Páginas

Friday, August 2, 2013

::Taubat::



Taubat : Maulana Johari Bin Ali Al-Jenderaki

            Taubat adalah daripada perkataan bahasa Arab yang bermaksud rujuk atau kembali. Rujuk di
sini bukan rujuk secara lughawi atau bahasa tetapi istilahi atau pada istilahnya. Rujuk pada istilah bermaksud kembali daripada jauh menyimpang kepada Allah SWT, daripada tidak taat kepada taat kepada Allah SWT, daripada jahat kepada baik, daripada tholih kepada soleh , daripada fasik kepada soleh.

            Sesungguhnya taubat itu wajib bagi setiap mukhallaf yang berdosa. Maka, sesuatu yang wajib mesti ada rukunnya. Ulama’ mengatakan bahawa sekiranya gugur salah satu daripada ruknrukunya atau syarat-syaratnya, maka, tidak sah taubat seseorang itu. Daripada Sayyiduna Abu Hurairah RA, Sayyiduna Rasulullah Solallahu’alaihiwassalam bersabda :

“ Demi Allah (menegaskan sungguh-sungguh dan dengar dengan sungguh-sungguh akan apa yang ingin disampaikan), sesungguhnya Aku (merujuk kepada Sayyiduna Rasulullah) bertaubat kepada Allah sebanyak 70x setiap hari”.

            Kalau Nabi Solallahu’alaihiwassalam yang maksum itu, bebas daripada dosa bertaubat sebanyak 70x setiap hari, bukanlah kita sebagai hamba Allah yang biasa-biasa ini terlebih-lebih lagi perlu bertaubat kepada Allah? Kerana sesungguhnya tidak kita melakukan apa-apa melainkan kita berdosa kepada Allah sama ada dalam keadaan sedar ataupun tidak sedar? Merujuk kepada hadis ini, Maulana mengingatkan bahawa :

1-      Jumlah atau 70x di dalam hadis tersebut bukanlah figure yang mahu difokuskan tetapi kasrah yakni banyaknya Baginda beristighfar pada setiap hari sedangkan Baginda itu maksum, tidak punya dosa.

2-      Baginda Solallahu’alaihiwassalam bertaubat bukan kerana berdosa tetapi kerana perkara-perkara khilaf aula yakni sama ada buat A dahulu atau buat B dahulu. Sebagai contoh :

-          Di dalam surah ‘Abasa, Allah SWT menegur Sayyiduna Rasulullah Solallahu’alihiwassalam apabila Baginda bermasam muka kepada seorang buta yakni Ibn Maktum sedangkan pada ketika itu Baginda sedang berceramah kepada pemuka-pemuka yang mempunyai peluang untuk memeluk Islam tetapi Allah SWT menegur Baginda Sayyiduna Rasulullah Solallahu’alaihiwassalam agar mendahulukan Ibn Maktum. Baginda Solallahu’alaihiwassalam bertaubat tentang hal itu sedangkan kedua-duanya adalah khair yakni baik.

-          Baginda juga bertaubat atas peningkatan ma’rifah Baginda Solallahu’alaihiwassam yakni atas kadar ma’rifah Baginda pada hari ini sebagai contoh, adalah lebih baik daripada hari semalam.

3-      Baginda Solallahu’alaihiwassalam bertaubat untuk mengajarkan kepada Umat Baginda.
Reflekkanlah pada diri kita. Siapa kita untuk sombong daripada bertaubat kepada Allah? Sombong untuk bertaubat atas dosa yang kita lakukan secara sedar mahupun tidak sedara?

4-      Baginda Solallahu’alaihiwassalam bertaubat bukan kerana berdosa tetapi untuk meninggikan darjat Baginda Solallahu’alaihiwassalam di sisi Allah SWT kerana setiap kali bertaubat kepada Allah, akan meninggikan darjat Baginda di sisi Allah. Maka, jika kiat selalu betaubat kepada Allah, kita akan menjadi seorang hamba Allah yang Berjaya.

“Bertaubatlah kamu semua tanpa kecuali wahai orang-orang yang berimansupaya kamu Berjaya”
Mafhum mukallaf di dalam ayat ini adalah kamu akan Berjaya.

            Adapun, sekiranya kita tidak melakukan kesalahan tetapi kita tidak bertaubat pasti kita ini tergolongan dalam golongan mereka-mereka yang tidak bersyukur. Maka, ini merupakan satu kesalahan, tidak bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan oleh Allah kepada kita. Nikmat segala nikmat hatta tada sesiapa di atas dunia ini yang tidak sayang akan kita, tidak ada makanan untuk dimakan, hatta dia terlentang di atas tikar kerana sakit, namun jangan dilupakan bahawa ada suatu nikmat yang perlu disyukuri iaitu nikmat kehidupan yang telah diberikan oleh Allah SWT. Bukankah kehidupan itu juga suatu kenikmatan buat kita?

            Demi memastikan taubat kita diterima oleh Allah SWT, betapa pentingnya kita mengetahui tentang syarat-syarat yang menyebabkan sahnya taubat seseorang hamba Allah itu. Antara syarat-syarat yang menyebabkan sahnya taubat seseorang itu dan amat berkait rapat dengan haq terhadap Allah SWT adalah :

1-      Menyesali akan perbuatannya yang lalu : Sesungguhnya penyesalan itu tidak akan datang tanpa kita terlebih dahulu merenung atau bermuhasabah kembali akan kesalahan yang lalu serta memikirkan balasan atau ‘uqbah yang akan diterima atas kesalahan yang telah dilakukan.
2-      Meninggalkan sama sekali perbuatan itu.
3-      Berazam bersungguh-sungguh untuk tidak mengulanginya.

Antara hak kepada hamba-hamba Allah adalah :

4-      Selesaikan dengan orangnya serta mengembalikan haknya.

Sekiranya salah satu daripada syarat-syarat ini gugur, maka tidak sah taubatnya.

            Antara kepentingan-kepentingan dan kesan-kesan taubat adalah;

Berkata Abu Said Al-Qudri :

Dalam riwayat Bukhari dan Muslim, Nabi Solallahu’alaihiwassalam menceritakan bahawa pada zaman dahlu kala ada seorang lelaki yang telah membunuh 99 orang, kemudian hatinya terdetik ingin bertaubat. Kemudian, dia telah menemusi seorang alim dan bertanya adakah taubatnya masih dapat diterima Allah. Sayangnya, orang alim tersebut telah memberitahu bahawa taubat pembunuh itu tidak diterima oleh Allah kerana telah ramai manusia yang dibunuh.

Apabila mendengar jawapan orang alim itu, lelaki tersebut meradang dan telah membunuh orang alim itu maka genaplah mangsa bunuhnya seramai 100 orang. Kemudian, dia telah mencari orang alim yang lain pula dan bertanyakan soalan yag sama “adakah taubatku diterima Allah?” Kali ini, orang alim itu menjawab kemungkinan taubatnya akan diterima Allah. Dengan syarat, lelaki tersebut perlu berhijrah ke negeri yang mana penduduknya taat kepada Allah. Ini kerana negeri yang didiaminya ketika itu penuh dengan penjahat dan orang yang tidak taat kepada Allah SWT.

Maka, berangkatlah pembunuh tersebut ke negeri yang dimaksudkan dengan niatnya ingin bertaubat kepada Allah. Namun, di dalam perjalanannya, lelaki itu telah dipanggil menemui Allah SWT dan ajal sebelum sempat tiba di negeri yang ditujunya. Kemudian, datanglah malaikat Rahmat untuk membawa  rohnya, tetapi datang pula malaikat Azab untuk membawa rohnya  juga. Kedua-dua malaikat ini berebut untuk membawa roh lelaki itu.

Berkata malaikat Rahmat; “Dia telah menempuh perjalanan kerana dia ingin bertaubat kepada Allah dan mencari keampunanNya” Berkatalah malaikat Azab; “Dia belum pernah berbuat kebaikan sama sekali”.

Orang dahulu akan digelar seorang ‘Abid sekiranya beribadah selama 500 tahun atau menurut Imam AL-Ghazali RH paling minimum 70 tahun. Adapun, umat pada zaman ini bukanlah untuk menjadi ‘abid tetapi berjihad fisabilillah.

Merujuk kepada hadis ini. Menurut riwayat Imam Muslim mengatakan sejengkal lagi lelaki tersebut sampai di tempat yang dituju, manakala menurut riwayat Daud lelaki tersebut mengalakan dadanya ke tempat yang dituju. Menurut riwayat lain pula; Allah dekatkan dirinya dengan tempat yang dituju dan renggangkan dirinya daripada tempatnya yang lalu.

Sesungguhnya kita tidak tahu bila kita akan pergi meninggalkan dunia ini.

“Sesungguhnya kamu akan mati seperti kamu tidur, bangkit seperti kamu jaga, lalu kamu akan dihantar sama ada ke syurga atau ke neraka”

Maka, itu adalah haq mutlak Allah tetapi Allah telah beri ikhtiar buat kita. Taubat tidak akan berakhir peluangnya kerana Allah membuka seluas-luasnya pintu taubat buat hamba-hambanya.

“Engkau ingat Aku (Allah), Aku ingat kamu. Engkau lupa Aku, Aku tetap ingat kamu”
[Hadis Qudsi]

Antara manfaat-manfaat taubat adalah :

1-      Dekat dengan Allah SWT / hampir dengan Allah SWT

·         Taubat itu adalah fitrah. Sejauh mana seseorang itu pergi daripada Allah, pasti suatu hari nanti dia akan kembali kepada Allah seperti mana kita yang pergi  merantau jauh, pasti akan pulang kembali ke tempat asal.

·         Maulana ada menceritakan kisah tentang seorang kafir yang menyemah berhala setiap hari selama 70tahun  dan menyebut Ya sonam kemudian tersasul menyebut Ya Somad. Allah kemudiannya menyebut labbaika ya ‘abdi sahutan demi sahutan disebabkan ketersasulan si kafir itu.  Malaikat berkata, sesungguhnya dia 70 tahun kafir dan hanya tersasul menyebut As-Somad Allah menyahutnya? Maka, jawab Allah

“Aku sentiasa menunggu taubat hamba-hambaku”

2-      Sebagai tanda menghargai nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, maka bertaubatlah pada setiap hari

3-      Dapat meredakan kemurkaan Allah SWT

“ Allah SWT tidak akan mengazab mereka selagi mana kamu (Rasulullah) bersama mereka. Allah SWT tidak akan mengazab kepada mereka selagi mana mereka bertaubat(beristighfar) kepada Allah”
Kalau kamu tahu apa yang aku tahu, nescaya kamu akan menangis banyak dan ketawa sedikit”

Turut diceritakan tentang seorang wanita Juhainah yang datang kepada Rasulullah Solallahu ‘alaihiwassalam dan mengatakan bahawa beliau telah terlanjur dan meminta agar dijalankan hukuman ke atas beliau.Kemudian Baginda bertanya di mana waris wanita itu dan meminta agar biar wanita itu selesai  bersalin dahulu kemudian datang kembali menemui Baginda. Setelah selesai bersalin, wanita itu datang buat kali keduanya untuk menerima hukuman. Baginda meminta wanita itu pulang buat kali keduanya agar dikitham/ menyusukan anaknya. 

Setelah itu wanita datang semula menemui Rasulullah Solallahu ‘alaihiwassalam dan bersedia untuk menerima hukuman. Lalu, Rasulullah meminta agar ditanam wanita itu sehingga separuh badan, diikatnya sekalian pakaiannya agar tidak terdedah auratnya ketika hukuman dijalankan. Kemudian hukuman ke atas wanita itu dijalankan. Pada ketika hukuman itu dijalankan, Sayyidina Umar RA ada di situ. Darah wanita itu terpercik terkena pada Sayyidina Umar RA dan beliau merasa jijik. Rasulullah kemudian bangun untuk solat jenazah wanita tersebut tetapi Sayyidina Umar RA tidak berpuas hati. Kemudian Rasulullah Solallahu ‘alaihiwassalam berkata :-

“Kalau diagihkan taubatnya wanita ini kepada seluruh penduduk Madinah, nescaya akan cukup untuk menampung taubatnya mereka”

Kemudian Maulana menceritakan  tentang kisah Nabi Musa ‘Alaihissalam. Umatnya Nabi Musa meminta agar Baginda memohon Allah menurunkan hujan. Kemudian, Allah berkata :

“Selagi mana ada seorang pendosa dalam kalangan kamu dan selagi mana dia tidak bertaubat, maka tidak akan diturunkan hujan”

Kemudian, Baginda bertanya kepada umatnya. Siapa yang dimaksudkan Allah itu. Kemudian, pendosa itu bertaubat tanpa memberitahu bahawa dialah pendosa yang dimaksudkan. Disebabkan taubat beliau, Allah menurunkan hujan.  Kemudian Allah tahan semula hujan daripada turun. Allah menurunkan hujan disebabkan lelaki itu dan Allah menahan hujan juga disebabkan lelaki itu. Nabi Musa ‘Alaihissalam bertanya siapakah gerangan lelaki yang dimaksudkan. Allah kemudian memberitahu bahawa Allah menurunkan hujan dan menahan hujan disebabkan taubat lelaki itu.  Kata Allah, jikalau sewaktu dia melakukan dosa Allah tidak zahirkannya, mengapa tidak setelah beliau bertaubat  Aku tidak zahirkannya?Maka, daripada cerita ini dapat disimpulkan bahawa bertaubat juga sebagai kurbah pada Allah yakni dekat pada Allah.

4-      Orang yang bertaubat akan mendapat kemuliaan daripada Allah

5-      Istijabah dalam berdoa (doanya mustajab)

Ulama’ ada mengatakan bahawa Allah memberi peluang kepada setiap hamba-hambaNya untuk bertaubat kerana rahmat dan kasih sayangnya yang tidak bertepi. Sesungguhnya, tidak mahu bertaubat itu bermaksud menunggu kemurkaan Allah.

            Diceritakan pula kisah Hassan Al-Basri yang didatangi oleh seorang  lelaki yang anaknya sakit, maka disuruh oleh Hassan Al-basri agar memohon keampunan pada Allah.  Kemudian, datang pula seseorang yang dirinya sendiri sakit, lalu disuruh juga oleh Hassan Al-basri  agar memohon keampunan pada Allah.  Seterusnya seorang lelaki datang menemui Hassan Al-Basri dan mengadu harga barang naik, maka disuruhnya juga bertaubat. Anak muridnya berasa hairan kerana setiap kali diminta penyelesaian akan sesuatu masalah, disuruhnya agar memohon keampunan  Allah. Lalu, bertanya kepada Hassan AL-Basri akan hal itu. Jawab Hassan Al-Basri, bahawa sesungguhnya ketika memohon keampunan kepada Allah seseorang itu dekat dengan Allah, mustajab doanya, dalam rahmat dan kasih sayang Allah.

Rasulullah Solallahu ‘alaihiwassalam pernah bertanya kepada sahabat tentang siapa orang yang muflis. Maka, jawab sahabat orang yang muflis adalah orang yang tidak ada sebarang harta. Jawab Rasulullah tidak. Lalu Baginda menjelaskan bahawa orang muflis adalah orang yang pada hari kiamat kelak, amalannya bagai gunung banyaknya tetapi dia merampas hak orang,dia memukul orang, mencaci dan mengambil harta orang lain. Maka, apabila sampai di mahkamah Allah, datang seorang demi seorang untuk menuntut haknya sehingga habis berbukit-bukit amalannya sehingga ditimbuni dengan dosa yang banyak dan natijahnya adalah ke neraka.

Taubat juga merupakan salah satu daripada tuntutan taqwa. Kelak Allah akan tanya balik, tidakkah kamu (kita) membaca ayat-ayatNya. Kemudian, disebutkan; kami (kita) tidak sempat kerana shiqwah yakni sibuk dengan sesuatu yang melalaikan daripada mengingat Allah SWT. Lalu, meminta agar Allah kembalikan ke dunia untuk bertaubat dan untuk membuat amal soleh. Allah berkata  dengan nada menghalau kepada orang yang meminta agar dikembalikan ke dunia itu. Sesungguhnya, apabila nyawa kita diambil, kehidupan dunia ditinggalkan, maka, tidak akan ada lagi peluang dan ruang untuk kembali ke dunia untuk bertaubat dan mengerjakan amal soleh.

6-      Taubat juga menyelamatkan kita daripada kehinaan Allah yang Maha dahsyat.
Sesungguhnya kemurkaan Allah itu tidak akan dapat diselamatkan hatta seorang itu membawa 70 ketaatan Nabi di hadapan Allah kelak di yaumul mahsyar, maka akan berkata ia celakalah aku pada hari ini. Namun, Allah itu Maha Pengasih dan Maha Penyayang serta sentiasa menunggu taubat hamba-hambaNya. Betapa ruginya kita sekiranya tidak mahu mengambil peluang untuk bertaubat kepada Allah.

“Allah Ta’ala menerima taubat seorang hamba Allah itu selagi mana nyawanya tidak dicabut”

Maka, sesungguhnya sempadan taubat itu ada dua yakni :-
1-      Individu : selama mana nyawa tidak sampai ke halkum seperti mana kisah tentang kematian Firaun di Laut Merah .Ada riwayat cerita firaun sebelum mati sempat beliau mengakui bahawa tuhan kepada Musa dan Harun adalah benar tetapi taubatnya tetap tidak diterima oleh Allah.

2-      Antarabangsa : Bilamana matahari terbit di sebelah barat, maka tidak akan diterima lagi taubat seorang hamba Allah itu

Oleh yang demikian, hargailah peluang yang Allah berikan kepada kita untuk bertaubat kepada Allah SWT.


Nota kaki : Nukilan ini adalah hasil daripada kuliah maghrib yang disampaikan oleh Murabbina Maulana Johari Bin Ali.

WAllahu'alam