Páginas

Monday, June 24, 2013

::Isra' & Mi'raj ; 7 Maqam dalam Mengenal Allah::




[Catatan Ilmu]

Maulid@IKIM.fm : Isra' wal mi'raj; 7 Maqam dalam Mengenal Allah SWT

Para Ahlul Azwaq dan orang-orang yang melihat sesuatu itu bukan hanya pada zahirnya tetapi melihat pada batinnya, melihat rahsia perjalanan Baginda Rasulullahi Solallahu'alaihiwassalam dalam peristiwa isra' wal mi'raj ini dengan penuh pengamatan. Kerana itu zahir Baginda itu naik ataupu mi'raj dari langit pertama ke langit yang ketujuh, mereka melihat hal itu sebagai sesuatu rahsia atau isyarat yang boleh kita ambil untuk mengenal 7 maqam dalam mengenal Allah sepertimana Baginda Solallahu'alaihiwassalam menaiki langit pertama sampai langit yang ketujuh
.

1-Langit yang pertama :Maqam Mengenal Diri  

Baginda Rasulullahu Solallahu'alaihiwassalam berjumpa dengan Adam 'Alaihissalam di langit yang pertama. Para Ahlul Azwaq dan ulama' sufi mengatakan bahawa ini adalah maqam mengenal diri yang disebut sebagai Maqam Muhdis. Iaitu maqam dari bawah ke atas. Iaitu daripada alam sufli yakni di bawah ke maqam uluwi yakni di atas. Rahsia Nabi Adam Alaihissala itu dipanggil Abul Bashar iaitu bapa kepada seluruh manusia dan manusia yang pertama sekali diciptakan oleh Allah SWT adalah Nabi Adam Alaihissalam. Maka, untuk pertama sekali di dalam perjalanan ini iaitu perjalanan roh manusia untuk mengenal Allah Azza Wajalla, pertama sekali dia mesti mengenal akan dirinya.

Nabi Adam Alaihissalam itu adalah manusia, manusia yang pertama.Maka, berjumpa dengan Nabi Adam adalah isyarat agar manusia mengenal diri dan mengenal rahsia diri kerana manusia mempunyai keajaiban dan keindahan. Maka, datang persoalan dari mana datang semua ini? Apa tujuannya? Ke mana mahu pergi? Apabila seorang manusia itu dilahirkan di dunia ini datang persoalan manusia ini min aina? Dari mana datangnya? Ila Aina? Ke mana perginya? Walimaza? Dan kenapa?

Kemudian, dengan petunjuk daripada Allah SWT, melalui al-quran dan para Rasul dan Nabinya, maka, manusia mengenal bahawa manusia itu berasal daripada air mani yang hina dan jijik. Yang dahulu manusia itu tidak ada tangan, tidak ada kaki dan tidak ada kepala, tidak ada ilmu, tidak ada kebolehan. Allah Azzawajalla, yang menjadikan semuanya. Allah dengan sifat RahmanNya dan dengan kudrah dan iradahnya menjadikan daripada air mani itu seorang manusia yang sempurna. Sepertimana Allah mewujudkan Nabi Adam Alaihissalam dengan kasih sayangNya, dari sesuatu yang tidak ada apa-apa menjadi seorang manusia yang sempurna.

Maka apabila seorang manusia sudah menyedari akan hal itu, dan yakin akan dirinya itu adalah seorang yang sangat daif,faqir dan hina serba kekurangan. Kerana kadaifan dan kehinaan insan itu tidak ada lain melainkan mengharap akan inayah, pertolongan daripada Allah SWT yang Maha Kuasa dan Maha Mulia. Ketika insan sudah mengenal akan kekurangan dirinya, maka dia nanti akan mengenal akan dirinya sepertimana yang disebut:

"Siapa yang mengenal akan dirinya, maka dia akan kenal akan Tuhannya"

-2Langit kedua: Maqam Arwah

Di langit yang kedua Baginda Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam berjumpa dengan Nabi Isa Alaihissalam. Perjumpaan dengan Nabi Isa ini menurut Ahlul Azwaq dan Ahli Sufi disebut sebagai Maqam Arwah, Maqam Roh. Nabi Isa Alalihissalam dikurniakan roh yang suci rohul quddus lahir ke dunia tidak ada bapa tetapi dengan ibu. Baginda dikurniakan mukjizat oleh Allah SWT boleh menghidupkan orang yang telah mati, boleh mengubati penyakit, meniup segumpal tanah menjadi burung dan Baginda dinaikkan ke langit dengan izin Allah.

Maka, dalam maqam yang sebegini sepertimana di dalam maqam yang pertama kita sudah kenal akan diri, kemudian bergerak kepada maqam yang kedua iaitu maqam arwah iaitu mengenal siapa yang menggerakkan kita, siapa yang mendiamkan kita, siapa yang memberi kekuatan, siapa yang memberikan kita keupayaan. Tiada lain melainkan Allah Azzawajalla. Dengan roh kita kita bergerak, dengan roh kita mengangkat sesuatu, dengan roh kita mengambil sesuatu. Maka, yang punyai roh itu adalah Allah Azzawajalla. Maka, atas sebab itulah manusia itu dibolehkan mengambil tetapi pada hakikatnya Allah yang berkuasa mengambil. Zahirnya manusia itu berbuat amal tetapi yang sebenarnya Allah Azzawajalla yang memberi kuasa untuk membuat amalnya itu. Akhirnya nanti kita akan kembali kepada yang berkuasa hanyalah Allah.

Maka, yang membuat sesuatu itu hanyalah Allah. Maka, kita mengesakan Allah dalam af'alNya, semua af'al yang hakiki datang daripada Allah. Itulah namanya Wahdatul af'al. Di dalam pengajian Tauhid Allah Azzwajallah mengatakan :

"Allah SWT menciptakan kamu dan apa yang kamu perbuat"

Nabi Isa 'Alaihissalam terkenal sebagai Nabi yang paling faqir. Maqam faqir itu adalah maqam yang mulia bagi Ahlul Tauhid kerana faqir itu sendiri berasal daripada empat huruf iaitu fa, qaf, ya dan ra
'.

1-huruf fa itu adalah fana' yang bermaksud tenggelam diri kepada Allah dan hanya Allah yang berkuasa atas setiap sesuatu- Maka, dia lebur bahawa dia tidak mempunyai kuasa melainkan Allah.
2-qaf itu adalah qana'ah yakni berasa cukup dengan apa yang ada- Hidupnya penuh dengan bersyukur dengan apa yang dianugerahkan oleh Allah. Maka, kita melihat kekuasaan, keilmuan itu datang daripada Allah.
3-ya itu yardho hullah yakni Allah redha kepadanya
4-ra' itu ridhuan ilallah adalah kita redha kepada Allah

Cuma, kadang-kadang kita selalu diuji dengan ainul athar. Kita melihat seolah-olah kita yang punyai kuasa, kita yang punyai kekuatan, kepintaran, kebijakan tetapi semuanya itu miliknya Allah. Apabila kita sudah ma'rifah kepada Allah, maka Ainul athar itu akan menjadi ainul maujud, semuanya datang daripada Allah
.

3-Langit ketiga :Maqam Jamalullah

Baginda Solallahu'alaihiwassalam berjumpa dengan Nabi Yusuf Alaihissalam. Maqam ini disebut sebagai maqam jamalullah. Jamalullah yakni kecantikan Allah. Nabi Yusuf itu cantik. Cantik rupa paras dan juga cantik akan akhlaknya. Kerana jamalnya Allah, Allah yang memberikan kecantikan itu. Semua yang zahir, yang cantik, yang indah, yang menawan itu sebenarnya adalah Allah yang terjadikan akan jamalNya keatas semuanya itu. Kerana itu perhiasan yang cantik disebut jamalullah, keindahan Allah sedangkan jamalullah, kesempurnaan Allah apabila kudrah dan iradahNya itu sudah terpadu maka, menjadikan sesuatu itu cantik.

Insan yang tadi yang telah mengenal dirinya daif, faqir, lemah,kurang, bernafsu amarah, lawwamah, mempunyai shahwat yang rendah, bersifat kebinatangan, sangat mengharap akan dihilangkan dan dihiasi Allah dengan dihiasi kecantikan-kecantikan sifatnya Allah. Umpamanya berilmu itu sifat yang cantik. Rahman, pemurah dengan orang. Ghaffur, mengampun dan memaafkan orang. Maka, apabila sudah dihiasai dengan semua ini baru boleh sampai ke maqam jamal dan layak menjadi khalifatullah. Seperti firman Allah SWT :

Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?". Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya".- (Al-baqarah:30
)

4-Langit keempat : Maqam Jannah dan Maqam fana'

Baginda Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam berjumpa dengan Nabi Idris Alalihissalam. Ketika ini maqam itu disebut sebagai maqam jannah iaitu syurga dan maqam fana' iaitu mematikan diri. Maqam ini sangat penting sekali kerana Nabi idris dahulu pernah diberi keizinan oleh Allah untuk merasakan kematian dan Baginda dimasukkan ke dalam syurga. Maka, orang yang ingin berjalan kepada Allah, hendak mengenal Allah perlu mematikan dirinya yang bermakna dia fana' iaitu mati dari segi maknawinya bukan mati hissi yakni betul-betul. Maka disini bermaksud dia mematikan semua nafsu ammarah iaitu nafsu yang cenderung kepada kebatilan, rasa tamak, hasad jahil, kedekut, ikut syahwat, pemarah.

Demikian dia hendaklah mematikan juga nafsu sebelumnya iaitu nafsu lawwamah iaitu cenderung berperangai jahat, ujub, rasa diri hebat, mengumpat, riak, zalim, ghaflah, dusta dan lain-lain kerana semua sifat-sifat ini termasuk tahu, pandai itu kalau orang tersebut merasakan dia yang punyai semua itu sebenarnya di belum lagi mematikan nafsu ammarahnya. Sifat-sifat ini adalah sebenarnya sifatnya Allah. Maka, orang yang merasakan dia punyai itu sesungguhnya dia telah merampas sifatnya Allah Azzawajalla. Oleh sebab itu dia terhijab daripada memandang yang batin kerana hatinya tidak dikurniakan Nur Iman.

Sebab itu manusia kadang-kadang yang mempunyai sifat yang sebegini, dia beramal sia-sia. Malah dia berilmu tetapi memudaratkan umpama dia berilmu tetapi dengan ilmu itu dia riak, dengan amalannya dia takabbur. Seolah-olah dia yang melakukan semuanya. Sebenarnya tidak. Kita dajar oleh Nabi Solallahu'alaihiwassalam bahawa :

"Tidak ada daya untuk kita tidak membuat maksiat melainkan dengan protection daripada Allah. Tidak ada kekuatan untuk kita melakukan ketaatan melainkan dengan pertolongan daripada Allah "

Maka, sebab itulah Sayyiduna Abu Bakar As-Siddiq itu Nabi Solallahu'alaihiwassalam mengatakan :

"Hendaklah kamu mati (mati maknawi), sebelum kamu mati. Barangsesiapa yang ingin melihat orang mati yang berjalan di atas muka bumi (mati maknawi), maka lihatlah Abu Bakar"

Beliau sebenarnya hidup tetapi beliau mematikan nafsu ammarah dan lawwamahnya. Orang kalau sudah sampai pada maqam ini bermakna dia sudah sampai pada maqam jannah dan fana
'.

5-Langit kelima : Maqam Cinta

Baginda Solallahu'alaihiwassalam berjumpa dengan Nabi Harun 'Alaihissalam. Magam ini disebut sebagai maqam mahabbah iaitu maqam cinta kerana Nabi Harun 'Alaihissalam sangat dikasihi dan dicintai oleh ummatnya. Bagaimana untuk sampai ke maqam mahabbah ini? Mestilah zahir dan batin itu suci kerana Allah tidak menerima yang kotor. Hendaklah dibersihkan daripada sifat-sifat mazmumah. Oleh sebab itu di dalam pengajian sufi ada yang disebut taqalli iaitu kita membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah termasuklah nafsu ammarah dan nafsu lawwamah tadi. Kemudian dihiasi tahalli dengan sifat-sifat yang baik nanti Allah akan mentajallikan kebesaranNya pada sesuatu benda yang diciptakan olehNya.

Untuk kita cinta mestilah perlu untuk kita mengenali Allah SWT terlebih dahulu dengan ilmu Tauhid. Maka dengan ilmu kita akan kenal akan af'alnya Allah yakni sifat-sifat Allah. Apabila kita telah kasih kepada Allah, maka Allah akan kasih kepada kita. Maka, apabila Allah akan kasih akan kita Allah akan membunuh nafsu-nafsu yang jahat tadi. Nafsu itu tidak semuanya jahat kecuali nafsu ammarah dan nafsu lawwammah. Adapun selain daripada kedua-dua nafsu ini iaitu nafsu mulhimmah, radhiyah, mutmainnah dan kamilah semuanya adalah nafsu-nafsu yang baik. Maka hendaklah dididik akan nafsu itu.

Allah apabila sudah menghapuskan atau membunuh hawa nafsu yang jahat itu, maka akan menggantikannya dengan hidayah daripadaNya. Dan harus kita faham bahawa mahabbah cinta itu lebih tinggi daripada takut dan harap yakni khauf dan raja'. Sebab cinta tidak memerlukan apa-apa. Takut kerana takutkan neraka, harap kerana harapkan syurga dan keampunan. Adapun cinta Allah itu tidak ada sebab apa-apa kerana cintanya Allah. Maka, orang telah cintakan Allah merasakan bahawa benda yang susah menjadi senang keran dia kasih kepada Allah
.

6-Langit keenam : Maqam Munajat

Baginda Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam berjumpa dengan Nabi Musa 'Alaihissalam. Maqam ini dikenali sebagai maqam munajat sebab Nabi Musa bermunajat di Bukit Tursina dan berbicara langsung dengan Allah Azzawajalla. Ketika itu orang yang bermunajat kepada Allah dia merasakan dirinya lemah tidak punyai apa-apa tetapi Allah yang berkuasa, Maka, ketika itu dia telah sampai kepada wahdatul af'al iaitu Allah dalam af'alnya itu semuanya datag daripada Allah. Demikianlah juga kalam yang diucapkan di dalam solatnya, pergerakan semuanya daripada kuasanya Allah daripada Allah secara hakikatnya.

Kita ini macam radio sahaja. Radio itu nampak sahaja besar tetapi kalau tidak ada gelombong mana mungkin radio itu berfugsi. Kalau tidak disambungkan dengan suis bagaimana dia akan berfungsi. Demikian juga manusia dari segi hakikatnya


7-Langit ketujuh : Maqam Ma'rifah/Tauhid

Baginda solallahu'alaihwassalam bertemu dengan Nabi Ibrahim 'Alaihissalam. Maqam ini dikenali sebagai maqam tauhid maqam yang paling tinggi dalam mengenal Allah. Orang ini sudah sampai kepada bukan sahaja wahdatul af'al yakni segala perbuatan itu datang daripada Allah malah Wahdatul asma', wahdatul sifat, wahdatul zat. Dia tidak melihat lain dalam dunia yang ini yang hakikinya adalah Allah. Tidak ada yang lainnya yang berkuasa melainkan Allah. Lihat sahaja Nabi Ibrahim sebagai seorang Ahli Tauhid, Ahli fana',ahli tawakal apabila mendapat ancaman oleh Namrud dicampakkan ke dalam api tetapi tidak takut.

Kemudian Nabi Ibrahim ini diberi rezeki oleh Allah lambat mendapat anak . Oleh itu, orang yang diluar sana yang diuji oleh Allah lambat mendapat anak maka bersabar sahaja. Nabi Ibrahim 'Alaihissalam di dalam sesetengah riwayat ada mennyatakan bahawa beliau mendapat anak ketika berusia 80 tahun. Namun demikian, walaupun kasihkan anaknya terpaksa ditinggal lama. Nak bermesra dengan anaknya yang comel itu, kemudian diperintahkan oleh Allah supaya menyembelih anaknya. Siapa yang antara bapa yang sanggup menyembelih anaknya? Tetapi Nabi Ibrahim membuatnya kerana Baginda yakin bahawa itu semua datang daripada Allah mesti ada rahsia dan ada hikmahnya. Maka, maqam ini adalah maqam kemuncak kepada maqam-maqam yang lainnya.

Ketika kita sudah berserah diri bulat-bulat kepada Allah, semuanya kerana Allah sepertimana Nabi Ibrahim 'Alaihissalam maka, kita telah sampai kepada maqam yang paling tinggi yang disebut sebagai maqam ma'rifah. Maka, inilah tujuh maqam yang dilalui oleh insan dalam mengenal Allah sepertimana yang telah dilalui oleh Baginda Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam dalam pengembaraan zahirnya di dalam isra' dan mi'raj naik langit pertama ke langit ketujuh. Mudah-mudahan kita mendapat pengiktibaran daripadanya.

Peristiwa isra' dan mi'raj ini satu peristiwa yang sangat besar. Maka, harus dan mestilah kita ingat dan kenang selalu kerana ia suatu yang besar dan yang sudah berlalu dan berlakunya agar ia menjadi suatu kenangan dalam kehidupan kita untuk kita merencanakan apa yang kita akan buat pada masa hadapan dan apa yang akan kita lakukan pada masa ini. Justeru itu, peristiwa ini sangat besar maka wajar untuk kita menyambutnya dan memperingatinya kerana banyak rahsia-rahsia yang tidak mungkin untuk kita akan cungkil kesemuannya maka cukuplah kita mengatakan besarnya peristiwa ini Allah abadikan di dalam al-quran di dalam surah al-isra' tidak sepertimana banyaknya peristiwa-peristiwa Allah ceritakan di dalam al-quran yang mana Allah mempertaruhkan kesuciaannya dengan menggunakan "subhana" maka dengan itu terdapat banyaknya rahsia-rahsia yang terdapat di dalam peristiwa isra' dan mi'raj ini.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

Al-Faqirah Ilallah Al-Ghani

WAllahu'alam

[Murabbina Tercinta Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll di dalam Maulid@IKIM.fm; 7 maqam di dalam mengenal Allah, 27 Rejab 1434H]

Sunday, June 23, 2013

::Rahsia-rahsia isra' dan mi'raj::


[Catatan Ilmu]

Maulid@IKIM.fm : Isra' dan Mi'raj

"Sesungguhnya rahmat Allah itu sangat mendekat di sepertiga malam terakhir. Namun, pada malam jumaat, rahmat Allah itu mencepat
isra' wal mi'raj
menjelang maghrib. Maka, perbanyakkanlah amalan terutama sekali amalan selawat kerana memperbanyakkan amalan pada malam jumaat dan hari jumaat adalah amalan para salafunas soleh"

Sangat istimewa sekali apabila masuknya salah satu daripada bulan-bulan haram iaitu bulan Rejab salah satunya, Sya'ban Allah mengurniakan ganjaran yang sangat besar bagi amalan-amalan yang dilaksanakan di dalam bulan-bulan haram ini dan taqarrub kepada Allah. Tetapi harus kita ingat juga begitu besr ganjaran bagi amalan yang dilakukan di dalamnya begitu juga besarnya dosa dan maksiat yang dilakukan padanya.

Isra' dan Mi'raj adalah satu peristiwa agung yang tidak pernah berlaku pada mana-mana Nabi sebelum Baginda Sayyiduna Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam.

Al-Isra' bermaksud perjalanan pada waktu malam iaitu tetapi kalau siang tidak dinamakan al-isra' dinamakan perjalanan sahaja. Manakala Mi'raj adalah perjalanan naik ke langit pertama dan kedua sehingga ke langit ke tujuh. Apabila dicantumkan kedua-duanya dinamakan Isra' wal mi'raj yakni perjalanan pada waktu malam di bumi dan perjalanan ke langit. Peristiwa ini menunujukkan dan membuktikan kehebatan, keagungan, ketinggian darjat dan kedudukan Baginda Sayyiduna Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam mengatasi yang lain.

Tidak pernah ada Nabi dan Rasul sebelum Baginda Sayyiduna Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam diberikan keistimewaan perjalanan yang sedemikian. Nabi Solallahu'alaihiwassalam yang sangat mulia dberi keistimewaan oleh Allah mengimami seluruh para Nabi dan Rasul di BaitulMaqdis. Hal ini menurut alim ulama' adalah isyarat kepada ketokohan kepimpinan Baginda Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam sehingga Baginda maju di hadapan para Nabi dan Rasul yang lainnya dan mereka mengikuti Baginda. Maka, ulama' mengatakan bahawa Baginda adalah wasilah untuk sampai kepada Allah. Kerana itu bertawassul kepada Baginda Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam dan para anbiya dan Rasul yang lainnya turut bertawassul kepada Baginda kerana maqam Baginda yang sangat mulia itu.

Di dalam banyak peristiwa di dalam Al-quran yang dirakamkan oleh Allah seumpanya cerita penciptaan Nabi Adam 'Alaihissalam, kisah dan cerita Nabi Musa 'Alaihissalam dan Firaun, cerita tentang Baqarah iaitu lembu betina tidak Allah memulakan surah-surah tersebut dengan Subhana. Di dalam ilmu balaghah sebutan ini disebut sebagai kalimatul 'ijaz iaitu kalimah yang pendek tetapi maksudnya sangat mendalam. Tetapi istimewanya di dalam peistiwa Isra' dan Mi'raj, Allah menggunakan kalimah Subhana.

سُبْحَانَ الَّذِي أَسْرَى بِعَبْدِهِ لَيْلاً مِّنَ الْمَسْجِدِ الْحَرَامِ إِلَى الْمَسْجِدِ الأَقْصَى الَّذِي بَارَكْنَا حَوْلَهُ لِنُرِيَهُ مِنْ آيَاتِنَا إِنَّهُ هُوَ السَّمِيعُ البَصِيرُ

Maksudnya : Maha Suci Allah yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui. (Al-Isra':1)

Kenapa sedemikian? Sebab kalau difikirkan akan peristiwa ini seolah-olah tidak logik ia berlaku kerana hanya dalam satu malam yang mana banyak peristiwa-peristiwa yang berlaku dan disebutkan di dalam hadis-hadis yang sohih. Nabi Solallahu''alaihiwassalam melihat secara terperinci setiap satunya dan pergerakan-pergerakan yang sangat teratur. Yang mana Rasulullah satu tumbuhan ditanam kemudian terus hidup dan kemudian boleh dipetik buahnya dan dimakan. Demikian setiap satunya dilihat dengan pergerakan yang sangat detail. Bagaimana ia hanya berlaku dalam satu malam.

Syeikhul Masyaikh Sultanul Ulama' Al-Habib Salim As-Syatiri seorang alim besar di Yaman Hafizahullah mengatakan bahawa sebahagian malam itu tidak lebih daripada satu jam. Bagaimana mungkin peristiwa ini berlaku? Jika mengikut logik akal seolah-olah mustahil. Tetapi Allah SWT mempertaruhkan kesucianNya menceritakan tentang cerita yang besar ini dan bagaimana ia berlaku. Maka, dengan itu Allah SWT menggunakan kalimat "Subhana". Kalimah "bi 'abdihi" kerana title hamba itu bukan senang. Kenapa tidak Allah SWT "bi Nabiyihi" atau "Bi Rasulihi"? Tetapi Allah menggunakan "Bi 'abdihi". Ulama' mengatakan martabat 'abdun itu sangat tinggi sekali. 'Ubudiyyah kepada Allah kepada Allah sangat tinggi sekali. Penghambaan kepada Allah. Sebab itu ia membezakan maqam Khalig dan maqam makhluk.

Orang boleh sahaja mengatakan dirinya itu hamba tetapi adakah kehambaannya itu diakui oleh Allah SWT? Sama seperti kita boleh sahaja bahawa kita ini kawan, anak murid kepada seorang guru, tetapi belum tentu guru itu mengakui bahawa kita adalah kawan atau anak murid kepadanya. Allah Azzawajalla mengakui akan kehambaan Baginda Solallahu'alaihiwassalam.

Di dalam peristiwa isra' dan mi'raj juga, kemuliaan solat adalah salah satu kurniaan paling besar yang diberikan kepada Baginda Rasulillah Solallahu'alaihiwassalam. Tidak ada yang boleh mengatasinya. Solat itu adalah sebesar-besar ibadah yang dipersembahkan oleh hamba kepada tuannya.Sebaik-baik jalan untuk menghubungkan makhluk dengan Khaliqnya, Allah. Kerana itu As-Solah berasal daripada perkataan Silatun. Untuk berhubung dengan Allah hendaklah kita selalu solat manakala untuk berhubung dengan Bagind Rasulillah Solallahu'alaihiwassalam hendaklah kita berselawat. Lihat bagaimana hebatnya solat ini. Difardhukan pada waktu malam yang lebih mulia daripada siang. Banyak peristiwa besar yang berlaku pada waktu malam antaranya Nuzul quran, peristiwa terbelahnya bulan, munajat Nabi Musa 'Alaihissalam di Bukit Tursaina berlaku pada waktu malam dan lain-lain lagi. Sehingga Al-Habib Alawi Al-Hadad menulis beberapa kita yang menceritakan tentang fadhilat waktu malam.

Apabila Allah menetapkan kefardhuan solat ini tidak seperti puasa, zakat dan haji, Allah hanya menghantar Jibril untuk menyampaikannya. Tetapi bagi solat, Allah SWT sendiri telah menjemput Baginda Rasulillah Solallahu'alaihiwassalam. Kefardhuan solat ini difardhukan di alam 'uluwi yakni di alam langit, di alam atas dekat Sidratul Muntaha. Lihat bagaimana Allah beri isyarat tentang lima waktu. Ketika Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam menunggang buroq dengan Jibril kemudian Jibril meminta Baginda turun dan solat. Ternyata tempat itu Toybah tempat yang akan Nabi berhijrah padanya. Kemudian jalan lagi sampai di Madyan di sebuah pohon Nabi Musa 'Alaihissalam, Baginda turun dan solat. Kemudian, jalan ke satu tempat lagi iaitu di Bukit Turasaina tempat di Mana Nabi Musa 'Alaihissalam mendengar kalamullah. Kemudian turun lagi dan solat di Baitul laham, tempat kelahiran Nabi Isa 'alaihissalam dan akhirnya di Baitulmaqdis. Itu isyaratnya kepada 5 tempat untuk Nabi turun dan solat. Ulama' mengatakan nanti solat akan diambil menjadi 5 waktu sehari semalam.

Antara yang disebut oleh ulama, Habib Syed Muhammad Alawi bahawa tidak salah untuk kita solat di tempat yang ada barakah. Maka, untuk kita bersolat mutlak di tempat yang ada barakah di situ tidak ada masalah. Oleh yang demikian, orang yang mengambil pengiktibaran daripada peristiwa isra' dan mi'raj ini hendaklah kita mengambil sesuatu peristiwa di dalamnya dengan pandangan mata hati.

Pada sisi yang lain, peristiwa Isra' wal mi'raj ini adalah pengajaran bahawa seseorang itu mesti berjalan kepada Allah SWT dan harus berjalan kepada Allah. Menurut ulama'-ulama' sufi melihat hal ini adalah suatu pengajaran yang amat besar sekali di dalam peristiwa ini kerana melibatkan spiritual dan fizikal. Menurut pendapat jumhur bahawa Nabi Solallahu'alaihiwassalam diisra' dan mi'rajkan itu berserta roh dan jasad. Maka, Nabi Solallahu'alaihiwassalam berjalan daripada alam suflis iaitu alam bawah(daripada Mekah ke Baitulmaqdis) ke alam uluwi iaitu alam atas (daripada langit petama ke sidratul muntaha). Maka, perjalanan-perjalanan ini merujuk kepada maqamat, tingkat-tingkat dan darjat-darjat yang harus ditempuh untuk sampai kepada Allah SWT iaitu kemucaknya solat. Seolah-olah apabila sudah dapat solat itu tanda seseorang itu sudah ma'rifah hakiki untuk menuju kepada Allah SWT.

Tetapi di dalam perjalanan itu harus ditempuh maqamat, darjat-darjat atau tingkat-tingkat sepertimana yang telah ditempuhi oleh Baginda Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam setelah selesai isra', Nabi bermi'raj itu melalui tujuh lapis langit. Maka, itu merujuk kepada tujuh maqamat yang harus ditempuh oleh seseorang itu untuk berjalan kepada Allah SWT. Dan bukan bejalan secara berseorangan tetapi bersama Jibril 'Alaihissalam. Kerana itu, untuk berjalan kepada Allah tidak boleh seorang-seorang. Maka, dia mesti ada rafiq yakni peneman dan rafiq yang paling bagus adalah guru yang mursyid. Sebab itu, attar menyebutkan:

"Orang yang nak berjalan kepada Allah itu jangan seorang-seorang. Tetapi dengan rafiq atau pembimbingnya"

Kalau tidak nanti dia akan dikalahkan oleh nafsu syahwat. Dia kan dikalahkan oleh godaan dunia, wanita, hartanya dan nafsunya dan sebagainya. Maka, dia perlu ada guru mursyid.

Al-Faqirah Wal-Haqirah Ilallah Al-Ghani

Murabbina Tercinta Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll,Rahsia Isra' dan M i'raj di]
[Maulid @IKIM.fm, 21 Rejab 1434H

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

WAllahu'alam

Nota kaki: Isi tentang 7 maqam atau tingkatan menuju untuk berjalan menuju Allah akan dicompilekan dalam satu catatan bersama catatan tentang isra' dan mi'raj untuk minggu seterusnya.InsyaAllah dalam proses menulis kembali.