Páginas

Friday, September 3, 2010

::Misi: Memburu Lailtul Qadr::







raredour photographic
   Saat  seluruh Selangor kelam dek kerana ketiadaan elektrik. Lailatul Qadr kami memburumu. Mungkinkah malam ini adalah malamnya? Malam ke 23 Ramadhan? Malam yang mana beberapa hari lagi sebelum kedatangan Eidul Fitri yakni hari kemenangan bagi mereka yang berjaya menjalani ibadah puasa?  Allah…sungguh kami ingin sekali menemui malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini. Malam yang mana pintu rahmat diluaskan selebar-lebarnya dan juga bumi ini menjadi sempit dek kerana turunnya malaikat ke bumi. Ya Allah… temukanlah kami ya Allah temukanlah kami dengan malam ciptaanMu ini.

   Perkataan Lailatul Qadr berasal daripada dua patah perkataan yakni “Lailah” yang bermaksud malam dan “Qadr” yang bermasud penentuan atau ketetapan, sempit dan juga kemuliaan. Sempit di sini menurut Syaikhuna bermaksud bumi menjadi sempit kerana kehadiran malaikat ke bumi pada malam tersebut dan kemuliaan yang cuba dinyatakan adalah kemulian kerana diturunkan barakah oleh Allah s.w.t ta’ala pada malam tersebut dan kemulaiaan kerana pada malam itu, Allah akan memberikan ganjaran yang berlipat kali ganda buat hambaNya yang bangun dan untuk taqarrub kepadaNya serta disebabkan kemuliaan pada Rasulullah dan juga Al-quran. Subhanallah, lihat sahaja pada definisi yang telah Syaikhuna perjelaskan, sungguh Lailatul qadr itu sangat indah.

“Siapa berusaha, dia akan dapat”.

   Begitulah apa yang telah di perkatakan oleh Syaikhuna,  Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll  diawal kata-katanya ketika menyampaikan perihal Lailatul Qadr. Siapa yang berusaha dan tidak pernah kenal erti penat serta terus-terusan beramal demi menemui malam yang lebih baik daripada seribu bulan ini, pasti dan sesungguhnya Allah yang sifatNya Ar-Rahman itu akan menemukan hambaNya  dengan malam  yang Allah rahsiakannya di dalam 10 malam terakhir Ramadhan. Subhanallah, sungguh Allah itu sifatnya Maha Bijaksana. Cuba sekiranya malam itu Allah sebutkan dengan jelas pada malam ini dan pada waktu itu, pasti kita hanya akan bersungguh-sungguh  melakukan ibadah, berqiamulail  dan amalan-amalan yang lain pada waktu yang telah disebutkan itu sahaja. Lihat sahaja betapa Ramadhan ini Allah jadikan sebagai salah satu Madrasah untuk kita mentarbiyah diri. Subhanallah. Rahmat Allah itu sangat luas.

“Ya Allah ya Rahman ya Rahim, jadikanlah kami tergolong di dalam golongan hamba-hambaMu yang sentiasa bersyukur”

  “Maka nikmat Allah yang mana yang mahu kau dustakan?”.  Jadi, masih berkira-kira lagi? Masih berkira-kira untuk beramal kerana Allah? Masih berkira-kira untuk bangun malam dan berqiamullail, masih berkira-kira untuk meninggalkan yang batil dan mencari yang haq?! (pesanan buat diri yang faqir ini juga). Malunya kita dengan Allah, sesungguhnya Allah tidak pernah berkira-kira dengan hambaNya. Allah… hinanya kami.  Lailatul Qadr ya Lailatul Qadr sungguh kami ini ingin sekali bertemu denganmu, menangis mengenangkan dosa-dosa kami yang menggunung tinggi ini di dalammu.

Firman Allah:-

“Mintalah kamu akan aku, nescaya akan aku perkenankan”


   Menurut Guru kepada Guru kami Sheikh Fahmi Zam-zam Al-banjari An-nadwi ketika memberikan syarahan bab Adab-adab berdoa  di dalam kitab Sairus Salikin karangan Sheikh Abu Somad Al-Falimbani mengatakan bahawa, “Berdoa itu adalah merendahkan diri kepada Allah s.w.t dan kerana betapa kita ini faqir dan tidak punya apa-apa melainkan Allah”. Selain itu, menurut Sheikh lagi, “Doa itu otak ibadah” dan “Tiada sesuatu yang lebih mulai melainkan doa”. Subhanallah walhamdulillah wallah hu Akhbar, sesungguhnya ketika malam lailatul qadr ini doa kita akan diangkat dan didengar oleh para malaikat, bertapa beruntungnya kita andai dapat bertemu dengan lailatul qadr. Allah…sungguh, hebat ciptaan Allah. Mampukah kita mendapat lailatul qadr?

Sheikh Abu Somad Al-Falimbani  kitabnya Sairus Salikin ada menyebutkan;

“Bahawasanya yang meminta doa itu dan tiada salah pada mereka itu tiga perkara yakni:-

1.      Terkadang diampuni dosanya
2.      Terkadang disegerkan kebaikan olehnya
3.      Ditaruhkan olehnya kebajikan di akhirat

  Kata Sheikh lagi, semua doa itu akan dimakbulkan oleh Allah tetapi waktu diperkenankan itu hanya Allah yang menentukannya sama ada akan  diperkenankan sewaktu di dunia atau ditangguhkan di akhirat kelak. Jadi, yakinlah bahawa Allah pasti akan memakbulkan doa hambaNya. Bukankah Allah tidak pernah berkira dengan kita? Tetapi kita?

“Mencari Lailatul Qadr itu sunat”

(Sheikh Fahmi Zam-Zam Al-banjari An-Nadwi)


      Tanda-tanda Lailatul Qadr Menurut Sheikh Fahmi Zam-Zam Al-Banjari An-Nadwi:-

1)      Malam itu malam yang ganjil.

2)      Apabila puasa bermula pada hari Rabu, Lailatul qadr dengan izin Allah akan jatuh pada malam ke 27 Ramadhan yakni pada hari Isnin.

3)      Apabila puasa bermula pada hari Khamis, Lailatul qadr dengan izin Allah akan jatuh pada malam ke 23 Ramadhan hari yakni pada hari Jumaat.

4)       Apabila puasa bermula pada hari Jumaat, Lailatu qadr dengan izin Allah akan jatuh pada malam ke 29 Ramadhan.

5)      Apabila puasa bermula pada hari Sabtu, Lailatul qadr dengan izin Allah akan jatuh pada malam ke 21 Ramadhan.

6)      Apabila puasa bermula pada hari Ahad,Lailatul qadr dengan izin Allah akan jatuh pada malam ke 27 Ramadhan yakni pada hari Jumaat.

7)      Apabila puasa bermula pada hari Selasa, Lailatul qadr dengan izin Allah akan jatu pada malam ke 25 Ramadhan.


 Tanda daripada diri kita:-

1)      Murah air mata pada malam itu.

2)      Diselubungi perasaan hiba.

3)      Menggeletar anggota badan.


Tanda-tanda luar:-

1)      Hujan tetapi tidak terlalu lebat

2)      Panas tetapi tidak terlalu panas

3)      Tidak kedenganran anjing menyalak.

4)      Matahari terbit pada keesokkan harinya pucat sedikit.


Tanda-tanda Lailatul Qadr menurut Syaikhuna Al-Fadhil Ustaz Muhadir Haji Joll:-

1)      Di dalam sebuah hadis sahih ada menyebutkan:-

Hendaklah kamu berusaha untuk mendapatkan malam Lailatul qadr pada 10 malam terakhir Ramadhan”

2)      Di dalam Sahih Al-Bukhari diperincikan lagi yakni pada malam yang ganjil di dalam 10 malam terakhir Ramadhan.

3)      Pada keesokkan harinya matahari keputih-putihan kerana menurut Sheikh Muhammad Idris di dalam kita karangannya “Bahul Mazi”- Matahari keputih-putihan kerana dilindungi oleh sayap para malaikat yang turun ke bumi pada malam lailatul qadr.

4)      Menurut Ibnu Abbas:-

·        Tenang atau tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk
·        Matahari lembut
·        Langit bersih pada malamnya

5)      Anjing tidak menyalak pada malamnya (Kitab Hidayatus Salikin)

6)      Kitab Hasyiyah Fathul Wahab:-

·        Apabila Ramadhan bermula pada hari Ahad atau Rabu, Lailatul qadr akan jatu pada malam ke 29 Ramadhan.
·        Apabila Ramadhan bermula pada hari selasa atau Jumaat, Lailatul Qadr akan jatuh pada malam ke 27 Ramadhan.

Pesan Sheikh Fahmi Zam-Zam Al-Banjari An-Nadwi kepada ahli pengajian :-

“Lazimilah berqiamullail kerana itulah tanda orang-orang yang sukses”

  Selain itu, tanda-tanda orang yang mendapat malam lailatul qadr menurut Sheikh ialah apabila ibadahnya pada malam selepasnya adalah lebih hebat berbanding malam sebelum-sebelumnya. Allah…mampukah kita meraih lailatul qadr? Disamping itu, menurut Syaikhuna yang merupakan anak murid kepada Sheikh Fahmi Zam-Zam Al-banjari An-Nadwi, pada malam itu Jibril akan mengarahkan para malaikat untuk masuk ke dalam rumah hamba-hamba Allah yang bertakwa dan bangun untuk menghidupkan malamnya dengan beramal pada malam yang digelar malam seribu bulan ini.

 Kata-kata Syaikhuna yang sangat-sangat al-faqir ingat :-

“Sepatutnya misi memburu lailatul qadr itu hendaklah dimulakan pada seawal bulam Ramadhan lagi kerana jika permulaan kita baik, maka Insyaallah dengan izin Allah mendapat pengakhiran yang baik juga”

Wallahua’lam

  

3 comments:

Anak Murid Ustaz Muhadir said...

Assalamu'alaikum ya ukhti, kitab Sairus Salikin karangannya Syeikh Abdus Somad al-Falimbani...

Selamat beramal, semoga dipertemukan malam yang diimpikan...

Allahuakbar!

Wardah Ad-Deen said...
This comment has been removed by the author.
Wardah Ad-Deen said...

Wa'alaikumussalam.. Ana sudah betulkan.Alhamdulillah. Syukran.

Selamat beramal, semoga dipertemukan dengan malam seribu bulan ini.InsyaAllah

Salam Mujahadah! Allahuakhbar!