Páginas

Tuesday, March 16, 2010

::Islam itu Indah::



Assalamu ‘alaikum

Entri kali ini membincangkan suatu persoalan yang akan mengajak para pembaca agar lebih berfikir secara kritikal. Salah satu definisi Critical Thinking ialah kemampuan untuk memberikan suatu alasan sama ada dalam bentuk perbahasan atau pengukuhan kebenaran dengan bukti yang kukuh secara objektif untuk suatu pendapat akademik yang merupakan suatu strategi untuk mempengaruhi dan meyakinkan orang lain. Persoalan yang bakal dibincangkan dalam entri kali ini bertujuan untuk mendapatkan manfaat bersama atas setiap hasil usaha para pembaca sekalian dalam berfikir. Kadang-kadang, sesuatu yang seseorang itu fikirkan tidak sampai kepada pemikiran yang lebih mendalam dalam mencapai maksud sebenar mesej yang ingin disampaikan. Hal ini menyebabkan seseorang itu tidak mampu untuk bertindak demi mengubah dirinya ke arah perkara yang lebih membawa kebaikan.

Salah satu faktor yang membuatkan para remaja mengalami kemerosotan kualiti hidup pada zaman baharu ini kerana mereka tidak menggunakan akal fikiran yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. dalam mencari jalan penyelesaian bagi memperbaiki kehidupan di dunia agar mendapat kesan yang baik di akhirat yang kekal kelak. Agama Islam mempunyai garis panduan sendiri dalam membincangkan bab “berfikir”. Adab-adab dalam berfikir itu sangat panjang lebar untuk dibicarakan, namun cukup sekadar untuk pengetahuan setiap insan bahawa berfikir itu haruslah atas dasar mencari kebenaran dan kebaikan dengan cara yang diredhai oleh Allah s.w.t..

“Saya Islam”

“Saya orang Islam”

“Saya seorang yang beragama Islam”

“Saya antara orang yang mengamalkan Islam”

Apakah perkara yang timbul dalam fikiran anda apabila membaca contoh-contoh ayat berikut?

Kebiasaannya, apa yang seseorang itu cuba beritahu kepada dirinya sendiri sebenarnya menggambarkan siapa dirinya sendiri. Apabila seseorang itu berkata dalam hatinya bahawa “saya Islam”, maka kata-katanya itu yang akan menggambarkan keadaannya yang sebenar, iaitu hanya sekadar Islam, tidak bermaksud dia mengamalkan perkara yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. tentang Islam. Sesetengah orang pula mengatakan dirinya bahawa “saya antara orang yang mengamalkan Islam”. Hal ini pasti menunjukkan seseorang itu mempunyai keyakinan atas apa yang dikatakannya dan ia membawa maksud bahawa seseorang itu tadi benar dalam mengamalkan Islam, iaitu mengamalkan perkara yang diajar oleh Rasulullah s.a.w. tentang Islam.

Sesungguhnya apa yang kita perkatakan dalam diri kita itu merupakan gambaran sebenar diri kita untuk sesuatu perkara yang biasa kita lazimi selama ini sama ada di dalam hati atau melalui perbuatan kita. Jika dalam diri kita mengatakan bahawa “saya orang Islam”, maka ia sudah memperkenalkan dirinya sebagai seseorang yang tergolong dalam kumpulan-kumpulan orang yang beragama Islam, namun bicara ini tidak membawa sebarang maksud bahawa dia mengamalkan perkara yang diajar oleh para solehin yang ajarannya itu juga datang daripada Rasulullah s.a.w. yang diwahyukan oleh Allah s.w.t.. Mengakui dan berkata-kata sesuatu di dalam hati merupakan suatu perkara yang terjadi tanpa dirancang susunan ayatnya, namun kata-kata yang muncul itu datang sendiri, dan ia disusun oleh keyakinan yang ada pada seseorang itu.

Maka, dalam persoalan ini, adakah kita tergolong dalam golongan yang berkata di dalam hati kita bahawa “saya antara orang yang mengamalkan Islam”? Alangkah malangnya jika selama ini kita tergolong dalam dalam golongan yang sekadar berkata “saya orang Islam” kerana hal itu sebenarnya menunjukkan siapa diri kita yang sebenar. Sebenarnya, kita tidak mampu menipu diri sendiri kerana seluruh jasad kita yang terdapat jiwa padanya akan memberitahu keadaan sebenar diri kita sendiri tanpa kita bersusah payah untuk menafikannya. Sesungguhnya, masih ada ruang dan kesempatan untuk kita menjadi salah seorang daripada golongan-golongan yang yakin akan perkara yang kita lakukan itu dengan cara berusaha memilih jalan kebaikan yang ada.

Sesiapa sahaja yang memilih jalan kebaikan sebagai jalannya menuju kepada perkara yang dikehendakinya, maka sudah pasti Allah s.w.t. menyediakan jalan kebaikan dan gambaran hasil kebaikan buatnya. Sedangkan sesiapa sahaja yang memilih jalan yang meragukan atau jalan kebinasaan, maka sudah tersedia juga jalan pilihannya itu di hadapannya. Ketahuilah bahawa ganjaran yang tersedia untuk orang yang memilih jalan kebaikan itu sangat besar berbanding orang yang memilih jalan sebaliknya, iaitu sudah pasti ruang untuknya mendapat hasil berbentuk kebaikan itu semakin sempit.

Perkara yang paling utama dalam menentukan matlamat hidup kita haruslah berlandaskan perkara-perkara yang bakal membawa kebaikan bersama. Matlamat seharusnya jelas dan diyakini. Menjadi khalifatullah merupakan suatu kejadian yang semula jadi dalam hidup kita, cuma setiap individu haruslah mencari kesesuaian sendiri dalam misi melaksanakannya. Melakukan sesuatu perkara itu dengan hati yang bersih merupakan suatu aset terpenting dalam hidup kita yang akan membawa kesan kebaikan di akhirat kelak. Hati yang bersih merupakan asas bagi kelayakan seseorang itu untuk dikurniaan sifat ikhlas oleh Allah s.w.t. Orang-orang yang bersifat ikhlas akan melakukan sesuatu pekerjaan hanya untuk melaksanakan kemahuan dan kesukaan Allah s.w.t. bukan demi kepuasan dirinya atau hasil daripada usahanya.

Allahu ‘alam.


6 comments:

Al-Imam said...

Salam.

Terima kasih kerana berkongsi ilmu.
Selamat memberi manfaat.

Wassalam.

Wardah Ad-Deen said...

Waalaikumussalam...

InsyaAllah. Semoga Allah merahmati setiap usaha dalam berdakwah. Amin

Al-Imam said...

Good job. thanks.

Wardah Ad-Deen said...

Welcome. InsyaAllah ada peluang ana mahu membaca karya enta.

Al-Imam said...

*you're welcome/you are welcome

*seandainya/jika/andai/sekiranya ada peluang

Al-Imam said...

http://www.youtube.com/watch_popup?v=3zip_q6Sd9w&vq=small#t=27

Selamat menikmati ilmu.