Páginas

Friday, January 14, 2011

::Aku Terima Nikahnya::




"AKU TERIMA NIKAHNYA"
  Dengan kalam basmallah serta selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w sebagai permulaan penulisan daripada hamba yang lemah ini untuk sedikit tatapan mata dan hati para sahabat yang dirahmati Allah sekalian. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t kerana diberi peluang pada waktu ini untuk merasa nikmat hidup di dalam Iman dan juga Islam. Nikmat yang mana menjadi kayu ukur seseorang yang bergelar muslim. Pada saat ini, sedang menelaah subjek “ANATOMY”, menatap laptop dan dengan izin Allah ilham untuk mencoretkan sesuatu sebagai perkongsian atau lebih kepada perkongsian hati buat sahabat-sahabat yang dihormati. Kadang-kadang takut apa yang cuba disampaikan tidak memberikan mesej yang sebenarnya, tetapi Islam ajar kita setelah berusaha haruslah bertawakal dan berdoa agar sesuatu yang dilakukan itu berjaya.InsyaAllah



Promote "Let's Get Married"
  Khair, berbalik kepada tajuk yang cuba diketengahkan di dalam entri kali ini, “Aku Terima Nikahnya”, ana kira pasti ramai yang agak teruja untuk mengetahui apa yang sebenarnya yang bermain-main di fikiran ana pada ketika ini dan ana amat optimis bahawa tajuk-tajuk seperti ini amat popular dalam kalangan remaja khususnya terutamanya dalam kalangan mahasiswa. Tajuk yang nampak “simple” tetapi amat penting dalam proses memenuhi tuntutan “Maratib Amal” kita. Melihatkan perbualan yang semakin rancak berkenaan isu “perkahwinan” terutamanya dalam kalangan sahabat-sahabat sekampus ana dan tidak kurang sekuliyyah, ana tersenyum sendiri. Hebat penangan sebuah “perkahwinan” ini. Ramai juga abang-abang dan kakak-kakak yang sudah berkahwin ketika belajar di kampus dan tidak kurang yang sudah bertunang. Program-program atau talk-talk berkenaan hal ini juga sering kali mendapat sambutan yang hangat daripada sahabat-sahabat UIAM dan tidak ketinggalan sahabat-sahabat dari universiti-universiti lain. Sebagai contoh progam terdekat “Let’s Get Married” anjuran DNT Nurss dalam CAMPRO.



Baitul Muslim Impian


   
  Soalan-soalan bila nak kahwin? Ciri-ciri calon suami atau isteri? Pandangan berkenaan berkahwin di usia muda? Seringkali menjadi “highlight” utama apabila perihal perkahwinan dibincangkan. Apabila seorang yang memulakan tentang perkahwinan, mulalah nak meleret-meleret dibincangkannya. Geli hati betul dengan ragam sahabat-sahabat. Apabila status-status berkenaan “cinta” dan “kahwin” dipostkan, mulalah panjang lebar komen-komenya. Geleng-geleng kepala sambil berkata “Pantang post pasai cinta atau kahwin sikit mulalah panjang berjela komen-komennya”. Tersenyum lagi memikirkan hal ini. Sahabat-sahabat~  Itu kebiasaan fitrah manusia. Tidaklah menyalahi norma atau fitrah kita seandainya ramai yang lebih tertarik untuk berbincang tentang cinta,perkahwinan dan baitul muslim terutamanya ketika perubahan fasa kanak-kanak kepada fasa remaja dan dewasa. Cuba renungkan ayat Allah ini,


“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak] dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga”.(Ali-Imran:14))

   Betapa Allah itu Maha Hebat. Tidak Dia ciptakan sesuatu itu sia-sia. Hatta, sekecil-kecil zarah. Dijadikan indah pada (pandangan) kita kecintaan kepada manusia dan bumi seisinya. Tetapi, jarang kita sedar bahawa  Allah jadikan sesuatu itu adalah sebagai tarbiyah atau ujian kepada kita untuk menguji sejauh mana kita menggunakan kehidupan  ini sebagai ladang menyubur ketaqwaan. Yakni menanamkan rasa takut kita dengan azab Allah dan untuk melihat sejauh mana nikmat yang diberikan itu disalurkan pada tempat yang sepatutnya. Bagaimana kita menggunakan mata untuk melihat perkara-perkara yang diredhai Allah, kaki berjalan ke majlis-majlis ilmu, telinga mendengar perkataan-perkataan yang bermanfaat, jari menekan papan kekunci komputer untuk menyampaikan perkara yang baik kepada awam.

  Boleh jadi perkahwinan itu juga adalah salah satu ujian untuk menguji sejauh mana ketaqwaan kita kepada Allah. Pelbagai bentuk cabaran atau dugaan yang bisa Allah jadikan untuk menguji sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Bagi golongan dakwah, seharusnya kerancakan dalam agenda dakwah itu seharusnya lebih mantap berbanding sebelum pernikahan. Itu yang ana lihat sekarang. Alhamdulillah, banyak contoh-contoh yang dekat dengan ana dan daripada itu ana belajar sedikit demi sedikit. Namun, ramai daripada kita seolah-olah cuba mengikut-ikut. Apabila mengetahui sahabatnya sudah bertunang, lantas membuat keputusan juga untuk bertunang. Ana sedih, konsep perkahwinan yang Islam anjurkan sebenarnya disalahtafsirkan. Islam itu mudah tetapi tidak bermakna ia sewenang-wenangnya di mudah-mudahkan. Kaji matlamat sebenar sebuah perkahwinan itu dahulu. Jika ia sekadar ikut-ikutan, tajdidkan kembali niat dan cuba mencari kembali matlamat sebenar apa peri pentingnya sesebuah “baitul muslim” itu.

"Perkahwinan itu Sunnahku, sesiapa yang tidak suka kepada Sunnahku, dia bukan daripada kalangan umatku"

(riwayat Al-Bukhari
)

  Di samping itu, apabila mengfokuskan pada topik “perkahwinan” ini, persediaan yang cukup juga amatlah penting. Daripada akhlaknya, rohaninya dan keseluruhannya. Seorang lelaki yang bakal bergelar Imam bagi si wanita yang bakal bergelar makmumnya seharusnya tahu aspek apa yang perlu untuk menjadi seorang suami yang soleh dan seorang bapa yang mithali buat bakal zuriat yang bakal dilahirkan kelak. Begitu juga si isteri, penumpuan dari pelbagai sudut juga haruslah diambil kira. Biar nanti baitul muslim yang bakal didirikan tidak lari dari matlamat sebenar sesebuah perkahwinan itu. Betapa dalam membina sebuah baitul muslim itu Rasulullah detailkan di dalam hadisnya sebagai panduan pemilihan calon isteri dan juga suami.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat".

  Tambahan pula, untuk membentuk sebuah baitul muslim yang baik. Pemerhatian daripada ta’arufnya sehinggalah kepada pernikahannya harus diambil kira. Ana pernah mendengar suatu pendapat daripada seorang Ustaz, berkenaan faktor-faktor yang perlu dititikberatkan di dalam proses sebuah pernikahan itu. Pada pandangan ana, cara penggunaan orang tengah untuk merisik si dia yang ingin disunting untuk menjadi suri hidup berbanding dengan meluahkan secara sendiri kepada si dia adalah lebih baik kerana melalui cara ini, muamalat antara kedua-duanya terjaga. Dan ana amat bersetuju dengan cara ini kerana ia juga dapat memelihara kita daripada zina hati dan sebagainya. Betapa sepanjang tempoh perkenalan itu juga seharusnya tidak menjadi tiket untuk menghalalkan pasangan tersebut untuk selalu berjumpa. Pertunangan juga hendaklah dirahsiakan seperti mana dalam hadis Rasulullah s.a.w.

“Rahsiakan pertunangan, khabarkan perkahwinan”

Atau di dalam hadis lain,

 Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Beritahulah kepada orang ramai akan nikah ini dengan pukulan gendang dan rebana". (riwayat Ibnu Majjah)

 
  Ana juga ingin “highlight” di sini berkenaan cara yang terbaik untuk membuat keputusan. Dalam membuat keputusan terutamanya keputusan berkenaan kehidupan masa hadapan kita hendaklah dibuat bukan berdasarkan nafsu dan emosi semata-mata. Cara yang Islam ajarkan itu amat indah. Dengan beristikharah yakni memohon pertolongan daripada Allah agar diberi petunjuk untuk membuat keputusan yang baik. Tidaklah dikatakan keputusan yang dibuat itu hanya berdasarkan emosi dan nafsu sahaja kerana sesungguhnya setiap keputusan yang diambil itu adalah bersandarkan kepada Allah s.w.t. Itulah cara yang terbaik sepatutnya diambil.

  Sungguh perkahwinan itu merupakan salah satu sunnah Rasulullah. Untuk memenuhi tuntutan sunnah perlulah kita untuk memastikan kita benar-benar faham mengapa ia menjadi sunnah yang amat-amat dituntut. Ingat, hukum sesebuah perkahwinan itu ada wajib, makruh, sunat, haram dan harus. Nilai diri kita pada golongan yang mana, adakah wajib atau sunat? Ataupun harus? Jangan jadikan perkahwinan itu sebagai ikut-ikutan apabila melihat sahabat kita berkahwin, jadi kita juga mahu berkahwin tetapi tidak tahu apa matlamat sebenar sebuah perkahwinan itu. Sekiranya sudah jelas dan sudah bersedia silakanlah untuk menjalankan salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w tercinta ini.

  Akhirul kalam, ana bukanlah orang yang terbaik untuk memberikan pandangan berkenaan isu yang bisa menarik hati-hati anak-anak muda ini. Cukup ini hanya sebagai pendapat peribadi daripada seorang hamba yang hina yang bisa sahaja ditolak atau diterima. Maaf dipinta andai kata tidak bisa menyentuh hati-hati para pembaca. Semoga beroleh manfaat. Segala yang baik itu daripada Allah , segala yang buruk itu adalah kelemahan diri ana sendiri. Semoga beroleh Zauj dan Zaujah yang soleh dan solehah. Allahumma Ameen3x

"Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik"

Wanita-wanita yang keji diperuntukkan untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji diperuntukkan untuk wanita yang keji pula, dan wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi waita yang baik pula."
(An Nur: 26)

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu."

“AKU TERIMA NIKAHNYA”

"Kalau ada yang mendambakan cintamu katakan yang cintamu hanya untuk Allah dan RasulNya. Jika ada yang meminta cintamu katakan yang cintamu sangat mahal kerana kau tidak mahu cintamu pada dunia dan seisinya melebihi cintamu kepada Allah dan RasulNya."

(Luahan Rasa Hati Seorang Muslimah)

Wallahua’lam

Nota kaki : Matlamat sebenar sebuah perkahwinan adalah semoga semangat dakwah semakin rancak. "Ya Allah ya Tuhankanku jadikan aku seorang  muslimah,anak, isteri dan ibu yang solehah" ~Ameen

Monday, January 10, 2011

:: Indahnya Istiqamah::



   Dengan kalam basmallah dan selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, pena perjuangan Musafirah dakwah meneruskan gerak langkahnya di medan dakwah pena. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Kuantan, merupakan lokasi seterusnya yang bakal mendidik diri untuk menjadi lebih matang dalam meneruskan perjuangan dalam semua bidang hatta akademiknya mahupun dakwahnya. Keseimbangan bagi kedua-dua cabang lapangan yang pada hakikatnya telah ditentukan oleh Allah ini merupakan salah satu manifestasi kesungguhan setiap daripada mahasiswa muslim yang faham akan tanggungjawab besar bagi mencorakkan rupa bentuk masyarakat Islam pada masa akan datang.

“Jikalau ingin mengetahui bagaimana rupa sesebuah negara itu pada masa hadapan, lihatlah pada anak-anak mudanya”

    Lain tempat lain cabarannya. Mencari kekuatan untuk istiqamah dalam sesuatu perkara itu adalah amat sukar dan sangat berharga. Ibarat mencari emas di celah-celah timbunan pasir.  Biarpun sukar tetapi dek kerana bernilainya harga istiqamah itu, lautan api sanggup diredahi.  Melihatkan pada maksud istiqamah itu sendiri, ana jadi tertarik. Cantiknya istiqamah. Subhanallah. Sudah menjadi sunnatullah setiap yang indah dan cantik itu pasti sukar untuk mendapatkannya. Seperti mana ikhlas, yang tersangatlah sukar untuk diterapkan di dalam hati kita seperti seekor semut hitam di batu yang hitam dan pada malam yang kelam. Begitulah analogi daripada sebuah hadis untuk menggambarkan betapa sukarnya mencari ikhlas itu.

  Berbalik kepada istiqamah atau  berpendirian tetap dan terus-terusan dalam melakukan sesuatu terutamanya amal ibadah yang telah dianjurkan di dalam Islam itu sendiri merupakan salah satu jalan yang bisa mendidik diri kita untuk mujahadah dalam melakukan sesuatu walaupun dalam kuantiti yang sedikit. Beristiqamah dalam melakukan sesuatu dalam kuantiti yang sedikit berbanding melakukan sesuatu perkara yang dianggap ibadah  dalam jumlah yang banyak adalah lebih baik kerana Allah tidak memandang amal ibadah kita itu berdasar sebanyak mana yang telah lakukan tetapi Allah memandang amal ibadah kita itu pada sudut hati kita yang ikhlas dan sentiasa terus-terusan serta berpendirian teguh melakukannya.

Ertinya : Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka wahai Muhammad kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: "Aku beriman kepada segala kitab yang diturunkan oleh
(As-Syu’ara:15)

  Melihatkan beberapa fenomena yang sering berlaku di hadapan mata sendiri, ana jadi risau. Berapa ramai sahabat-sahabat kita yang dulunya melalui zaman gelap dan akhirnya menemui petunjuk kembali pulang kepada zaman hitamnya kerana konsep istiqamah ini tidak dijadikan salah satu metodologi untuk terus kekal pada jalan yang Allah telah tetapkan buat kita yang bergelar muslim. Sedangkan dulu ketika di Luh mahfuz kita telah berjanji untuk mengikuti apa yang telah Allah tetapkan dan tidak akan sesekali melanggarinya. Di mana hilangnya “ISTIQAMAH” itu dalam diri kita?  Hakikat yang berlaku? Ana kira tidak perlu ana nyatakan betapa kita ini sering kali lupa atau buat-buat lupa tentang apa yang telah kita janjikan di hadapan Allah sewaktu di Luh Mahfuz. Allah…semoga kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang sering kali membolak balikkan perintah Allah seperti mana di dalam firmanNya:

Dan bila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan: "Kami Telah beriman". dan bila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka[25], mereka mengatakan: "Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok."Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terombang-ambing dalam kesesatan mereka.
(Al-Baqarah:14-15)

    Ruang lingkup Istiqamah itu sendiri amatlah luas. Dalam ibadahnya, dalam persoalan iman kita dan sebagainya. Perihal istiqamah ini boleh kita hayati berdasarkan kisah-kisah sahabat-sahabat Rasululullah seperti Bilal Bin Rabah, seorang hamba sahaya yang berpendirian teguh dengan kepercayaannya terhadap Allah merupakan Tuhan yang esa dan Tiada Tuhan selainnya kendatipun diseksa. Selain itu, kisah-kisah salah seorang syuhada’, Ukhti Reema Shalih yang tetap teguh dengan kepercayaannya bahawa Palestin itu harus dibela biarpun beliau terpaksa mengorbankan nyawa. Kalau dibandingan istiqamah yang ada pada diri ini dengan sahabat-sahabat yang terdahulu, amatlah jauh ibarat “langit dengan bumi”. Sangatlah kerdilnya diri ini.


Dunia sebagai ladang untuk bercucuk tanam

  Sungguh, diri ini amat takut apabila memikirkan perjalanan kehidupan yang masih panjang ini.  Banyak lagi yang diri ini perlu tahu tentang erti sebuah kehidupan yang sebenarnya. Apabila mengenangkan keadaan semasa yang sangat mendukacitakan, ana jadi takut. Takut tatkala kembali kepada Allah nanti dalam Su’ Ul Khatimah. Allah… takut yang teramat sangat. Melihatkan ramai-ramai yang berlumba-lumba untuk meraih kemasyuran manusia berbanding kemasyuran daripada Allah. Takut diri tergolong daripada golongan ini. Semakin bertambah umur, semakin bertambah tanggungjawab yang bakal digalas. Seorang anak, anak yang bagaimana? Seorang masyarakat, masyarakat yang bagaimana? Seorang isteri, isteri yang bagaimana? Seorang suami, suami yang bagaimana? Dan seorang ibu dan bapa yang bagaimana?

    Hidup kita ini penuh dengan tanda tanya, penuh dengan tribulasi-tribulasi yang kita tidak akan pernah meyangka. Cukup istiqamah itu menjadi kunci dalam memastikan kita untuk terus berada pada landasa yang sepatutnya. Indahnya, sekiranya semua faham apa yang dimaksudkan istiqamah. Sesungguh, Allah berhak untuk membolak-balikkan hati-hati kita sebagai salah satu ujian keimanan yang harus kita tempuhi. Sama ada untuk terus tetap pada apa yang telah ditetapkan ataupun mahu angkat kaki dari landasan yang sebenarnya? Kita yang menentukannya. Semoga kita sentiasa istiqamah pada jalanNya.

“Allahummar zuqnal istiqamah”

Nota kaki : Mohon agar kita sama-sama berdoa agar ditetapkan pada jalanNya. Allahumma Ameen

Thursday, December 16, 2010

::Amalan pada bulan Muharram::

Amalan pada bulan Muharram..!!

Amalan pada 1 Muharram:

1) Doa melihat awal bulan (termasuk bulan-bulan lain):

اَللَّهُمَّ أَهِّلْهُ عَلَيْنَا بِاْلأَمْنِ وَاْلإِيمَانِ، وَالسَّلاَمَةِ وَاْلإِسْلاَمِ، وَالسَّكِينَةِ وَالْعَافِيَةِ، وَالرِّزْقِ الْحَسَنِ وَالتَّوْفِيقِ، كَمَا تُحِبُّ وَتَرْضَى، رَبُّنَا وَرَبُّكَ اللهُ.

“Ya Allah, perlihatkanlah ia kepada kami dengan keamanan, keimanan, keselamatan, keIslaman, ketenangan, keafiatan dan rezeki yang baik serta taufiq seperti apa yang Engkau suka dan redha. Tuhan kami dan Tuhanmu adalah Allah.” (Riwayat Ath-Thobrani dari Ibn Umar).

2) Doa:

اَللَّهُمَّ أَنتَ اْلأَبَدِيُّ الْقَدِيمُ، الْحَيُّ الْكَرِيمُ، الْحَنَّانُ الْمَنَّانُ، وَهَذِهِ سَنَةٌ جَدِيدَةٌ، نَسْأَلُكَ فِيهَا الْعِصْمَةَ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ وَأَوْلِيَائِهِ، وَالْعَوْنَ عَلَى هَذِهِ النَّفْسِ اْلأَمَّارَةِ بِالسُّوءِ، وَاْلإِشْتِغَالِ بِمَا يُقَرِّبُنَا إِلَيْكَ، يَا ذَا الْجَلاَلِ وَاْلإِكْرَامِ.

“Ya Allah, Engkaulah Tuhan yang Kekal, yang Tiada Permulaan, yang Hidup, yang Berdiri dengan SendiriNya, yang Mulia, yang Lemah Lembut, yang Memberi. Dan inilah tahun baru. Kami memohon kepadaMu Ya Allah padanya pemeliharaan dari syaitan yang direjam dan kuncu-kuncunya, dan pertolongan atas nafsu yang mendorong kepada kejahatan, dan menyibukkan diri dengan apa yang boleh mendekatkan diri kami kepada Mu, wahai Allah, yang Mempunyai Keagungan dan Kemuliaan.”

3) Doa Sayyid Ahmad Zaini Dahlan, Mufti Syafi’e di Makkah pada abad ke-19. (Dibaca pada 1-10 Muharram, sebanyak 3x, setiap hari):

اَللَّهُمَّ إِنَّكَ قَدِيمٌ، وَهَذَا عَامٌ جَدِيدٌ قَدْ أَقْبَلَ وَسَنَةٌ جَدِيدَةٌ قَدْ أَقْبَلَتْ، نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهَا وَنَعُوذُ بِكَ مِن شَرِّهَا، وَنَسْتَكْفِيكَ فَوَاتَهَا وَشُغْلَهَا، فَارْزُقْنَا الْعِصْمَةَ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيمِ، اَللَّهُمَّ إِنَّكَ سَلَطْتَ عَلَيْنَا عَدُوًّا بَصِيرًا بِعُيُوبِنَا، وَمُطَّلِعًا عَلَى عَوْرَاتِنَا مِن بَيْنِ أَيْدِينَا وَمِنْ خَلْفِنَا، وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَشَمَائِلِنَا، يَرَانَا هُوَ وَقَبِيلُهُ مِنْ حَيْثُ لاَ نَرَاهُمْ. اَللَّهُمَّ آيِسْهُ مِنَّا كَمَا آيَسْتَهُ مِن رَّحْمَتِكَ، وَقَنِّطْهُ مِنَّا كَمَا قََنَّطْتَهُ مِنْ عَفْوِكَ، وَبَاعِدْ بَيْنَنَا وَبَيْنَهُ كَمَا حُلْتَ بَيْنَهُ وَبَيْنَ مَغْفِرَتِكَ، إِنَّكَ قَادِرٌ عَلَى ذَلِكَ، وَأَنتَ الْفَعَّالُ لِمَا تُرِيدُ، وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ.

“Ya Allah, Engkaku Tuhan yang tiada permulaan, tahun baru ini telah datang. Kami memohon kepadaMu dari kebaikannya dan kami berlindung dariMu dari kejahatannya. Dan kami memohon penjagaan dariMu dari perginya dan kesibukannya, maka rezekikanlah kami dengan penjagaanMu dari syaitan yang direjam. Ya Allah, Engkau telah memberi kuasa kepada kami musuh kami yang dapat melihat keaiban kami, dan mengetahui cacat cela di hadapan dan di belakang kami, di kanan dan di kiri kami, dia dan kuncu-kuncunya melihat kami sedangkan kami tidak dapat melihat mereka. Ya Allah, jadikanlah ia berputus asa terhadap kami, seperti mana ia berputus asa dari rahmatMu, jadikanlah ia berputus asa terhadap kami, seperti mana ia berputus asa dari keampunanNya. Dan jauhkanlah ia dari kami seperti mana Engkau telah menghalangi antara ia dengan keampunanMu. Engkaulah yang berkuasa di atas perkara itu, Engkaulah Yang melakukan apa yang Engkau kehendaki. Semoga kesejahteraan dan keselamatan Allah kurniakan ke atas penghulu kita, Nabi Muhammad dan ke atas keluarga dan sahabat Baginda.”

4) Surah Al-Fatihah:

Malam 1 Muharram: 70x, 2 Muharram: 60x, 3 Muharram: 50x, 4 Muharram: 40x, 5 Muharram: 30x, 6 Muharram: 20x, 7 Muharram: 10x.

5) Ayat Al-Kursi, 360x (pesanan Syaikhuna, Syaikh Muhammad Nuruddin Marbu al-Banjari al-Makki).
Amalan pada 9 Muharram (Tasu’a’):

1) Puasa pada 9 Muharram (Tasu’a’)

Amalan pada 10 Muharram (‘Asyura’):

1) Puasa pada 10 Muharram (‘Asyura’): (Menghapuskan dosa setahun yang lalu)-maksud Hadith).

2) Bacaan (mengikut pesanan Asy-Syaikh Al-Ajhuri), (boleh dibaca 70x):

 
حَسْبُنَا اللهُ وَنِعْمَ الْوَكِيلِ، نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيرِ.

“Cukuplah kepada Allah kami berserah. Dialah sebaik-baik tempat berserah, sebaik-baik yang pemimpin dan sebaik-baik penolong.”
 
3) Bacaan:

سُبْحَانَ اللهِ مِلْءَ الْمِيزَانِ، وَمُنتَهَى الْعِلْمِ، وَمَبْلَغَ الرِّضَى، وَزِنَةَ الْعَرْشِ، لاَ مَلْجَأَ وَلاَ مَنجَأَ مِنَ اللهِ إِلاَّ إِلَيْهِ، سُبْحَانَ اللهِ عَدَدَ الشَّفْعِ وَالْوَتْرِ، وَعَدَدَ كَلِمَاتِ رَبِّنَا التَّامَّاتِ كُلِّهَا، نَسْأَلُكَ السَّلاَمَةَ بِرَحْمَتِكَ يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، وَلاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِاللهِ الْعَلِيِّ الْعَظِيمِ، وَهُوَ حَسْبِي وَنِعْمَ الْوَكِيلِ، نِعْمَ الْمَوْلَى وَنِعْمَ النَّصِيرِ، وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ أَجْمَعِينَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ. 

“Maha Suci Allah sepenuh timbangan, sehabis ilmu, sejauh ridhaNya, seberat Arasy, tidak ada tempat berlindung dan berlepas diri dari Allah, melainkan kepadaNya. Maha Suci Allah sebanyak bilangan yang genap dan yang ganjil, sebanyak bilangan kalimat Allah yang sempurna semuanya, kami memohon kepadaMu keselamatan dengan rahmat dariMu, wahai Tuhan yang Penyayang di antara yang menyayangi, dan tiada daya (dari berbuat kejahatan melainkan dengan perlindungan Allah) dan tiada kekuatan (untuk melakukan ketaatan melainkan dengan pertolongan Allah), melainkan dengan izin Allah, yang Maha Tinggi, lagi Maha Agung. Dialah cukup bagiku dan Dialah sebaik-baik Pemimpin dan sebaik-baik Penolong. Semoga kesejahteraan Allah kurniakan ke atas penghulu kita, Nabi Muhammad dan ke atas keluarga dan sahabat Baginda kesemuanya, dan segala pujian hanya layak bagi Allah, Tuhan sekelian alam.”

4) Doa:

اَللَّهُمَّ يَا مُفَرِّجَ كُلِّ كَرْبٍ، وَيَا مُخْرِجَ ذِي النُّونِ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَيَا جَامِعَ شَمْلِ يَعْقُوبَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَيَا غَافِرَ ذَنبِ دَاوُدَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَيَا كَاشِفَ ضُرِّ أَيُّوبَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَيَا سَامِعَ دَعْوَةِ مُوسَى وَهَارُونَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَيَا خَالِقَ رُوحِ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ صَلَّى الله عَلَيه وَسَلَّمَ حَبِيبِكَ وَمُصْطَفَاكَ يَوْمَ عَاشُورَاءَ، وَيَا رَحْمَنَ الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ، لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنتَ، إِقْضِ حَاجَاتِنَا فِي الدُّنْيَا وَاْلآخِرَةِ، وَأَطِلْ أَعْمَارَنَا فِي طَاعَتِكَ وَمَحَبَّتِكَ وَرِضَاكَ، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، وَأَحْيِنَا حَيَاةً طَيِّبَةً، وَتَوَفَّنَا عَلَى اْلإِسْلاَمِ وَاْلإِيمَانِ، يَا أَرْحَمَ الرَّاحِمِينَ، وَصَلَّى اللهُ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسَلَّمَ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ رَبِّ الْعَالَمِينَ.

“Ya Allah, Yang melepaskan setiap kesulitan, wahai Yang mengeluarkan Zi an-Nun (Nabi Yunus dari perut ikan nun) pada hari ‘Asyura’, wahai Yang mengumpulkan keluarga Nabi Yaaqub pada hari ‘Asyura’, wahai Yang mengampunkan Nabi Daud pada hari ‘Asyura’, wahai Yang melepaskan kesulitan Nabi Ayub pada hari ‘Asyura’, wahai Yang mendengar doa Nabi Musa dan Nabi Harun pada hari ‘Asyura’, wahai Yang menjadikan roh penghulu kita, Nabi Muhammad, kekasih dan pilihanMu pada hari ‘Asyura’, wahai Tuhan dunia dan akhirat, Tiada Tuhan selain Engkau, tunaikanlah hajat-hajat kami di dunia dan akhirat, dan panjangkanlah umur kami dalam ketaatan kepadaMu, kasih sayangMu dan keredhaanMu, wahai Yang Pengasih di antara yang mengasihi. Dan hidupkanlah kami dengan kehidupan yang baik, dan matikanlah kami dalam agama Islam dan iman, wahai Yang Pengasih di antara yang mengasihi. Semoga kesejahteraan dan kesejahteraan Allah kurniakan ke atas penghulu kita, Nabi Muhammad dan ke atas keluarga dan sahabat Baginda, dan segala pujian hanya layak bagi Allah, Tuhan sekelian alam.” 

5) Doa Nabi Yunus (dibaca 41 kali, selama 40 hari tanpa putus, setelah solat Subuh sebelum berubah kedudukan Tahiyyat Akhir):

لاَ إِلَهَ إِلاَّ أَنتَ، سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنتُ مِنَ الظَّالِمِينَ

“Tiada Tuhan melainkan Engkau Ya Allah, Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku termasuk dalam kalangan orang-orang yang berbuat zalim.”

6) Berbuat baik kepada ayat yatim (diberi kebaikan sebanyak rambut di kepalanya).

7) Bersedekah kepada fakir miskin.

8) Meluaskan perbelanjaan rumah tangga: (“Sesiapa yang melapangkan perbelanjaan ke atas keluarganya pada hari ‘Asyura’, Allah akan meluaskan rezekinya pada tahun itu”-Riwayat Al-Baihaqi dari Abu Sa’id al-Khudri).

9) Bercelak-mata, dan amalan ubudiyyah yang lain.

Disediakan oleh:

Al-Faqir ilallahil Qadir, Muhadir bin Haji Joll, Surau Al-Ulum, Kota Damansara, 1 Muharram 1431H/ 18 Disember 2009M.
Sebarkan...!!

sumber : http://jomtalaqi.blogspot.com/

:: Apa yang Istimewanya 10 Muharam?::


  

  Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w  penghulu kepada sekelian Nabi.  Alhamdulillah dengan penuh syukur dan takzimnya setiap daripada kita perlu rafa’kan kepada Allah s.w.t kerana diberi kesempatan untuk merasakan kenikmatan Iman dan Islam sehingga hari ini dan saat ini. Sudah lama rasanya tidak menaip untuk mengisi ruangan blog yang diharapkan dapat memberi manfaat buat setiap sahabat pembaca. Terasa tari jari jemari agak sedikit pincang dek kerana sudah lama tidak menaip. Maaf dipinta buat para pembaca yang sering kali singgah tetapi  yang hanya menemukan blog yang sudah lama tidak diupdate. Begitulah fitrah manusia, membuat sesuatu perkara itu susah untuk istiqamah tetapi kalau dapat istiqamah pasti akan merasakan kelazatannya seperti apa yang telah Syaikhuna tercinta Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll nyatakan,

Ingatlah,beristiqomah AMAT2 SUSAH. Tetapi sesiapa yg memilikinya, akan merasa KELAZATAN. "

  Khair, dalam kita sedar atau  tidak sedar, hari ini kita sudah masuk  10 Muharam tahun 1432 Hijrah atau nama lain bagi hari ini ialah Hari ‘Asyura  yang berasal daripada perkataan arab “’asyarah” yang bermaksud sepuluh.  Menyingkap sejarah di sebalik tanggal 10 Muharam ini, ia punya sejarah khusus yang menjadikan ia hari yang istimewa. Kenapa ya agak-agaknya?  Berikut adalah sejarah-sejarah khusus yang berlaku pada tanggal 10 Muharam ini yang ana rujuk daripada sebuah laman sesawang.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku pada 10 Muharam:-

1. Hari pertama Allah menciptakan alam.
2. Hari pertama Allah menurunkan rahmat.
3. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
4. Hari Allah menjadikan ‘Arasy.
5. Allah menajdikan Loh Mahfuz.
6. Allah menajdikan malaikat Jibrail.
7. Allah menciptakan Nabi Adam.
8. Allah mengampunkan kesalahan Nabi Adam.
9, Nabi Idris diangkat ke langit.
10. Allah melabuhkan bahtera Nabi Nuh di Bukit Judi (ada sandarannya – hadis riwayat Imam Bukhari).
11. Nabi Ibrahim dilahirkan.
12. Nabi Ibrahim diselamatkan daripada api.
13. Nabi Yusuf dibebaskan daripada penjara.
14. Nabi Yaaqub pulih daripada buta.
15. Penyakit Nabi Ayyub disembuhkan.
16. Nabi Musa diselamatkan daripada Firaun di Laut Merah.
17. Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa.
18. Nabi Yunus dikeluarkan daripada ikan.
19. Allah ‘mengangkat’ Nabi Isa.
20. Saiyidina Hussin syahid di medan Karbala (disahkan oleh para sejarahwan)

  Sedikit pendetailan berkenaan peristiwa Nabi Ibrahim diselamatkan daripada api, kisah nabi Musa yang diselamatkan daripada Firaun di Laut Merah dan kisah Nabi Nuh yang ditentang kaumnya agar lebih jelas mengapa10 Muharam ini sangat istimewa.

 Menyorot sekitar peristiwa Nabi Nuh as yang dibantu Allah untuk menghapuskan umatnya yang ingkar. Umatnya yang ingkar, kufur dan syirik dihancurkan serta dibinasakan oleh Allah swt, dengan banjir taufan selama enam bulan lamanya. Setelah banjir surut, kemudian Nabi Nuh as dan pengikut-pengikutnya berjumlah kurang lebih 80 orang turun dari kapal dengan aman serta selamat tepat pada tanggal 10 Muharram. 

  Begitu juga Nabi Ibrahim as. keluar dengan selamat dari api unggun yang dinyalakan Raja Namrud untuk membakarnya, tepat pada tanggal 10 Muharram. Allah telah memerintahkan api unggun itu untuk menjadi dingin sehingga nabi Ibrahim tidak terluka sedikitpun. Allah berfirman

قُلْنَا يَا نَارُ كُونِى بَردًا وَسَلاَمًا عَلَى إِبْرَاهِيْمَ.

Kami telah berfirman,

“Wahai api jadilah dingin dan selamat atas Ibrahim.”
(QS: Al Anbiya 69).

 Nabi Musa dan ummatnya mendapat kemenangan dan keselamatan dari Allah swt. dengan hancurnya Fir’aun beserta bala tenteranya yang ditenggelamkan Allah di lautan tepat pada 10 Muharram. Kerana itu, setiap 10 Muharram Nabi Musa berpuasa dengan menrafa’kan syukur kepada Allah swt.

  Demikian kisah-kisah yang berlaku ini menjadi bukti jelas mengapa 10 Muharam sangat istimewa. Di samping itu, pada hari itu Allah menerima taubat umat-umat terdahulu dan juga umat-umat yang terkemudian berdasarkan suatu hadis,

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِى صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَ : أَيُّ شَهْرٍ تَأْمُرُنِى أَنْ تَصُومَ بَعْدَ رَمَضَانَ؟ قَالَ: إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ رَمَضَان فَصُمْ المُحَرَّمَ, فَإِنَّهُ شَهْرُ اللهِ, فِيْهِ يَوْمٌ تَابَ فِيْهِ عَلَى قَومٍ وَيَتُوبُ عَلَى قَومٍ آخَرِيْنَ

“Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad saw. dan bertanya: “pada bulan apakah Rasulullah memerintahkan saya berpuasa setelah Ramadan” Beliau Menjawab: “Apabila engkau (ingin) berpuasa setelah Ramadan, berpuasalah pada bulan Muharram, sesungguhnya bulan itu bulan Allah, didalamnya ada hari dimana Allah menerima taubat suatu kaum dan akan menerima taubat kaum-kaum yang lain (yaitu hari Asyura )”

  Justeru itu, kesempatan yang ada pada Hari ‘Asyura haruslah digunakan sebaik-baiknya untuk meningkatkan amal ibadah kepada Rabb seluruh makhluk di dunia. Salah satu ibadah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ialah berpuasa pada hari tersebut. Berikut salah satu hadis Riwayat Muslim yang terkenal akak kesahihannya,

“Nabi s.a.w pernah ditanya tentang puasa ‘asyura, lalu Baginda menjawab: Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”
(Hadis Muslim)

   Semoga permusafiran kita yang sementara di bumi Allah ini memberikan kita ruang untuk menyemai ketaqwaan dan kasih sayang kita kepada Allah. Salam Permusafiran buat semua di dalam tahun 1432H.

Wallahu Ta’al ‘Alam

Sumber rujukan: http://pondokhabib.wordpress.com