Páginas

Thursday, December 16, 2010

:: Apa yang Istimewanya 10 Muharam?::


  

  Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha penyayang. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w  penghulu kepada sekelian Nabi.  Alhamdulillah dengan penuh syukur dan takzimnya setiap daripada kita perlu rafa’kan kepada Allah s.w.t kerana diberi kesempatan untuk merasakan kenikmatan Iman dan Islam sehingga hari ini dan saat ini. Sudah lama rasanya tidak menaip untuk mengisi ruangan blog yang diharapkan dapat memberi manfaat buat setiap sahabat pembaca. Terasa tari jari jemari agak sedikit pincang dek kerana sudah lama tidak menaip. Maaf dipinta buat para pembaca yang sering kali singgah tetapi  yang hanya menemukan blog yang sudah lama tidak diupdate. Begitulah fitrah manusia, membuat sesuatu perkara itu susah untuk istiqamah tetapi kalau dapat istiqamah pasti akan merasakan kelazatannya seperti apa yang telah Syaikhuna tercinta Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll nyatakan,

Ingatlah,beristiqomah AMAT2 SUSAH. Tetapi sesiapa yg memilikinya, akan merasa KELAZATAN. "

  Khair, dalam kita sedar atau  tidak sedar, hari ini kita sudah masuk  10 Muharam tahun 1432 Hijrah atau nama lain bagi hari ini ialah Hari ‘Asyura  yang berasal daripada perkataan arab “’asyarah” yang bermaksud sepuluh.  Menyingkap sejarah di sebalik tanggal 10 Muharam ini, ia punya sejarah khusus yang menjadikan ia hari yang istimewa. Kenapa ya agak-agaknya?  Berikut adalah sejarah-sejarah khusus yang berlaku pada tanggal 10 Muharam ini yang ana rujuk daripada sebuah laman sesawang.

Peristiwa-peristiwa yang berlaku pada 10 Muharam:-

1. Hari pertama Allah menciptakan alam.
2. Hari pertama Allah menurunkan rahmat.
3. Hari pertama Allah menurunkan hujan.
4. Hari Allah menjadikan ‘Arasy.
5. Allah menajdikan Loh Mahfuz.
6. Allah menajdikan malaikat Jibrail.
7. Allah menciptakan Nabi Adam.
8. Allah mengampunkan kesalahan Nabi Adam.
9, Nabi Idris diangkat ke langit.
10. Allah melabuhkan bahtera Nabi Nuh di Bukit Judi (ada sandarannya – hadis riwayat Imam Bukhari).
11. Nabi Ibrahim dilahirkan.
12. Nabi Ibrahim diselamatkan daripada api.
13. Nabi Yusuf dibebaskan daripada penjara.
14. Nabi Yaaqub pulih daripada buta.
15. Penyakit Nabi Ayyub disembuhkan.
16. Nabi Musa diselamatkan daripada Firaun di Laut Merah.
17. Kitab Taurat diturunkan kepada Nabi Musa.
18. Nabi Yunus dikeluarkan daripada ikan.
19. Allah ‘mengangkat’ Nabi Isa.
20. Saiyidina Hussin syahid di medan Karbala (disahkan oleh para sejarahwan)

  Sedikit pendetailan berkenaan peristiwa Nabi Ibrahim diselamatkan daripada api, kisah nabi Musa yang diselamatkan daripada Firaun di Laut Merah dan kisah Nabi Nuh yang ditentang kaumnya agar lebih jelas mengapa10 Muharam ini sangat istimewa.

 Menyorot sekitar peristiwa Nabi Nuh as yang dibantu Allah untuk menghapuskan umatnya yang ingkar. Umatnya yang ingkar, kufur dan syirik dihancurkan serta dibinasakan oleh Allah swt, dengan banjir taufan selama enam bulan lamanya. Setelah banjir surut, kemudian Nabi Nuh as dan pengikut-pengikutnya berjumlah kurang lebih 80 orang turun dari kapal dengan aman serta selamat tepat pada tanggal 10 Muharram. 

  Begitu juga Nabi Ibrahim as. keluar dengan selamat dari api unggun yang dinyalakan Raja Namrud untuk membakarnya, tepat pada tanggal 10 Muharram. Allah telah memerintahkan api unggun itu untuk menjadi dingin sehingga nabi Ibrahim tidak terluka sedikitpun. Allah berfirman

قُلْنَا يَا نَارُ كُونِى بَردًا وَسَلاَمًا عَلَى إِبْرَاهِيْمَ.

Kami telah berfirman,

“Wahai api jadilah dingin dan selamat atas Ibrahim.”
(QS: Al Anbiya 69).

 Nabi Musa dan ummatnya mendapat kemenangan dan keselamatan dari Allah swt. dengan hancurnya Fir’aun beserta bala tenteranya yang ditenggelamkan Allah di lautan tepat pada 10 Muharram. Kerana itu, setiap 10 Muharram Nabi Musa berpuasa dengan menrafa’kan syukur kepada Allah swt.

  Demikian kisah-kisah yang berlaku ini menjadi bukti jelas mengapa 10 Muharam sangat istimewa. Di samping itu, pada hari itu Allah menerima taubat umat-umat terdahulu dan juga umat-umat yang terkemudian berdasarkan suatu hadis,

جَاءَ رَجُلٌ إِلَى النَّبِى صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَسَأَلَ : أَيُّ شَهْرٍ تَأْمُرُنِى أَنْ تَصُومَ بَعْدَ رَمَضَانَ؟ قَالَ: إِنْ كُنْتَ صَائِمًا بَعْدَ رَمَضَان فَصُمْ المُحَرَّمَ, فَإِنَّهُ شَهْرُ اللهِ, فِيْهِ يَوْمٌ تَابَ فِيْهِ عَلَى قَومٍ وَيَتُوبُ عَلَى قَومٍ آخَرِيْنَ

“Seorang lelaki datang kepada Nabi Muhammad saw. dan bertanya: “pada bulan apakah Rasulullah memerintahkan saya berpuasa setelah Ramadan” Beliau Menjawab: “Apabila engkau (ingin) berpuasa setelah Ramadan, berpuasalah pada bulan Muharram, sesungguhnya bulan itu bulan Allah, didalamnya ada hari dimana Allah menerima taubat suatu kaum dan akan menerima taubat kaum-kaum yang lain (yaitu hari Asyura )”

  Justeru itu, kesempatan yang ada pada Hari ‘Asyura haruslah digunakan sebaik-baiknya untuk meningkatkan amal ibadah kepada Rabb seluruh makhluk di dunia. Salah satu ibadah yang dianjurkan oleh Rasulullah s.a.w ialah berpuasa pada hari tersebut. Berikut salah satu hadis Riwayat Muslim yang terkenal akak kesahihannya,

“Nabi s.a.w pernah ditanya tentang puasa ‘asyura, lalu Baginda menjawab: Ia menghapuskan dosa setahun yang lalu”
(Hadis Muslim)

   Semoga permusafiran kita yang sementara di bumi Allah ini memberikan kita ruang untuk menyemai ketaqwaan dan kasih sayang kita kepada Allah. Salam Permusafiran buat semua di dalam tahun 1432H.

Wallahu Ta’al ‘Alam

Sumber rujukan: http://pondokhabib.wordpress.com

No comments: