Assalamualaikum...
Sudah lama rasanya ana tidak menaip sesuatu untuk blog ana ini. Bukan kerana sudah jemu atau malas tetapi kerana tanggungjawab yang lebih penting dan perlu diberikan lebih perhatian menyebabkan blog ini terpaksa ditinggalkan buat sementara waktu. Alhamdulillah buat waktu ini InsyaAllah Allah sediakan sedikit masa untuk ana menaip sesuatu buat tatapan sahabat-sahabat pembaca.
Setuju ataupun tidak jika ana katakan yang masyarakat Islam di Malaysia kini khasnya dan masyarakat Islam dunia amnya sudah jauh tenggelam dengan keindahan dunia? Maksiat di sana sini. Bunuh membunuh sudah perkara biasa. Fitnah memfitnah menjadi bahan lawak jenaka. Setiap hari pasti terpapar pada dada-dada akhbar berita anak bunuh bapa, bayi ditinggalkan di di tempat pembuang sampah, haruan makan anak dan pelbagai lagi permasalahan umat yang semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Siapa yang harus dipersalahkan dalam masalah ini?
Sayu dan hiba menyelubungi jiwa tatkala melihat masyarakat kini yang semakin hilang pedoman hidup. Hidup ibarat robot yang setiap hari mengulangi perkara yang sama tanpa tahu matlamat hidupnya. Anak-anak muda lebih gemar berseronok-seronok daripada belajar. Lihat sahaja di kelab-kelab malam dan di pawagam-pawagam, tidak kira siang atau malam, sudah pastinya mata tidak akan lari daripada menangkap kelibat anak-anak muda yang cuba menyibukkan diri mereka untuk berseronok-seronok. Sanggup bersesak-sesak untuk mendapatkan tiket untuk menonton filem tetapi tidak sanggup bersesak-sesak untuk menunaikan solat lima waktu di masjid atau tidak sanggup bersesak-sesak untuk menghadiri majlis ilmu.
Mana perginya anak-anak muda yang sanggup menggadaikan segala-galanya untuk mempertahankan Islam? Siapa yang bakal menggantikan Asma' Binti Abu Bakar? Siapa yang bakal menggantikan Umar Al-Khatab? Wujudkah pemuda dan pemudi seperti mereka pada zaman ini? Semoga Allah berikan kekuatan kepada mereka yang siang dan malam memikirkan permasalahan umat yang tidak tahu di mana pengakhirnya. Adakah kita tergolong di dalam golongan ini?
Sedarilah semua bahawa matlamat hidup kita hanyalah sebagai Khalifah dan juga Ibadurrahman. Bukan untuk menjadi manusia terkenal di mata manusia tetapi terkenal di mata Allah. Jadi, dimanakah orang-orang yang sedar itu?Sedarkah kamu yang tenagamu amatlah diperlukan pada ketika ini? Kamu sudah berada berada di dalam kandang U'budiyah itu. Sesungguhnya, tugasmu belum selesai hatta kamu sudah berada di dalam kandan itu. Bukan sekarang masanya untuk kamu berada dalam zon selesa kerana masih ramai lagi di luar sana yang masih lagi terpinga-pinga mencari apa matlamat sebenar hidup mereka. Gunakanlah tali syariat, Al-quran dan hadis untuk kamu menarik mereka masuk ke dalam kandang itu. Berusahalah sedaya mungkin untuk menarik mereka bersama-samamu di dalam kandang itu. Semoga Allah membantu permudahkan segalanya. Amin
No comments:
Post a Comment