Mengenai wanita di kota Tarim Hadramaut, mereka itu jauh berbeza dengan sebahagian besar wanita-wanita muslimah di dunia. Bahkan di wilayah-wilayah lain di kota Hadramaut juga pun sudah banyak yang pudar ketegasan syariahnya. Wanita Tarim sudah terbiasa sejak daripada kecil dibesarkan dalam lingkungan ulama, siang dan malam mereka adalah perbualan tentang majlis-majlis ilmu, al-Qur’an, adab, akhlak, tasawwuf dan seumpamanya. Begitulah keadaan mereka dibesarkan. Mereka dibesarkan tidak kenal muzik, tidak kenal kebiadapan, tidak kenal wajah orang fasiq, bahkan para wanitanya tidak pernah melihat lelaki asing selain daripada saudara-saudara lelaki dan bapa saudara mereka sahaja.

Apabila tiba saat mereka menikah, ditanya pada isteri; Bagaimanakah keadaannya saat awal berjumpa? Ia menjawab; Saya bingung, seumur hidup saya belum pernah melihat lelaki selain saudara kandung saya, dan sekarang ini ada lelaki asing duduk di kamar saya. Begitulah keadaan mereka, cukup terpelihara dan terjaga.


Wanita Tarim juga tidak pernah menyusahkan suami mereka. Begitu juga dengan para suaminya, tidak menyusahkan isteri mereka. Bila susu habis misalnya, atau beras, atau apa saja barang dan keperluan seharian yang perlu dibeli, mereka tidak berani memberitahu suami kerana bimbang pada ketika itu si suami tidak mempunyai wang atau sedang sibuk, maka apa yang mereka lakukan adalah dengan meletakkan bungkusan-bungkusan kosong itu pada tempat yang dikira mudah dilihat oleh suaminya.


Begitu juga para suami, seluruh hajat dan keperluan dapur seperti sayur dan sebagainya suami yang belikan. Keadaan ini tidak pula menghalang para isteri untuk keluar membeli-belah ke pasar seperti membeli baju atau barang keperluan wanita, namun urusan dapur seperti membeli sayur, beras dan lain-lainnya itu merupakan tugas suami atau pembantu.


Isteri selalu menghias dan menjadikan kamar tidur berbau wangi. Bila suaminya pulang, maka pastilah kamar sudah ditata rapi, indah dan sangat wangi. Pakaian suami sudah pasti wangi, bilik mandi juga wangi dan semuanya ditata serapi mungkin. Bukankah wangi-wangian itu mampu membangkitkan suasana yang tenang dan romantik?


Isteri juga tidak pernah mengangkat dan meninggikan suara pada suami. Mereka tidak pernah marah dan tidak pernah cemburu. Bila mereka merasa kesal, mereka akan menangis dan mengadu pada suaminya dengan nada yang lirih. Itulah marah mereka.


Keadaannya sama juga dengan para suami. Mereka tidak pernah marah pada isteri, apalagi mencaci dan menghina. Bila suami merasa sangat kesal atas sesuatu perkara, mereka akan menulis sepucuk surat kepada isteri dan kemudian mereka akan pergi atau tidur. Kemudian nanti isteri akan menjawab pula surat daripada suami tadi, seterusnya suami pula akan menjawab surat daripada isteri dan sehingga akhirnya mereka berdua akan tertawa bersama. Indahnya marah yang sebegini, marah yang mampu menjadi hiburan, marah yang diakhiri dengan gelak tawa tanpa seorang pun daripada mereka memendam rasa.


Lebih daripada itu, kalau kita sorot secara mendalam tentang kehidupan ahli kota seribu ulama ini, kita akan dapati masih banyak lagi keunikan dan seni budi pekerti junjungan mulia Muhammad SAW dalam rumah tangga nabawi yang sulit kita temukan di masa kini, namun dipraktikkan dalam kehidupan mereka.


Subhanallah wabihamdihi, Subhanallahil ‘azim. Indah nian gambaran para wanita dan lelaki di Kota Tarim. Allah... Sungguh indah bersama mu wahai Kekasih Hati, wahai Penghulu seluruh manusia. Berbahagialah mereka yang berada di jalanmu, yang sentiasa menghidupkan sunnahmu. Sallu ‘alaih.... Semoga Allah SWT menjaga penduduk di kota seribu ulama ini dan kurniakan juga keindahan pekerti seperti itu kepada para wanita dan lelaki muslim di seluruh dunia ini.



Wallahu'alam
Nota kaki : Hasil Nukilan seorang sahabat di laman "FB". Allahu Allah teringin sangat untuk ke sana. Belajar di Ribat Az-Zahra' dan dekat dengan ulama'. Semoga Allah memperkenankan hajat ini.Allahumma Ameen. 
Kitab Karangan Syeikhuna Al-Fadhil Ustaz Muhadir Haji Joll

Panduan yang paling sempurna dalam sembahyang ialah sembahyang yang didirikan seperti yang ditunjukkan oleh Junjungan Mulia, Nabi Muhammad SAW. Baginda SAW bersabda, “Sembahyanglah kamu seperti mana kamu melihat aku (Rasulullah SAW) sembahyang.”

Buku Solat Nabi SAW Menurut Mazhab Syafi’e ini hadir dihadapan para pembaca untuk menerangkan bahawa solat yang kita dirikan selama ini hakikatnya datang daripada bentuk solat Rasulullah SAW yang telah diterangkan dengan lebih jelas oleh ulama’-ulama’ yang alim dalam empat mazhab terutama imam kita yakni Imam Syafi’e.

Justeru, hendaklah kita yakin bahawa sembahyang cara mazhab Syafi’e adalah mengikut sembahyang cara Nabi SAW. Cara inilah yang telah dipelajari dan ditekuni oleh masyarakat Islam di negara ini yang bermazhab Syafi’e sejak zaman berzaman. Cara inilah yang telah dan sedang diajar, malah menjadi sukatan pelajaran di sekolah rendah dan menengah (KAFA dan PAFA) di seluruh Malaysia, di pondok-pondok dan institusi pengajian, malah ia diajar dan dikupas dalam majlis-majlis ilmu di seluruh dunia yang bermazhab Syafi’e. 

Tunggu Kemunculannya!!



 Bismillahi walhamdulillah wa ‘ala Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم . Sehingga saat ini dan ketika ini Allah masih berkehendak memberikan ruang kepada kita untuk menikmati nikmat hidup dan yang lebih utama nikmat hidup di dalam Iman dan juga Islam. Berapa ramai sahabat-sahabat kita di luar sana, yang hidupnya terumbang-ambing tanpa mengetahui arah tujuan, tanpa mengenal siapa “Tuan” mereka, tanpa mengenal siapa “Kekasih” mereka. Maka, beruntunglah kita yang telah dipilih oleh Allah untuk merasakan nikmat yang tidak terhingga nilainya ini. Jadi, bilamana kita sudah diberi nikmat-nikmat ini maka, jagalah ia dengan sebaik-baik. Jangan sampai kita tersasar jauh daripada jalan permusafiran kita dalam menuju kepada Allah. 

salam maal hijrah 1433H
 Subhanallah Tabarakallah, sudah lama jari hamba yang hina lagi faqir ini tidak menari-nari di  atas papan kekunci laptop ini untuk melakarkan kalam. MasyaAllah, sudah banyak kali Allah gerakan hati agar menulis tetapi dek kerana kekangan masa dan ada perkara yang lebih diutamakan, maka hasrat hati disimpan terlebih dahulu. Selama blog ini sunyi sepi tanpa khabar berita, al-faqirah sebenarnya masih lagi berusaha untuk menyebarkan sebarang maklumat atau sedikit mutiara-mutiara ilmu daripada pengajian-pengajian bersama guru-guru dan kalam hati yang setiap hari berbeza bicaranya di laman sosial “facebook” . Hanya sekadarnya sahaja perkongsian ilmu yang amat cetek dan perkongsian bicara hati ilham daripada Allah. Dan Alhamdulillah bersempena kedatangan Maal Hijrah 1433H ini al-faqirah ingin sekali berkongsi dengan sahabat-sahabat pembaca yang dikasihi kerana Allah berkenaan Hijrah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang didengar daripada kalam guru kami Al-Fadhil Ustaz Uwais Al-Qarni. InsyaAllah

Menurut Ulama’, telah berlakunya hijrah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  pada akhir bulan Zulhijjah. Apakah kaitannya bulan Muharram dengan penghijrahan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم? Kata ulama’

“Di akhir bulan Zulhijjah, Baiah Aqabah (berlaku pada hari-hari tasyrik), Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah menyuruh umatnya berhijrah”
 Pada akhir bulan Zulhijjah, sahabat mula berhijrah secara berkelompok-kelompok ssehingga membawa kepada penghijrahan Rasulullahصلى الله عليه وآله وس bersama Abu bakar As-Siddiq setelah mendapat perintah oleh Allah agar Baginda berhijrah pada awal bulan Rabiul Awal. Perjalanan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersama Sayyidina Abu bakar yang telah dipandu oleh Amir Bin Kuhafah ini telah mengambil masa selama 9 hari.

Berkata lagi ulama' tentang Hijrah Rasulullah saw bahawa pada malam tersebut, puak Quraisy telah membuat satu perbincangan di Baitul Nadwah untuk menyekat baginda dan dek kerana kebimbangan mereka melihatkan hijrah masyarakat Mekah bakal menggoyahkan kekuatan mereka. Perbincangan itu telah dihadiri oleh setiap pemimpin daripada setiap kabilah dan tidak ketinggalan, seekor syaitan yang menyamar sebagai seorang tua.

Terdapat 3 cadangan yang telah dikemukakan di dalam perbincangan itu yang telah dierekodkan di dalam Al-quran yakni :-

1) Tahan Baginda di rumahnya. (syaitan membangkang kerana menurutnya, itu berbahaya kerana nanti umat Islam akan mencari mereka)

2) Keluarkan Baginda daripada Mekah. (syaitan membangkang buat kali kedua kerana menurutnya umat Islam akan menyerang mereka kembali)
3) cadangan oleh Abu Jahal (gelaran asal Abu Hakam yang bermaksud bapa bagi orang yang bijak, tetapi digelar Abu Jahal oleh Rasulullah). Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pernah berdoa kepada Allah agar salah seorang daripada dua Umar yakni Umar Al-Khatab dan Umar Bin Hisyam dimuliakan dirinya dengan Islam. Namun, Umar yang dipilih oleh Allah adalah Umar Bin Al-Khatab.
Cadangan Abu Jahal itu akhirnya dipersetujui oleh syaitan yang menyamar sebagai seorang tua itu. Kata Abu Jahal;

"
Kita banyak kabilah, kumpulkan dan hantarkan wakil daripada setiap kabilah ke rumah baginda dan diberi pedang kepada mereka untuk membunuh Rasulullah" صلى الله عليه وآله وسلم 

Rasional daripada cadangan bu Jahal itu : Bani Mutalib dan Bani Hashim pasti akan menuntut bela diatas kematian Baginda dan terpaksa berlawan dengan 100 kabilah dan mereka menawarkan 100 ekor unta sebagai hadiah atas kematian Rasulullah saw.

Namun, dengan izin Allah, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم terselamat daripada kekejaman Quraish itu. Ketika sampainya Rasulullah ke Madinah, Baginda disambut oleh alunan Qosidah yang telah dialunkan oleh muslimat-muslimat Ansar yakni Qosidah Thola 'al Badru 'Alaina sebagai tanda kegembiraan mereka menyambut kedatangan Baginda saw. Di dalam peristiwa hijrah juga Rasulullah telah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Ikatan persaudaraan yang sangar kuat di antara Muhajirin dan Ansar ini sangat kuat sehinggakan Saad Bin Rabi' yang telah dipersaudarakan dengan Abdul Rahman Bin Auf oleh Rasulullahصلى الله عليه وآله وسلم   telah menawarkan kepada Abdul Rahman Bin Auf harta dan juga agar dipilih salah seorang daripada isterinya yang disukai Abdul Rahman untuk diperisterikan. Namun, Abdul Rahman menolak pelawaan itu dan hanya diminta agar ditunjukkan kepadanya pasar untuk berniaga.

Selain daripada itu, peristiwa Hijrah ini mengisahkan tentang kehebatan Sayyidina Abu bakar As-Siddiq yang sangat mencintai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di dalam peristiwa bilamana ketika Rasulullah berbaring di atas pahanya, muncul seekor ular daripada sebuah lubang di dalam Gua Thur, maka ditutup lubang itu dengan kakinya agar ular itu tidak mengganggu Rasulullahصلى الله عليه وآله وسلم . Sayyidina Abu bakar tidak bergerak hatta dipatuk oleh kerana takut Rasulullah terjaga sehingga air matanya jatuh ke pipi Rasulullah dek kerana menahan kesakitan.  

Subhanallah Tabarakallah jika dihayati dan diamati kisah Hijrah Rasulullahصلى الله عليه وآله وسلم , betapa sahabat-sahabat sangat taat dan sangat kasih kepada Baginda. Bacalah dan hayatilah kisah-kisah sahabat-sahabat dan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kerana daripada itu betapa kita akan merasakan bahawa indahnya ajaran Islam itu dan betapa molek dan cantiknya akhlak Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan para sahabat. Namun, kita pada hari ini, apa yang kita lakukan tanda cinta kita kepada Baginda? Sehinggakan untuk mengamalkan sunnah walaupun sedikit amat payah. Allahu Allah, kalau kita tak mampu buat semua, jangan ditinggal semua.
Wallahu’alam 
Nota kaki : Salam Maal Hijrah Buat semua sahabat-sahabat yang saya hormati kerana Allah. Semoga tahun ini lebih baik daripada tahun sebelum-sebelumnya. Maaf segala silap dan bicara yang tidak molek daripada diri yang faqir ini. Semoga Allah sentiasa memayungi entum dengan rahmatnya. InsyaAllah.

 Bismillahi walhamdulillah serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم. Ramadhan hampir melabuhkan tirainya. Sedih kerana ia bakal meninggalkan kita. Bukan tidak gembira dengan kehadiran Eidul Fitr, tetapi dek kerana terlalu sukakan kemuliaan dan keberkatan bulan yang sangat indah ini, hati agak keberatan melepaskannya pergi. Seolah-olah ianya sesuatu yang sangat berharga dan sukar untuk dilepaskan. Teringin menjadi seperti para sahabat Rasulullah  صلى الله عليه وآله وسلم  yang bilamana datangnya bulan Ramadhan mereka bergembira tetapi saat berakhirnya  Ramadhan hanya tangisan yang mengiri. Subhanallah Tabarakallah sungguh mengagumkan akhlak para sahabat. Adakah hamba hina lagi faqir ini mampu menjadi seperti mana para sahabat? Adakah Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang lebih baik daripada sebelumnya?  Cukuplah persoalan ini dijawab di lubuk hati yang paling dalam ini kerana biarlah Allah sahaja yang menilainya kerana hanya Allah sebaik-baik penilai.

Barakallahulakuma Wajama'a Bainakuma fi khair
  Masih tercegat di hadapan laptop pada saat ini, kerana ada satu urusan yang belum diselesaikan. Sudah membuat perjanjian dengan seorang sahabat untuk berkongsi berkenaan isu Baitul Muslim. Maka rasa tidak enak pula ditangguh-tangguhkan. Nanti dulu, sebelum itu mari sama-sama kita tajdidkan niat dan berhusnu dhzon sesama kita kerana kebanyakan daripada kita apabila seseorang itu berbicara perilah nikah kahwin ini, terlintas perasaan yang bukan-bukan di hati.  Bukan anda yang membaca entri ini barangkali mereka-mereka di luar sana. Jangan pula menebak yang hamba yang faqir lagi hina ini terlalu mengfokuskan isu Baitul Muslim hingga hal yang lainnya ditinggalkan ke belakang. Tidak sama sekali, kerana sesungguhnya isu Baitul Muslim ini adalah isu yang harus dipandang serius dan bukan semudah mencoretkan kata-kata di FB mahupun ditututkan di bibir sahaja. Kerana isu ini isu yang bakal menentukan bagaimana bentuk serta hala tuju hidup kita pada masa hadapan kelak.

  Khair, berbalik kepada tujuan asal mencoret kali ini. Bilamana menyebut perihal “Baitul Muslim” ianya adalah melibatkan suami dan isteri serta anak-anak yang bakal dilahirkan kelak. Kelestarian sesebuah “Baitul Muslim” adalah bergantung ke atas setiap ahli di dalamnya. Adapun, tanggungjawab yang lebih utama di dalam sesebuah rumah tangga adalah bergantung di atas pundak si “ketua” keluarga. Bilamana menyebut “ketua keluarga” ianya adalah merujuk kepada si lelaki yang bergelar suami. Sekiranya si lelaki itu pincang akhlaknya bagaimana mungkin dia mampu untuk memberi didikan yang baik buat keluarganya. Kasihan pada si isteri dan anak-anak. Mulalah berlaku hal-hal yang tidak diingini seperti suami dera isteri, si suami suka keluar malam tanpa alasan yang jelas akhirnya beraku kesalahfahaman di antara satu sama lain. Natijah yang bakal terjadi seterus-seterusnya? Mungkin akan menjadi semakin rumit. MaasyaAllah, oleh sebab itu semakin ramai yang berani mengambil jalan mudah iaitu atau di dalam bahasa lainnya bercerai. Seolah-olah cerai  dan talak itu seperti perkara yang boleh dibuat main-main. Tidak suka pada suami minta cerai, tidak suka pada isteri jatuhkan talak. MaasyaAllah, takut pula melihat senario masyarakat kita.

 Walau bagaimanapun, ingin ditegaskan bahawa sesungguhnya setiap apa yang berlaku di dalam hidup kita adalah di atas kehendak dan kekuasaan Allah swt. Hatta perihal jodoh kita dengan siapa sekalipun, itu semua adalah atas kehendak daripadaNya. Sungguhpun, barangkali apabila bertemu jodoh dengan tidak seperti mana yang kita idamkan, damailah kerana apa sekalipun keadaan yang dikurniakan kepada kita itu adalah kerana barangkali Allah punya agenda yang lebih baik buat kita pada masa hadapan. 

“Dialah (Allah) yang menciptakan segala apa yang ada di bumi untukmu kemudian Dia menuju ke langit, lalu Dia menyempurnakannya menjadi tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu”
(Al-Baqarah:29)

lukisan cinta ini hanya buat si dia yang telah ditakdirkan buatku
 Namun,  Allah itu sifatnya Maha Adil. Diciptakan setiap makhluk berpasang-pasangan. Dan telah dikhabarkan oleh Allah di dalam kitabNya bahawa. “Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, lelaki yang baik buat perempuan yang baik. Manakala perempuan yang jahat buat lelaki yang jahat dan sebalikNya”. Subhanallah Maha Suci Allah Dialah yang mengatur segala-galanya. Allah Maha Hebat!  Kita jarang untuk bermuhasabah dalam kehidupan seharian kita tidak terkecuali diri yang faqir ini. MaasyaAllah Semoga Allah mengampuni segala dosa kita. Mana mungkin kita mahu si ‘dia’ yang baik akhlaknya untuk dijadikan suri mahupun peneman hidup kita sedangkan akhlak kita belum cukup baik untuk mendapatkannya. Pernah dengar atau terbaca ayat-ayat seperti ini di mana-mana? 

“ Hang ni walaupun aku ni mat rempit, hang ingat aku nak ka pompaan-pompuan yang terdedah sana terdedah sini dibuat isteri?”
(Anonymus)

 Subhanallah, bukanlah niat dihati untuk mengatakan yang buruk-buruk pada siapa-siapa tetapi hanya sekadar perkongsian berdasarkan senario masyarakat kita saat berbicara perihal perkahwinan. Adapun pada pandangan hamba yang faqir ini, setiap daripada kita itu berhak mengimpikan seseorang yang baik akhlaknya untuk dijadikan peneman hidup dalam melayari bahtera berumah tangga. Ya itu hak kita. Namun begitu, adalah menjadi hak pasangan kita itu untuk mendapatkan hal yang sama yang kita ingin daripadanya. Jikalau kita ingin si dia seorang yang rajin bertalaqi sebagai contoh, kita juga harus rajin bertalaqi. Indah bukan sekiranya tertanam sifat seperti ini di dalam diri kita. Menghormati hak satu sama lain. MaasyaAllah, masih banyak yang perlu al-faqir perbaiki. Sebab itu Allah masih simpan jodoh al-faqir. Bagaimana dengan anda? Jadi, jangan masih ada rasa mahu bertangguh-tangguh untuk memperbaiki akhlak. Kerana belum tentu ada hari esok buat kita. 



Ya Allah..kurniakanlah kami isteri atau suami penyejuk hati kami
  Selain daripada itu, ramai juga di antara kita yang sering kali menyatakan bahawa masih terlalu awal sekiranya dalam usia 20 tahun untuk memikirkan hal-hal berkaitan munakahat ini dan tidak terkecuali diri yang faqir ini suatu ketika dahulu. Apabila sudah banyak yang bertanya dan memberikan pendapat, sedikit demi sedikit rasa ketidakpentingan memikirkan hal ini dikikis daripada kotak fikiran al-faqirah. Bukanlah apabila kita memandang serius hal ini bermakna kita ini seorang yang terlalu ingin sangat mendirikan rumah tangga. Tidak sama sekali. Kita ada hak untuk menentukan dalam golongan apa diri kita ini patut dietakkan. Wajibkah? Sunatkah? Makruhkah? Haruskah? Adapun di dalam agama Islam tiada paksaan. Jika merasakan sudah masanya mendirikan berumah tangga, maka silakanlah. Adapun jika belum, tumpukan dahulu kepada apa yang lebih penting buat masa ini. Tetapi sekiranya kita masih dalam golongan yang belum berkeinginan, jangan pula kita berfikir yang tidak-tidak terhadap mereka yang cenderung untuk mendirikan rumah tangga di usia yang muda kerana mereka juga ada alasan yang kukuh.

   Namun begitu, adalah menjadi tanggung jawab kita untuk melestarikan salah satu sunah Rasulullah saw biarpun lambat mahupun cepat. Berusahalah untuk sentiasa berdoa dikurniakan yang terbaik buat kita tetapi bukan mahu yang begini dan begitu. Dan begitulah apa yang selalu diajarkan Guru kami iaitu Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll. Dalam kita berdoa, usaha dan tawakal kepada Allah, ianya juga haruslah sentiasa bergerak seiring. Allah tidak suka kita hanya meminta tetapi malas berusaha. Bagaimana bentuk usaha yang seharusnya dilakukan adalah bergantung kepada individu tersebut asalkan usahanya itu berjalan di atas landasan syari’atullah

  Di samping itu, tidak dilupakan kepada nasihat Guru kami Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll tatkala berbicara isu nikah kahwin ini. Kata ustaz, faktor yang harus ditumpukan dalam urusan menentukan siapa calon yang cocok selain daripada dia yang soleh mahupun solehah adalah penting bagi kita memastikan kesejahteraan Aqidah si dia yang bakal menjadi nakhoda mahupun anak kapal bahtera rumah tangga yang bakal berayar kelak. Sejahtera yang bagaimana? Sejahtera yang dimaksudkan ialah berpegang kuat dengan Aqidah Ahli Sunnal Waljamaah (ASWJ) kerana walaupun yang datang melamar ataupun dilamar itu baik akhlaknya namun, dek kerana aqidahnya yang menolak ASWJ adalah menjadi suatu masalah bagi kita terutamanya mereka yang dilamar. Bagi seorang isteri, ketaatannya adalah ke atas suaminya. Adapun sekiranya yang melamar itu aqidahnya menolak aqidah ASWJ, jadi kasihan bukan kepada si dia yang dilamar? Itulah yang ditakuti dan dibimbangi oleh guru kami itu. Aqidah adalah asas kepada kehidupan kita. Ia ibarat akar yang mencengkam tanah untuk mengukuhkan pertumbuhan sebatang pokok itu. Bilamana akarnya rapuh, mana mungkin pokok yang bertumbuh itu kukuh dan sihat. Sama seperti aqidah juga. Jika asas aqidah rapuh, bagaimana Baitul Muslim yang bakal dibina nanti? MaasyaAllah, semoga Allah permudahkan segala urusan kita.


Ikatan cinta di antara dua hati
  Oleh yang demikian, apabila ingin melamar mahupun mengkhitbah seseorang itu adalah lebih baik bagi seseorang lelaki itu untuk menggunakan seseorang yang kita thiqah padanya untuk mengusulkan hasrat kita itu dan sebelum meminta diusulkan hasrat adalah lebih baik sekiranya meminta pandangan daripada orang-orang ‘alim berkenaan hasratnya kerana sudut pandang orang ‘alim itu adalah lebih baik daripada apa yang sering kali menjadi sangkaan kita selama ini. Namun begitu, cara bagaimana hendak melamar adalah bergantung pada lelaki tersebut. Tetapi bagi al-faqirah sendiri dengan menggunakan orang yang kita thiqah padanya akan lebih molek caranya berbanding menyatakan sendiri hasrat ingin melamar kepada si wanita itu sendiri. Mengapa? Kerana sudah dinyatakan di dalam satu entry yang pernah ditulis al-faqirah dahulu bahawa ia baik buat menjaga hati kita.

   Akhirul kalam, dengan rendah hati hamba yang hina lagi faqir ini ingin memohon seribu kemaafan seandainya  percerahan berkenaan Baitul Muslim yang cuba disampaikan oleh al-faqirah kali ini tidak kena pada kehendak hati sahabat pembaca. Almaklumlah, Allah masih berkehendak menyimpankan jodoh al-faqirah. Namun demikian, coretan kali ini hanyalah sekadar pandangan peribadi dan sedikit sebanyak penghayatan terhadap perihal Baitul Muslim berdasarkan pemerhatian, pengalaman-pengalaman yang diceritakan oleh sahabat-sahabat yang terlebih dahulu melangsungkan perkahwinan dan daripada apa yang didengar daripada kalam guru kami. Pesanan akhir buat sahabat-sahabat pembaca sebelum menamatkan kalam dan buat diri sendiri khasnya, jangan ambil mudah urusan berkaitan baitul muslim ini kerana ia melibatkan bakal zuriat yang akan menjadi generasi penerus perjuangan Rasulullah saw pada masa akan datang.

Wallahu’alam



Nota kaki :Ambil tahu bukan bermakna kita terlalu ingin berkahwin pada waktu ini. Tetapi ambil tahu adalah sebagai persediaan fizikal dan rohani sebelum menghadapinya. Maka, bilamana datang yang melamar, kita sudah punya prinsip dan jawapan kita sendiri. Allahu Allah.. Coretan ini ikhlas daripada lubuk hati ini buat sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah. Adapun jika terdapat kecacatn tegurlah dan perbetulkanlah. ~ Barakallahu fik=)
 


Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Ali Sayyidina Muhammad. Allahmdulillah wa syukurillah, kerana diberi kesempatan oleh Allah untuk bernafas di dalam keadaan Iman dan juga Islam sehingga saat ini. Dengan berkat kasih sayang Allah kita sudah 22 hari kita berpuasa di bulan mulia ini yakni Ramadhan. Adapun, tinggal beberapa hari lagi untuk kita berhari raya. Tetapi tunggu dahulu! Ada urusan yang masih belum selesai di dalam diari hamba Allah yang sedang menempuh bulan yang penuh keberkatan ini. Yakni, tanggungjawab untuk melestarikan misi kita untuk memburu Lailatul Qadr. Malam yang disembunyikan bila ia akan berlaku. 

Walaupun tarikh berlakunya Lailatul Qadr menjadi rahsia Allah, para ulama dan Ahli Sufi telah membuat kaedah dengan harapan berjumpa dengan malam berkat tersebut, mengikut pengalaman masing-masing.


Kaedah:


Di dalam kitab Hasyiah Fath al-Wahhab disebutkan bahawa: Jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad atau Rabu, Lailatul Qadar diharapkan akan terjadi pada malam ke 29, jika hari Isnin, malam ke 21, jika hari Selasa atau Jumaat, malam ke 27, jika hari Khamis, malam ke 25 dan jika hari Sabtu, malam ke 23. Kaedah ini juga disebut di dalam Al-Barmawi dan Al-Qalyubi (2/26).


Di dalam kitab Al-Jauhar al-Mauhub dan Al-Bujairami ‘ala al-Khathib (2/410), disebutkan bahawa ahli-ahli Sufi termasuklah Syaikh Abu Bakar al-Maghribi, Imam Al-Ghazali dan lain membuat dhobith (kaedah) iaitu jika awal Ramadhan jatuh pada hari Jumaat, Lailatul Qadar diharapkan akan terjadi pada malam 29, jika hari Sabtu, malam ke 21, jika hari Ahad, malam ke 27, jika hari Isnin, malam ke 29, jika hari Selasa, malam ke 25, jika hari Rabu, malam ke 27 dan jika hari Khamis, malam ke 21 .


Walau bagaimanapun, kebanyakan ulama’ mentarjihkan (menguatkan) pendapat yang mengatakan Lailatul Qadar terjadi pada malam 27 Ramadhan berdasarkan keterangan hadith daripada Ubay bin Ka’ab dan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada malam 27 itu .
Tanda-tanda:


1- Malamnya tenang (tidak bunyi bising/ hiruk pikuk), tidak panas dan tidak sejuk.
2- Cahaya matahari pada paginya kelihatan putih cerah, tidak banyak sinarannya .
3- Anjing tidak menyalak .

(Rujukan: Risalah Amalan 10 Malam terakhir)

Selain daripada itu, berikut adalah pesanan Syeikhuna Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll bersempena 10 malam terakhir Ramadhan ini:-

Berusahalah beramal bersungguh-sungguh pada malam ini (21 Ramadhan) dan siangnya, malam 27 dan siangnnya, juga malam 29 dan siangnya. Amalkan juga doa: 

1-ALLAAHUMMA INNAKA ‘AFUWWUN KARIM, TUHIBBUL ‘AFWA FA’ FUANNAA. 

2-ALLAHUMMARZUQNAA LAILATAL QADR, FII HAAZIHIS SANAH, WA FII KULLI SANAH, WA A’INNAA ‘ALAA QIYAMMIHAA.

3- ALLAAHUMMA INNAA NAS’ALUKA KHAIRA HAAZIHIL LAILAH, FATHAHAA WA NASHRAAHAA WA NUURAHA WA BAROKATAHA, YA A ARHAMAR ROOHIMIINA WA YAA AJWADAL AJWADIN.

Amalkan juga SUNNAH NABI SAW setiap hari : Selepas salam untuk solat Subuh dan maghrib 

(1)    tetap di dalam keadaan duduk tahiyyat akhir (sama ada tawarruk atau iftirasy jika sakit kaki), jangan rongkaikan kaki dan jangan berkata-kata sehingga selesai membaca 10 kali : اَ إِلَهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيكَ لَهُ، لَهُ الْمُلْكُ وَلَهُ الْحَمْدُ يُحْيِيْ وَيُمِيتُ، وَهُوَ عَلىَ كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ (“Tiada Tuhan melainkan Allah Yang Maha Esa, tiada sekutu bagiNya, bagiNya segala kerajaan dan bagiNya segala pujian, Dialah yang menghidupkan dan mematikan, dan Dialah Yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu.”)


Fadhilatnya: Hadith dari Abu Zar berkata: Sesungguhnya Rasulullah bersabda: “Barang siapa yang membaca selepas solat Subuh dalam keadaan kakinya masih seperti kedudukan duduk Tasyahhud Akhir, sebelum berkata-kata 10 kali, ditulis baginya 10 kebaikan, dihapuskan daripadanya 10 kejahatan (dosa), diangkatkan baginya 10 derjat (kedudukan), dan dia pada hari itu terjaga dari segala perkara yang dibenci, terbenteng dari syaitan, serta tidak ada suatu dosa yang dapat membinasakannya pada hari itu kecuali perbuatan syirik (menyekutukan) Allah.”


(2)    jangan berkata-kata sehingga selesai membaca 7 kali :

اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ (“Ya Allah, peliharalah aku dari api neraka”)


Fadhilatnya: Hadith dari Al-Harith bin Muslim dari ayahnya berkata: Nabi bersabda: Apabila kamu selesai menunaikan solat Subuh, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata: اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ 7 kali, maka sekiranya kamu meninggal dunia pada hari itu, Allah menulis bagimu perlindungan dari api neraka. Dan apabila kamu selesai menunaikan solat Maghrib, maka bacalah sebelum kamu berkata-kata: اَللَّهُمَّ أَجِرْنِي مِنَ النَّارِ 7 kali, maka sekiranya kamu meninggal dunia pada malam itu, Allah menulis bagimu perlindungan dari api neraka.”


Walaubagaimanapun, adalah lebih baik sekiranya kita berusaha untuk istiqamah dalam beramal di dalam sepuluh malam terakhir kerana barangkali ia dapat melatih kita untuk sentiasa ikhlas dan istiqamah di daam beramal bukan sahaja hanya pada bulan Ramadhan tetapi juga pada bulan-bulan selainnya.
Wallahu'alam







Sollu 'Alan Nabiyuna SAW
Bismillahiwalhamdulillah wa 'ala Rasulillahi Sollallahhu 'Alaihiwassalam. Salam Mahabbbah,seluas mahabbatun Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم  salam Ramadhan dan Selamat Memburu Lailatul Qadr. Allahu Allah...sudah lama tidak mengupdate blog kerana agak kurang membaca di rumah, maka agak ketandusan  idea untuk menulis. Ada sahaja idea, tetapi jari ini kaku pula hendak bersilat gayong di atas keyboard ini.Dan di pagi yang indah dan penuh barakah ini yakni pada hari ke 21 kita berpuasa, Allah kuniakan kudrat untuk hamba yang faqir lagi hina ini menaip. (Wahai cik Wardah Ad-Deen jangan malas-malas kerana orang malas selalu rugi) 

   Alhamdulillah, ketika ber"FB"walking terjumpa satu kata-kata hikmah yang indah buat seseorang yang bergelar "wanita". Daripada seorang sahabat. Susunan kata yang membuat kita berfikir, wanita khasnya, bahawa Allah itu sifatnya Maha Adil dan Maha Bijaksana di dalam setiap perkara yang diciptakan olehnya. Tiada istilah, mengapa lelaki lebih ini lebih itu? Mengapa wanita begini dan begitu? Allah..sesungguhnya diciptakan lelaki dan wanita itu untuk saling melengkapi. Maka, hayatilah perkongsian dan fikir-fikirkanlah hikmah diciptakan seorang wanita itu.


Seindah perhiasan adalah wanita solehah
Wahai Wanita..

Siapa kata jadi perempuan itu senang?
nak kena tutup sana, tutup sini
tengok budak lelaki, pakai baju pagoda sedikit pun orang tidak bising

Perempuan, stokin pun kena pakai
cuba suruh budak lelaki jadi perempuan satu hari
pasti tidak  tahan bertutup semua
tapi, perempuan tenang sahaja
tengah panas pun boleh lagi pakai jubah, hebat bukan perempuan?

Siapa kata jadi perempuan itu senang?
tiap-tiap bulan, mesti ada penyakit
hendak pergi kelas pun susah
cuba tengok budak lelaki , tenang sahaja
kadang-kadang setahun sekali pun susah hendak dapat sakit
tapi, perempuan hidup berpuluh-puluh tahun dengan penyakit tiap-tiap bulan, survive sahaja
tengah-tengah sakit pun boleh senyum lagi sampai orang pun tidak perasan yang dia sakit
hebat bukan perempuan?

Siapa kata jadi perempuan itu senang?
hati mereka Allah jadikan lembut betul
cepat sahaja sensitif
cuba tengok orang putus cinta
selalu perempuan yang paling susah hendak lupa

Lelaki lepas putus cinta cepat sahaja pasang baru
cuba pergi wayang tengok cerita hindustan
siapa yang paling teruk menangis?
perempuan kan?lelaki boleh gelak-gelak lagi
lembut tidak lembut hati perempuan?
tapi dengan hati yang lembut itu perempuan dapat mengagumkan lelaki
hebat bukan perempuan?

Disebabkan susahnya hendak jadi perempuan inilah,
ramai perempuan yang merajuk dengan Allah
mereka cakap, Allah tidak adil

Kenapa Allah lebihkan lelaki?
kenapa perempuan kena dengar cakap suami?
kenapa syurga perempuan terletak di bawah kaki suami?
padahal jadi perempuan itu sangatlah susah
bak kata orang, hendak jaga 10 anak lelaki, tidak susah macam nak jaga sorang anak perempuan.


Dan disebabkan perasaan negatif pada Allah ini,
ramai perempuan-perempuan di luar sana yg rebel,
pakai pakaian yang tidak menutup aurat dengan alasan,
“lelaki x payah tutup pun”
mereka berani bertepuk tampar dengan lelaki
mereka sanggup gadaikan diri disebabkan terlalu percaya pada janji manis kekasih yang busuk hati
kesian bukan pada mereka?

Disebabkan fikiran yangg negatif terhadap Allah, mereka sanggup rosakkan diri
 kata mereka, mereka buat macam itu sebeb Allah tidak adil
persoalannya sekarang
betulkah Allah tidak adil dengan perempuan?

Betul syurga perempuan terletak di bawah kaki suami
tapi, cuba ingat balik, syurga seorang anak lelaki terletak di bawah kaki siapa kalau bukan kaki ibunya?

Betul, isteri kena ikut cakap suami
tapi, seorang anak lelaki kena taat pada ibunya 3 kali lebih utama daripada ayahnya
tidak adil lagikah Allah pada perempuan?
Allah bukan setakat adil, tetapi Allah itu sangat sayang pada perempuan

Untuk lelaki, syurga isterinya terletak di bawah kakinya
kalau paling banyak dia ada 4 orang isteri
cuma ada 4 orang yangg syurganya bergantung pada seorang lelaki itu

Tapi perempuan, ditakdirkan ada 15 orang anak lelaki
bermakna ada 15 orang yang syurganya terletak pada seorang perempuan itu
mashaAllah, hebatnya perempuan?

Kenapa perempuan hebat? sebab kasih sayang Allah yang jadikan kita hebat
cuba dengar pula lagu-lagu yang berkumandang di radio
banyak lagu pasal perempuan bukan?
jarang kita dengar lagu pasal lelaki
sayang tidak sayang Allah itu pada perempuan,
sampai perempuan dikasihi macam itu sekali di dunia
masih tidak adil lagikah Allah pada perempuan?

Allah sebenarnya terlampau adil pada perempuan
sampaikan disebabkan susahnya hendak jadi perempuan ini
perempuan senang hendak masuk syurga
hayati hadis ini :


"Apabila seorang perempuan mendirikan sembahyang lima waktu, berpuasa sebulan (Ramadhan), menjaga kehormatan dan taat kepada suami, dia akan disuruh memasuki syurga melalui mana-mana pintu yang dia sukai."

(Hadis Riwayat Ahmad)

Tidak adil lagikah Allah pada perempuan? Wahai perempuan, sedarlah betapa sayangnya Allah padamu. Betapa cintanya Allah padamu. Tetapi, kenapa kamu mahu rosakkan dirimu kerana fikiran-fikiran negatif yg tidak berasas pada Allah? Allah jadikan pe rempuan itu sebagai hiasan dunia. Bayang, dunia yang besar ini, dunia yang cantik ini, kita jadi hiasan
dan seindah-indah hiasan itu adalah wanita solehah.

Wallahu'alam
Daripada FB seorang sahabat.

Nota kaki : "Aku ingin menjadi seorang muslimah yang sejati, anak yang solehah, isteri yang solehah, ibu yang solehah, dan pekerja yang amanah di dalam pekerjaannya. Wahai Allah perkenankanlah"Allahumma Ameen~


  Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Ali Sayyidina Muhammad. Dengan kalam Bismillahirrahmanirrahim serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad dititipkan agar mahabbah ke atas Rasulillah saw akan sentiasa subur di hati kita disertai dengan benih-benih keimanan dan ketaqwaan terhadap Rabbuna Tuhan yang Esa yang berhak ke atas segala-galanya. Semoga semakin hari semakin bertambah kecintaan kita kepada baginda di dalam perjalanan kita untuk menyelusuri kehidupan yang penuh mehnah dan cabaran ini.InsyaAllah Teringat petikan kata-kata yang sering dilafazkan Syeikhuna Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll;

“Kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai di akhirat kelak”


  Alhamdulillah, Alhamdulillah dan Alhamdulillah.. Apa lagi ucapan yang berhak keluar daripada mulut kita melainkan lafaz hamdalah  di atas setiap kurniaan yang Allah berikan kepada kita. Hitunglah sebanyak mana nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita, mampukah kita menghitungnya?  Hatta, seluas lautan sekalipun nikmat yang Allah kurniakan kepada kita itu, nescaya tidak mampu untuk kita menghitungnya apatah lagi untuk membalasnya melainkan dengan melakukan apa yang diperintahkan dan meninggalkan larangannya. Hanya itu yang dapat membuktikan bahawa kita bersyukur dengan nikmat yang kita terima daripada Rabbuna. Sesungguhnya, Allah tidak akan rugi sedikit pun sekiranya hambaNya tidak melakukan apa yang diperintahkannya dan meninggalkan apa yang dilarang sebaliknya yang bakal rugi dan tergolong dalam golongan Al-Khasirin yakni golongan yang rugi adalah hambaNya itu sendiri. Yang sombong untuk meminta daripadaNya dan berjalan penuh bongkak di atas muka bumi ini. Wana’uzubillahumin zalik Semoga kita tidak tergolong daalam golongan ini.

KESEDERHANAAN: BELAJARLAH DARIPADA AKHLAK RASULULLAH SAW

  Hiduplah dengan besederhana dalam setiap perkara. Itu sebenarnya yang Islam ajarkan. Tidak berlebih-lebihan dan tidak pula terlalu berjimat. Lihatlah pada kehidupan Rasululillah saw, Allahu Allah baginda seorang Nabi dan Rasul, berhak untuk memiliki apa-apa daripada Allah. Harta, kekayaan, rumah yang besar dan apa-apa juga yang dikehendaki baginda. Namun, lihatlah dan amatilah akhlak Rasulillah, hidup dalam penuh kesederhanaan. Allah… malunya diri, sedangkan seorang Nabi yang sangat mulia hidup dalam keadaan yang sangat besederhana dan tidak pula mengejar-mengejar kekayaan. Betapa mulianya diriMu dan akhlakMu ya Rasulillah… Jika diriMu hadir pada saat ini, di celah-celah manusia yang hidupnya yang hanya mengejar-ngejar dunia dan meninggalkan akhirat nun jauh di belakang, daku pasti dan sangat-sangat yakin bahawa akan merah padamlah muka mereka dek kerana terlalu malu dengan apa yang mereka cuba kejar-kejarkan sedangkan diriMu sangat mulia, ya tersangat mulia kerana tidak dikau pentingkan kekayaan dan keduniaan sedangkan hingga akhir hayatMu hanyalah ungkapan “Ummati,Ummati, Ummati !“ yang keluar daripada mulutMu ya Rasulillah.

  Tetapi, kami sedar ya Rasulillah biarpun kami tidak pernah dan tidak dapat menatap wajahMu yang sangat mulia, kami punya dua perkara yang dikau tinggalkan kepada kami yakni Al-Quran dan SunahMu agar kami tidak sesat dan hanyut dalam tipu daya dunia dan bisikan-bisikan yang melalaikan. Semangat dakwahMu akan terus subur dalam diri kami.InsyaAllah Petanda akhir zaman semakin menghampiri, manusia mengejar-mengejar dunia dan sudah menjadi perkara biasa pada pandangan masyarakat sedangkan yang benar sebaliknya dianggap “ghuraba” yakni asing pada mereka. Orang yang mendirikan solat di celah-celah kesibukan bekerja dianggap membazirkan waktu pada pandangan mereka dan orang yang memakai tudung pula dianggap extremist.  Itulah hakikat kehidupan kini yang harus diterima, agama ditolak ke tepi. Kata mereka, urusan kerja tidak boleh dicampur adukkan dengan agama dan haruslah diasingkan.Wana’uzubillahuminzalik Bukankah ini contoh yang menunjukkan bahawa terlalu berlebih-lebihan mengejar-mengejar dunia? Keperluan hidup atau kehendak nafsu? Sedangkan apa yang Islam ajarkan adalah dunia dan akhirat itu seharusnya berjalan seiring. Sangat susah untuk menerangkan kepada masyarakat kini berkenaan hal-hal yang bersangkutan dengan perihal agama hanya kerana kurangnya pemahaman mereka terhadap hal-hal berkaitan agama, daripada hal jual belinya, munakahatnya dan segala-galanya yang bersangkutan dengan kehidupan. Alangkah kasihannya mereka. Jikalau ditegur dijawabnya, “Kubur masing-masing.”

“ Serulah (manusia) kepada jalan TuhanMu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya TuhanMu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalannya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk”
(An-Nahl:125)

  Sunnah terbesar yang telah ditinggalkan Rasulullah adalah sunah dalam berdakwah.  Jikalau urusan dakwah itu kita anggap remeh dan hal yang tidak penting untuk diusahakan, maka semakin rosaklah masyarakat kita. Bergelumang dengan dosa dan maksiat itulah impak yang bakal disaksikan oleh kita. Adakah urusan dakwah ini amat perlu dalam kehidupan kita? Ya, sudah semestinya. Cuba anda bayangkan, dalam keadaan masyarakat yang semakin jauh daripada ajaran agama dan jika ditambah dengan golongan ‘alim dalam hal-hal agama ini hanya buat endah tidak endah dalam urusan dakwah ini, apa yang bakal berlaku?


KEPERLUAN

  Tatkala membeli-belah bersama-sama keluarga mahupun sahabat-sahabat di shopping-shopping complex mahupun di super market, banyak perkara yang boleh dipelajari melihatkan gelagat dan ragam masyarakat kita. Bukanlah niat dihati untuk berfikir yang bukan-bukan dan yang tidak-tidak tentang orang lain tetapi sekadar pengajaran dan pelajaran buat diri dalam mengenal erti sebuah kehidupan. Apa yang buruk dijadikan sempadan agar tidak pula kita mengulangi apa yang buruk itu dan segala yang baik itu pula tidak salah untuk kita contohi. Begitulah apa yang dikatakan belajar daripada kehidupan, bukan hanya sekadar menganggap kehidupan sebagai suatu  pertempuran tetapi anggaplah ia sebagai sebuah ladang untuk kita bercucuk tanam bagi menuai hasilnya di akhirat kelak. Kata mereka, “Biar papa asal bergaya”. Kehendak nafsu lebih diutamakan berbanding keperluan hidup. Barang-barang yang tidak perlu usahlah dibeli, jangan hanya kerana melihatkan jiran di sebelah rumah punya televisyen baru, dia juga mahu yang baru. “Dia ada televisyen plasma dan aku juga mahu”. Begitulah ragam masyarakat kita. Maka, belajarlah agar kita tidak mengikut kehendak nafsu semata.

  Selain itu, daripada segi pakaian dan mu’amalah juga. Mahu sahaja ana berjalan sambil memejamkan mata tatkala melewati segelintir daripada kita yang berpakaian seperti tidak cukup kain dan berpegangan tangan mengalahkan orang yang sudah menikah. MaasyaAllah, kasihan melihatkan keadaan mereka. Jikalau mereka mengetahui bahawa seksanya azab api neraka itu nescaya menangislah mereka kerana ketakutan. “Wahai Allah yang mengetahui segala isi hati kami, campakkanlah rahsia taufik dan hidayahMu ke dalam hati-hati kami”.Allahumma Ameen Bukankah ia hanya sebahagian daripada perkara-perkara yang hanya sekadar memenuhi kehendak nafsu? Kasihan bukan? Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita.Allahumma Ameen Usah menyalahkan orang lain seandainya ada mata-mata liar yang memandang, hisablah diri dan carilah apa yang salah pada diri yang menyebabkan mata-mata itu memandang. Kerana pakaiankah? Solekankah? Kita yang lebih mengetahui tentang diri kita tetapi jangan lupa Allah jauh lebih mengetahui segala-galanya sama ada tersembunyi atau tidak.

KEKAYAAN BELUM TENTU MEMBAHAGIAKAN

  Kekayaan belum tentu membahagiakan. Walaupun duit bertimbun-timbun bak Gunung Everest sekalipun jikalau ia tidak mampu membahagiakan tiada gunanya. Bekejar-kejar ke sana ke mari siang dan malam tanpa mempedulikan urusan sebagai seorang hamba Allah hanya kerana mahu menjadi kaya bukanlah kayu ukur untuk memperoleh kehidupan yang penuh mahabbah dan bahagia. Mana tidaknya, si  isteri kerjanya siang manakala si suami pula kerjanya malam. Bila masanya untuk bertemu? Anak-anak apatah lagi, ketandusan kasih sayang. Implikasi lain yang timbul, masalah-masalah sosial dalam kalangan remaja semakin menjadi-jadi. Tidak usah menuding jari pada orang lain apabila anak-anak rosak akhlak dan hilang moralnya. Lihatlah pada diri kita sendiri. Bagaimana kita mendidik mereka? Lihat, bukankah ini hanya menurut kehendak nafsu semata, sehingga keluarga terabai.

  Apa kata kita ambil Al-Quran dan renungkan pada ayat 63 sehingga akhir surah Al-Furqan. Bagaimana dengan jelasnya Allah nyatakan ciri-ciri seorang hamba Allah (‘Ibadullah) yang sebenarnya.

63.  Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.

64.  Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka[1072].

65.  Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, jauhkan azab Jahannam dari kami, Sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal".

66.  Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.

67.  Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.

68.  Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya),

69.  (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina,

70.  Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh; Maka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

71.  Dan orang-orang yang bertaubat dan mengerjakan amal saleh, Maka Sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan Taubat yang sebenar-benarnya.

72.  Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.

73.  Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat- ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang- orang yang tuli dan buta.

74.  Dan orang orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (Kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.

75.  Mereka Itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang Tinggi (dalam syurga) Karena kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan Ucapan selamat di dalamnya,

76.  Mereka kekal di dalamnya. syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.

77.  Katakanlah (kepada orang-orang musyrik): "Tuhanku tidak mengindahkan kamu, melainkan kalau ada ibadatmu. (Tetapi bagaimana kamu beribadat kepada-Nya), padahal kamu sungguh Telah mendustakan-Nya? Karena itu kelak (azab) pasti (menimpamu)".

[1072]  maksudnya orang-orang yang sembahyang tahajjud di malam hari semata-mata Karena Allah.
(Al-Furqan:63-77)

  Subhanallah, lihatlah bagaimana Allah itu sangat sempurna. Dinyatakan bagaimana ciri-ciri sebenar seorang hamba Allah itu. Hanya kita yang malas untuk ambil masa seminit atau lebih untuk mentadabbur setiap ayat daripada Al-quran yang merupakan warkah cinta daripada Allah s.w.t buat kita hambaNya. Sehingga kadang-kadang kita ambil mudah soal bacaan kita. Tajwid berteraburan sana sini. Wana’uzubillahuminzalik..Maka, sentiasalah simpan di dalam kotak ingatan kita berkenaan hadis yang ada menyebutkan bahawa “Sesungguhnya, hanya dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang.” Inilah keperluan kita sebenarnya. Ya, keperluan untuk rohani kita yang kadang-kadang menurun dan menaik imannya. Jikalau jasmani perlukan makanan, rohani juga perlu diberi makan. Barulah dikatakan seimbang hidup kita. Dunia dan akhirat berjalan seiringan.

  Justeru itu, janganlah kita menggunakan alasan bekerja untuk mengejar kekayaan untuk kebahagian keluarga sebagai tiket untuk mengambil mudah urusan akhirat dan anak-anak  serta isteri mahupun suami. Jangan sesekali. Takut nanti di kemudian hari kita yang akan menyesal dek kerana sikap kita sendiri. Sama-samalah berusaha untuk mendidik diri sendiri serta anak-anak dan isteri untuk menjadi seorang hamba Allah yang telah dinyatakan oleh Allah s.w.t melalui ayat daripada surah Al-Furqan ini.InsyaAllah

  InsyaAllah, konteks perbincangan yang cuba diketengahkan di dalam entri ini adalah bersifat umum. Tidak tertumpu hanya kepada material semata-mata tetapi mencakupi setiap aktiviti dan keadaan yang sering kali berlaku dalam kelompok masyarakat kita. Ana merasa terpanggil untuk mencoretkan berkenaan permasalahan ini agar ianya menjadi peringatan buat diri yang faqir ini terutamanya dan juga buat semua sahabat-sahabat pembaca yang dikasihi kerana Allah. Ini hanya pandangan hamba yang faqir yang gemar memerhati keadaan di sekeliling dan suka menjadikan apa yang dipandang sebagai motivasi buat diri dan InsyaAllah diterjemahkan di dalam bentuk penulisan yang penuh dengan cacat cela agar umum mendapat manfaatnya. Semoga Allah merahmati penulisan kali ini dan semoga sampai kepada hati-hati semua sahabat-sahabat pembaca.InsyaAllah

Wallahu’alam

Nota kaki: Cuti yang panjang membuatkan hati rindu pada Universiti tercinta. Tidak mengapa cuti yang panjang ini ambil peluang untuk belajar ilmu kekeluargaan.InsyaAllah=)