"Lidah itu lebih tajam daripada mata pedang" |
Lidah yang tugasnya untuk menghancurkan makanan bukan sahaja menyebabkan kehancurannya sesebuah suasana bahkan boleh menyebabkan kesan yang lebih besar iaitu kehancuran masyarakat, agama dan begitu juga negara. Sebagai contoh; Seorang pemimpin yang tidak menjaga perkataan yang keluar dari lidahnya akan membawa kesan yang besar kepada mereka yang berada di bawah kepimpinannya.
Di dalam sebuah hadis Riwayat Muslim maksudnya:
“Ada seorang lelaki yang bertanya kepada Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa sallam, “Siapakah orang muslim yang paling baik ?’Beliau menjawab, “Seseorang yang orang-orang muslim yang lain selamat dari gangguan lisan dan tangannya”.
[Hadis Riwayat Muslim]
Begitu juga disebutkan oleh Allah di dalam al-Quran, maksudnya :
“Dan apa-apa perkataan yang keluar dari lidah kamu maka, pasti akan dicatat oleh malaikat"
“Dari Abu Hurairah r.a meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW telah bersabda: Barangsiapa yang beriman kepada Allah SWT dan hari akhirat, maka hendaklah dia mengatakan kebaikan atau diam"
[HR Bukhari]
Tanggungjawab lidah yang sebenarnya adalah mengajar untuk kenal akan Allah dan mengeluarkan perkataan yang baik-baik tetapi bukan sebaliknya. Sesungguhnya, Allah tidak menyukai perkataan yang buruk keluar dari mulut hambaNya melainkan dia dizalimi. Apabila kita banyak berbicara, maka akan banyak salahnya, dan apabila banyak salahnya, maka, nerakalah tempatnya. Allah menjadikan lidah untuk kebaikan, berzikir dan mengamalkan amar ma’ruf dan nahi mungkar.
Namun, terdapat segelintir daripada kita mudah untuk naik marah akan hal-hal yang kecil dan simple. Ketahuilah bahawa Sayyiduna Rasulullah Solallahu ‘alaihiwassalam pernah berpesan bahawa cukuplah marah itu apabila melibatkan hal yang berkaitan dengan Allah dan Rasul tetapi untuk selain daripada itu, maka bersabarlah. Dikisahkan betapa hebatnya Para Sahabat pada zaman Rasulullah yang bersungguh-sungguh menjaga lidah seperti kisahnya Sayyiduna Abu Bakar RA yang meletakkan batu lidahnya untuk menjaga lidahnya. Subhanallah..begitu hebatnya sahabat-sahabat dalam memelihara lidah mereka.
Terdapat juga segelintir daripada kita yang gemar mengumpat. Ketahuilah bahawa mengumpat adalah salah satu daripada dosa-dosa besar. Firman Allah ada menyebutkan, maksudnya;
“Janganlah kamu mengumpat diantara satu sama lain. Adakah seorang diantara kamu yang suka memakan Daging saudaranya yang sudah Mati ? Maka tentulah kamu merasa Jijik kepadanya”
[Al-Hujuraat 12]
Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab setiap daripada kita untuk menjaga lidah kerana lidah adalah salah satu daripada amanah Allah dan lidah juga mempunyai pengaruh yang besar pada yang lainnya. Allah berfirman di dalam al-Quran, maksunya;
“ Dan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Allah dan sombong dengan Allah, maka, neraka buat mereka dan mereka akan kekal di dalamnya”
Al-Faqirah Wal-Haqirah Ilallah Al-Ghani
WAllahua'lam
[Khutbah Jumaat disampaikan oleh Imam Masjis SHAS UIAMK, Ustaz Zunaidin. 24 Zulhijjah 1433H. Masjid SHAS UIAMK]
No comments:
Post a Comment