Páginas

Tuesday, May 28, 2013

::Sanah Helwah ya Habib::

Beliau Guru Mulia Al-Habib Umar Bin Salim Bin Hafidz. 


SANAH HELWAH ,YA HABIB yang ke-50

27 MEI 1963 bersamaan 4 Muharram 1383H

Lahirnya seorang ulama Hadramaut ,Yaman berketurunan Rasulullah saw yg ke-39.


[ Al Habib Umar Bin Muhammad Bin Salim Bin Hafidz ]

''Barangsiapa yang tidak mahu duduk dengan orang beruntung, bagaimana mungkin ia akan beruntung dan barangsiapa yang duduk dengan orang beruntung bagaimana mungkin ia tidak akan beruntung.''

Ya Allah lanjutkanlah usia Sang guru mulia kami agar terus menyampaikan risalah-risalahMu dan menyambung perjuangan nendanya Rasulullah SAW ..

tribute untuk Al-habib.

Kenali Siapa Guru Mulia ini yang sentiasa membuatkan diri bertambah cinta kepada Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam apabila memandang dan membaca akan kalam-kalam hikmahnya. 


Al-Alamah al-Habib Umar bin Muhammad bin Salim bin Hafiz bin Abdullah bin Abi Bakr bin Idrus bin Umar bin Idrus bin Umar bin Abi Bakr bin Idrus bin al-Husin bin al-Shaikh Abi bakr bin Salim bin Abdullah bin Abd. al-Rahman bin Abdullah bin al-Shikh Abd. al-Rahman al-Saqaf bin Muhammad Maulay al-Duwailah bin Ali bin Alawi bin Muhammad sahib al-saumiah ibn Alawi bin Abdullah bin al-Imam al-Muhajir ila Allah Ahmad bin Isa bin Muhammad al-Naqib bin Ali al-Aridhy bin Jafar al-Sadiq bin Muhammad al-Baqir bin Ali Zain al-Abiddin bin al-Husin al-Sibthi bin Ali bin Abi Thalib dan anak Fatimah al-Zahra’ binti Saidina Muhammad Khatam al-Nabiyin selawat, salam dan keberkatan ke atasnya dan ke atas mereka seluruhnya

Dilahirkan di Bandar Tarim, Hadramaut Negara Republik Yaman sebelum fajar hari Isnin 4 Muharam 1383H bersamaan 27 Mei 1963M. Mendapat pendidikan awal daripada bapanya yang ketika itu menjawat jawatan mufti di Tarim. Seterusnya menerima ilmu daripada ulamak-ulamak Hadramaut yang ada pada masa itu, antara guru beliau yang utama ialah al-Habib Salim bin Abdullah al-Shathry. Bermula tahun 1402H bersamaan 1982M al-Alamah al-Habib Umar berulang-alik ke al-Haramain al-Sharifain untuk menimba ilmu dan tarbiyah daripada al-Imam al-Arif al-Daiyah al-Habib Abd al-Qadir bin Ahmad al-Saqaf, al-Arif al-Daiyah al-Habib Ahmad bin Taha al-Hadad, al-Arif al-Alamah Abi Bakr al-Athas bin Abdullah al-Habasi dan beliau menerima ijazah al-Asanid daripada al-Musnid al-Shaikh Muhammad Yasin al-Fadany dan al-Alamah Muhadith al-Haramain al-Sayyid Muhammad bin Alawi al-Maliky dan ulamak-ulamak lain. 




Beliau mula mengajar dan melaksanakan tugasan dakwah Islam ketika berusia 15 tahun disamping meneruskan pengajian secara talaqi. Berdakwah, mengajar dan belajar telah sebati dalam jiwa beliau. Pada tahun 1414H bersamaan 1994M apabila kembali ke tanah tumpah darahnya, beliau telah mengasaskan sebuah pusat pendidikan Islam yang diberi nama “Dar al-Musthafa” di Bandar Tarim Hadramaut. Ini berikutan daripada pelajar-pelajar yang datang dari beberapa Negara Islam untuk menerima didikan daripada beliau. Diperingkat awal penubuhan Dar al-Mustafa diasaskan atas beberapa matlamat seperti berikut:-

1. Menimba ilmu syariat dan ilmu-ilmu yang berkaitan dengannya secara talaqi daripada guru-guru yang berkeahlian dalam bidang tersebut berserta sanad mereka

2. Membersihkan jiwa serta mendidik akhlak

3. Mengarusperdanakan ilmu-ilmu yang bermanafaat serta dakwah kepada Allah.



Akhirnya Dar al-Musthafa mampu membangunkan tapak pengajian sendiri yang dinobatkan secara rasmi sebagai sebuah pusat pengajian dan pendidikan Islam pada 29 Zu al-Hijjah bersamaan 6 Mei 1997. Kini Dar al-Mustafa begitu mendapat perhatian daripada pelajar-pelajar seluruh dunia Islam, ditambah pula graduan-graduannya telah diiktiraf oleh al-Azhar al-Sahrif dan kebanyakan universiti terkemuka dunia Islam.

Al-Alamah al-Habib Umar al-Hafiz telah banyak menbuat lawatan dakwah Islami dan menyampaikan ilmu syarak ke negara-negara Islam lain seperti Syria. Mesir, Sudan, Pakistan, Indonesia, Brunei Darussalam dan Negara kita Malaysia saban tahun

Sumber : Pondok Pasir Tumboh
Dikirim dalam Kalam Habib Umar bin Hafiz

WAllahu'alam

Nota kaki : Setiap kali masuk bulan mei fikiran mesti teringat-ingat akan tarikh 27 Mei ini kerana pada tarikh keramat ini lahirnya cucu cicit Baginda Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam yang bersungguh-sungguh meneruskan perjuangan nendanya Sayyiduna Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam.


::Nasihat Untuk Pemuda::


Khutbah Jumaat : Nasihat untuk pemuda

Cuba bayangkan ketika di padang mahsyar kelak, dalam keadaan yang panas terik terdapat 7 golongan yang telah disebutkan oleh Baginda Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam yang akan mendapat naungan atau teduhan oleh Allah. 7 golongan tersebut ialah :

“Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (HR. Abu Daud dan Ibnu Majah)

Lihat bagaimana Islam meletakkan golongan muda? Sehingga Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam sendiri telah menyebutkan bahawa golongan kedua yang bakal mendapat naungan Allah di akhirat kelak selepas pemerintah yang adil adalah pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Allah.

Melihatkan golongan tua rajin beribadah bukanlah suatu kehairanan bagi kita kerana umum mengetahui bahawa ketika umur inilah manusia merasakan semakin hampir untuk bertemu ilahi. Namun, yang perlu dihairankan adalah golongan tua yang masih tidak insaf dan menyedari akan kudrat dan waktu mereka yang semakin sempit. Tidak mahu ke masjid, sibuk berhibur dan sebagainya seolah-olah umur mereka masih panjang.

Tidak bagi golongan muda kerana fitrah atau kelaziman bagi anak muda atau pemuda biasa yang lebih cenderung untuk bermain cinta, berhibur dan sebagainya kerana merasakan masa mereka masih panjang. Islam amat menekankan bahawa golongan ini perlu diberi perhatian yang khusus.

Maka, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik anak-anak muda untuk dekat dengan agama demi keselamatan mereka daripada azab di akhirat kelak.

Sudah selesaikah mereka akan ilmu feqah?

Sudah selesaikah mereka akan ilmu fardhu ain?

Oleh yang demikian, manfaatkanlah waktu muda ini untuk beribadah kerana pada waktu mudalah peluang yang perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk mendapat kemuliaan di Padang Mahsyar kelak.

"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk" [AL-Kahfi:13]

Jadikanlah pemuda kahfi sebagai idola. Jadikanlah para sahabat di zaman Rasulullah sebagai "role model". Jangan hiraukan manusia lain dengan media yang melalaikan. FB, Gangan style, Twitter dan sebagainya.

Lihat bagaimana Usamah Bin Zaid yang pada ketika itu berumur 18 tahun yang menjadi panglima perang yang termuda membantu Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam. Lihat bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh yang telah berjaya menawan Konstantinople pada usianya 21 tahun. SubhanAllah...

Maka, pelajarilah lebih mendalam tentang agama kita kerana sesungguhnya agama Islam adalah agama yang mengeluarkan manusia daripada perhambaan, agama yang membebaskan manusia daripada kezaliman dan agama yang melepaskan manusia daripada kesempitan. Hayati kata-kata ini :

"Kalau kamu hendak bercinta, bercintalah setelah mendirikan rumah tangga. Kalau kamu hendak berhibur, berhiburlah dengan hiburan yang boleh mendekatkan dirimu dengan Allah. Kalau kamu ingin bermain, mainlah semahunya tetapi jangan sampai ibadahmu terabai"

Sayyiduna Umar Ibn Khatab berpesan kepada ibu bapa:

" Didiklah anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan bukan untuk zamanmu"

Oleh yang demikian, ibu bapa bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak.

"Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)" [Maryam:59]

"Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya" [At-Thur:21]

Al-Faqirah Wal Haqirah IlAllah Al-Ghani

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

WAllahu'alam

[Khutbah Jumaat oleh Ustaz Muhammad Bin Ibrahim, Masjid SHAS UIAMK, 4 Jamadil Awal 1434H]

Nota kaki : Kita (pemuda) punya pilihan sama ada untuk menjadi salah seorang pemuda yang telah disebutkan Rasulullah ini atau sebaliknya. Pemuda yang hebat adalah pemuda yang setiap perkara yang dilakukan hanya kerana Allah. Moga kita semualah pemuda dan pemudi tersebut. Ameen..

Thursday, May 23, 2013

::Tausiyah Malam Cinta Rasul 2013::






Tausiyah Habib Ali Zeinal Abidin El-Hamid 

Pada hari itu yakni hari perhitungan segala amal kita di padang Mahsyar, bumi akan menceritakan apa sahaja yang yang telah kita lakukan di atas muka bumi.

Di dalam sebuah Atshar disebutkan tetang sebuah kisah yakni kisah apabila sebuah lorong itu dilalui oleh seseorang yang berzikir kepada Allah, lorong itu akan membanggakan dirinya hanya kerana dirinya dilalui oleh seseorang yang berzikir kepada Allah. Apatah lagi orang yang hadir pada hari ini (merujuk kepada mereka-mereka yang hadir ke Malam Cinta Rasul di Dataran Merdeka). Tempat ini akan membangga-banggakan dirinya hanya kerana dirinya digunakan sebagai tempat untuk menyebarkan Mahabbah Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam.

Jika sebuah lorong sangat berbangga kerana dirinya dilalui oleh seseorang yang berzikir kepada Allah. Dataran Merdeka ini berbangga kerana dirinya digunakan sebagai tempat menyebarkan Haruman Mahabbah Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam, apatah lagi kita insan yang mukhallaf, bukankah kita terlibih-lebih lagi perlu bersyukur?

Sesungguhnya, ketika bumi dipilih untuk diciptakan, telah dipilih khalifah oleh Allah mengajak kepada Allah. Mereka antaranya adalah Para Nabi dan Rasul serta duat yang diciptakan untuk mengajak manusia ingat kepada Allah. Demikian Allah menciptakan mereka dengan membawa basyirat (khabar gembira) kepada makhluk Allah di atas muka bumi. Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam diciptakan oleh Allah sebagai penutup kepada para Nabi dan mempunyai kelebihannya yang tersendiri.

Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam pernah bersabda :

"Saya ini makhluk Allah untuk menjadi penutup kepada Para Nabi"

Dengan ditutupnya para Nabi itu dengan Sayyiduna Al-Habib Al-Musthofa Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam, risalah yang dibawa oleh Baginda adalah Universal. Sesuai untu semua orang. Risalah yang menyeluruh kepada seluruh bumi. Dengan Islam risalah itu tersebar.

"Barangsiapa yang mencari selain daripada Islam sebagai agamanya, maka dia adalah golongan yang rugi"

Dalam menyebarkan risalah ini, Allah menjadikan para pembantu kepada Nabi. Nabi Musa Alaihissalam, dipilih pembantunya oleh Allah untuk menolongnya. Maka, Allah juga menjadikan sebahagian daripada manusia untuk berjuang bersama-sama Nabi Solallahu 'alaihiwassalam.

Siapakah golongna-golongan yang Allah pilih itu?

Golongan-golongan tersebut adalah mereka-mereka yang terdiri daripada kalangan pemuda-pemuda yang berumur 15, 16, 20, 25 dan 30 tahun. Berkata Baginda Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam :

"Membantu akan saya kaum-kaum muda"

Di dalam sebuah hadis telah disebutkan tentang 7 golongan yang akan mendapat naungan Allah di hari yang tiada lagi naungan selain naungan Allah Subhana wata'ala. Salah satu golongan yang disebutkan itu adalah golongan pemuda.

“Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (HR. Abu Daud dan Ibnu Majah)

Golongan-golongan ini akan mendapat perlindungan daripada Allah di akhirat kelak. Antara mereka adalah golongan pemuda yang selalu beribadah kepada Allah dan tumbuh dalam kecintaan kepada Allah SWT. Sesungguhnya Allah berasa ta'jub dengan pemuda-pemuda yang kuat ibadahnya kepada Allah.

Allah telah menyebutkan beberapa kisah Pemuda di dalam Al-quran. Pemuda-pemuda ini antaranya ialah Sayyiduna Ibrahim Alaihissalam. Baginda telah menghancurkan berhala-berhala sembahan masyarakat pada ketika itu ketikamana umurnya masih muda. Kisah hebatnya disebut-sebut oleh Allah di dalam Al-quran dan menjadi pencetus semangat kepada penerus perjuangan membawa risalah Allah.

Selain itu, di dalam surah Al-Kahfi yang disunatkan untuk dibacakan pada setiap hari jumaat turut diceritakan tentang kisah-kisah hebat beberapa pemuda yang hebat. Mereka antaranya adalah Zulqarnain, Nabi Isa Alaihissalam, dan kisah pemuda-pemuda yang ditidurkan oleh Allah iaitu Ashabul kahfi. Kisah-kisah mereka dinukilkan oleh Allah di dalam al-quran sebagai bukti ketaatan mereka kepada Allah SWT.

Sesungguhnya, pemuda-pemuda yang dipilih oleh Allah untuk membantu Baginda Nabi Solallahu 'alaihiwassalam adalah mereka yang jujur dalam respon kepada arahan dan perintah Allah dan Rasulullah. Diceritakan tentang kisahnya Sayyiduna Anas Ibn Nadhar bapa saudaranya Sayyiduna Anas Ibn Malik yang juga seorang pemuda yang hebat. Menjadi penolong kepada Sayyiduna Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam.

Beliau ada contoh seorang pemuda yang jujur dalam responnya terhadap arahan Allah dan Rasulullah. Berkata Anas Ibn Nadhar :

" Bilamana Engkau izinkan aku untuk ikut berperang dan berjuang di medan peperangan, Engkau akan tahu bagaimana diriku berjuang"

Beliau terlepas peperangan Badar kerana pada waktu itu umurnya masih kecil. Beliau akhirnya, dapat mengikuti peperangan Uhud dan berjuang bersama-sama Sayyiduna Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam. Di dalam peperangan itu tentera muslim kalah. Ketika beransur pulang dari perang. Sayyiduna Saad Ibn Muaz berselisih dengan beliau. Kemudian, Sayyiduna Muaz bertanya kepada beliau ke mana beliau hendak pergi sedangkan pada ketika itu semua sudah beransur dari medan peperangan.

Keadaan yang tidak bersedia ini menyebabkan tentera Muslimin ditentang habis-habisan.

Dalam keadaan begitu, Anas terus maju ke hadapan menentang pihak musuh yang datang secara mengejut itu.

Lalu beliau menghampiri Saad bin Muaz dan berkata: "Lihat ya Saad, itulah sayap-sayap syurga yang telah kelihatan. Aku telah mencium keharuman kasturinya di bawah tanah Uhud".

Anas sudah mengetahui bahawa ajalnya sudah hampir menjemputnya di perang Uhud. Beliau terdengar seolah-olah bidadari syurga sedang memanggil-manggilnya. Kemudian Anas terus mengayunkan pedangnya ke kiri dan ke kanan memerangi musuh sedaya upaya.

Ketika itu, Anas berada di tengah-tengah pasukan musuh dan api peperangan semakin hebat membakar. Tiba-tiba terdengar satu suara daripada tentera Quraisy mengatakan Rasulullah telah dibunuh.

Mendengar laungan itu, Anas menjadi lemah dan hancurlah hatinya. Malah menambahkan lagi hasratnya untuk syahid di medan peperangan. Beliau semakin marah dan terus menentang musuh sambil hatinya berkata, "Muhammad telah pergi dan tidak kembali lagi. Muhammad telah berangkat ke hadrat Tuhan-Nya, dan biarlah aku orang yang mulamula mengikuti jejaknya dan berjuang di bawah kibaran benderanya".

Setelah itu, gugurlah pahlawan Anas dengan luka-luka pada jasadnya lebih daripada 80 tempat kerana terkena pedang, panah dan tombak musuh.

Hancur berkecai jasadnya sehingga tidak dikenali lagi, kecuali adik perempuannya yang dapat mengecam mayat Anas melalui jari-jari tangannya. Begitulah nasib Anas bin Nadhar yang telah syahid sebagai pahlawan Islam yang berani.

Nabi Solallahu 'alaihiwassalam kemudian terdiam, lalu turun firman Allah ini :

"Diantara golongan-golongan yang beriman, jujur dalam ketaatannya kepada Allah. Allah akan berlaku jujur kepadanya"

Berkata Sayyiduna Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam;

"Jujur di dalam setiap hal, akan diberi kejujuran sesuai dengan dengan kejujuran itu"

Selain itu, ada satu kisah lain yang jujur di dalam kata-katanya sehingga Allah membalas kejujurannya itu dengan kejujuran juga. Seorang sahabat berkata kepada Sayyiduna Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam bahawa akan bersungguh-sungguh berjuang sehingga beliau mati tertusuk anak panah ke lehernya sambil menunjukkan ke lehernya. Ternyata beliau syahid di dalam peperangan itu dan Nabi Solallahu 'alaihiwassalam mengatakan bahawa beliau syahid kerana tertusuk anak panah di lehernya, tepat-tepat pada tempat yang ditunjukkan olehnya kepada Rasulullah. SubhanAllah...

"Sekiranya kita bersungguh-sungguh dan jujur kepada Allah dalam melakukan sesuatu perkara, Allah akan membalas sesuatu dengan kejujuran"

Nilai sebuah kejujuran itu amat tinggi di sisi Allah. Raja Herculis menohmah Sayyiduna Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam sebagai pendusta di hadapan Abu Suffian. Abu Suffian pada ketika itu terus mengatakan kepada Raja Herculis;

"Dia (Rasulullah) tidak akan ditohmah sebagai pendusta. Bagaimana mungkin Rasulullah akan berdusta kepada Allah?"

Baginda Solallahu 'alaihiwassalam amat menghargai kejujuran sahabat-sahabat kepada Baginda. Bukan sahaja Para sahabat berlaku jujur kepada Rasulllah, bahkan haiwan juga jujur dengan Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam.

Seorang Arab badui (tinggal di padang pasir) berhasil menangkap seekor rusa dan mengikat lehernya, lalu membawanya ke Madinah. Rasulullah SAW yang berada di luar kota Madinah mendengar suara panggilan, “Wahai Rasulullah.” Kemudian Rasulullah SAW menoleh ke kanan dan ke kiri. Namun beliau tidak melihat seorang pun. Untuk kedua kalinya, beliau mendengar panggilan itu. Beliau pun menoleh, namun beliau tak melihat orang yang memanggilnya. Akhirnya beliau melihat seorang Arab badui sedang membawa seekor rusa. Beliau tahu bahwa panggilan itu berasal dari rusa tersebut.

Rasulullah mendekati rusa itu dan bertanya, “Apa keperluanmu?” Rusa itu menjawab, “Saya punya dua anak yang masih menyusui dan berada di balik gunung itu. Saya berharap sudilah kiranya Anda menjadi jaminan bagi kebebasanku, agar aku dapat pergi menyusui mereka dan kembali lagi.” Rasulullah SAW bertanya, “Apakah engkau pasti akan kembali?” Rusa menjawab, “Jika saya tidak kembali, semoga Allah menyiksaku dengan siksaan orang-orang yang memakan riba.”

Lalu Rasulullah SAW membicarakan soal pembebasan rusa dengan Arab badui itu. Ia menerimanya. Rasulullah melepaskan rusa itu dan langsung berlari ke balik gunung demi menemui anak-anaknya. Selang beberapa jam, rusa itu kembali.

Kejadian ini membuat Arab badui tersadar. Ia berkata kepada Rasulullah SAW, “Saya akan memenuhi apapun yang Anda inginkan.” Rasulullah SAW bersabda, “Lepaskanlah rusa ini.”

Arab badui itu melepaskan sang rusa dan berlari ke padang pasir seraya berkata, “Saya bersaksi bahwa tiada sesembahan selain Tuhan yang Maha Esa, dan engkau (Hai Muhammad) adalah utusan Allah.”

Oleh yang demikian, golongan muda hendaklah kembali kepada teras yang diikuti para sahabat di zaman Sayyiduna Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam yakni berlaku jujurlah dengan semua orang. Jujur kepada Allah dan jujurlah dengan selalu mengagungkan Nama Sayyiduna Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

WAllahu'alam

Al-Faqirah Wal Haqirah IlAllah Al-Ghani

[Tausiyah Habibuna Al-Habib Ali Zeinal Abidin El-Hamid, Malam Cinta Rasul, Dataran Merdeka Kuala Lumpur, 12 Jamadil Awal
1434H]

Notak kaki : Tausiyah Habib lebih memfokuskan kepada golongan muda. Sesungguhnya latihlah diri untuk
sentiasa berlaku jujur dalam setiap perkara

Tuesday, February 19, 2013

::BQ Di Hati::

Bumi Barakah..
Bumi Barokah Pondok Baitu Qurro' Wal Fuqoha' ♥



Selesai menadah kitab, duduk berqosidah si mawar-mawar agama di anjung pondok yang berbumbungkan langit yang terbentang kebiruan. Menunggu Mawleed pada malamnya, bersempena khatamnya kitab Safinatun Naja. Indah...SubhanAllah

Si adik sibuk menyapukan ithmid pada mata si kakak. Si kakak terkebil-kebil menahan kepedihan dek kerana kesan ithmid itu. Ketawa mereka pecah. Allah..

Tiba-tiba..

Kalimah Allah.. Kalimah Allah... Medongak ke langit kesemua mawar-mawar itu. Terpegun. SubhanAllah.. 

Mariam puteri kecil Mudir Pondok berlari mengkhabarkan kepadanya tentang khabar gembira ini. Si mawar-mawar yang sibuk memasak di dalam berlari-lari keluar agar tidak terlepas untuk melihat keindahan Allah yang ditunjukkan kepada si pelajar ilmu di situ.

Tangkap gambar..kata si adik. Kusyhuk sangat melihat kalimah yang indah itu. Terpegun..tergamam..terpesona. SuhanAllah..

YA HA NA NA.. YA HA NA NA.. YA HA NA NA..

Kemudian, Ustaz dan Ustazah masuk melihat keindahanNya itu. Allah... MaasyaAllah..betapa ustaz dan ustazah sangat gembira. Berkali-kali kalimah Hamdalah keluar daripada mulut Sang Guru Mulia itu. 

Bergemalah Qosidah Ya Ha Na Na.. di anjung kecil tempat berkumpulnya si mawar-mawar agama itu. Maka, bergembiralah mereka dengan khabar gembira daripada Allah itu. Busyralana..Busyralana..

Bertambah berseri dengan Mawleed pada malamnya dengan alunan-alunan Qosidah-qosidah yang indah daripada adik-adik Baitul Qurro'. Dengan pengisian tausiyahnya yang berbekas di hati oleh Sang Guru Mulia, dengan pengisian perutnya dengan nasi arab yang enak. Allah... Maka nikmat Allah yang mana satu yang mahu kau dustakan?

Di bumi ini kami berkumpul. Yang datang nun jauh di Australia, yang datang dari UIA, yang datang dari UITM, yang datang daripada seluruh pelosok dunia tempat belajarnya. Kerana satu matlamat, kami berkumpul. Kerana niat yang jitu Allah pertemukan kami. Tidak mengira latar belakang, bidang yang diambil. Indahnya sebuah pertemuan dan perpisahan berlandaskan syariat Islam. SubhanAllah...

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

WAllahu'alam

Al-Faqirah Wal-Haqirah Ilallah Al-Ghani 
Pondok Baitul Qurro' Wal Fuqaha'
5 Rabi'ul Awwal 1433H

Nota kaki : Kisah ini hanyalah sekadar perkongsian tentang keberkatan bumi Baitul Qurro'. Sebagai pembakar semangat untuk kita semua sampai ke sana.InsyaAllah Tidaklah kisah kecil ini ditulis melainkan mengharapkan redha dan rahmat Allah. Diri ini tiada apa-apa melainkan menumpang untuk meneguk sedikit ilmu di bumi yang barokah ini.

::Bukti Cinta::


Sollu alan Nabiy!
Beliau menghabiskan masanya 6 bulan untuk meriwayatkan hadis. Ketika perjalanan untuk menunaikan ibadah haji di Mekah, beliau terjumpa seorang wanita tua dan anaknya sedang memungut bangkai seekor itik. Melihatkan hal itu, beliau kemudiannya bertanya kepada wanita itu megapa bangkai itik itu dikutip. Kemudian jawab wanita itu bahawa bangkai itu sebagai makannya sekeluarga. 

Abdullah Ibnu Mubarak lantas berkata bahawa sesungguhnya bangkai diharamakan oleh Allah dan mengapa wanita tua itu masih mahu memakannya. Kemudian berkata wanita tua itu kepada Abdullah Ibn Mubarak, ia diharamkan untuk engkau tetapi bukan untuk kami. Abdullah Ibn Mubarak bertanya siapakah gerangan wanita tua itu dan jawabnya bahawa mereka adalah cicitnya Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam. Abdullah ibn Mubarak kemudian menyurh wanita tua itu menunjukkan rumahnya.

Betapa sedihnya Abdullah Ibn Mubarak melihat keadaan rumah wanita tua itu. Beliau mendermakan seluruh hartanya untuk urusan hajinya itu agar dibaiki rumahnya wanita tua itu dan untuk dibelanjakan untuk membeli makanan. Beliau kemudiannya balik dan tidak meneruskan perjalanannya untuk mengerjakan haji. Setelah tamat musim haji, orang kampungnya mengucapkan selamat kepadanya kerana telah menunaikan haji sedangkan beliau langsung tidak pergi menunaikan haji.

Abdullah Ibn Mubarak mengatakan bahawa beliau belum mengerjakan haji untuk tahun ini. Kemudian seorang lelaki mengatakan bahawa, "Bukankah kamu yang memberikan aku air zam-zam ketika di sana?" Abdullah Ibn Mubarak kehairanan mendengarkan hal itu.

Setelah kewafatan Abdullah Ibn Mubarak, seorang pemuda yang amat mengenali Abdullah Ibn Mubarak terlihat seorang lelaki seperti miripnya Abdullah Ibn Mubarak sedang bertawaf mengelilingi kaabah. Lalu, pemuda itu menghampiri lelaki tersebut dan bertanya adakah beliau saudara kembarnya Abdullah Ibn Mubarak. Kemudian lelaki itu bertanya adakah wajahnya mirip kepada Abdullah Ibn Mubarak. Maka, jawab pemuda itu ya sangat mirip. Lalu, berkata lelaki tersebut ketahuilah bahawa aku adalah malaikat yang diperintahkan oleh Allah untuk mengerjakan haji untuknya setiap kali musim haji kerana beliau telah mengorbankan hartanya untuk melaksanakan haji semata-mata untuk menolong ahli keluarga Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam.

SubhanAllah..betapa tingginya martabat orang-orang yang memuliakan ahli keluarga Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam.

Yang menyembelih sunnah Baginda Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam adalah umat Baginda sendiri. Bagaimanakah saat dibentangkan amalan-amalan ummat Baginda pada setiap hari isnin dan khamis? Pasti Rasulullah sedih melihatkannya. Allahu Allah..

Ayuh, kita buat keputusan yang tidak akan merugikan kita di akhirat kelak iaitu keputusan untuk taat dan cinta kepada Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam


Dari Anas bin Malik r.a. katanya : Bersabda Rasulullah s.a.w.:
"Tidak sempurna iman seseorang itu sehingga cintanya kepadaku melebihi cintanya kepada anaknya, bapanya dan sekelian manusia."

[Hadis sahih riwayat Muslim]

Sesungguhnya, cinta itu perlukan pengorbanan, mujahadah, melalui jalan yang panjang, merentasi ranjau yang berduri. Kesemuanya akan menjadi mudah apabila yang dilakukan itu hanyalah semata-mat untuk orang yang dicintai.

Oleh itu, usaha sungguh-sungguh yang tidak main-main dan usaha yang istiqamah untuk mendapatkan cinta itu. Agar sehingga hari kiamat kelak yang di dalam hatinya ada cinta yang amat mendalam kepada insan agung ini. Maka, orang yang mendalam cintanya itu kepada Allah dan Rasulullah lah yang akan dipanggil untuk kembali dalam keadaan lemah-lembut oleh Allah.


WAllahu'alam

Nota kaki : Kisah yang diceritakan oleh Maulana Johari Bin Ali di Pondok Al-Habib SyahrinizamBen Yahya, di Bukit Goh, Kuantan

Thursday, January 3, 2013

::Ibu Hebat, Anak Hebat::


KHALIFAH UMAR BIN ABDUL AZIZ

Membaca kisahnya Khalifah Umar Bin Abdul Aziz, satu kesimpulan dapat diambil, bahawa kehebatan beliau lahirnya daripada hebatnya seorang ibu. 

Dikisahkan bagaiamana ibunya dilamar sendiri oleh datuknya Khalifah Umar yang mentadbir negara pada ketika itu. Ketika datuknya membuat tinjauan di sekeliling kota Madinah dan baliau keletihan lalu bersandar di sebuat tembok. Tiba-tiba beliau terdengar suara seorang ibu dari sebuah rumah yang mengarahkan anak gadisnya agar mencampurkan air ke dalam susu.

Kemudian anak gadisnya berkata kepada ibunya bahawa bukankah ibunya telah mengetahui dasar yang telah ditetapkan oleh Khalifah Umar bahawa tidak boleh mencampurkan air dengan susu. Namun, ibunyaa tetap bertegas agar dicampurkan susu dengan air kerana pada ketika itu tiada sesiapa yang akan dapat melihat apa yang mereka lakukan. Lalu, si anak menegaskan bahawa, "Demi Allah, aku tidak mahu bersikap mentaatinya di tempat terbuka tetapi mengkhianatinya ketika bersendirian"

Setiap perbualan mereka secara tidak sengaja didengari oleh Khalifah Umar. Beliau berasa kagum dengan sikap si anak gadis itu. Lalu, beliau meminta agar disiasat latar belakang anak gadis itu dan ibunya. Di mana tempat tinggal mereka dan adakah ibunya masih bersuami serta anak gadis itu sudah bernikah. Setelah disiasat ternyata anak gadis itu belum bernikah.

Khalifah Umar lalu bertanya kepada anak-anaknya, adakah antara merka yang ingin bernikah. Dua orang daripada anaknya telah bernikah tetapi hanya seorang sahaja yang belum bernikah iaitu 'Asim. 'Asim kemudian bersetuju untuk bernikah dengan anak gadis itu. Ketahulah bahawa anak gadis yang bertuah itu adalah Laila, seorang anak gadis yang jujur dan mulia akhlaknya. Hasil daripada perkahwinan 'Asim dan Laila, maka lahirlah seorang Khalifah yang zuhud sifatnya iaitu Khalifah Umar Bin Abdul Aziz.

SubhanAllah Tabarakallah, sungguh daripada rahim seorang gadis yang jujur itu lahirnya seorang Khalifah yang agung. Maka, belajarlah untuk menjadi sehebat ibunya Khalifah Umar, agar dari rahim kita ini akan lahir seorang anak yang hebat. Betapa peranan seorang wanita yang bergelar ibu itu dalam melahirkan generasi yang hebat.InsyaAllah

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

"Didik wanita, terdidik generasi"

WAllahu'alam

[Kisah yang disimpulkan daripada Kitab Khalifah Zuhud Umar Bin Abdul Aziz karangan Syeikhuna As-Syeikh Muhammad Nuruddin Marbu Al-Banjari Al-Makki]

Thursday, November 15, 2012

::Lidah::


"Lidah itu lebih tajam daripada mata pedang"
Lidah digunakan untuk berbicara dan bercakap. Lidah juga merupakan amanah Allah yang wajib dipelihara dan dijaga. Walaupun saiznya kecil namun, boleh membawa kesan besar kepada semua. Pepatah arab ada mengatakan; “Lidah adalah lebih tajam daripada mata pedang” .

Lidah yang tugasnya untuk menghancurkan makanan bukan sahaja menyebabkan kehancurannya sesebuah suasana bahkan boleh menyebabkan kesan yang lebih besar iaitu kehancuran masyarakat, agama dan begitu juga negara. Sebagai contoh; Seorang pemimpin yang tidak menjaga perkataan yang keluar dari lidahnya akan membawa kesan yang besar kepada mereka yang berada di bawah kepimpinannya.

Di dalam sebuah hadis Riwayat Muslim maksudnya:

“Ada seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Siapakah orang muslim yang paling baik ?’Beliau menjawab, “Seseorang yang orang-orang muslim yang lain selamat dari gangguan lisan dan tangannya”.
[Hadis Riwayat Muslim]


Begitu juga disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran, maksudnya :

“Dan apa-apa perkataan yang keluar dari lidah kamu maka, pasti akan dicatat oleh malaikat"

Disebutkan juga di dalam sebuah hadis riwayat Imam Bukhari, maksudnya :

“Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka hendaklah dia mengatakan kebaikan atau diam"


[HR Bukhari]

Tanggungjawab lidah yang sebenarnya adalah mengajar untuk kenal akan Allah dan mengeluarkan perkataan yang baik-baik tetapi bukan sebaliknya. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai perkataan yang buruk keluar dari mulut hambaNya melainkan dia dizalimi. Apabila kita banyak berbicara, maka akan banyak salahnya, dan apabila banyak salahnya, maka, nerakalah tempatnya. Allah menjadikan lidah untuk kebaikan, berzikir dan mengamalkan amar ma’ruf dan nahi mungkar. 

Namun, terdapat segelintir daripada kita mudah untuk naik marah akan hal-hal yang kecil dan simple. Ketahuilah bahawa Sayyiduna Rasulullah Solallahu ‘alaihiwassalam pernah berpesan bahawa cukuplah marah itu apabila melibatkan hal yang berkaitan dengan Allah dan Rasul tetapi untuk selain daripada itu, maka bersabarlah. Dikisahkan betapa hebatnya Para Sahabat pada zaman Rasulullah yang bersungguh-sungguh menjaga lidah seperti kisahnya Sayyiduna Abu Bakar RA yang meletakkan batu lidahnya untuk menjaga lidahnya. Subhanallah..begitu hebatnya sahabat-sahabat dalam memelihara lidah mereka. 

Terdapat juga segelintir daripada kita yang gemar mengumpat. Ketahuilah bahawa mengumpat adalah salah satu daripada dosa-dosa besar. Firman Allah ada menyebutkan, maksudnya;

“Janganlah kamu mengumpat diantara satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan Daging saudaranya yang sudah Mati ? Maka tentulah kamu merasa Jijik kepadanya”

[Al-Hujuraat 12]

Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap daripada kita untuk menjaga lidah kerana lidah adalah salah satu daripada amanah Allah dan lidah juga mempunyai pengaruh yang besar pada yang lainnya. Allah berfirman di dalam al-Quran, maksunya;

“ Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan sombong dengan Allah, maka, neraka buat mereka dan mereka akan kekal di dalamnya”

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

Al-Faqirah Wal-Haqirah Ilallah Al-Ghani 

WAllahua'lam

[Khutbah Jumaat disampaikan oleh Imam Masjis SHAS UIAMK, Ustaz Zunaidin. 24 Zulhijjah 1433H. Masjid SHAS UIAMK]