Páginas

Friday, January 14, 2011

::Aku Terima Nikahnya::




"AKU TERIMA NIKAHNYA"
  Dengan kalam basmallah serta selawat dan salam ke atas junjungan besar nabi Muhammad s.a.w sebagai permulaan penulisan daripada hamba yang lemah ini untuk sedikit tatapan mata dan hati para sahabat yang dirahmati Allah sekalian. Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan kepada Allah s.w.t kerana diberi peluang pada waktu ini untuk merasa nikmat hidup di dalam Iman dan juga Islam. Nikmat yang mana menjadi kayu ukur seseorang yang bergelar muslim. Pada saat ini, sedang menelaah subjek “ANATOMY”, menatap laptop dan dengan izin Allah ilham untuk mencoretkan sesuatu sebagai perkongsian atau lebih kepada perkongsian hati buat sahabat-sahabat yang dihormati. Kadang-kadang takut apa yang cuba disampaikan tidak memberikan mesej yang sebenarnya, tetapi Islam ajar kita setelah berusaha haruslah bertawakal dan berdoa agar sesuatu yang dilakukan itu berjaya.InsyaAllah



Promote "Let's Get Married"
  Khair, berbalik kepada tajuk yang cuba diketengahkan di dalam entri kali ini, “Aku Terima Nikahnya”, ana kira pasti ramai yang agak teruja untuk mengetahui apa yang sebenarnya yang bermain-main di fikiran ana pada ketika ini dan ana amat optimis bahawa tajuk-tajuk seperti ini amat popular dalam kalangan remaja khususnya terutamanya dalam kalangan mahasiswa. Tajuk yang nampak “simple” tetapi amat penting dalam proses memenuhi tuntutan “Maratib Amal” kita. Melihatkan perbualan yang semakin rancak berkenaan isu “perkahwinan” terutamanya dalam kalangan sahabat-sahabat sekampus ana dan tidak kurang sekuliyyah, ana tersenyum sendiri. Hebat penangan sebuah “perkahwinan” ini. Ramai juga abang-abang dan kakak-kakak yang sudah berkahwin ketika belajar di kampus dan tidak kurang yang sudah bertunang. Program-program atau talk-talk berkenaan hal ini juga sering kali mendapat sambutan yang hangat daripada sahabat-sahabat UIAM dan tidak ketinggalan sahabat-sahabat dari universiti-universiti lain. Sebagai contoh progam terdekat “Let’s Get Married” anjuran DNT Nurss dalam CAMPRO.



Baitul Muslim Impian


   
  Soalan-soalan bila nak kahwin? Ciri-ciri calon suami atau isteri? Pandangan berkenaan berkahwin di usia muda? Seringkali menjadi “highlight” utama apabila perihal perkahwinan dibincangkan. Apabila seorang yang memulakan tentang perkahwinan, mulalah nak meleret-meleret dibincangkannya. Geli hati betul dengan ragam sahabat-sahabat. Apabila status-status berkenaan “cinta” dan “kahwin” dipostkan, mulalah panjang lebar komen-komenya. Geleng-geleng kepala sambil berkata “Pantang post pasai cinta atau kahwin sikit mulalah panjang berjela komen-komennya”. Tersenyum lagi memikirkan hal ini. Sahabat-sahabat~  Itu kebiasaan fitrah manusia. Tidaklah menyalahi norma atau fitrah kita seandainya ramai yang lebih tertarik untuk berbincang tentang cinta,perkahwinan dan baitul muslim terutamanya ketika perubahan fasa kanak-kanak kepada fasa remaja dan dewasa. Cuba renungkan ayat Allah ini,


“Dijadikan indah pada (pandangan) manusia kecintaan kepada apa-apa yang diingini, yaitu: wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak] dan sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, dan di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik (surga”.(Ali-Imran:14))

   Betapa Allah itu Maha Hebat. Tidak Dia ciptakan sesuatu itu sia-sia. Hatta, sekecil-kecil zarah. Dijadikan indah pada (pandangan) kita kecintaan kepada manusia dan bumi seisinya. Tetapi, jarang kita sedar bahawa  Allah jadikan sesuatu itu adalah sebagai tarbiyah atau ujian kepada kita untuk menguji sejauh mana kita menggunakan kehidupan  ini sebagai ladang menyubur ketaqwaan. Yakni menanamkan rasa takut kita dengan azab Allah dan untuk melihat sejauh mana nikmat yang diberikan itu disalurkan pada tempat yang sepatutnya. Bagaimana kita menggunakan mata untuk melihat perkara-perkara yang diredhai Allah, kaki berjalan ke majlis-majlis ilmu, telinga mendengar perkataan-perkataan yang bermanfaat, jari menekan papan kekunci komputer untuk menyampaikan perkara yang baik kepada awam.

  Boleh jadi perkahwinan itu juga adalah salah satu ujian untuk menguji sejauh mana ketaqwaan kita kepada Allah. Pelbagai bentuk cabaran atau dugaan yang bisa Allah jadikan untuk menguji sejauh mana keyakinan kita kepada Allah. Bagi golongan dakwah, seharusnya kerancakan dalam agenda dakwah itu seharusnya lebih mantap berbanding sebelum pernikahan. Itu yang ana lihat sekarang. Alhamdulillah, banyak contoh-contoh yang dekat dengan ana dan daripada itu ana belajar sedikit demi sedikit. Namun, ramai daripada kita seolah-olah cuba mengikut-ikut. Apabila mengetahui sahabatnya sudah bertunang, lantas membuat keputusan juga untuk bertunang. Ana sedih, konsep perkahwinan yang Islam anjurkan sebenarnya disalahtafsirkan. Islam itu mudah tetapi tidak bermakna ia sewenang-wenangnya di mudah-mudahkan. Kaji matlamat sebenar sebuah perkahwinan itu dahulu. Jika ia sekadar ikut-ikutan, tajdidkan kembali niat dan cuba mencari kembali matlamat sebenar apa peri pentingnya sesebuah “baitul muslim” itu.

"Perkahwinan itu Sunnahku, sesiapa yang tidak suka kepada Sunnahku, dia bukan daripada kalangan umatku"

(riwayat Al-Bukhari
)

  Di samping itu, apabila mengfokuskan pada topik “perkahwinan” ini, persediaan yang cukup juga amatlah penting. Daripada akhlaknya, rohaninya dan keseluruhannya. Seorang lelaki yang bakal bergelar Imam bagi si wanita yang bakal bergelar makmumnya seharusnya tahu aspek apa yang perlu untuk menjadi seorang suami yang soleh dan seorang bapa yang mithali buat bakal zuriat yang bakal dilahirkan kelak. Begitu juga si isteri, penumpuan dari pelbagai sudut juga haruslah diambil kira. Biar nanti baitul muslim yang bakal didirikan tidak lari dari matlamat sebenar sesebuah perkahwinan itu. Betapa dalam membina sebuah baitul muslim itu Rasulullah detailkan di dalam hadisnya sebagai panduan pemilihan calon isteri dan juga suami.

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Kahwinilah wanita itu kerana empat perkara, kerana hartanya, kerana keturunannya, kerana kecantikan dan kerana agamanya. Pilihlah wanita yang beragama, engkau akan selamat".

  Tambahan pula, untuk membentuk sebuah baitul muslim yang baik. Pemerhatian daripada ta’arufnya sehinggalah kepada pernikahannya harus diambil kira. Ana pernah mendengar suatu pendapat daripada seorang Ustaz, berkenaan faktor-faktor yang perlu dititikberatkan di dalam proses sebuah pernikahan itu. Pada pandangan ana, cara penggunaan orang tengah untuk merisik si dia yang ingin disunting untuk menjadi suri hidup berbanding dengan meluahkan secara sendiri kepada si dia adalah lebih baik kerana melalui cara ini, muamalat antara kedua-duanya terjaga. Dan ana amat bersetuju dengan cara ini kerana ia juga dapat memelihara kita daripada zina hati dan sebagainya. Betapa sepanjang tempoh perkenalan itu juga seharusnya tidak menjadi tiket untuk menghalalkan pasangan tersebut untuk selalu berjumpa. Pertunangan juga hendaklah dirahsiakan seperti mana dalam hadis Rasulullah s.a.w.

“Rahsiakan pertunangan, khabarkan perkahwinan”

Atau di dalam hadis lain,

 Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Beritahulah kepada orang ramai akan nikah ini dengan pukulan gendang dan rebana". (riwayat Ibnu Majjah)

 
  Ana juga ingin “highlight” di sini berkenaan cara yang terbaik untuk membuat keputusan. Dalam membuat keputusan terutamanya keputusan berkenaan kehidupan masa hadapan kita hendaklah dibuat bukan berdasarkan nafsu dan emosi semata-mata. Cara yang Islam ajarkan itu amat indah. Dengan beristikharah yakni memohon pertolongan daripada Allah agar diberi petunjuk untuk membuat keputusan yang baik. Tidaklah dikatakan keputusan yang dibuat itu hanya berdasarkan emosi dan nafsu sahaja kerana sesungguhnya setiap keputusan yang diambil itu adalah bersandarkan kepada Allah s.w.t. Itulah cara yang terbaik sepatutnya diambil.

  Sungguh perkahwinan itu merupakan salah satu sunnah Rasulullah. Untuk memenuhi tuntutan sunnah perlulah kita untuk memastikan kita benar-benar faham mengapa ia menjadi sunnah yang amat-amat dituntut. Ingat, hukum sesebuah perkahwinan itu ada wajib, makruh, sunat, haram dan harus. Nilai diri kita pada golongan yang mana, adakah wajib atau sunat? Ataupun harus? Jangan jadikan perkahwinan itu sebagai ikut-ikutan apabila melihat sahabat kita berkahwin, jadi kita juga mahu berkahwin tetapi tidak tahu apa matlamat sebenar sebuah perkahwinan itu. Sekiranya sudah jelas dan sudah bersedia silakanlah untuk menjalankan salah satu daripada sunnah Rasulullah s.a.w tercinta ini.

  Akhirul kalam, ana bukanlah orang yang terbaik untuk memberikan pandangan berkenaan isu yang bisa menarik hati-hati anak-anak muda ini. Cukup ini hanya sebagai pendapat peribadi daripada seorang hamba yang hina yang bisa sahaja ditolak atau diterima. Maaf dipinta andai kata tidak bisa menyentuh hati-hati para pembaca. Semoga beroleh manfaat. Segala yang baik itu daripada Allah , segala yang buruk itu adalah kelemahan diri ana sendiri. Semoga beroleh Zauj dan Zaujah yang soleh dan solehah. Allahumma Ameen3x

"Lelaki yang baik untuk perempuan yang baik"

Wanita-wanita yang keji diperuntukkan untuk lelaki yang keji. Dan lelaki yang keji diperuntukkan untuk wanita yang keji pula, dan wanita yang baik diperuntukkan bagi lelaki yang baik, dan lelaki yang baik diperuntukkan bagi waita yang baik pula."
(An Nur: 26)

Rasulullah SAW dalam hadisnya bermaksud, "Sebaik-baik wanita itu ialah apabila kamu memandangnya kamu akan senang hati (gembira), apabila kamu perintah, ia patuh kepadamu, apabila kamu pergi, ia akan menjaga dirinya dan menjaga hartamu."

“AKU TERIMA NIKAHNYA”

"Kalau ada yang mendambakan cintamu katakan yang cintamu hanya untuk Allah dan RasulNya. Jika ada yang meminta cintamu katakan yang cintamu sangat mahal kerana kau tidak mahu cintamu pada dunia dan seisinya melebihi cintamu kepada Allah dan RasulNya."

(Luahan Rasa Hati Seorang Muslimah)

Wallahua’lam

Nota kaki : Matlamat sebenar sebuah perkahwinan adalah semoga semangat dakwah semakin rancak. "Ya Allah ya Tuhankanku jadikan aku seorang  muslimah,anak, isteri dan ibu yang solehah" ~Ameen