[ Amalan-amalan di dalam bulan Dzulhijjah]

Kelebihan 10 hari pertama Dzulhijjah


Berikut adalah beberapa amalan yang telah dikongsikan oleh Murabbina Al-Fadhil Ustaz Uwais Al-Qarni ketika pengajian bersama beliau di Masjid Al-Hidayah, Alor Akar :

1- Disunatkan berpuasa pada 1 Dzulhijjah sehinggalah pada 9 Dzulhijjah (terutamanya pada 9 Dzulhijjah kerana 9 Dzulhijjah adalah hari Arafah, hari yang mana berkumpulnya para jemaah haji di Padang Arafah) kerana berpuasa pada 1 Dzulhijjah sehingga 9 Dzulhijjah dapat menjadi kafarah dosa-dosa kita yang lalu.

2- Bagi mereka-mereka yang akan melaksanakan ibadah qurban adalah disunatkan agar tidak menggunting rambut, bercukur dan memotong kuku sehinggalah selesainya melaksanakan ibadah qurban. Namun, sekiranya memudaratkan untuk urusan wajib yang lain seperti berwudhuk maka, aulakanlah yang lebih wajib.

3- Ibadah qurban adalah sunat mua’kad iaitu yang sangat-sangat dituntut. Sehingga menurut Ibn Abbas RadhiAllahu’anhu mengatakan bahawa dibolehkan berqurban walaupun dengan seekor ayam. Begitu juga Sayyiduna Al-Habib Rasulullah Solallahu’alaihiwassalam amat mencintai ibdah qurban sehingga sebelum Baginda Solallahu’alaihiwassalam wafat, Baginda mewasiatkan kepada Sayyiduna Ali KaramAllahu wajhah agar dilaksanakan qurban untuk Baginda. Maka, setiap kali melaksanakan ibadah qurban Sayyiduna Ali akan melaksanakannya juga untuk Baginda Rasulullah Solallahu’alaihiwassalam.

Namun, perlaksanakan qurban untuk seseorang itu adalah perlu kepada keizinannya. Umpamanya sebelum meninggal si bapa mewasiatkan kepada anaknya agar melaksankan ibadah qurban untuknya, maka dengan itu ibadah qurban untuk si bapa yang telah meninggal itu adalah sah tetapi ibadah qurban yang tidak mendapat keizinan daripada si mati cukuplah agar diniatkan agar pahala amalan itu mengalir kepada si mati.

4- Memperbanyakkan doa di setiap malam bulan Dzulhijjah kerana pada setiap malam Dzulhijjah doa mustajab.

5- Pada hari Raya Eidul Adha, adalah disunatkan untuk kita memakai pakaian yang cantik-cantik dan berwarna-warni untuk menzahirkan syiar Islam.

6- Disunatkan untuk diawalkan solat sunat Eidul Adha.

7- Disunatkan untuk menyaksikan Ibadah qurban walaupun tidak mampu untuk melaksanakan ibadah qurban kerana salah satu pesanan Baginda Rasulullah Solallahu’alaihiwassalam kepada puterinya Sayyidatuna Fatimah RadhiAllahuanha adalah menyaksikan ibadah qurban kerana pada ketika itu adalah waktu yang mana dosa diampunkan kerana setitis darah yang pertama daripada binatang yang diqurbankan itu mampu menghapuskan dosa-dosa yang lalu.

8- Makan sesuap atau sedikit bahagian daripada binatang qurban itu untuk mengambil barakah dan selebihnya disedekahkan kepada masyarakat dalam keadaan mentah. Berbeza dengan aqiqah, sebaiknya binatang yang telah diqurbankan itu dipotong di bahagian sendinya dan apabila memasaknya disunatkan agar memaniskan sedikit kuahnya dengan berniat dan bersangka baik dengan Allah bahawa sepertimana manisnya kuah masakan ini, maka maniskanlah akhlak dan rupa paras anak kita. Manakala, memotong di bahagian sendi binatang qurban itu dengan niat supaya disihatkan tulang anak kita.

9- Disunatkan agar mandi sunat hari raya walaupun tidak pergi solat sunat hari raya hatta bagi wanita-wanita yang ma’zurah.

10- Bermula maghrib 10 Dzulhijjah disunatkan agar memperbanyakkan bertakbir.

11- Disunatkan agar melalui jalan yang berbeza ketika hendak pergi ke masjid untuk melaksanakan solat sunat Eidul Adha dan ketika pulang setelah selesai mengerjakan solat sunat Eidul Adha agar dapat memperluaskan ziarah.

12- Ambil kesempatan untuk eratkan silaturrahim pada hari raya.

13- Mengambil peluang untuk menziarahi kubur mereka-mereka yang telah meninggal dunian sebagai ingatan bahawa kita pernah meraikan hari raya bersama-sama mereka semasa mereka masih hidup.

14- Bersalam-salaman pada hari raya:

“Jika seorang mukmin bertemu dengan mukmin yang lain, ia memberi salam padanya, lalu meraih tangannya untuk bersalaman, maka berguguranlah dosa-dosanya sebagaimana gugurnya daun dari pohon” (HR. Ath Thabrani dalam Al Ausath)


15- Muna’aqah atau berpeluk ketika berjumpa.

16- Sentiasa ucapakan terima kasih kerana Sayyiduna Rasulullah Solallahu’alaihiwassalam sendiri mengajarkan kita agar sentiasa mengucapakan terima kasih :

“Orang yang tidak berterima kasih dengan manusia, dia sebenarnya tidak kurang berterima kasih dengan Allah”

17- Bertakbir bermula awal bulan Dzulhijjah sehingga hari tasyrik iaitu 11, 12 dan 13 Dzulhijjah.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

Al-Faqirah Wal-Haqirah Ila Allah Al-Ghani

Nota kaki : Mohon teguran jika ada kesilapan. Jazakumullahu khairan katheera. Dan boleh juga untuk klik pada link ini berkenaan perkongsian tentang kelebihan 10 Awal Dzulhijjah>>
https://www.facebook.com/notes/الفقير-عزام-الشافعي/seputar-kelebihan-10-awal-zulhijjah-penghayatannya-dan-perbahasan-tentangnya/478014465552119

Semoga bermanfaat.

WAllahu'alam

[Perkongsian oleh Murabbina Al-Fadhil Ustaz Uwais Al-Qarni ketika pengajian di Masjid Al-Hidayah, Alor Akar, 30 Dzulqaedah 1434 H]