Páginas

Monday, August 23, 2010

::Cerpen: Awak sudi jadi isteri kedua saya?::


 Oleh : `Izzat Anwari bin Hasni






“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tegas dan yakin.

Tiba-tiba mata Fatimah merah, air mata mula bergelinang di kelopak bawah.

“Tak sangka awak sudah beristeri! Awak jahat! Sanggup mempermainkan hati saya. Awak ingat saya tiada maruah? Hah!” pekik Fatimah dengan suara tersekat-sekat.

Mata Fikri liar melihat kiri kanan, mungkin ada sesiapa yang memandang perlakuan dia dan Fatimah. Bukan takutkan pandangan manusia, tetapi lagak Fatimah langsung tidak selari dengan penampilannya.

“Saya ingat kita lama berkawan, awak masih bujang. Tapi rupa-rupanya…” Fatimah mula sebak.

“Tak. Maksud saya – ”

“Sudah! Jangan bermulut manis lagi. Cukup!” potong Fatimah dengan kasar.

“Awak nampak macam alim, tapi sanggup menipu saya. Dan awak sanggup melamar saya menjadi isteri kedua awak. Awak ingat saya ni siapa?” suara Fatimah semakin tinggi, setinggi egonya.

Fikri diam seribu bahasa. Dia sudah tahu `Fatimah’ di sebalik Fatimah yang dia kenal selama ini.

Fatimah bergegas dari situ sambil mengelap air mata dengan tudung labuhnya berwarna kuning. Dalam hatinya, Fikri seolah-olah menghinanya apabila memujuknya untuk bermadu.

Fikri muram. Namun masih terselit kekecewaan di sudut hatinya. Kekasih hatinya belum bersedia rupa-rupanya.

“Ada hikmah,” bisik hati kecil Fikri, sekecil pandangannya terhadap Fatimah.

Hujung minggu berjalan seperti biasa. Program-program dakwah menyibukkan jadual Fikri sebagai seorang muslim yang beramal dengan apa yang diyakininya. Duitnya banyak dihabiskan untuk memenuhi tuntutan dakwah yang seringkali memerlukan pengorbanan yang tidak berbelah bahagi. Namun, hatinya tegas dan yakin bahawa inilah jalannya. Jalan yang membawa dia menemui Tuhannya dengan hati yang tenang serta bahagia di hari kelak.

Keyakinan serta keaktifan Fikri berdakwah sedikit sebanyak memenangi hati gadis-gadis dalam jemaahnya. Malah, Fikri dilihat sebagai calon suami yang bakal memandu keluarganya nanti ke arah memperjuangkan agama yang dianutinya sejak sekian lama. Sudah terlalu ramai muslimah yang menaruh hati padanya, namun, Fatimah terlebih dahulu rapat dan memenangi hati Fikri. Bagi Fatimah, Fikri seperti pelengkap kepada dirinya. Namun, hanya sehingga saat Fikri melamarnya menjadi isteri kedua.

Fikri masih lagi aktif dalam dakwah meskipun hubungannya dengan Fatimah nampak seperti tiada jalan penyelesaian. Dia mahu berbaik dengan Fatimah, namun sikap Fatimah yang keras dan kurang memahami erti dakwah membantutkan usaha Fikri tersebut. Bagi Fatimah, Fikri tak ubah seperti lelaki lain.

Gerak kerja dakwah Fikri berjalan seperti biasa. Siangnya ke hulu ke hilir memenuhi program serta amal jariah kepada masyarakat. Malamnya sibuk dengan mesyuarat dengan sahabat-sahabat seangkatannya. Fikri semakin percaya jalan dakwahnya, sama sekali dia tidak akan berganjak dari jalan ini hatta datang ancaman sebesar gunung sekalipun. Dia terlalu matang, jauh sekali daripada pemikiran pendakwah lain yang
semudanya.

Namun, Allah s.w.t. Maha Mengetahui lagi Maha Pemurah. Sekali lagi Dia menghantar seorang perempuan bagi menguji Fikri, sama ada dia menjadi pemangkin atau perencat bagi dakwah Fikri.

Suatu petang dalam suatu program dakwah di sebuah madrasah, Fikri dikejutkan dengan luahan ikhlas dari sahabat lamanya, Nusaibah. Fikri sekali lagi gusar takut-takut Nusaibah tidak dapat menjadi sayap kiri perjuangannya selepas berumahtangga nanti. Isteri pertamanya sudah pasti membawa Fikri menemui Tuhannya, namun, Nusaibah yang kurang dikenalinya adakah sama seperti Fatimah atau tidak?

Fikri bercelaru, tetapi tidak bermakna lamaran Nusaibah ditolak. Dia meminta sedikit masa untuk memikirkan keputusan tersebut.

Setelah merisik pemikiran Nusaibah daripada beberapa sahabat terdekatnya, Fikri berjumpa dengan Nusaibah bertemankan sahabat baiknya. Dengan tegas dan yakin, sekali lagi Fikri mengulangi soalan yang pernah ditanya kepada Fatimah.

“Awak sudi jadi isteri kedua saya?” tanya Fikri tanpa segan silu.

“Sudi,” jawab Nusaibah ringkas.

“Er, betul ke ni?” tergagap Fikri menerima jawapan Nusaibah yang tenang dan yakin.

Nusaibah mengangguk kepalanya sedikit. Langsung tiada rasa takut mahupun kecewa apabila lamaran sebagai isteri kedua yang dilafazkan oleh Fikri.

“Kenapa saya?” tanya Fikri ingin tahu.

“Saya ingin membantu gerak kerja dakwah awak,” jawab Nusaibah yakin tetapi sedikit malu.

“Baiklah,” jawab Fikri tersenyum.

Akhirnya, Fikri dikurniakan sayap kiri yang sangat membantu dalam gerak kerja dakwahnya selama ini.

Setelah seminggu mendirikan rumahtangga bersama Nusaibah, Fikri terasa dakwahnya semakin laju. Jadualnya senang, pakaiannya dijaga, makannya disedia. Malah, Nusaibah sangat membantu gerak kerja Fikri semampu mungkin. Setiap kali turun ke lapangan untuk berdakwah, Fikri membawa Nusaibah untuk membantu kerja dakwah seadanya.

Kadang-kala letih menyinggah Nusaibah. Suaminya terlalu kerap keluar berdakwah, seperti mesin yang tiada hayat. Namun, inilah yang dia yakini sebelum berkahwin dengan Fikri. Membantu suami melancarkan gerak kerja dakwah. Nusaibah juga berjaga-jaga takut dirinya pula yang menjadi pembantut atau penghalang dakwah suaminya.

“Abang, saya nak tanya boleh?” sapa Nusaibah dalam kereta sewaktu dalam perjalanan ke sebuah program dakwah.

“Ye sayang?” jawab Fikri sambil memandu.

“Abang tak pernah pun bawa saya jumpa isteri pertama abang,” luah Nusaibah yang sangat teringin berjumpa dengan madunya.

“Dah sampai sana nanti, kita akan jumpa,” Fikri menoleh sedikit ke arah Nusaibah, sambil tersenyum.

“Yeke? Dia datang program tu rupanya,” jawab Nusaibah riang.

Hatinya berdebar ingin berjumpa madunya yang banyak membantu Fikri dalam gerak kerja dakwah. Di sudut kecil Nusaibah, dia merendah diri kerana usahanya membantu dakwah suaminya hanya sedikit berbanding dengan isteri pertama Fikri yang banyak membantu selama ini. Tidak hairanlah Fikri aktif dalam dakwah sebelum ini.

“Kita dah sampai,” Fikri membuka pintu keretanya sambil memegang beg berisi fail ditangannya.

Fikri berdiri, mengadap ke arah sebuah khemah di hadapan masjid, lalu menoleh ke arah Nusaibah yang berdiri di sebelah kiri kereta.

“Itu isteri pertama abang,” Fikri menuding jari ke arah khemah tersebut.

“Mana bang?” Nusaibah mengecilkan matanya, fokusnya mencari arah jari Fikri.

“Tak nampak pun,” Nusaibah meninggikan sedikit hadapan kakinya.

“Siapa nama isteri pertama abang?” Nusaibah sangat berdebar.

Fikri tersenyum lebar, memandang Nusaibah penuh tenang.

“Perjuangan,” jawab Fikri.

***

“Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, - (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusan-Nya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka).”

[QS al-Taubah 9:24]

Thursday, August 19, 2010

::TASSHIHUL MAFAHIM (MEMBETULKAN KEFAHAMAN)::








Alhamdulillah, kitab 6 Perkara Asas Memahami Khilafiyah karangan Syaikhuna Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll sudah berada di pasaran. Dengan izin Allah Syaikhuna telah menulis satu risalah yakni RISALAH TASSHIHUL MAFAHIM (MEMBETULKAN KEFAHAMAN)  kesinambungan daripada kitab tersebut. Berikut adalah sisipan muqaddimah daripada risalah tersebut.


Muqaddimah

Bismillahir Rahmanir Rahiim

Alhamdulillahi rabbil 'alamiin, washhola tu wassalamu 'ala ashrafil anbiya iwal mursaliin, wa' ala aalihi wa ashhabihi ajma'iin, Amma Ba'du

Alhamdulillah, dengan izin Allah, RISALAH TASSHIHUL MAFAHIM (MEMBETULKAN KEFAHAMAN) dapat dikeluarkan pada bulan Sya'ban yang mulia ini. Ini ialah jawapan kepada beberapa soalan yang ditanyakan kepada Al-Faqir (Ustaz Muhadir) semasa di dalam majlis pengajian talaqi ataupun secara individu. Semua perkara yang dibincangkan di dalam risalah ini adalah ringkasan daripada perbincangan tajuk-tajuk yang dimuatkan di dalam buku Al-Faqir, "PERSOALAN KHILAFIYYAH DAN PENJELASAN ULAMA': INILAH JAWAPANNYA..." yang akan berada di pasaran sedikit masa lagi.

Nasihat Al-Faqir kepada sesiapa yang inginkan kebenaran, terutama sekali kepada penuntut ilmu, agar tidak membuang masa dengan membincangkan perkara-perkara yang bersifat khilafiyyahMasa yang ada hendaklah digunakan untuk memantapkan diri dengan ilmu yang tahqiq melalui majlis-majlis pengajian para masyayikh dan asatizah yang bersanad. Perbaikilah diri (Tazkiyah an-Nafs) terlebih dahulu melalui tarbiyah dan bimbingan guru murobbi. Menuntut ilmu untuk mengenal diri lebih penting daripada membicarakan perkara khilafiyah tanpa ilmu dan wara'.

Perkara-perkara yang bersifat khilafiyyah dalam agama telah dibincangkan dan diselesaikan oleh para 'ulama dan fuqaha' mazhab sejak dahulu lagi. Mereka benar-benar memiliki MALAKAH FIQHIYYAH (keupayaan dalam ilmu Feqah) dan HIMMAH yang tinggi dalam dunia Feqah. Mereka telah dikurniakan Allah dengan akal dan WIJDAN, memahami kandungan sumber hukum, menguasai ilmu USHUL AL-FIQH, QAWAID FIQHIYYAH dan kaedah-kaedah ISTINBATH dengan mendalam.

Fatwa dan pendapat mereka adalah jauh dari mengikut hawa nafsu kerana TAQWA, WARA' dan KHASYYAH mereka kepada Allah yang sangat luar biasa. Fatwa dan pendapat mereka inilah yang diamalkan dan mampu menyelesaikan masalah umat sejak zaman berzaman seterusnya mengekalkan perpaduan ummah sehingga sekarang. Justeru, mengikut mereka adalah mengikut jalan kebenaran, dan menyalahi mereka sebaliknya, mengikut jalan kesesatan. Semoga risalah kecil ini menjadi panduan dan rujukan berguna kepada semua.

Washollallahu 'ala Sayyidina Muhammadin wa aalihi washohbihi wabarik wasallam ajma'in, walhamdulillahi rabbil 'alamiin.


Al-Faqir ilalLahil Qadir,
Ustaz Muhadir Bin Haji Joll
Pusat Asasi, Universiti Islam Antarabangsa,
Petaling Jaya,Selangor
Selasa, 22 Sya'ban 1431H/ 3 Ogos 2010M
khuwaidim_elilm@hotmail.com


Antara isu-isu yang dikupas dalam risalah ini:

(A) SEMBAHYANG
#1 Menyapu muka selepas salam
#2 Berwirid selepas sembahyang
#3 Zikir nyaring selepas solat
#4 Berdoa secara berjemaah
#5 Bersalam selepas sembahyang
#6 Menambah taswid (sebutan "Sayyidina") ketika tasyahhud, berdoa dan memuji Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam.

(B) RAMADHAN DAN PUASA
#1 Jumlah rakaat Solat Tarawih
#2 Berselawat dan berdoa secara nyaring di antara dua rakaat Tarawih
#3 Solat Witir dipisahkan
#4 Imsak sebelum azan Subuh pada bulan Ramadhan

(C) HARI JUMAAT
#1 Azan Jumaat dua kali
#2 Solat Qabliyyah dan Ba'diyyah Jumaat
#3 Ingatan dari bilal kepada makmum sebelum khutbah Jumaat
#4 Mengaminkan doa khatib pada hari Jumaat
#5 Membaca Surah Yaasin pada malam Jumaat

Wallahua'lam. Semoga  beroleh manfaat. InsyaAllah


SESIAPA BERMINAT UNTUK MENDAPATKAN SALINAN RISALAH INI BOLEH TINGGALKAN ALAMAT ENTUM DI RUANGAN KOMEN.InsyaAllah=)

Wednesday, August 18, 2010

::Buatmu Wanitaku::





Album : Pelita Hidup IV
Munsyid : Hijjaz
http://liriknasyid.com

DILEMA




Lihatlah panorama dunia
Wanita bagaikan hilang rasa malunya
Maruah yang menjadi maharnya
Tergadai sia bagai tiada berharga

Di manakah budinya di manakah akhlaknya
Sungguh pilu dan sayu mengenangkannya
Santun tiada lagi nafsu memimpin hati
Kehormatan diri tidak dipeduli

c/o
Oh wanita kembali menginsafi
Kepada asal fitrah kejadianmu
Diciptakan untuk dihormati
Sentiasa diredhai Tuhan Pencipta
Kembali kepadanya juga pada Rasulnya
Pasti dihadirkan taufik dan hidayahnya
Wanita...

Kembalilah ke arah kemuliaan
Contohi peribadi Ummul Mukminin
Rasulullah dijadikan suami
Tertawan kerna keluhuran pekerti
Bukan kerana harta bukan kerana nama
Tapi kerana budi yang disanjungi
Kembalilah...

Wanita perhiasan dunia
Bagai kilau permata di antara kaca
Sayangnya makin pudar cahaya
Hingga tiada lagi beza di antaranya


Subhanallah, ana sangat suka lagu ini. Sungguh, bait kata-katanya sangat mengetuk hati ana seorang wanita. Doakan kami menjadi " Seindah-indah perhiasan di dunia yakni wanita solehah". Allahumma Ameen

Saturday, August 14, 2010

::Jadual Tafaquh Fid Deen sepanjang Ramadhan~Masjid Al-Falah::







InsyaAllah klik pada gambar untuk besarkan. Semoga bermanfaat=)

::Belajar daripada hadis Ghulam::


Ghulam, Sihir dan Rahib…..
Persis perjalanan hidup kita yang bukannya ‘kebetulan’ …… kerana ‘kebetulan’ bertentangan dengan aqidah kita! Tetapi adalah sunnah Allah yang akan terus berlaku.
Dari Suhaib bahawa Rasulullah SAW pernah bercerita:

   Di zaman sebelum kamu dahulu ada seorang raja yang mempunyai seorang tukang sihir. Bila tukang sihir merasa dirinya telah tua, dia berkata kepada raja tersebut: “aku telah tua. Carilah seorang budak (yang paling cerdik) yang boleh aku ajarkan kepadanya sihirku. Lalu dicari seorang budak dan tukang sihir tersebut mengajarkan kepadanya ilmu sihirnya.

   Di pertengahan jalan menuju ke tempat belajarnya, terdapat seorang rahib. Budak tersebut telah duduk sebentar mendengar ajaran rahib tersebut dan merasa seronok dengannya. Selepas kali tersebut, setiap kali melalui tempat rahib, budak tersebut akan berhenti dan mendengar ajarannya. Ahirnya bila tiba kepada tukang sihir, ia dipukul (kerana terlambat). Lalu ia mengadu kepada rahib. Rahib berkata kepadanya: “Jika kamu takutkan tukang sihir, katakana kepadanya bahawa ububapaku menahanku (di rumah). Jika kamu takutkan ibubapamu (kerana lewat pulang), katakana kepada mereka berdua tukang sihir telah menahanku.

   Waktu berlalu dan pada suatu hari budak tersebut telah bertemu dengan seekor binatang besar yang menghalang laluan orang ramai. Budak tersebut berkata di dalam hatinya, “Pada hari ini, aku akan tahu siapakah yang lebih hebat, tukang sihir atau rahib. Lalu diambilnya seketul batu dan dibaca: Ya Tuhan, jika sekiranya rahib lebih Engkau cintai dari tukang sihir, maka bunuhlah binatang ini dan berilah laluan kepada orang ramai.”

   Lalu dilontar batu tersebut dan binatang tersebut pun mati (orang ramai sangat kagum dengan budak tersebut dan mengatakan dia mempunyai ilmu yang kita semua tidak mengetahuinya).
Perkara tersebut diceritakan kepada rahib. Rahib berkata kepadanya: “Engkau pada hari ini telah menjadi lebih hebat dariku. Engkau telah sampai ke peringkat yang aku dapat lihat sekarang. Tapi ingat, engkau akan diuji nanti. Apabila engkau diuji oleh Allah, maka jangan sekali-kali engkau memberitahu tentang ku.
Budak tersebut berjaya mengubati penyakit kusta dan sopak. Dan juga dapat mengubat semua penyakit yang dihadapi oleh orang ramai. Suatu ketika seorang yang dekat dengan raja telah terkena satu penyakit hingga buta matanya. Apabila mendengar tentang kehebatan budak tersebut, dia telah membawa hadiah yang banyak. Dia berkata kepada budak tersebut: “semua ini untukmu jika engkau dapat menyembuhkan mataku.”

   Budak berkata kepadanya: “Aku tidak mampu menyembuhkan sesiapa. Hanya Allah yang dapat menyembuhkan. Jika engkau beriman dan percaya kepada Allah, aku akan berdoa dan Allah akan menyembuhkan penyakitmu.” Lalu si pembesar buta tersebut percaya dan beriman kepada Allah. Budak tersebut mendoakan untuknya dan matanya pun sembuh seperti sedia kala.
Pembesar tersebut datang seperti biasa kepada raja. Raja terkejut dan bertanya kepadanya: “Siapa yang mengembalikan penglihatanmu?” Kata pembesar tersebut: “Tuhanku.” Raja sangat marah dan mengatakan: “Ada ke tuhan lain selain dariku?”

   Lalu pembesar tersebut ditangkap dan diseksa hingga dia pun membonngkarkan ajaran budak tersebut. Budak tersebut dibawa kepada raja lalu raja bertanya: “Aku telah mengetahui kehebatanmu, sekarang kamu dapat menyembuhkan penyakit itu dan ini dan dapat melakukan itu dan ini.”
Lalu budak itu menjawab: “Aku tidak dapat menyembuhkan sesiapa. Hanya yang dapat menyembuhkan ialah Allah.” Lalu iapun ditangkap dan terus diseksa sehinggalah ia pun membongkarkan rahsia rahib (kerana tidak tahan dengan seksaan).

   Lalu rahib pun ditangkap. Ia diserahkan supaya meninggalkan agamanya tetapi rahib menolak. Lalu dibawa gergaji dan diletakkan di atas kepalanya dan digergaji. Tubuhnya terbelah dua dan keduanya melerai jatuh ke bumi.

   Budak tersebut lalu dibawa lagi kepada raja. Raja berkata: “Balik semula kepada agama asalmu.” Budak menolak lalu raja memanggil sebahagian dari kumpulannya dan dikatakan kepada mereka: “Bawa budak ini ke bukit sekian-sekian dan jika sekiranya ia tetap enggan, campakkan dari atas bukit. Tiba di sana, budak berdoa kepada Allah: “Ya Allah, tolonglah aku dengan cara yang Engkau kehendaki.”

   Tiba-tiba bukit bergegar dab jatuh kesemua orang-orang raja tersebut. Budak balik berjalan kepada raja. Raja bertanya: “Mana dia kawan-kawanku?” Jawab budak: “Allah telah menolongku menghadapi mereka.” Lalu raja memanggil sebahagian lagi kumpulannya dan berkata: “Bawa budak ini ke tengah laut. Jika ia enggan, campakkan ia ke dalam laut.”

   Bila tiba di tengah laut, budak tersebut berdoa dengan doa yang sama. Tiba-tiba perahu tenggelam dan semua kumpulan raja mati lemas. Budak balik semula kepada raja. Raja terkejut dan bertanya: “Mana kawan-kawanku?” Jawab budak: “Allah telah menolongku menghadapi mereka.”

   Lalu budak tersebut berkata kepada raja: “Kamu tidak mungkin akan dapat membunuhku sehinggalah kamu menurut apa yang aku minta.” Tanya raja: “Apa dia?” Kata budak: “Engkau kumpulkan semua orang ramai di satu padang, kamu ikatkan aku di pohon kurma. Kemudian engkau ambil satu dari panahku dan letakkan panah tersebut pada busurnya. Kemudian engkau baca: Dengan nama Allah, tuhan budak ini. Kemudian engkau panahlah aku. Kalau engkau melakukan begitu, kamu akan dapat membunuhku.
Lalu raja pun mengumpulkan orang ramai di satu padang. Budak itupun diikat pada sebatang pohon kurma. Kemudian diambil satu panah dan diletakkan pada busurnya. Lalu raja membaca: Dengan nama Allah, tuhan budak ini dan terus dipanahnya. Panah tersebut mengenai bawah telinganya. Perlahan-lahan budak meletakkan tangannya pada tempat panah tersebut dan terus meninggal dunia. (Tiba-tiba orang ramai berkata: “Budak ini mengetahui perkara yang kita tidak ketahui)* “Kami percaya kepada Tuhan budak ini.”

   Raja menjadi kelam kabut dan mengatakan: “Telah berlaku apa yang aku tidak mahu ianya berlaku.” Lalu raja menyuruh digali parit-parit di laluan-laluan orang ramai dan dinyalakan api di dalamnya. Sesiapa yang lalu akan diarahkan supaya kembali semula kepada agama asal. Jika tidak, akan dicampakkan ke dalam parit tersebut.

   Lalulah seorang wanita dengan seorang anak kecilnya (bayi). Wanita tersebut gementar takut dicampakkan ke dalam api tersebut. Tiba-tiba bayinya bercakap dan berkata kepada ibunya: “Wahai ibu, sabarlah. Engkau berada di atas kebenaran!”

Hadis riwayat Muslim (No.5327 Kitab Zuhud dan Raqa’iq), Tarmizi (No.3263 Kitab Tafseer al-Quran) dan Imam Ahmad. Hadis disebutkan oleh Imam al-Nawawi dalam Kitab Riyadhus Solihin di bawah bab Sabar.
*di dalam kurungan ialah beberapa tambahan yang ada dalam riwayat Tarmizi 

Di akhir riwayat, Imam Tarmizi menyatakan bahawa:

Budak tersebut kemudiannya dikebumikan. Pada zaman Sayyidina Omar r.a telah ditemui mayatnya dalam keadaan tangannya masih diletakkan di bawah telinganya yang masih luka.  ALLAHU AKBAR!

Subhanallah walhamdulillah, betapa keyakinan si Ghulam itu terhadap Allah swt mengatasi segala-galanya. Sanggup di bunuh agar Islam itu sampai dan diterima oleh si Raja. Kita? Baru suruh berdakwah, sudah rasa itu suatu bebanan. Allahu Allah semoga Allah permudahkan urusan dakwah kita. Ameen.

Friday, August 13, 2010

::Ahlan Wasahlan Ya Ramadhan::





"Wahai orang-orang yang beriman,diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu,mudah-mudahan kamu akan bertaqwa"
(al-baqarah:183)

   Subhanallah, Alhamdulillah segala puji bagi Allah swt taa’la Pemilik semua jiwa dan Pemilik kekal alam semesta kerana pada Ramadhan 1431H ini, sekali lagi hamba yang faqir ini masih diberi ruang masa dan kesempatan yang ke 20 kalinya untuk menyambut kedatangan bulan yang paling mulia yakni Ramadhan. Ahlan Wasahlan ya Ramadhan. Sudah lama kami menantikan kehadiranmu. Bulan yang diawalnya rahmat, pertengahannya maghrifah dan pengakhirannya pelepasan daripada seksa api neraka. Sungguh, kami sangat merinduimu Ramadhan. Semoga dengan kedatanganmu kali ini memberi sejuta pengajaran buat kami yang sentiasa lalai dengan kenikmatan dunia yang sementara ini.


   Persiapan? Checklist ibadah? Adakah kita benar-benar bersedia? Allah… susah betul nak jadi seperti para sahabat, apabila tibanya Ramadhan subhanallah bertapa gembiranya mereka. Siangnnya membaca Al-quran, malamnya berterawikh dan bertadarus dan ketika semua sedang nyenyak tidur mereka berqiamullail serta menghiaskan malam-malamnya dengan solat-solat sunat, berzikir serta membaca Al-Quran. Subhanallah hebatnya sahabat-sahabat. Tidak teringinkah kita untuk menjadi seperti mereka? Teringin benar hamba yang faqir ini menjadi seperti para sahabat. Teringin benar hamba yang faqir ini untuk sama-sama merasakan nikmatnya berada di dalam bulan Ramadhan ini bersama-sama para sahabat Rasulullah. Allahu Allah semoga Allah merahmati mereka semua. (Selawat jom. Allahummasalli a’la Saidina Muhammad wa a’la ali Saidina Muhammad)


   Tahu mengapa mereka begitu gembira apabila tibanya Ramadhan? Ya, kerana Ramadhan itu penuh dengan pelbagai kelebihan dan keistimewaannya. Kerana bulan Ramadhan itu adalah lebih baik daripada bulan-bulan yang lainnya. Subhanallah sungguh, kami mencintai kehadiranmu Ramadhan. InsyaAllah berikut adalah sedikit perkongsian mengenai kelebihan bulan Ramadhan yang disampaikan oleh Sheikhunna Al Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll sempena menyambut kedatangan Ramadhan. Semoga mendapat manfaat. Allahumma Ameen.


KELEBIHAN RAMADHAN

1)      Ramadhan adalah bulan yang tersangat istimewa kerana berulang-ulang kali ia disebut di dalam kita suci Al-Quran.(Subhanallah)


2)      Bulan Ramadhan adalah raja kepada bulan-bulan yang lain. (Walhamdulillah)


3)      Ibadah puasanya diapit oleh dua bulan yang lainnya yakni Sya’ban dan Syawal.( Wallahu Akhbar)

Saidatina Aisyah R.A:-
“Tidak pernah aku melihat Rasulullah sepanjang hayatnya puasa sepanjang-panjang bulan melainkan pada bulan Sya’ban”

4)      Bulan yang turun padanya Malaikat terutamanya pada malam Lailatul Qadar.( Ya Zal Jala li wal ikram)

5)      Di dalam bulan ini juga Al-Quran diturunkan. (Alhamdulillah3X)
Seperti yang sudah kita sedia maklum bahawa malaikat merupakan makhluk Allah yang sentiasa taat dan tidak pernah melakukan keingkaran kepada Allah swt.Setiap malaikat mempunyai tugasnya yang tersendiri.Ada malaikat yang ditugaskan untuk bersujud kepada Allah swt maka malaikat tersebut akan terus bersujud sehingga ke hari Kiamat.

Namun demikian,dalam Surah Al-Qadr ada disebutkan bahawa "ruhul quddus turun ke langit dunia".Menurut pendapat ulamak,"ruhul quddus" yang dimaksudkan ialah ketua segala para malaikat yang agung,iaitu Malaikat Jibril a.s.

Guru kami memberi contoh,sebuah masjid akan dikunjungi oleh seorang perdana menteri.Maka,penduduk dikawasan tersebut akan sedaya upaya memperindahkan kawasan masjid tersebut,bahkan pihak masjid juga menerima dana peruntukan untuk melakukan kerja-kerja memperindahkan masjid tersebut supaya perdana menteri yang singgah sebentar sahaja di kawasan masjid tersebut berpuas hati dengan keindahan masjid tersebut.

Demikianlah kata guru alfaqir,"itu hanyalah seorang manusia biasa sedangkan Malaikat Jibril merupakan makhluk Allah yang mulia terkenal dikalangan penduduk langit dan bumi".Mulianya bulan ini,Malaikat Jibril turun ke langit dunia.

6)      Tidak pernah Nabi Muhammad saw berbicara berkaitan bulan-bulan islam dengan baginda naik ke atas mimbar melainkan hanya ketika baginda ingin berbicara tentang kedatangan dan kelebihan bulan ramadhan.( Allahu Akbar3x)

7)      Kemuliaan Ramadhan. ( Lailahaillah3x)
Sabda Nabi saw: "jika ditakdirkan tidak ada hadith yang berbicara tentang kelebihan bulan ramadhan,demi jiwaku yang berada dalam kekuasaannya,cukuplah dengan hadith ini :-

"bau mulut orang yang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi"

Kata guru alfaqir lagi,hadith ini merupakan kinayah (kiasan) Allah memuliakan hambanNYA yang berpuasa di bulan ramadhan.

Wallahua’lam

p/s: Syukran jazilan buat along Fatimah tersayang kerana mengizinkan ucu menggunakan sedikit maklumat daripada laman sesawang along. Sayang along selalu=)

Jom singgah ke blog dia=) : http://hauramaqsuroh71.blogspot.com/


Tuesday, August 3, 2010

:: Maafkan kami::


“Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia: kesukaan kepada benda-benda Yang diingini nafsu, Iaitu perempuan-perempuan dan anak-pinak; harta benda Yang banyak bertimbun-timbun, dari emas dan perak; kuda peliharaan Yang bertanda lagi terlatih; dan binatang-binatang ternak serta kebun-kebun tanaman. semuanya itu ialah kesenangan hidup di dunia. dan (ingatlah), pada sisi Allah ada tempat kembali Yang sebaik-baiknya (iaitu Syurga).”
(Ali-Imran:14)

   Dengan kalam Basmallah, pena perjuangan Musafirah dakwah pada kali ini  meneruskan gerak tarinya. Entah kenapa hati berasa terpukul dan diri merasa terlalu malu tatkala menonton salah satu iklan pewangi lelaki kalau tidak salah ana, sewaktu makan malam  yang pada ana amat memalukan itu. Bukankah itu iklan pewangi lelaki? Mengapa si wanita pula yang perlu dipertonjolkan? Pelik betul!

  Lihat sahaja bagaimana kaum wanita itu dijadikan agen di dalam agenda si golongan Iluminati yang licik gerak langkahnya untuk melancarkan serangan terhadapan pemikiran kita.  Bukan setakat di dalam iklan, malahan boleh dikatakan di dalam semua bentuk media massa mahupun media elektronik, jelas membuktikan bahawa sungguh kaum wanita itu dijadikan boneka di dalam agenda “Ghazwatul Fikr” mereka. Terasa maruah kami, kaum wanita diperkotak katikkan, diinjak-injak dan dipijak –pijak. Bukankah Allah dan kekasihNya Rasulullah s.a.w memuliakan kami, kaum wanita?! Hati terasa dicarik-carik. Malu merajai diri. Beginilah hakikat akhir zaman. Bumi sudah tua dan seandainya bumi mampu berkata-kata pasti ia akan mengeji kita dek kerana kesombongan dan rasa tidak bertanggungjawab kita untuk memakmurkannya dengan perkara-perkara yang haq dan dengan apa yang Allah perintahkan.

dan apabila dikatakan kepada mereka: "Janganlah kamu membuat bencana dan kerosakan di muka bumi", mereka menjawab: " Sesungguhnya Kami orang-orang Yang hanya membuat kebaikan".
(Al-Baqarah:11)

    Sungguh, kita ini amat bongkak dan sombong. Berjalan di atas muka bumi Allah ini seolah-olah kehidupan ini tiada penghujungnya. Kerosakan, kemaksiatan serta kefasadan seperti sudah menjadi lumrah.Tiada sense of sensitivity  langsung. Benarkah begitu? Nyahkan rasa ego kita, nyahkan rasa hebat kita dan nyahkan segala rasa yang menjadikan kita ini seolah-olah robot yang tiada rasa sensitivity terhadap keadaan semasa. Kalau ego itu setinggi gunung, rendahkan ia serendah-rendah dasar lautan, kalau merasa diri terlalu hebat, maka ketahuilah Allah itu jauh lebih hebat.

   Natijahnya, terjadilah kes pembuangan anak, sumbang mahram dan sebagainya. Parah benar masyarakat kita sekarang. Yang lebih parahnya? Anak-anak muda.Ya, mereka yang bakal memimpin kelak. Risau memikirkan generasi akan datang. Berpakaian seolah-olah berada di negara barat. Bercakap tidak mahu kalah dengan gaya mat salehnya  dan jangan lupa kalau boleh segala-galanya mahu ditiru daripada barat. Singkat betul kita berfikir. Mana identiti kita sebagai muslim? Nampaknya, agenda si Iluminati seperti sudah mencapai sasarannya. Kecewa betul dengan budaya hidup masyarakat kita, mengikut atau meniru tanpa memeriksa dahulu kesan atau natijahnya. Main mengikut sahaja. Macam pak turut pula gayanya. Sudahlah wanita diagung-agungkan. Longgokan-longgokan iklan-iklan, cerita-cerita di media juga seolah-olah ataupun sememangnnya menjadikan wanita sebagai pelarisnya. Sakit hati ini kerana melihatkan golongan wanita diperagakan seolah-olah barang perhiasan. Mengapa pula? Kerana ana seorang wanita. Malu apabila melihat wanita lain terdedah auratnya sana sini. Melenggok gayanya di kaca-kaca tv. Seakan- akan rendah betul martabat kami sebagai wanita. Bukankah kami golongan yang Rasulullah muliakan dan merupakan sayap perjuangan si Rijal?

  Bagaimana mungkin kami, golongan hawa yang bengkok sifatnya dapat diluruskan andai si Rijal yang Allah amanahkan untuk meluruskan kami ini masih lagi terumbang ambing hidup dan masih lagi enak dibuai dengan cinta dunia? Wahai Rijal yang Allah amanahkan untuk membimbing kami dan membentulkan kami yang bengkok sifatnya, ketahuilah bahawa besar pengaruh entum semua dalam sebuah kehidupan. Kuatkan aqidah entum dan tingkatkan keimanan entum agar entum benar-benar bersedia memikul amanah Allah ini kerana entumlah Amir yang Allah ciptakan dengan nikmat 9 akal. Jadikan Rasulullah sebagai qudwah.

    Sudah jelas bukan? Keruntuhan moral para pemuda kita adalah disebabkan kepincangan terhadap pemahaman aqidah dan juga lemahnya iman. Apabila kedua-dua komponen ini diambil ringan maka berlakulah kepincangan dalam kehidupan. Hilang moral yang Islam ajarkan, tunggang langgang akhlak Islamiyah yang Rasulullah bawakan. Barah hendosime semakin merebak. Boleh disimpulkan bahawa hampir keseluruhan hidup kita dikawal oleh  golongan-golongan Iluminati ini dalam keadaan kita sedar ataupun tidak. Halus betul cara mereka menyerang kita. Tapi jangan lupa Allah jauh lebih halus perancangannya. Perkukuhkan aqidah kita dan pertingkatkan iman kita agar hidup kita bergerak sejajar dengan hukum Allah(sunnatullah).

“Sekali-kali tidak redha orang Yahudi dan Nasrani sehingga kamu mengikut millah (cara hidup) mereka.”



“ Buat si Hawa yang Allah ciptakan cantik dan indah, mari sama-sama kita pelihara diri kita agar tidak dijadikan boneka dunia kerana sesungguhnya Allah jadikan kecantikan kita ini hanya buat si Rijal yang bergelar zauj. Bukan untuk kita pertontonkan dan bukan untuk diagung-agungkan. Mahu jadi sayap perjuangan si Rijal seperti Saidatina Khadijah perlulah bersedia daripada awal. Jadilah wanita yang tidak dipandang dan tidak memandang dan jadilah wanita yang apabila dipandang teringat akan Allah. Biar hidup kita berprinsip agar syariat terjaga.  Semoga Allah pelihara kita daripada menjadi fitnah dunia dan seisinya. Ameen”

Allah S.W.T berfirman, “Perempuan yang jahat untuk lelaki yang jahat dan lelaki yang jahat untuk perempuan yang jahat, perempuan yang baik untuk lelaki yang baik dan lelaki yang baik untuk perempuan yang baik.” (an-Nur':26)