Páginas

Saturday, December 14, 2013

::Penjelasan tentang hadis Ummati...Ummati::


Dengan Nama Allah yang Maha Pengasih lagi Mengasihani dan selawat dan salam ke atas junjungan besar Sayyiduna Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam

[Catatan Ilmu]

Perbicaraan Murabbina Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll tentang hadis Ummati...Ummati...



Ustaz merujuk kepada Al-Fadhil Ustaz Muhammad Hafiz Bin Surani, Pensyarah dalam bidang hadis di KUIS dan banyak mengkaji tentang hadis untuk menjawab persoalan tentang hadis Ummati...Ummati...Umm ati. Mudah-mudahan kita mendapat manfaat daripada beliau dan ilmu beliau. Mengikut beliau, hadis ini ada disebut di dalam kitab Durratun Naasihin karangan As-Syeikh Uthman Bin Hassan Bin Ahmad As-Syakir Al-Hubawi Al-Hanafi yang telah wafat pada tahun 1241H.

Beliau sebut tentang hadis ini di dalam kitab beliau Durratun Naasihin, tinggal lagi beliau tidak sebut akan sumbernya. Harus kita faham bahawa Syeikh Uthman Al-Hubawi ini orangnya alim, MaasyaAllah. Kitab beliau ini walaupun ada komen daripada para muhaddis yang lain tetapi diterima oleh para alim ulama' dan bukan sebarangan. Beliau telah mencatatkan hadis tersebut yang bermaksud: Hadis ini adalah hadis daripada Sayyidina Ali KaramAllahi wajhah,
Adalah Nabi Solallahu'alaihiwassalam di akhir nafas beliau (hampir-hampir hendak meninggal dunia) maka, Baginda menggerakkan kedua bibirnya dua kali. Maka, kata Sayyidina Ali; Aku mendekatkan pendengaranku supaya aku dengar dengan jelas. Maka, aku mendengar Baginda Solallahu'alaihiwassalam dengan cara yang sedikit perlahan.

"Ummati...Ummati (ummatku,ummatku)".

Ini hanyalah hadis yang meriwayatkan tentang Nabi Solallahu'alaihiwassalam menyebutkan tentang perkataan ummati, ummati memang sebelum Baginda wafat. Hadis yang lain masyhur tetapi ulama' menghukum bahawa ini bukan hadis yang sohih. Hadis yang mahsyur bermaksud selalu dibicarakan oleh alim ulama' sekalipun, ataupun para Masyaikh iaitu sebelum Nabi wafat, Nabi mengatakan "As-solah...As-solah (sembahyang...sembahyang...), An-Nisa' ittaqun Nisa' (perempuan jaga-jaga dengan perempuan)" dan akhirnya "Ummati...ummati...(ummatku,ummatku)". Jadi hadis sebegini pun tidak lari daripada komentar para alim ulama' sehingga ada juga yang mengatakan hadis ini hadis yang maudhu' tidak ada asal padanya dan hadis ini adalah hadis yang hanya mahsyur di lidah para penceramah ataupun para masyaikh.

Jadi kita sebutkan tadi tentang hadis ummati...ummati ada di dalam kitab Durratun Naasihin tinggal lagi tidak disebut oleh pengarang kitab ini dari mana sumbernya. Jadi hadis yang sohih, yang sabit tentang lafaz yang akhir Nabi sebut sebelum wafat Baginda apa dia?

"Antara yang akhir Nabi sebut ialah sembahyang dan jaga-jaga dengan orang yang ada di bawah tanggungan kamu itu."

Jadi, para ulama' mengatakan Nabi memperingatkan As-Solah, memperingatkan kepada siapa? Kepada Umat. Maka, tidak jauh juga walaupun Nabi tidak sebut ummati...ummati... Tapi As-Solah itu adalah untuk diingatkan kepada ummat ini bagi orang yang bersetuju bahawa hadis ummati...ummati itu walaupun tidak hadis yang sohih tetapi boleh diterima maknanya yang sohih. Hadis riwayat Imam Al-Bukhori, Imam Muslim, At-Tirmidzi, Ibnu Majah dan yang lain-lain menyebutkan perkataan akhir yang telah disebutkan oleh Nabis Solallahu'alaihiwassalam, "Ya Allah aku memilih untuk berada bersama di tempat yang tinggi". Bersama di tempat yang tinggi bermakna bersama dengan Allah Azza Wajalla. Maksudnya, dicabut nyawanya.

Di dalam riwayat yang lain, Nabi Solallahu'alaihiwassalam mengatakan, "Ya Allah ampunilah kesalahanku, rahmatilah aku dan sambungkanlah aku untuk bertemu dengan Allah yang Maha Tinggi".

Jadi, tentang hadis yang diriwayatkan oleh Sayyidina Ali ataupun ada hadis yang menyebutkan Nabi wafat di pangkuan Sayyidina Ali. Hadis yang lain yang dipersoalkan pada sekarang ini. Maka, kata Al Hafiz Ibn Hajar di dalam Fathul Bari, hadis yang mengatakan Nabi wafat di pangkuan Ali adalah riwayat syiah dan tidak patut dijadikan pegangan. Maksudnya kita tidak boleh mengambil hadis-hadis itu sebagai hujah tetapi dalam perkara makna hadis itu, kefahaman daripada hadis itu ada perbincangan lain selepas ini.InsyaAllah

Jadi, yang berkaitan dengan khilafah dan semua itu, ia sebenarnya bukan berkaitan dengan Nabi mewasiatkan Sayyidina Ali selepas daripadanya wafat kerana ada riwayat daripada Ibn Saad, Nabi mengucapkan As-Solah, As-Solah tetapi bukan dalam perkara khilafah itu. Jadi, hadis lain yang sohih, Nabi menyebut tentang ummati...ummati tetapi bukan ketika hampir-hampir nak wafat tetapi di ketika yang lain. Yang kita tidak jelas sekarang iaitu bila itu? kepada nak wafatnya Nabi. Tetapi hadis ini sohih. Hadis ini ada diriwayatkan di dalam sohih Muslim iaitu ketika Nabi sebelum wafat, bukan hampri-hampir hendak wafat. Ini harus kita faham. Nabi pernah sebelum Nabi wafat. Apa dia? Nabi ketika membaca firman Allah Subhanahwata'ala menyebut tentang rintihan dan doa Nabi Ibrahim.

"Ya Allah, Ya Tuhanku sesungguhnya berhala-berhala itu telah banyak menyesatkan kebanyakan manusia. Maka, sesiapa yang mengikutiku sesungguhnya orang itu termasuk daripada golonganku yang benar. Siapa yang tidak mengikutku. Maka, sesungguhnya ya Allah, Engkau ini Maha Pengampun dan Maha Mengasihani".

Bermakna orang tidak mengikut Nabi Ibrahim itu, dia akan diseksa oleh Allah Subhanahwata'ala. Jadi, Nabi Solallahu'alaihiwassalam bila membaca ini Nabi teringat akan kaumnya. Kalaulah kaumnya buat sedemikian, dia akan diseksa. Nabi tidak mahu itu. Jadi Nabi kemudian baca lagi ayat yang lain tentang doa Nabi Isa 'Alaihissalam. Nabi Isa mengatakan di dalam al-quran itu:

" Ya Allah jika Engkau menyeksa mereka iaitu kaum yang ingkar dan tidak mahu mengikut ajaranku. Maka, sesungguhnya mereka adalah hamba-hambaMu ya Allah. Dan jika Engkau mengampuni mereka. Maka, sesungguhnya Engkau Maha Perkasa, Maha Bijaksana".

Nabi menangis ketika itu kerana Nabi tidak mahu akan berlaku benda yang sama kepada ummat Nabi sepertimana rintihan Nabi Ibrahim dan Nabi Isa itu. Maka, Nabi mengangkat tangannya seraya berkata:

"Allahumma ummati..ummati".

Sama versionnya tadi tetapi ini sebelum Nabi wafat tetapi yang tadi dipersoalkan itu tadi hampir-hampir Nabi hendak wafat. Ini sebelum. Ya Allah ummatku...ummatku. Nabi concern sampai Nabi menangis. Allah Azza Wajalla berkata kepada Jibril 'Alaishissalam:

"Wahai Jibril kamu pergi kepada Muhammad, tanyakan apa yang menyebabkannya menangis".

Maka jibril bertanya kepada Nabi. Maka, Nabi mengatakan kepada Jibril, "Ya Jibril Ummatku, ummatku".

Maka, Allah Azza wajalla mengutuskan Jibril 'Alaihissalam. Maka, Allah menyuruh jibril untuk mengatakan kepada Baginda Solallahu'alaihiwassalam:

"Sesungguhnya Kami akan meredhaimu pada ummatmu dan Kami tidak akan menyebabkan kamu menjadi sedih kerana mereka. (maknanya kamu nanti akan ada syafaat untuk bantu ummat-ummatmu)."

Maka kesimpulan, yang pertama tadi melihat daripada an na'dul khariji, maka hadis yang mengatakan ummati...ummati seketika Nabi wafat itu kita katakan tidak ada sumbernya tetapi dia mahsyur diriwayatkan orang tetapi hadis ini dikatakan tidak sohih malah ada yang mengatakan hadis yang maudhu'. Tetapi ada juga yang meriwayatkan kerana apa? Kerana an na'dul daqili, kite beralih kepada yang kedua iaitu kerana makna iaitu sohih. Hadis yang diriwayatkan dalam Durratun Naasihin tadi, hadis itu walaupun telah dikatakan oleh sebahagian muhaddisin hadis itu hadis yang tidak benar, tidak sohih. Hatta, ada yang mengatakan hadis ini hadis yang maudhu' tetapi jangan kita lupa. Di dalam fiqhul hadis ada faham daripada hadis itu, itu betul. Nabi mengatakan ummati, ummati. Ini tiada kaitan dengan halal dan haram. Ini tidak ada kaitan dengan perkara aqidah dan maknanya betul. Maknanya Nabi itu sangat concern dengan ummat itu sangat betul. Sahihnya.

Maka, yang menzahirkan kecintaan Nabi yang mendalam terhadap ummat. Maka, kalaupun ada riwayat daripada syiah dan kita tidak akan terima riwayat daripada syiah tetapi maknanya itu sohih. Kerana dengan itu dikatakan dalam kaedah ambil mana yang elok dan bagus dan tinggalkan yang mana tidak bagus. Makna itu sohih. Kita tahu Nabi sangat concern terhadap ummat. Sebab itu kalau kita lihat apa yang telah disebutkan oleh Imam As-Syafie Rahimahullah. Katanya:

"Kalaulah kerana hanya cinta ahlul bait itu orang itu dituduh sebagai syiah Rafidah. Maka, bersaksilah akan jin dan manusia bahawa aku ini adalah Rafidhi."

Tinggal lagi, kita faham yang bukan Imam Syafie nak menyokong syiah. Bukan begitu. Bukan ini melibatkan aqidah, tidak. Kalaulah kerana sebab cinta ahlul bait itu orang menuduh seseorang itu syiah Rafidah. Maka, Imam Syafie mengatakan, "Aku cinta kepada ahlul bait, tidak mengapa kalau orang mengatakan begitu kepadaku walaupun aku tidak beraqidah sepertimana aqidah syiah Rafidiyyah. Maka, kalau hanya kerana cinta sahaja, aku dituduh sedemikian seolah-olah Imam Syafie mengatakan tidak mengapa. Aku memang cinta betul-betul ahlul baitin Nabi sepertimana yang telah diajar di dalam hadis. Maka, kerana itu Imam Syafie mengatakan sedemikian bukan kerana Imam Syafie syiah. Jadi, kita mengatakan kita menerima makna hadis itu sohih. Ummati...ummati itu maknanya sohih walaupun riwayatnya itu dibincangkan oleh ramai orang. Cuma yang penting jangan sampai dalam membicarakan hadis ini seolah-olah Nabi seperti tidak kasih kepada ummat tidak mengatakan sedemikian.

Orang jadi bingung dan jadi sibuk membicarakan perkara ini, akhirnya, apa kebaikan kepada kita untuk menambahkan cinta kepada Nabi Solallahu'alaihiwassalam sedangkan ustaz-ustaz atau masyaikh yang menggunakan hal itu bukan niatnya untuk menyebarkan fahaman syiah tetapi untuk menunjukkan Nabi cinta kepada ummat daripada kelahiran Baginda Solallahu'alaihiwassalam sampai kepada akhir Nabi hendak diwafatkan. Apapun ini memang menjadi pendebatan, maka kita mengatakan kita melihat hadis tersebut di dalam dua keadaan iaitu yang pertama daripada segi luarannya, daripada segi sanad dan matan hadisnya. Tetapi jangan lupa kita dengan kefahaman daripada hadis itu, maknanya yang sangat bagus walaupun kita tidak menyokong syiah tetapi makna itu bagus. Maka, kita terima dan kita bersetuju dengan Nabi kasih dan sayang kepada ummat. Mudah-mudahan ini dapat difahami dan menjernihkan akan kefahaman kita masing-masing dan kita secara tegas dan secara zahir mengatakan kita tidak mengikut syiah tetapi kita menggunakan kaedah ambil apa-apa yang tidak bertentang dengan syariat dan tinggalkan sesuatu yang ada kotoran padanya yang menyalahi syariat. Maka, mudah-mudahan ia menjadi pencerahan yang baik.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

WAllahu'alam

AL-Faqirah Wal-Haqirah Ila Allah Al-Ghani

Nota kaki: Catatan ini adalah berkenaan penjelasan Al-Fadhil Ustaz berkenaan komentar yang mengatakan hadis ummati...ummati ketika wafatnya Nabi adalah daripada syiah. Semoga bermanfaat. Jazakillahu khair kepada sahabat tercinta Insyirah Hafizah sebab pinjamkam MP3. 

[Penjelasan oleh Murabbina Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll di Maulid@IKIM.fm, 9 Safar 1435H]