"Bersedekah adalah Sunnah Nabi"
Ketika turunnya perintah berpuasa selama 3 hari, anaknya Sayyiduna Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam Sayyidatuna Fatimah bersama-sama suaminya Sayyidina Ali serta anak-anaknya Sayyiduna Hassan dan Hussain yang ketika itu tidak sihat tidak terkecuali daripada turut serta menyahut perintah ini. Maka, berpuasalah mereka sekeluarga. Pada hari pertama Sayyiduna Ali pergi berjumpa dengan seorang yahudi untuk meminta sesuatu untuk dijadikan santapan berbuka mereka sekeluarga kerana mereka tidak punya apa-apa untuk di makan.Allahu Allah ini adalah gambarankehidupan anak kepada Sayyiduna Rasulullah. Walaupun Sayyidatuna Fatimah berhak meminta agar tidak hidup sebegitu, namun tidaklah kekayaan dunia yang didambakan. Begitu Rasulullah mendidik anaknya Sayyidatuna Fatimah. Sedangkan kita? Allah Allah Allah..masih belum merasa cukup dengan apa yang kita?

Maka, Yahudi itu memberikanya 3 paket gandum.Lalu pulanglah Sayyiduna Ali ke rumahnya dan diberikan 3 paket gandum itu kepada Sayyidatuna Fatimah. Kemudian, Sayyidatuna Fatimah menggunakan satu paket gandum yang diberikan oleh Yahudi itu untuk dibuat roti sebagai juadah berbuka puasa mereka sekeluarga. Kemudian, datang seorang lelaki yang fakir kelaparan datang ke rumah mereka meminta agar diberikan makanan. Maka, diberinya roti yang hanya cukup-cukup untuk mereka sekeluarga makan ketika berbuka kepada lelaki fakir itu. Allahu Allah dengan keadaan keluarga mereka yang dhaif itu, masih mampu lagi mereka bersedekah. Mereka hanya berbuka dengan air dalam keadaan Sayyiduna Hassan dan Hussain yang tidak sihat. Subhanallah...

Keesokkan harinya, hari kedua mereka berpuasa, Sayyidatuna Fatimah menggunakan paket kedua yang diberikan oleh Yahudi itu untuk dibuat roti sebagai juadah mereka berbuka puasa. Ketika saat tibanya waktu berbuka, datang seorang anak kepada seorang mujahidin yang telah syahid di medan perang datang meminta makanan. Maka, diberi roti yang ada itu kepadanya. Berbukalah mereka hanya sekadarnya.

Ketika hari terakhir berpuasa iaitu masuk hari ketiga mereka berpuasa, seperti biasa, Sayyidatuna Fatimah memasakkan juadah berbuka puasa untuk mereka sekeluarga. Beliau menggunakan paket terakhir gandum yang tinggal untuk dibuat roti. Ketika menunggu saat berbuka puasa, datang seorang hamba tawanan Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam meminta agar diberikan makanan. Maka, diberinya roti yang ada itu kepada si hamba tersebut. Lalu, Sayyiduna Ali membawa keluarganya berjumpa Sayyiduna Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam kerana mereka sudah tidak punya apa-apa untuk dimakan ketika berbuka puasa.

Ketika peristiwa ini Jibril AS menyampaikan khabar gembira daripada Allah kepada mereka.

"Mereka juga memberi makan benda-benda makanan yang dihajati dan disukainya, kepada orang miskin dan anak yatim serta orang tawanan,Sambil berkata dengan lidah atau dengan hati): “Sesungguhnya kami memberi makan kepada kamu kerana Allah semata-mata; kami tidak berkehendakkan sebarang balasan dari kamu atau ucapan terima kasih" (Al-Insan: 8-9)

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

Wallahu'alam

Nota Kaki : teringat stu hadis Nabi yang pernah disebutkan oleh Al-Habib Ali Zeinal Abidin El-Hamid ketika bercakap perihal bersedekah. "Murka Allah akan tertolak disebabkan sedekah



[Kuliah Jumaat, 9 Ramadhan 1433H. Masjid SHAS UIAM Kuantan]




"Murabbina Al-Fadhil Ustaz Muhadir Haji Joll"
Diceritakan tentang satu kisah Abdul Rahman Ra'i guru kepada Imam Malik. Bapanya yang bernama Farouk seringkali keluar. Dan pada suatu hari bapanya Farouk itu, hendak keluar ke satu tempat dalam tempoh yang amat lama. Maka, ditinggalkan 70 000 dinar kepada isterinya buat perbelanjaan Abdul Rahman Ra'i dan isterinya sepanjang ketiadaannya. Hari berganti hari, bulan berganti bulan, tahun berganti tahun. Abdul Rahman Ra'i pun meningkat dewasa dan menjagi seorang yang sangat tinggi ilmunya hasil didikan guru-gurunya. Maka, ibunya menggunakan sejumlah 70 000 dinar yang diberikan oelh suaminya itu untuk dihadiahkan kepada guru-guru Abdul Rahman Ra'i.

Ketika pulangnya Farouk ke rumah. Beliau bertanyakan tentang apa yang dibelanjakan menggunakan wang yang telah diberikan olehnya. Si isteri berasa serba salah untuk memberitahu tentang hal yang sebenarnya. Pada keesokkan harinya, ketika bersolat di Masjid Nabawi, dilihatnya anaknya Abdul Rahman Ra'i sedang mengajar di situ dan dihadiri lebih kurang 70 000 jemaah. Maka, senang hati seorang bapa melihatkan hal itu. Begitulah berkat berbuat ehsan terhadap guru.

"Lau la Murabbi Maa'raftu Rabbi"

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

Wallahu'alam

Nota kaki : Kisah yang diceritakan Fadhilatus Syeikh Maulana Johari Bin Ali di Masjid Permatang Badak





Wanita solehah kebanggaan agama
Seorang wanita muda masuk ke masjid menemui Imam Hanbali pada zamannya lalu dia berkata, "Wahai Imam Hanbali, dengarkanlah kisahku ini semoga diriku dan dirimu mendapat keampunan Allah. Sesungguhnya saya ni seorang wanita yang miskin, saya tak punya apa-apa kecuali tiga orang anak yang masih kecil. Hidup saya sungguh melarat sehingga kami tak punya lampu untuk menerangi rumah. Bagi menyara kehidupan kami empat beranak, saya bekerja memintal benang pada waktu malam dan menjualnya di pasar pada siang hari."

"Di manakah suami kamu?" tanya Imam Hanbali. "Suami saya gugur syahid apabila bertempur dengan Khalifah Al-Mustakim yang kejam dan zalim. Sejak itu hidup kami melarat", jawab wanita itu.

Wanita itu menyambung, "Disebabkan rumah saya tak ada lampu, maka saya terpaksa menunggu sehingga bulan mengambang, maka barulah saya dapat memintal benang. Pada suatu malam, ada kafilah dagang dari Syam datang lalu singgah bermalam berhampiran dengan rumahku. Mereka membawa lampu yang banyak sehingga kawasan rumahku menjadi terang-benderang. Aku mengambil kesempatan untuk bekerja memintal benang di bawah cahaya lampu mereka. Persoalanku adalah apakah wang hasil jualan benang yang dipintal olehku daripada cahaya lampu milik kafilah itu halal untuk aku gunakan?"

Imam Hanbali merasa kagum mendengar cerita wanita itu lalu bertanya, "Siapakah kamu wahai wanita muda yang begitu mengambil berat akan hukum agama di saat umat Islam lalai dan kikir terhadap harta mereka?"

Wanita itu menjawab bahawa dia adalah adik perempuan kepada seorang Gabenor yang Imam Hanbali kenali iaitu Gabenor yang sangat beriman dan beramal soleh. Imam Hanbali menangis terkenang akan Gabenor yang sangat baik itu. Setelah tangisannya reda, maka Imam Hanbali berkata, "Sesungguhnya aku amat takut akan azab Allah, kerana itu berilah aku masa untuk menjawab pertanyaan kamu. Pulanglah ke rumah dan esok kamu datang lagi ke sini." Malam itu Imam Hanbali berdoa, bermunajat serta memohonj petunjuk dari Allah.

Esoknya wanita itu kembali ke masjid untuk mendapatkan jawapan yang dijanjikan. Lalu berkata Imam Hanbali, "Wahai wanita yang solehah, sesungguhnya kain penutup wajah yang kamu pakai itu adalah lebih baik daripada serban yang aku pakai. Sesungguhnya kamu seorang wanita yang berhati luhur, bertaqwa dan penuh rasa takut kepada Allah. Berkenaan pertanyaan kamu semalam, sekiranya kamu tidak mendapat izin daripada rombongan kafilah dagang itu, maka tidak halal bagimu menggunakan wang daripada hasil jualan itu."

Wanita itu berasa sangat susah hati selagi tidak mendapat keizinan daripada rombongan kafilah dagang. Wanita itu sanggup menemui mereka seorang demi seorang bagi mendapatkan keizinan. Berita tentang wanita itu sampai ke pengetahuan Khalifah Al-Mutawakkil (khalifah baru) dan baginda begitu kagum dengan wanita itu lalu memberinya wang sebanyak 10,000 dinar.

Wanita itu menemui Imam Hanbali sekali lagi lalu bertanya mengenai wang yang dihadiahkan khalifah itu apakah halal dia menggunakannya. "Khalifah juga pernah memberikan wang kepada aku sebanyak itu, tetapi aku sedekahkan kepada fakir miskin yang aku temui di jalan", jawab Imam Hanbali. Wanita itu pun memberikan wang tersebut kepada fakir miskin dan hanya mengambil sedikit sahaja dari wang itu untuk membeli lampu bagi menerangi rumahnya.

Semoga Allah kurniakan kita taufiq dan hidayah untuk menjaga muamalat kita


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ



Wallahu'alam


Nota Kaki : Kisah yang pernah diceritakan oleh Murabbina Al-Fadhil Ustaz Mustafa Kamal ketika talaqi Kitab syarah kepada Kitab "Pelita Penuntut" karangan Syeikh Az-Zarnuji




Wahai Allah jadikanlah kami anak-anak yang soleh

Nabi Musa Alaihissalam diberi kurniaan oleh Allah dapat berbicara denganNya secara terus. Pada suatu hari Sayyiduna Musa AS bertanya kepada Allah tentang siapa yang akan berjiran dengannya di syurga kelak. Maka, Allah perintahkannya untuk pergi ke sebuah rumah yang mana di dalamnya tinggal seorang pemuda yang akan menjadi jirannya di syurga kelak.


Ketika sampainya Nabi Musa AS di rumah tersebut, maka baginda dipelawa masuk ke rumahnya. Beberapa ketika, sedang mereka berbual, pemuda tersebut meminta izin kepada Nabi Musa untuk uruskan sesuatu. Pemuda tersebut kemudian masuk ke dalam biliknya dan keluar semula dengan memikul seekor khinzir yang besar saiznya dan dimandikannya, kemudian selepas dimandikan beliau mengemaskan diri si khinzir tersebut. Kemudian, pemuda keluar untuk kali kedua dengan membawa seekor lagi khinzir dan melakukan hal yang sama. Nabi Musa AS kehairanan melihat apa yang dilakukannya.

Setelah itu, beliau kembali bertemu Nabi Musa AS. Nabi Musa AS, bertanya kepada pemuda tersebut bukankah beliau beragama Islam. Maka, jawab si pemuda tersebut, ya beliau seorang muslim. Kemudian Nabi Musa AS bertanya lagi kerana hairan jika beliau seorang muslim, bagaimana mungkin beliau sanggup memegang khinzir? Pemuda itu kemudian memberitahu Nabi Musa AS bahawa, dua ekor khinzir yang dimandikan dan disiapkan olehnya itu adalah kedua ibu bapanya. Katanya, walaupun siapapun mereka, tanggungjawabnya sebagai seorang anak adalah taat kepada kedua ibu bapanya.

Subhanallah Tabarakallah. Inilah penghuni syurga yang berjiran dengan Sayyiduna Musa Alaihissalam.

Sollu 'alan Nabiy!

Jom kita ambil ikhtibar =)

Cantik kan peringatan Allah..Subhanallah..Maha Suci Allah



 اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ



Wallahu'alam

Nota kaki : Perkongsian oleh seorang Ustaz dari Jabatan Agama Islam Pahang ketika kuliah subuh di pagi Jumaat yang barakah, Masjid Sultan Haji Ahmad Shah, UIAM Kuantan


Rasulullah fi qulubi
Berbicara tentang seorang insan yang agung ini akan membuatkan hati yang gundah menjadi tenang, mengubah amarah menjadi suka, mengubah benci menjadi cinta. Baginda,  Sayyiduna Al-Habib Rasulullah صلى الله عليه وسلم, seorang insan agung lagi mulia yang menjadi kecintaan seluruh makhluk di langit dan di bumi. Kerana diri Baginda yang mulia seluruh makhluk di langit dan di bumi memperoleh manfaat yang tidak terhingga banyaknya dan membawa rahmat untuk ke seluruh alam. Kerana berkat rahmatnya Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم manusia, haiwan serta makhluk lainnya dapat merasakan keindahan mahabbah yang tidak terhingga luasnya. Mana mungkin akan datangnya cinta jika tidak mengenali siapa itu insan mulia ini. Maka, kenalilah siapa Baginda, nescaya akan timbul rasa cinta.

"
Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم adalah rahmat untuk sekalian alam. Menurunkan akan tuma'ninah(ketenangan) di atas dunia ini, bukan sahaja untuk kaum manusia yakni kaum yang memonopoli dunia ini tetapi untuk sekalian makhlukNya. Dengan keberkatan Sayyiduna Rasulullahصلى الله عليه وسلم bermula dengan para malaikat, binatang-binatang bahkan manusia yang seringkali ingkar akan perintah Allah turut mendapat manfaat daripada rahmatnya Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم

Pemimpin daripada para Malaikat iaitu Jibril ‘Alaihissalam mendapat rahmat terbesar daripada rahmatnya Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Iblis, makhluk yang diciptakan daripada api sebelum dilaknat oleh Allah merupakan pemimpin kepada Malaikat. Namun begitu, dek kerana keangkuhannya dan keingkarannya terhadap perintah Allah SWT yang tidak mahu sujud kepada Nabi Adam ‘Alaihissalam dan mengatakan dialah yang selayaknya menjadi pemimpin kerana diciptakan daripada api, sedangkan Nabi Adam diciptakan daripada tanah, menyebabkannya dilaknat oleh Allah. Maka, dengan itu Malaikat Jibril ‘Alaihissalam merasa takut untuk memikul tanggungjawabnya kerana risau akan berlakunya hal yang sama terhadapnya.

Dan (ingatlah) ketika kami berfirman kepada malaikat : “Tunduklah (beri hormat) kepada Nabi Adam”. Lalu mereka sekaliannya tunduk memberi hormat melainkan iblis; ia enggan dan takbur, dan menjadilah ia daripada golongan yang kafir. (Al-Baqarah:13)

            Namun, kerana rahmatnya Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم ,malaikat Jibril ‘Alaihissalam telah diberikan kepercayaan oleh Allah SWT untuk menyampaikan wahyuNya kepada Sayyiduna Al-Habib Rasulullah. صلى الله عليه وسلم 

"
Tidak semua kedudukan yang tinggi adalah anugerah daripada Allah, tetapi boleh jadi sebagai istidraj daripada Allah"

            Maka, sesungguhnya Al-quran, wahyu yang diturunkan oleh Allah kepada Sayyiduna  Rasulullah صلى الله عليه وسلم  dan dibawakan oleh malaikat Jirbil ‘Alaihissalam aman daripada istidraj.Oleh yang demikian, maqam atau kedudukan yang diperolehi oleh Jibril ‘Alaihissalam hanyasanya kerana rahmatnya Sayyiduna Rasulullah  صلى الله عليه وسلم  . Diutusnya Baginda membawa rahmat untuk sekalian alam.


Jika Jibril ‘Alaihissalam mendapat manfaat diberikan kepercayaan oleh Allah SWT untuk menyampaikan wahyu kepada Baginda berkat rahmatnya Baginda Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه  وسلم , bagaimana pula dengan binatang?

            Sebelum diutusnya Rasululullah صلى الله عليه وسلم . Manusia tidak punya rasa belas kasihan kepada binatang. Binatang diperlakukan dengan kejam. Namun, setelah Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم diutuskan, Baginda mengingatkan umatnya bahawa binatang juga adalah makhluk Allah yang harus dikasihi. Buktinya, terdapatnya hadis Nabi yang menyebut tentang berlaku ehsan terhadap binatang hatta ketika ingin melakukan sembelihan .


Daripada Abu Ya'la Syaddad ibn Aus r.a. daripada Rasulullah SAW, bahawa Baginda bersabda: Sesungguhnya Allah menulis (iaitu mewajibkan) Ehsan atas segala sesuatu. Apabila kamu mahu membunuh, maka perelokkanlah pembunuhan itu. Apabila kamu mahu menyembelih, maka perelokkanlah penyembelihan itu dan hendaklah kamu menajamkan mata pisau dan hendaklah dia menyenangkan haiwan sembelihannya itu"

(Hadis riwayat al-lmam Muslim)

            Selain daripada itu, terdapat beberapa kisah yang menyebutkan tentang ehsannya Rasulullah terhadap binatang.

            Ketika Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم sedang berjalan di Madinah Al-Munawwarah, Baginda terlihat seorang lelaki sedang menyembelih kambing. Namun, lelaki itu menajamkan mata pisaunya di hadapan kambing yang akan disembelihnya itu. Melihatkan hal itu, Rasulullah صلى الله عليه وسلم menghampirinya dan menasihatinya agar tidak melakukan sedemikian kerana dengan perbuatannya itu seolah-olah dia membunuh kambing itu sebanyak dua kali.



sedangkan unta begitu mencintai Rasulullah
            Kisah kedua pula berlaku ketika Rasulullah صلى الله عليه وسلم sedang melewati sebuah kebun, Baginda melihat ada seekor unta berlari-lari ke arah Baginda seolah-olah tidak sabar untuk mendekati Baginda  Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Lantas, si unta itu mencium Rasulullah dan bercucuran air matanya. Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم mendekati unta itu kemudian bertanya, siapakah pemilik kepada unta tersebut dan menyatakan bahawa unta itu mengadu didera oleh pemiliknya. Dan Rasulullah صلى الله عليه وسلم mengatakan, tidak takutkah kamu akan Allah? Lalu, menangislah si pemilik unta itu saat mendengarkan ucapannya Rasulullah yang mulia kerana memperlakukan untanya sebegitu. Kemudian, pemilik unta itu membebaskan unta itu dengan asbab rahmatnya Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم


Begitu berkat rahmatnya Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم  dapat membebaskan binatang daripada kekejaman manusia ke atas mereka. Subhanallah…Jika para Malaikat dan binatang mendapat manfaat daripada rahmatnya Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم , apatah lagi manusia, makhluk Allah yang diciptakan sebagai makhluk yang dimuliakan oleh Allah.


Daripada Said Bin Qudri:

Ketika Sayyidatuna Aisyah RA sedang menyulam baju, lampu tiba-tiba mati dan jarum yang digunakannya terjatuh. Rasululullah
صلى الله عليه وسلم lantas masuk ke dalam rumah, lalu mendesak bercahaya rumah tersebut. Sayyidatuna Aisyah RA dapat melihat jarum yang terjatuh tersebut. Beliau berkata kepada Rasulullah صلى الله عليه وسلم; Alangkah bercahaya wajahmu ya Rasulullah. Lalu Rasulullah صلى الله عليه وسلم berkata; Celakalah mereka yang tidak dapat melihat wajahku di akhirat kelak. Ditanya Sayyidatuna Aisyah RA kepada Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم tentang siapakah mereka yang dimaksudkan oleh Rasulullah itu. Maka jawab Rasulullah ; Mereka-mereka yang apabila disebutkan namaKu tidak mahu berselawat kepadaKu.

kita hanya hamba
            Betapa luasnya rahmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita umat manusia dan makhluk yang lainnya berkat daripada rahmatnya Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم. Masih belum cukup lagikah bukti yang bisa membuatkan kita mencintai insan mulia ini dengan sebenar-benar cinta? Adapun, para sahabat Baginda, Sayyiduna Abbas sepupunya Rasulullah صلى الله عليه وسلم apa disebut namanya Baginda Rasulullah, menangis kerana kecintaannya terhadap Rasulullah صلى الله عليه وسلم.. Sejauh mana pula kecintaan kita terhadap Baginda Rasulullah صلى الله عليه وسلم ? Menitiskah air mata kita saat mendengar akan kisah-kisah hidup Baginda? Menitiskan air mata kita saat membaca perihal keindah akhlak dan budi Baginda?

            Sungguh kita tidak punya apa-apa? Hanya menumpang keberkatan rahmatnya Sayyiduna Rasulullah صلى الله عليه وسلم yang telah dikurniakan oleh Allah.  Nastaghfirullahal ‘adzim

Wallahu’alam

Nota kaki : Olahan daripada Tausiyah yang disampaikan oleh Al-Habib Al- Muhaddis Sholeh Bin Ahmad  Al-Idrus dari Pesantren Darul Hadis Malang, Indonesia Anak Murid Al-Allamah Al-Habib Muhammad Bin Alwi Al-Maliki(MEKAH)


Kalam Syaikhuna, Syeikh Ibrahim as-Syathari


"Baginda" di hatiku

Ramai masih kebingungan
memahami bahasa Cinta
keluar kalimah yang canggung
mengelikan jiwa pencinta
Cinta adalah sesuatu yang hidup
membara meronta dalam jiwa
maka ia perlu dizahirkan
dengan pelbagai cara

Para Sahabat r.a. menzahirkan Cinta
dengan mata yang tiada berpaling dari wajah Baginda
Ahlu Bait menzahirkan Cinta
dengan tangisan yang penuh kerinduan
para ulama menzahirkan Cinta
dengan tulisan yang mengali sunnahnya
para ahli sufi menzahirkan Cinta
dengan syair yang penuh mengasyikkan

Namun semua mengerti
Cinta yang benar suci
menghidupkan sunnahnya dalam segala aspek kehidupan
meletakkan kecintaan pada Baginda melebihi diri dan keluarga
sanggup berkorban harta atau nyawa
dalam mempertahankan Baginda

Teruskan sebar kalimah Cinta yang Agung
pada Baginda sebagai hamba Kekasih Allah
hanya jangan sampai melampau
menganggap Baginda adalah Tuhan atau anak Tuhan
seperti kaum nasrani yang diselewengkan dajal
dalam menzahirkan Cinta pada Nabi Isa a.s.

Cinta membutakan
Cinta membingungkan
lantaran kerana cinta
para Sahabat r.a. berhijrah meninggalkan segalanya
para syuhada mengorbankan nyawa
para pendakwah sanggup dimaki, difitnah dan dipenjara
para ulama mempunyai masa sedikit untuk diri dan keluarga
para sufi mengambil jalan penderitaan, kepayahan daripada jalan kenikmatan dan kemudahan

Cinta
hanya dapat difahami oleh mereka yang bercinta
mereka yang tiada cinta
tiada akan memahami bahasa Cinta
Abu Sufian hairan dan takjub dengan Cinta sahabat pada Rasulullah s.a.w
tiada pernah air liur Baginda sampai ke bumi melainkan ditadah dengan tangan
tiada pernah peluh Baginda jatuh ke bumi melainkan di ambil untuk dijadikan wangian
tiada pernah rambut Baginda jauh ke bumi melainkan disimpan dengan penuh Cinta
mereka sanggup menahan belakang mereka untuk dipanah demi menjaga Rasulullah s.a.w
mereka sanggup dibunuh, diseksa dan dibakar daripada secucuk duri ditikam pada
Rasulullah s.a.w
para wanita bertanya hal Rasulullah s.a.w dahulu daripada bertanya hal suami dan anak mereka dimedan perang
Saidatina Khadijah sanggup meminangnya, berkorban apa saja malah sanggup dijual tulang-tulangnya demi Cinta
Siti Aisyah mengunakan sepenuhnya kelebihan yang ada pada dirinya untuk membantu Baginda walaupun usianya amat muda
Saidinatul Ramlah, anak Abu Sufian sendiri tidak membenarkan ayahnya duduk atas hamparan Rasulullah s.aw demi Cinta dan memuliakan Baginda
Saidatina Safiyah tidak menggunakkan kakinya memijak peha Baginda untuk menaiki kuda melainkan menggunakan pehanya juga

Cinta itu buta dan membingungkan
para pencinta Baginda kini menghidupkan Majlis Cinta pada Baginda dimana saja
mengadakan Maulud setiap hari tanpa batasan di bulan Rabiul Awal
ia amat memeningkan bagi ahli zahir
lantaran mereka tiada memahami bahasa Cinta
mereka mengetahui Bahawa Allah cintakan Baginda dengan sentiasa berselawat kepada Baginda
mereka mengetahui bahwa para malaikat cintakan Baginda dengan sentiasa berselawat kepada Baginda...
Tetapi...
mereka mungkin tiada mengetahui bahwa alam kini sentiasa juga berselawat dan mengucap salam kepada Baginda
mereka tiada mengetahui langit merintih untuk dipijak oleh kaki Baginda sehingga terjadinya Isra’ dan Mikraj
mereka tiada mengetahui bahawa Cinta menyebabkan mereka bersama dengan orang yang dicintai

Cinta adalah jiwa
Cinta adalah kegilaan
Cinta adalah kemabukan
para pencinta kemabukan dalam kerinduan pada Baginda
mereka mengalunkan pelbagai qasidah walaupun dituduh dengan pelbagai tuduhan
ahli zahir tetap tidak memahami bahasa Cinta
para pencinta bebas untuk menzahirkan Cinta
menari, menyanyi, bersyair,memberi makan atau berpuasa
semuanya adalah Cinta yang jernih bagaikan embun pagi

Teruskan wahai para pencinta dengan kemabukan
biarkan ahli zahir bertempik dan menuduh
hanya orang yang bercinta memahami bahasa Cinta
Cinta tanpa kemabukan belum mencapai Cinta
justeru itu
hormatilah para pencinta menzahirkan Cinta
selagi ia berada dalam landasan syarak yang dibenarkan

Cinta adalah membingungkan
hanya yang bercinta memahami bahasa Cinta
diam jika tiada mengerti lebih selamat
agar kebodohan kita dalam bercinta tiada diketahui orang…

~~WALID AL-MALIK~~

Nota kaki : Catatan oleh Al-Habib Sayed Mohd Saufi  Fahmi

Kenali jenis-jenis hati agar senang untuk diubati.






1-Hati-hati yang kotor adalah seperti hati yang terdapat di dalamnya sombong, bohong, hasad dan berlagak dengan manusia. Apabila turun rahmat dan ilmu ke dalam hatinya, maka tercemarlah rahmat dan ilmu tersebut disebabkan kekotoran yang ada di dalam hati itu. Seperti yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam firmannya yang bermaksud:

"Tidakkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan mereka dan disesatkan oleh Allah dengan ilmu mereka?

Kerana setitis daripada hawa nafsu dapat mencemarkan lautan ilmu. Maka, inilah perumpamaan bagi hati yang dicemari dengan najis.

2-Hati yang pecah adalah seperti hati manusia yang terus-terusan melakukan maksiat kepada Allah. Setiap kali dia melakukan kebaikan, kemudian dia akan melakukan kebatilan dan begitulah sebaliknya. 

Hadir dalam majlis ilmu, kemudian pulang daripada majlis ilmu mengumpat orang lain.Selepas memegang biji tasbih, berzikir dan bersolat sunat dua rakaat terus buka televisyen dan menonton adegan-adegan yang diharamkan. Maka, tidak sempat rahmat itu kekal di dalam hati melainkan ia keluar, disebabkan oleh maksiat .

3-Sesetengah manusia lebih bahaya daripada ini, sehinggakan hatinya tertutup dan terkunci. Sepertimana, dimasukkan air ke dalam bekas tetapi tidak akan masuk kerana terkunci dan tertutup. Hati ini adalah hati bagi orang-orang yang suka membangkang.

Membangkang Allah, membangkang orang-orang soleh. Bila dia menghadiri satu majlis yang baik, dia akan mencari kesalahan orang lain. Apabila melihat orang solat, dia melihat orang tersebut solat tidak sah. Dia ada masalah seperti derhaka dengan ibu bapa, memutuskan hubungan silaturrahim. Perkara-perkara inilah yang menyebabkan hatinya tertutup. Tidak dapat dimasuki oleh rahmat Allah seperti mana yang disebutkan oleh Sayyiduna Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam:

" Empat golongan yang tidak diampunkan pada bulan Ramadhan, antaranya adalah golongan yang derhaka kepada kedua ibu dan bapa, peminum arak, dua orang yang bermusuhan dan yang memutuskan silaturrahim"

4-Hati yang jernih, bersih dan menerima. Hati ini subhanallah hanya dengan ibadat yang sedikit, sekiranya hadir majlis yang baik-baik, solat dan berzikir kepada Allah, terus kita akan mendapati hati ini penuh dengan kebaikan dan rahmat.

Ramai orang apabila mendengar perbicaraan tentang hati akan terkesan. tetapi soalan yang mahsyur:

"Apakah ubatnya, apa aku nak buat? Aku tahu hati aku ini rosak? kotor? dan aku tahu memang hati aku begini? Apa ubatnya?"

Satu perkara penting yang dapat kita kongsikan adalah mengenal penyakit iaitu seseorang apabila sudah mengetahu penyakitnya dianggap mengenal penyakit ini sebagai langkah-langkah terpenting untuk mengubatinya. Namun, kebanyakan daripada masyarakat tidak mengambil berat akan hal ini.

70% atau 80% daripada proses pengubatan adalah mengenal pasti penyakit. Sehingga di dalam dunia perubatan badan. Perkara paling penting apabila kita ke hospital untuk berubat dengan doktor adalah diagnosis penyakit dengan betul. Kemudian mudahlah bagi doktor untuk mencadangkan apakah langkah seterusnya yang perlu diambil.Tetapi apabila tersalah men"diagnosis" penyakit, walaupun bertahun-tahun makan ubat yang sama, tidak akan sembuh daripada penyakit tersebut.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

Wallahu'alam

[Al-Habib Muhammad AlSaqqaf >>Host Fattabiouni]