Kenali jenis-jenis hati agar senang untuk diubati.






1-Hati-hati yang kotor adalah seperti hati yang terdapat di dalamnya sombong, bohong, hasad dan berlagak dengan manusia. Apabila turun rahmat dan ilmu ke dalam hatinya, maka tercemarlah rahmat dan ilmu tersebut disebabkan kekotoran yang ada di dalam hati itu. Seperti yang disebutkan oleh Allah SWT di dalam firmannya yang bermaksud:

"Tidakkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhan mereka dan disesatkan oleh Allah dengan ilmu mereka?

Kerana setitis daripada hawa nafsu dapat mencemarkan lautan ilmu. Maka, inilah perumpamaan bagi hati yang dicemari dengan najis.

2-Hati yang pecah adalah seperti hati manusia yang terus-terusan melakukan maksiat kepada Allah. Setiap kali dia melakukan kebaikan, kemudian dia akan melakukan kebatilan dan begitulah sebaliknya. 

Hadir dalam majlis ilmu, kemudian pulang daripada majlis ilmu mengumpat orang lain.Selepas memegang biji tasbih, berzikir dan bersolat sunat dua rakaat terus buka televisyen dan menonton adegan-adegan yang diharamkan. Maka, tidak sempat rahmat itu kekal di dalam hati melainkan ia keluar, disebabkan oleh maksiat .

3-Sesetengah manusia lebih bahaya daripada ini, sehinggakan hatinya tertutup dan terkunci. Sepertimana, dimasukkan air ke dalam bekas tetapi tidak akan masuk kerana terkunci dan tertutup. Hati ini adalah hati bagi orang-orang yang suka membangkang.

Membangkang Allah, membangkang orang-orang soleh. Bila dia menghadiri satu majlis yang baik, dia akan mencari kesalahan orang lain. Apabila melihat orang solat, dia melihat orang tersebut solat tidak sah. Dia ada masalah seperti derhaka dengan ibu bapa, memutuskan hubungan silaturrahim. Perkara-perkara inilah yang menyebabkan hatinya tertutup. Tidak dapat dimasuki oleh rahmat Allah seperti mana yang disebutkan oleh Sayyiduna Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam:

" Empat golongan yang tidak diampunkan pada bulan Ramadhan, antaranya adalah golongan yang derhaka kepada kedua ibu dan bapa, peminum arak, dua orang yang bermusuhan dan yang memutuskan silaturrahim"

4-Hati yang jernih, bersih dan menerima. Hati ini subhanallah hanya dengan ibadat yang sedikit, sekiranya hadir majlis yang baik-baik, solat dan berzikir kepada Allah, terus kita akan mendapati hati ini penuh dengan kebaikan dan rahmat.

Ramai orang apabila mendengar perbicaraan tentang hati akan terkesan. tetapi soalan yang mahsyur:

"Apakah ubatnya, apa aku nak buat? Aku tahu hati aku ini rosak? kotor? dan aku tahu memang hati aku begini? Apa ubatnya?"

Satu perkara penting yang dapat kita kongsikan adalah mengenal penyakit iaitu seseorang apabila sudah mengetahu penyakitnya dianggap mengenal penyakit ini sebagai langkah-langkah terpenting untuk mengubatinya. Namun, kebanyakan daripada masyarakat tidak mengambil berat akan hal ini.

70% atau 80% daripada proses pengubatan adalah mengenal pasti penyakit. Sehingga di dalam dunia perubatan badan. Perkara paling penting apabila kita ke hospital untuk berubat dengan doktor adalah diagnosis penyakit dengan betul. Kemudian mudahlah bagi doktor untuk mencadangkan apakah langkah seterusnya yang perlu diambil.Tetapi apabila tersalah men"diagnosis" penyakit, walaupun bertahun-tahun makan ubat yang sama, tidak akan sembuh daripada penyakit tersebut.

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

Wallahu'alam

[Al-Habib Muhammad AlSaqqaf >>Host Fattabiouni]

0 comments: