadi perempuan itu senang?
nak kena tutup sana, tutup sini
tengok budak lelaki, pakai baju pagoda sedikit pun orang tidak bising

Perempuan, stokin pun kena pakai
cuba suruh budak lelaki jadi perempuan satu hari
pasti tidak  tahan bertutup semua
tapi, perempuan tenang sahaja
tengah panas pun boleh lagi pakai jubah, hebat bukan perempuan?

Siapa kata jadi perempuan itu senang?
tiap-tiap bulan, mesti ada penyakit
hendak pergi kelas pun susah
cuba tengok budak lelaki , tenang sahaja
kadang-kadang setahun sekali pun susah hendak dapat sakit
tapi, perempuan hidup berpuluh-puluh tahun dengan penyakit tiap-tiap bulan, survive sahaja
tengah-tengah sakit pun boleh senyum lagi sampai orang pun tidak perasan yang dia sakit
hebat bukan perempuan?

Siapa kata jadi perempuan itu senang?
hati mereka Allah jadikan lembut betul
cepat sahaja sensitif
cuba tengok orang putus cinta
selalu perempuan yang paling susah hendak lupa

Lelaki lepas putus cinta cepat sahaja pasang baru
cuba pergi wayang tengok cerita hindustan
siapa yang paling teruk menangis?
perempuan kan?lelaki boleh gelak-gelak lagi
lembut tidak lembut hati perempuan?
tapi dengan hati yang lembut itu perempuan dapat mengagumkan lelaki
hebat bukan perempuan?

Disebabkan susahnya hendak jadi perempuan inilah,
ramai perempuan yang merajuk dengan Allah
mereka cakap, Allah tidak adil

Kenapa Allah lebihkan lelaki?
kenapa perempuan kena dengar cakap suami?
kenapa syurga perempuan terletak di bawah kaki suami?
padahal jadi perempuan itu sangatlah susah
bak kata orang, hendak jaga 10 anak lelaki, tidak susah macam nak jaga sorang anak perempuan.


Dan disebabkan perasaan negatif pada Allah ini,
ramai perempuan-perempuan di luar sana yg rebel,
pakai pakaian yang tidak menutup aurat dengan alasan,
“lelaki x payah tutup pun”
mereka berani bertepuk tampar dengan lelaki
mereka sanggup gadaikan diri disebabkan terlalu percaya pada janji manis kekasih yang busuk hati
kesian bukan pada mereka?

Disebabkan fikiran yangg negatif terhadap Allah, mereka sanggup rosakkan diri
 kata mereka, mereka buat macam itu sebeb Allah tidak adil
persoalannya sekarang
betulkah Allah tidak adil dengan perempuan?

Betul syurga perempuan terletak di bawah kaki suami
tapi, cuba ingat balik, syurga seorang anak lelaki terletak di bawah kaki siapa kalau bukan kaki ibunya?

Betul, isteri kena ikut cakap suami
tapi, seorang anak lelaki kena taat pada ibunya 3 kali lebih utama daripada ayahnya
tidak adil lagikah Allah pada perempuan?
Allah bukan setakat adil, tetapi Allah itu sangat sayang pada perempuan

Untuk lelaki, syurga isterinya terletak di bawah kakinya
kalau paling banyak dia ada 4 orang isteri
cuma ada 4 orang yangg syurganya bergantung pada seorang lelaki itu

Tapi perempuan, ditakdirkan ada 15 orang anak lelaki
bermakna ada 15 orang yang syurganya terletak pada seorang perempuan itu
mashaAllah, hebatnya perempuan?

Kenapa perempuan hebat? sebab kasih sayang Allah yang jadikan kita hebat
cuba dengar pula lagu-lagu yang berkumandang di radio
banyak lagu pasal perempuan bukan?
jarang kita dengar lagu pasal lelaki
sayang tidak sayang Allah itu pada perempuan,
sampai perempuan dikasihi macam itu sekali di dunia
masih tidak adil lagikah Allah pada perempuan?

Allah sebenarnya terlampau adil pada perempuan
sampaikan disebabkan susahnya hendak jadi perempuan ini
perempuan senang hendak masuk syurga
hayati hadis ini :


"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai."

(Hadis Riwayat Ahmad)

Tidak adil lagikah Allah pada perempuan? Wahai perempuan, sedarlah betapa sayangnya Allah padamu. Betapa cintanya Allah padamu. Tetapi, kenapa kamu mahu rosakkan dirimu kerana fikiran-fikiran negatif yg tidak berasas pada Allah? Allah jadikan pe rempuan itu sebagai hiasan dunia. Bayang, dunia yang besar ini, dunia yang cantik ini, kita jadi hiasan
dan seindah-indah hiasan itu adalah wanita solehah.

Wallahu'alam
Daripada FB seorang sahabat.

Nota kaki : "Aku ingin menjadi seorang muslimah yang sejati, anak yang solehah, isteri yang solehah, ibu yang solehah, dan pekerja yang amanah di dalam pekerjaannya. Wahai Allah perkenankanlah"Allahumma Ameen~