Páginas

Sunday, July 8, 2012

::Muamalah seorang Muslimah::






Wanita solehah kebanggaan agama
Seorang wanita muda masuk ke masjid menemui Imam Hanbali pada zamannya lalu dia berkata, "Wahai Imam Hanbali, dengarkanlah kisahku ini semoga diriku dan dirimu mendapat keampunan Allah. Sesungguhnya saya ni seorang wanita yang miskin, saya tak punya apa-apa kecuali tiga orang anak yang masih kecil. Hidup saya sungguh melarat sehingga kami tak punya lampu untuk menerangi rumah. Bagi menyara kehidupan kami empat beranak, saya bekerja memintal benang pada waktu malam dan menjualnya di pasar pada siang hari."

"Di manakah suami kamu?" tanya Imam Hanbali. "Suami saya gugur syahid apabila bertempur dengan Khalifah Al-Mustakim yang kejam dan zalim. Sejak itu hidup kami melarat", jawab wanita itu.

Wanita itu menyambung, "Disebabkan rumah saya tak ada lampu, maka saya terpaksa menunggu sehingga bulan mengambang, maka barulah saya dapat memintal benang. Pada suatu malam, ada kafilah dagang dari Syam datang lalu singgah bermalam berhampiran dengan rumahku. Mereka membawa lampu yang banyak sehingga kawasan rumahku menjadi terang-benderang. Aku mengambil kesempatan untuk bekerja memintal benang di bawah cahaya lampu mereka. Persoalanku adalah apakah wang hasil jualan benang yang dipintal olehku daripada cahaya lampu milik kafilah itu halal untuk aku gunakan?"

Imam Hanbali merasa kagum mendengar cerita wanita itu lalu bertanya, "Siapakah kamu wahai wanita muda yang begitu mengambil berat akan hukum agama di saat umat Islam lalai dan kikir terhadap harta mereka?"

Wanita itu menjawab bahawa dia adalah adik perempuan kepada seorang Gabenor yang Imam Hanbali kenali iaitu Gabenor yang sangat beriman dan beramal soleh. Imam Hanbali menangis terkenang akan Gabenor yang sangat baik itu. Setelah tangisannya reda, maka Imam Hanbali berkata, "Sesungguhnya aku amat takut akan azab Allah, kerana itu berilah aku masa untuk menjawab pertanyaan kamu. Pulanglah ke rumah dan esok kamu datang lagi ke sini." Malam itu Imam Hanbali berdoa, bermunajat serta memohonj petunjuk dari Allah.

Esoknya wanita itu kembali ke masjid untuk mendapatkan jawapan yang dijanjikan. Lalu berkata Imam Hanbali, "Wahai wanita yang solehah, sesungguhnya kain penutup wajah yang kamu pakai itu adalah lebih baik daripada serban yang aku pakai. Sesungguhnya kamu seorang wanita yang berhati luhur, bertaqwa dan penuh rasa takut kepada Allah. Berkenaan pertanyaan kamu semalam, sekiranya kamu tidak mendapat izin daripada rombongan kafilah dagang itu, maka tidak halal bagimu menggunakan wang daripada hasil jualan itu."

Wanita itu berasa sangat susah hati selagi tidak mendapat keizinan daripada rombongan kafilah dagang. Wanita itu sanggup menemui mereka seorang demi seorang bagi mendapatkan keizinan. Berita tentang wanita itu sampai ke pengetahuan Khalifah Al-Mutawakkil (khalifah baru) dan baginda begitu kagum dengan wanita itu lalu memberinya wang sebanyak 10,000 dinar.

Wanita itu menemui Imam Hanbali sekali lagi lalu bertanya mengenai wang yang dihadiahkan khalifah itu apakah halal dia menggunakannya. "Khalifah juga pernah memberikan wang kepada aku sebanyak itu, tetapi aku sedekahkan kepada fakir miskin yang aku temui di jalan", jawab Imam Hanbali. Wanita itu pun memberikan wang tersebut kepada fakir miskin dan hanya mengambil sedikit sahaja dari wang itu untuk membeli lampu bagi menerangi rumahnya.

Semoga Allah kurniakan kita taufiq dan hidayah untuk menjaga muamalat kita


اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ



Wallahu'alam


Nota Kaki : Kisah yang pernah diceritakan oleh Murabbina Al-Fadhil Ustaz Mustafa Kamal ketika talaqi Kitab syarah kepada Kitab "Pelita Penuntut" karangan Syeikh Az-Zarnuji

No comments: