Páginas

Thursday, April 17, 2014

::Al-Qalb::



[Catatan Ilmu]

::Pengajian Tasawwuf bersama Maulana Wan Helmi::

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Mengasihani serta selawat dan salam ke atas Junjungan
Besar Baginda Solallahu'alaihiwassalam


"Maka, apakah kamu menyangka bahawa Kami menciptakan kamu main-main(sia-sia) dan bahawa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?"- [Al-Mukminun]

Sesungguhnya melalui ayat ini Allah Subhanahwata'ala menegaskan bahawa manusia serta segala benda di atas muka bumi ini sia-sia. Bahkan segala benda yang diciptakan di tujuh petala langit dan di tujuh petala bumi serta di antara petala langit dan dibumi itu diciptakan bukan untuk sia-sia. Dan ditegaskan bahawa Allah subhanahwata'ala menciptakan manusia dengan sangat serius dengan kurniaan akal yang tidak duberikan kepada makhluk yang lainnya.

Al-Imam Al- Hanifi ada menyatakan bahawa walaupun sekiranya tidak dihantarkan Al-quran dan Rasul oleh Allah Subhanahwata'ala kepada manusia, manusia masih mampu untuk mengkaji kehidupan ini dengan akal yang dikurniakan kerana akal ini boleh membuat sesuatu yang diluar jangkaan dengan izin Allah Subhanahwata'ala. Sehinggakan disebutkan oleh Allah bahawa segala harta dan nilaian di dunia ini semuanya dalam pengetahuan manusia namun, mereka tidak sempat untuk berkenalan dengan pencipta kita iaitu Allah Azza Wajalla.

Ramai antara manusia yang diberi nikmat akal dan begitu juga nikmat pendengaran serta penglihatan masih tidak berupaya untuk mengunakan nikmat-nikmat tersebut untuk mengenal pemilik alam ini, pengurus alam ini iaitu Allah Subhanahwata'ala dan mengenali Allah sebagai raja yang menaungi alam ini. Manusia di dunia ini sempat berkenalan antara satu sama lain, tidak terlepas si tukang sapu, pensyarah, guru-guru dan sebagainya tetapi sangat malang bagi manusia sekiranya ketika di dunia tidak sempat untuk mengenali Allah Subhanahwata'ala. Berkata Ibrahim Adham:

"Ramai dalam kalangan manusia yang kembali kepada Allah Subhanahwata'ala gagal membawa ma'rifatullah yakni mengenali Allah"

Sesungguhnya yang mana Allah ini yang Maha Baik, Maha Pengasih dan Penyayang. Di setiap saat kita, kita selalu berhajat kepada Allah Subhanahwata'ala. Malang bagi manusia yang di dalam hatinya ada perasaan sensitif sebagai contoh masyarakat Korea yang sangat sensitif dengan keadaan kucing mereka tetapi kenapa manusia tidak prihatin dengan hubungan mereka dengan Allah Azza Wajalla?

Di dunia ini kita diberikan hati yang fitrah, bersih dan tidak kotor bahkan cenderung kepada kebenaran, suka kepada benda yang benar dan tidak suka yang tidak benar. Inilah naluri manusia sejak kecil dan kekal sehinggalah berumur 15 tahun aqil baligh. Sekiranya ibu bapa mendidik anak-anak dengan suasana yang baik dan apabila diusahakan dengan ketaatan menjadikan hati yang tadi jernih memantulkan cahaya yang dinamakan basyirah yang membolehkan manusia untuk berjalan seolah-olah berjalan di tengah malam dengan penuh kesenangan sehingga sampai ke destinasi yang dituju dengan baik dan selamat.

Sebaliknya, sekiranya anak-anak tidak dididik dengan suasana yang tidak baik dan tidak taat, hati yang tadi suci bersih akan menjadi kotor dan akan ada titik hitam di hati tersebut. Bahkan hati menjadi kotor bukan sahaja disebabkan perkara maksiat yang dilakukan, kalau tidak dilakukan apa-apa, tidak zikir, buat perkara sia-sia dan tidak bermanfaat boleh menyebabkan hati menjadi kotor. Kelalaian juga boleh menyebabkan hati menjadi kotor diibaratkan seperti rumah kita yang ditinggalkan 2-3 bulan atau berbulan-bulan dalam keadaan dibersihkan terlebih dahulu pasti akan bersarang, kotor dan sebagainya. Apabila pulang kita pasti perlu membersihkan semula rumah kita itu. Begitu juga dengan pakaian yang kita pakai seawal pagi untuk ke tempat kerja, pasti malamnya akan digantikan dengan pakaian yang baru agar rasa selesa.

Inilah hakikat dunia yang menyebabkan kotornya hati. Di dalam kehidupan kita di dunia ini Allah Subhanahwata'ala sertakan dengan dua perkara iaitu :

1- Dikurniakan hati yang bersih
2- Diletakkan oleh Allah Subhanahwata'ala tentera yang terdiri daripada:

- Malaikat: mengajak membuat kebaikan dan amalan soleh.

Berkata Al-Imam Jaafar As-Saddiq:

"Jangan memandang kecil pada mana-mana kebaikan kerana Allah Subhanahwata'ala menyembunyikan keredhaanNya di dalam setiap amal soleh yang dikerjakan".

Sesungguhnya mana-mana amalan soleh yang dilakukan boleh menyebabkan seseorang itu dimasukkan ke dalam syurga. Maka, jangan lepaskan untuk membuat kebaikan.

Apabila ditanya kepada Al-Imam As-Syafie Rahimahullah yang telah wafat di dalam mimpi seorang sahabat tentang apa yang dilakukan oleh Allah kepada Imam Syafie setelah beliau wafat. Maka, jawab Al-Imam sesungguhnya Allah Subhanahwata'ala telah mengampunkan dosa-dosanya dan menempatkannya di tempat yang baik gara-gara kerana satu selawat yang ditulis di dalam risalahnya bukan kerana kitab-kitab yang telah dikarang olehnya (seringkali dibacakan di dalam tahlil)

اللهم صل على سيدنا محمد وعلى آل سيدنا محمد كلما ذكره الذاكرون وغفل عن ذكره الغافلون

Sesungguhnya Allah Subhanahwata'ala menunjukkan kekuasaanNya dengan memasukkan seseorang itu ke dalam syurga kerana amalan soleh yang kecil.

Begitu juga kisahnya tentang Al-Imam Al-Ghazali Rahimahullah. Seorang sahabat bermimpi berjumpa dengan beliau dan bertanya kepada Al-Imam atas sebab apakah Allah mengampuninya. Adakah sebab karangan kitab-kitabnya yang hebat atau tulisan-tulisannya yang banyak? Lalu jawab Al-Imam bukanlah dosanya diampunkan kerana kitab-kitab karangannya ataupun tulisan-tulisannya yang banyak tetapi Allah Subhanahwata'ala mengampunkan dosanya hanyasanya kerana pada suatu ketika sedang beliau mengarang kitab, ada seekor lalat yang dahaga datang dan minum dakwat kalamnya. Lalu Al-Imam membiarkan lalat itu minum sehingga kenyang dan setelah si lalat berlalu Imam kemudiannya meneruskan penulisan kitabnya.

Begitu juga kisah seorang pelacur yang selalu kita dengar. Seorang pelacur turun ke dalam perigi untuk mengambil air untuk menghilangkan rasa dahaganya. Setelah minum si pelacur tadi naik ke atas semula. Kemudian, si pelacur terlihat seekor anjing yang terjelir lidahnya kerana dahaga. Si pelacur lalu turun semula ke dalam perigi tersebut dan mengambil air menggunakan kasutnya dan diberikan kepada anjing itu untuk minum. Sesungguhnya dengan amalannya itu Allah gunakan untuk memberikan keatasnya keredhaan daripada Allahu Subhanahwata'ala.

Bersabda Sayyiduna Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam :

"Sentiasa seorang hamba Allah yang berkata baik dan tidak sengaja mengatakan hal yang baik menyebab dirinya masuk ke dalam syurga dan begitulah sebaliknya".

Al-Jaafar As-Sadiq juga ada mengatakan bahawa:

"Allah Subhanahwata'ala menyembunyikan kekasih-kekasih dan wali-walinya dalam kalangan manusia."

Sesungguhnya semua orang yang berada di hadapan kita adalah semua yang dimuliakan Allah Subhanahwata'ala. Sesungguhnya orang-orang yang beriman menyangka dirinya mulia dan orang-orang yang beriman itu dimuliakan oleh Allah Subhanahwata'ala dan mereka mengatakan bahawa mereka melakukan perkara ini supaya Allah memberikan kebaikan juga. Tidak ada ketakukan dan gundah gulana bagi mereka yakni para wali dan mereka adalah orang yang beriman dan bertaqwa.

Allahu Subhanahwata'a berfirman:

“Ingatlah, sesungguhnya wali-wali Allah itu, tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. (Iaitu) orang-orang yang beriman dan mereka selalu bertakwa.. Bagi mereka berita gembira di dalam kehidupan di dunia dan (dalam kehidupan) di akhirat. Tidak ada perubahan bagi kalimah-kalimah (janji-janji) Allah. Yang demikian itu adalah kemenangan yang besar” (Yunus: 62-64)

Sebab itu apabila kita melakukan sesuatu kebaikan ketahuilah bahawa sesungguhnya Allahu Subhanahwata'la telah memberikan kita taufiqNya untuk kita membuat satu kebaikan yang lainnya dan dengan itu Allah Subhanahwata'ala kemudiannya akan membuka pintu amal soleh dan berterusan akan buka pintu amal soleh itu untuk kita sekiranya kita merebut tawaran yang telah diberikan oleh Allah Subhanahwata'ala. Sepertimana disebutkan di dalam sebuah hadis qudsi tentang solat tahajjud:

Rasulullah SAW bersabda, ''Tuhanmu yang Maha Pemberi Berkah dan Maha Mulia, selalu turun ke langit dunia setiap malam, pada separuh waktu sepertiga malam terakhir, dan Dia berfirman, 'Barang siapa yang berdoa kepadaKu maka akan Aku kabulkan, barangsiapa mengajukan permintaan kepadaKu akan Aku berikan, dan barangsiapa memohon ampun kepadaKu akan Aku ampuni'.'' [Hadis Riwayat Bukharis, Muslim, Malik, Tirmidzi, Abu Daud]

Maka, dengan itu Allah akan membukakan segala pintu kebaikan. Namun, jika sebaliknya dan kita menerima tawaran pintu kemaksiatan atau keburukan oleh syaitan untuk melakukan maksiat dan kejahatan maka, Allah akan membiarkan pintu kejahatan itu terbuka dan membiarkan kita terus-terusan melakukan kejahatan.

Sesungguhnya, malaikat akan sentiasa membisikkan kepada orang-orang yang beriman itu dan memberikan ilham daripada Allah kepada mereka untuk membuat kebaikan sama seperti apa yang berlaku terhadap Baginda Sayyiduna Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam. Suatu hari Baginda pulang ke rumah dan melihatkan keluarga baginda berada dalam kelaparan. Melihatkan hal itu timbul perasaan keluh kesah di hati Baginda Solallahu'alaihiwassalam. Maka, tiba-tiba para sahabat mendengar suatu suara dari langit yang sangat kuat sehingga ada sahabat menyangkan kiamat telah tiba. Akhirnya, Allah Subhanahwata'a menghantar Jibril 'Alaihissalam dengan Israfil untuk berjumpa dengan Baginda Solallahu'alaihiwassalam. Israfil kemudiannya bertanya kepada Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam adakah Baginda redha dengan ujian yang diberikan oleh Allah dan Allah Subhanahwata'ala memberikan dua tawaran kepada Baginda yang kedua-duanya adalah tawaran yang baik iaitu:

1- Menjadi hamba biasa dan tetap menjadi Nabi
2- Menjadi raja seperti Nabi Sulaiman dan tetap juga menjadi Rasul

Malaikat Jibril 'Alaihissalam kemudian menunjukkan ke tanah dan berkata kepada Sayyiduna Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam supaya memilih tawadhuk dan dengan itu Baginda Solallahu'alaihiwassalam memilih untuk menjadi hamba dan Nabi. Baginda mengatakan bahawa ujian ini meningatkan Baginda Solallahu'alaihiwassalam bahawa ketika lapar ingat akan Allah manakala ketika kenyang berterima kasih kepada Allah Subhanahwata'ala.

Sehinggakan Para Malaikat akan datangkan perkara yang benar di dalam mimpi Nabi Solallahu'alaihiwassalam tetapi bagi kita pada hari ini berbeza sama sekali. Sehingga dikatakan suatu masa nanti sekiranya kita berterusan dalam keadaan taat, Allah Subhanahwata'ala akan memberikan kita mimpi yang indah seperti mimpikan syurga dan sebagainya. Inilah tahap yang bagus. Maka, akan tiba suatu masa sekiranya kita berterusan dalam ketaatan dengan apa yang kita ucapkan, itulah yang kita lakukan. Yang mana menjadi seorang yang bersumpah dengan nama Allah dan doanya akan dimakbulkan oleh Allah sepertimana disebutkan di dalam hadis ini:

Berkata Abu Hurairah RadhiAllahu'anha bahawasanya Nabi Solallahu'alaihiwassalam telah bersabda: Sesungguhnya Allah subhanahwata'ala telah berfirman:

“Barangsiapa yang memusuhi waliKu, maka Aku mengisytiharkan perang terhadapnya. Dan tiada seseorang hambaKu yang bertaqarrub kepadaKu dengan sesuatu yang lebih kucintai daripada ia menunaikan segala yang Kufardhukan ke atas dirinya. Dan hendaklah hambaku bertaqarrub kepadaKu dengan Nawafil, sehingga Aku mencintainya. Dan apabila Aku mencintainya, nescaya jadilah Aku
(seolah-olah) pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan pemandangannya yang ia memandang dengannya, dan tangannya yang ia bertindak dengannya, dan kakinya yang ia berjalan dengannya. Dan andaikata ia memohonKu pasti akan Kuberinya, dan andaikata ia berlindung kepadaKu pasti akan Kulindunginya”.

Sesungguhnya satu orang hamba Allah yang sentiasa mendedahkan dirinya di dalam suasana maksiat, Allah Subhanahwataa'la selalu memberikan ruang kepadanya untuk bertaubat. Yang membezakan manusia dengan binatang adalah ibadah kita adalah ikhtiyarriyyah sedangkan hamba yang lain adalah dengan paksaan daripada Allahu Subhanahwata'ala. Disebutkan bahawa dua perkataan yang ringan di lisan tetapi berat di Mizan iaitu:

‘Subhanallahi wabihamdih, subhanallahil ‘azhim’.

Semua makhluk dunia ini berzikir dengan zikir ini. Dan disebabkan dengan zikir ini Allah memberikan mereka rezeki tetapi bagi kita manusia Allah Subhanahwata'ala memberikan kebebasan kepada kita. Kalau kita lupa atau terlepas solat pada hari ini tetap Allah Subhanahwata'ala akan memberikan kita makanan, rezeki namun tidak bagi makhluk lainnya.

Maka, menjelang datangnya dajjal, yang boleh mengenyangkan perut kita adalah dengan berzikir dengan zikir ini : ‘Subhanallahi wabihamdih, subhanallahil ‘azhim’.

Oleh yang demikian, disebabkan hal itu Allah Subhanahwata'ala tidak bagi kita duduk dalam keadaan lalai daripada Allah kerana takut syaitan akan menguasi kita dan kerana sifatnya syaitan yang boleh bergelar di dalam salur darah manusia akan senang baginya untuk bergerak jika kita dalam keadaan lalai. Namun, bagi malaikat tidak mampu untuk bergerak di dalam salur darah manusia. Azazil dahulunya pernah memeriksa tubuh badan Nabi Adam 'Alaihissalam dan ternampak di dalam badannya ada ronggan dan dia berasa lega menyedari kewujudan rongga di dalam tubuh badan Nabi Adam 'Alaihissalam.

Ada seorang ulama', pada suatu hari melakukan solat hajat untuk mengetahui bagaimana syaitan menggoda manusia. Terus-terusan ulama' tersebut menyebut Allah..Allah... tetapi apabila sekali lalai si syaitan laknatullah memberi suntikan supaya lupa akan Allah Subhanahwata'ala.

Kita di dunia ini boleh memiliki semua yang dihajati tetapi tidak boleh memiliki hati yang mana sifatnya yang tidak pernah stabil dan selari dengan namanya "qalb" yang bermaksud yang sentiasa berpusing-pusing atau berbolak-balik.

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang “Aku” maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila berdo’a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran ( Al Baqarah: 186).

Sebab itu apabila seorang Arab Badwi bertanya kepada Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam: "Jauhkan Tuhanmu kalau jauh aku ingin memekik tetapi kalau dekat khabarkan supaya aku boleh berbisik kepadaNya"

Ulama' kata apa menjawab kepada persoalan Arab Badwi tadi?

Semua hal yang manusia tanya yakni umat Baginda Solallahu'alaihiwassalam Allah biarkan Nabi yang menjawabnya sepertimana disebutkan di dalam quran tetapi juga disebutkan di dalam Al-quran tentang apabila mereka bertanya tentang Allahu Subhanahwata'ala dan Allah Subhanahwata'a bangga untuk menjawab sendiri tentang dirinya. Maka Allah berfirman:

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang “Aku” maka (jawablah) bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdo’a apabila berdo’a kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka itu beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran ( Al Baqarah: 186)

Ulama' mengatakan lagi bahawa hanya kita yang tidak tahu bahawa Allah itu amat hampir dengan kita.

"Dia telah menciptakan manusia dari mani, tiba-tiba ia menjadi pembantah yang nyata" (An-nahl:70)

Allah mengatakan bahawa; wahai manusia Aku menciptakan kamu di dalam perut ibumu dan yang memberikanmu makan dan minum tetapi apabila kamu keluar ke dunia berani kamu tunjuk derhaka kepadaKu.

Allah SWT berfirman, “Wahai anak Adam! Sesungguhnya selama mana engkau berdoa dan berharap kepadaKu, maka Aku akan pasti memberikan keampunan kepadamu atas segala dosa-dosamu dan Aku tidak akan mengendahkannya. Wahai anak Adam! Andaikata dosa-dosamu mencecah ke langit kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, maka Aku akan pasti memberikan keampunan kepadamu. Wahai anak Adam! Jika engkau datang kepadaKu dengan membawa kesalahan sepenuh bumi, kemudian engkau bertemu denganKu tetapi engkau tidak menyekutukan Aku walaupun sedikit, maka Aku akan pasti datang kepadamu dengan membawa keampunan sepenuh bumi.” [HR Tirmidzi]

Diceritakan tentang sebuah kisah tentang seorang lelaki Yahudi yang tua yang sudah 80 tahun menyembah berhala. Beliau sering memuja berhala dan mengabdikan dirinya dengan penuh ikhlas. Tetapi apabila Allah menkehendaki kebaikan padanya Allah Subhanahwata'a datangkan musibah kepadanya. Ketika beliau menerima musibah dan beliau mengatakan bahawa inilah masanya untuk meminta bantuan daripada Tuhannya(berhala itu) dengan berzikir menyebut nama berhala tersebut "Ya Solam" sehingga pada suatu saat beliau sedar yang doanya tidak didengar oleh berhala itu dan berasa kecewa, sedih. Tiba-tiba terkeluar daripada mulutnya perkataan "Ya Somad".

Maka, kerana beliau tersasul menyebut "Ya Somad" itu menyebabkan keluarnya rahmat Allah Subhanahwata'ala kepadanya. Para malaikat pada hari itu berasa sangat ajaib dengan hal yang telah berlaku dan tidak pernah tengok peristiwa sebegini kemudian bertanyakan kepada Allah apakah yang menyebabkan Allah Subhanahwata'ala mengurniakan rahmatNya kepada lelaki yahudi itu hanya kerana tersasul menyebut "Ya Somad"? Sedangkan Allah Subahahwata'ala pernah mengatakan bahawa Allah tidak akan pernah menolong orang yang mensyirikan Allah dan lelaki Yahudi itu sudah 80 tahun meyembah berhala. Maka Allah Subhanahwata'ala menjawab:

"Sesungguhnya kamu tidak mengetahui bagaimana sayangnya Aku pada hamba-hambaKu. Di setiap malam Aku menunggu hamba-hambaKu bertaubat kepadaKu".

Betapa sayangnya Allah Subahanahwata'ala kepada kita. Dengan sifat As-Satarnya Allah Subhanahwata'ala menutup kaiban hamba-hambaNya. Sesungguhnya Allah Subhanahwata'ala itu Maha Penerima Taubat. Oleh yang demikian, betapa pentingnya bagi kita untuk memelihara hati. Untuk memelihara hati, mengetahui tentang musuh kita adalah sangat penting dan musuh ketat kita ada empat iaitu:

1- Paling ketat : Diri sendiri

Oleh itu, apabila ulama' berkata yang menyesatkan diri kita adalah diri kita sendiri. Dahulu, siang malam syaitan menyembah Allah dan kemudian Allah Subhanahwata'ala mengangkat dirinya untuk menjadi ketua. Yang mengetahui segala yang ada di hati kita adalah Allah. Allah tahu hati kita dan Allah tahu di dalam hati syaitan itu ada sifat mazmumah iaitu sombong, hasad dengki. Sehingga terbukti apabila diciptakan Nabi Adam 'Alaihissalam dan diperintahkan kepada semua agar sujud kepada Nabi Adam 'Alaihissalam.

"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada malaikat: "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi". Mereka bertanya (tentang hikmat ketetapan Tuhan itu dengan berkata): "Adakah Engkau (Ya Tuhan kami) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?" Tuhan berfirman: "Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak mengetahuinya". (Al-Baqarah:30)

Ulama' mengatakan bahawa perkataan إِنِّيْ أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُوْنَ

yang tidak diketahui dan hanya Allah yang tahu adalah hatinya iblis. Iblis merupakan makhluk Allah Subhanahwata'ala yang pertama yang mengunakan qias akalnya yang mengatakan bahawa mereka diciptakan dari unsur ketiga iaitu api dan manakala manusia daripada unsur keenam iaitu tanah. Tapi pada Allah Subhanahwata'ala api ini sifatnya tiada hakikat. Tidak dapat hidup tanpa ada tempat untuk menumpang. Tetapi bagi tanah walaupun zahirnya ditumbuhi hutan belantara apabila diusahakannya di atas permukaannya boleh memberikan banyak manfaat dan di dalam permukaan tanah juga banyak manfaatnya seperti petroleum, emas dan sebagainya.

Ulama' mengatakan sebelum dihantarkan Nabi Adam 'alaihissalam terdapat tiga golongan iaitu:

1- Hin
2- Bul
3- Jin

Allah memberikan ganjaran atau balasan kerana menunaikan amanah Allah beri syurga tetapi bagi makhluk lain kalau tiada ibadah yang banyak maka tidak ada balasan bagi mereka. Tetapi bagi golongan keempat iaitu Insan sekiranya mereka taat kepada Allah, maka balasan syurga bagi mereka.

dan yang terakhirnya

4- Insan

Allah Subhanahwata'ala berfirman:

"Orang-orang yang meningati Aku di dalam hatinya, Aku akan ingat dia di dalam hatiku. Sesiapa yang menyebut namaKu di dalam suatu majlis Aku akan menyebutkan namanya di dalam majlis yang tertinggi.

Al-Imam Syah Waliyullah Ad-Dahlawi mengatakan bahawa:

Malahil a'lam (Majlis tertinggi) adalah perhimpunan para malaikat(hadratul kursiyyah) yang mana ketike perhimpunan itu Allah Subhanahwata'ala melimpahkan rahmatNya kepada mereka dan limpahan rahmat itu juga turut mengalir kepada kita yang berada di dalam Malahil Saffin yakni majlis rendah. Ketika perhimpunan para malaikat itu mereka mengelilingi rahmat 'arasy Allah dan memuji-muji Allah. Tetapi apabila kita menyebutkan nama Allah di dalam majlis yang baik, Allah tidak memuji para malaikat bahkan Allah memuji-muji dan menyebutkan nama kita di dalam majlis tertinggi. Lalu, ditanya kepada para malaikat untuk apa mereka sibuk-sibuk memuji Allah? Maka, jawab mereka, mereka mahu syurga. Kemudian Alllah bertanya kepada mereka adakah mereka nampak syurga? Setelah habis memuji-muji Allah di dalam perhimpunan mereka itu, mereka bersurai dan pulang ke tempat asal mereka dalam keadaan dosa-dosa mereka semuanya diampun oleh Allah Subhanahwata'la.

Adapun, bagi kita manusia disertakan dengan 99 buku catatan dan dikatakan apabila dibuka lembaran buku catatan kita itu akan memenuhi timur dan barat. Maka, dengan itu syaitan laknatullah berusaha untuk memenuhi buku catatan amalan kita itu. Dikisahkan melalui sejarah bahawa syaitan memutuskan bahawa supaya dihapuskan ketiga-tiga makhluk termasuk Hin,Bul dan juga jin dan syaitan turun kedunia untuk bunuh semua makhluk yang di dunia pada ketika itu. Akhirnya, Allah Subhanahwata'ala menurunkan Azazil, ketua malaikat pada ketika itu dan menetapkan mereka di gunung, laut dan juga hutan. Tetapi ketika zaman manusia, manusia suka untuk pergi ketiga-tiga tempat tersebut. Kemudian, Azazil berkata bahawa sangat baik sekiranya Azazil menjadi khalifah di atas muka bumi tetapi apabila Allah Subhanahwata'ala mengatakan mahu menciptakan dan menjadikan Sayyiduna Adam 'Alaihissalam sebagai khalifah di bumi barulah Azazil memberitahu keinginannya itu. Tetapi, Azazil membantah sekeras-kerasnya keputusan itu dan tidak mahu sujud kepada Sayyiduna Adam 'Alalihissalam serta menjadi seteru kepada Adam dan Iblis. Ulama' mengatakan bahawa syaitan adalah makhluk Allah yang tidak akan diberi taufiq oleh Allah Subhanahwata'la sampai hari kiamat.

Kesilapan Sayyiduna Adam 'Alaihissalam bukanlah disebabkan hati tetapi disebabkan kesalahfahaman dengan godaan syaitan itu. Dan hal ini menunjukkan bahawa dosa yang kita lakukan akan menyebabkan hilangnya nikmat tidak kira sekecil manapun dosa yang kita lakukan. Kita tidak mengetahui berapa banyak dosa yang telah kita lakukan. Sedangkan Sayyiduna Adam 'Alaihissalam hanya melakukan satu dosa dan Azazil yang 8000 tahun beribadah kepada Allah dan hanya melakukan satu dosa telah menyebabkan Allah menjatuhkan mereka ke dunia 500 tahun tempoh perjalanannya tapi bagaimana dengan kita? Berapa banyak dosa yang kita telah lakukan? Allah subhanahwata'ala telah membekalkan kepada Sayyiduna Adam 'Alaihissalam benih dari syurga, daun dari syurga(za'faran) dan batu dari syurga(hajarul Aswad).

Sayyiduna Adam 'Alalihissalam ketika tiba di dunia muntah kerana bau busuknya dunia. Berbezanya ketika kehidupannya di syurga dan di dunia. Jika mahu makan perlu tanam buah dan mengambil masa untuk buah itu masak.

Musuh kedua kita adalah syaitan, diikuti dengan dunia dan akhirnya adalah suasana di sekeliling kita. Iblis adalah salah satu musuh yang berdendam dengan kita dan berjanji dengan Allah Subhanahwata'ala akan menyesatkan kita dan mengatakan bahawa suatu hari nanti kamu akan dapati manusia itu tidak akan pernah berterima kasih kepada Allah. Iblis berjanji dengan Allah dan yakin bahawa manusia akan masuk neraka. Iblis punya sangkaan itu benar dan semua mengikutnya dan tinggallah sebilangan kecil yang bertahan daripada mengikutinya. Mereka itulah orang yang menjaga iman mereka. Sesungguhnya Allah kelilingkan neraka dengan perkara-perkara yang disukai oleh syahwat, hawa nafsu, kebebasan dan oleh sebab itu ramai yang masuk neraka kerana lebih cenderung kepada keseronokan.

Baginda Sayyiduna Rasululllah Solallahu'alaihiwassalam mengatakan bahawa:

"Aku melihat kamu berlari-lari mencampakkan dirimu ke dalam api neraka seperti apabila seorang menghidupkan api lalu ternampak oleh kelkatu. Dan si kelkatu itu kemudiannya menghampiri api itu dan terjun ke dalam api itu dan akhirnya dirinya terbakar".

Adapun syurganya Allah Subhanahwata'ala itu, diliputi dengan benda-benda yang tidak digemari oleh nafsu, tawar, pahit dan juga masam.

"Orang yang takut untuk bertemu Allah Subhanahwataa'la di hari akhirat akan menahan nafsunya untuk mendapatkan syurga Allah dan kenikmatan baginya".

Sesungguhnya syurga itu diciptakan dengan batu-batu permata yang indah. Airnya terdiri daripada salsabila dan zabik. Rumahnya diperbuat daripada batu bata emas dan delima. Sesungguhnya tawaran Allah Subhanahwata'la ini adalah suatu tawaran yang mahal. Baginda Sayyiduna Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam memberitahu bahawa segala benda yang indah yang terdapat di luar syurga ada di dalamnya syurga bahkan lebih indah dan banyak. Maka, penghuni syurga firdaus tidak perlu keluar untuk mendapatkan semua itu kerana di dalamnya sudah tersedia semuanya. Tetapi untuk mendapatkan inilah payah dan perlu kepada mujahadah yang bersungguh-sungguh. Berkata Al-Imam Ibn Qayyim Al-Jauzi :

"Tidak ramai yang memilih jalan syurga tetapi yang memilih jalan ke syurga ramai yang gagal di tengah jalan dan susah untuk istiqamah".

Sesungguhnya orang yang takut akan Allah Subhanahwata'ala, perlahan-lahan dia berjalan. Siapa yang perlahan-lahan berjalan dia akan sampai syurga. Siapa yang taat, sesunggunya tawaran syurga bagimu kata Allah. Tetapi musuh kita sangat berdendam dan bersumpah bahawa akan duduk di atas jalan itu untuk menghalang kita daripada melakukan kebaikan. Sesiapa yang lulus ujian ini maka balasan baginya syurga. Ibn Qayyim Al-Jauzi juga mengatakan bahawa, hikmah diciptakan manusia adalah:

إِنِّيْ أَعْلَمُ مَا لاَ تَعْلَمُوْنَ : Malaikat tidak tahu bahawa dalam kalangan manusia ini adanulama', pendakwah, wali-waliNya yang berjuang untuk agama Allah. Baginda Solallahu'alaihiwassalam pernah ketika dakwahnya diludah, dicaci, dihina, disakiti. Sesungguhnya, semakin tinggi keimanan seseorang itu semakin hebat syaitan yang Allah hantarkan untuk menggoda dan menyesatkannya. Sebab itu, ketika Baginda Solallahu'alaihiwassalam lhair, Azazil menangis berguling-guling kerana mengetahui bahawa Baginda adalah musuhnya yang paling ketat. Bahkan Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam telah menggagalkan musuh dalam kalangan kafir dan syaitan sepertimana yang disebutkan di dalamnya ucapan Baginda ketika Haflatul wida' dan syaitan serta musuh-musuh mereka orang Islam menangis dan berputus asa.

Syaitan menggagalkan manusia dengan balutan nafsu dengan menjauhkan kita daripada Allah dengan balutan nafsu. Kita jauh daripada Allah Subhanahwata'ala kerana dua hijab iaitu:

1- Hijab Nurani : Allah terlalu cantik, bercahaya. Sesungguhnya telah disebutkan bahawa 70 000 lapisan cahaya yang menghijab kita untuk dekat dengan Allah.

2- Hijab Zulmani yang terdiri daripada dosa, maksiat dan sekali kita melakukan dosa bertambah satu hijab kita untuk dekat dengan Allah Subhanahwata'ala. Jika kita bertaubah akan runtuh satu hijab itu dan sehingga akhirnya sampai kepada Allah Subhanahwata'ala.

Walaup apa hijab sekalipun yang ada, kita tetap perlu berusaha untuk mendekatkan diri kita dengan Allah Subhanahwata'ala. Iblis tidak akan putus asa dengan matlamatnya dan berusaha untuk menyesatkan manusia. Ketika Baginda Sayyiduna Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam menyebarkan dakwahnya di Masjidil Haram, Allah turunkan bicara baik yakni Al-quran kepada Baginda dan dalam masa yang sama syaitan buka channelnya(lahwal hadis). Dahulu, Nadhar mengumpulkan orang-orang di Masjidil haram dan jual komik-komik supaya orang lain lari daripada dakwah Rasulullah. Tetapi usahanya gagal kerana Nabi Solallahu'alaihiwassalam menyebarkan keindahan Al-quran dan quran itu punya Nur dan mereka pergi kepada Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam.

Begitu juga di zaman moden ini, dijadikan channelnya dalam bentuk FB, surat khabar dan radio. Ketika zaman Baginda Sayyiduna Rasulullahu Solallahu'alaihiwassalam membuka channel dakwah Baginda di Masjid dengan ta'lim, dakwah dan pada masa yang sama syaitan buka channelnya di mall-mall, shopping complex dan pasar-pasar. Berkata As-Syeikh Ubaidillah:

"Setiap zaman ada dua seruan iaitu:

1- Nidaul masajid (seruan Nabi Solallahu'alaihiwassalam) dan tiga perkara yang diperolehi daripada seruan in termasuklah Iman, diberi rasa takut kepada Allah dan mudah-mudahan mendapat hidayah.

2- Nidaul Sauq (pasar) untuk mewujudkan rasa bahawa semua yang diperlukan ada di mall.

Sesungguhnya keperluan kita semua ada di dalam masjid. Ketika zaman Nabi Solallahu'alaihiwassalam produk Nabi semuanya lahir daripada masjid tetapi sebaliknya di zaman kita lahirnya di pasar-pasar, mall, shopping complex. Siapa yang dominan dia yang akan menguasai. Ketika zaman Baginda Solallahu'alaihiwassalam mereka yang berniaga pun akan berhenti sebentar apabila masuk waktu solat. Bahkan suasana masjid yang masuk ke dalam pasar dan Abdullah Ibn Mas'ud mengatakan rijalul sebenar adalah di zaman Rasulullah Solallahu'alaihiwassalam. Abu Hurairah juga masih mengajak untuk ke masjid dan mengatakan ada harta pusaka Nabi akan diagihkan. Kemudian setelah mereka keluar daripada masjid Abu Hurairah bertanya adakah mereka dapat harta pusaka Nabi. Jawab mereka tidak dan Abu Hurairah pun mengatakan bahawa zikir, solat itulah harta pusaka Nabi Solallahu'alaihiwassalam. Berkata Syeikh Yusuf Al-Kandahlawi:

"Rosaknya umat ini apabila terpisah daripada masjid".

Dahulu pada zaman Nabi Solallahu'alaihiwassalam berbondong-bondong manusia masuk ke dalam masjid dan terdetik pada hati mereka bahaw tidak perlu dakwah apabila melihatkan suasana itu. Sesungguhnya kita satu amalan hidayah telah terkeluar daripada masjid.

Ketika zaman Abdullah Ibn Mubarak, beliau yang mempunyai madrasah keluar 6 bulan untuk berdakwah dan menetap 6 bulan di madrasahnya untuk menguruskan madrasahnya. Beliau kemudiannya menghantar surat kepada sahabatnya yang hanya berdakwah ditempatnya dan mengatakan bahawa seolah-olah sahabatnya itu bermain-main dengan amalannya.

Maka, dikatakan tinggal 3 golongan iaitu:

1- Ahli ilmu, dan suatu hari ilmu mengatakan bahawa masjid penuh dan tidak cukup ruang dan perlu bina tempat belajar. Maka, wujudnya universitu-universiti.
Kemudian tinggal dua golongan lagi dan ilmu di dalam masjid itu ada di universiti-universiti. Mereka tidak berhajat lagi kepada ulama'.

2- Ahli Ibadat dan mereka juga merasakan masjid penuh dengan orang-orang fasiq dan mereka juga keluar daripada masjid dan akhirnya tinggallah golongan ketiga,

3- Ahli khidmat dan akhirnya mereka ini juga meninggalkan masjid dan merasakan tidak ada yang perlu dibersihkan.

Kemudian golongan pasar tengok dan cuba mengambil kesempatan. Masuk ke dalam masjid dan membawa tertib pasar di dalam masjid sehinggakan suatu saat Imam juga mereka yang tapis dan sebab itu jadi huru hara dalam kalangan umat. Semua meninggalkan ulama' sehingga pada akhir zaman ada yang berbangga dengan pendapat mereka sendiri. Berlakunya kerosakan. Ada orang yang sibuk dengan ilmu tetapi melupakan ibadah. Dalam masa yang sama ahli ibadah sibuk dengan ibadah sehingga meninggalkan ilmu. Maka, untuk kembalikan umat adalah dengan kembalikan mereka kepada institusi masjid.

Hari ini, hati kita semakin berkarat seperti besi. Kita selalu mengatakan najis itu jijik dan kotor tetapi kita tidak menyedari bahawa najis dan kekotoran itu menguasai hati kita. Kita tidur di malam hari dalam keadaan hati kita dipenuhi dengan macam-macam najis tapi masih dapat tidur dalam keadaan tenang. Roh kita daripada langit tetapi apabila ada kekotoran di dalam hati kita, kita akan rasa resah dan gundah gulana. Dosa itu sifatnya ialah meresahkan dan kebaikan itu adalah apabila dilakukan menimbulkan ketenangan di dalam hati.

“Kebaikan adalah akhlak yang baik, sedangkan dosa adalah segala hal yang meresahkan jiwamu dan engkau tidak suka jika orang lain melihatnya.” (Riwayat Muslim)

Dalam proses membersihkan hati, pengenalan tentang hati

1- Taqalli : bersihkan hati daripada segala selain daripada Allah.

2- Tahalli : hiasi hati

3- Tajalli : akan datang kebesaran Allah di dalam hati.

Q&A Session:

Sesungguhnya, ada orang yang masuk syurga dalam kalangan ahli zikir, ada orang masuk syurga dalam kalangan pelajar ilmu atau ahli ilmu dan dakwah kita ini adalah sebahagian daripada juzuk-juzuk agama dan kita menghormati dakwah jemaah lain selagimana berpegang kepada pegangan Ahli Sunnah Waljama'ah (ASWJ). Maka mintalah kepada Allah:

1- kekuatan aqal dan kalau tak ada kekuatan aqal dia akan menjadi ragu dan meragukan. Perkara yang tidak disalurkan mengikut syariatullah dan mereka yang tidak ikut syariat itu sebenarnya ekstrimis dan begitu juga sebaliknya.

2- Kekuatan marah tapi kalau keterlaluan akan jadi syaitan dan biarlah marah kita kerana Allah.

3- kekuatan nafsu tetapi kalau ikut nafsu akan jadi ifrat dan tafrit.

اللّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَنَبِيِّكَ وَرَسُوْلِكَ النَّبِيِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَبَارِكْ وَسَلِّمْ
Al-Faqirah Wal-Haqirah Ila Allah Al-Ghani

[Pengajian kitab Penawar Bagi Hati bersama Maulana Wan Helmi, 14 Jamadil Akhir 1435H, Majlis Ta'lim UIAM Kuantan. Masjid KOM]