Páginas

Sunday, February 13, 2011

:: Mutiara Ilmu Dari Masjid Al-Hidayah::


Mukadimah

  Bismillahirrahmanirrahim serta selawat dan salam ke atas junjungan besar  Muhammad s.a.w. Syukur kerana masih diberi kesempatan untuk merasakan nikmat hidup di dalam Iman dan juga Islam. Sungguh, kalau hendak dihitung nikmat yang Allah kurniakan buat ana selama 21 tahun ini pasti tidak akan mampu menghitungnya. Ditambahkan dengan nikmat mempunyai ibu bapa yang sangat baik, guru-guru yang sangat kasihkan kami anak-anak muridnya dan juga sahabat-sahabat yang sangat cintakan ilmu serta cintakan suasana agama, pasti air mata  akan jatuh dan terlalu murah untuk mengalir. Apabila hati terasa kusut dan sesak dek kerana tugasan harian yang sangat mencabar, maka ingatlah Allah serta sebutlah nama kekasihnya yang paling utama yakni Rasulullah s.a.w, pasti hati yang tadi sedih dan gundah gulana menjadi tenang dan juga damai. Subhanallah, sememangnya sungguh indah hidup ini seandainya kita sentiasa meyakini bahawa Allah itu adalah pemilik dan pentadbir diri kita yang paling utama.

Katakan tidak pada Valentine's Day
  Alhamdulillah, kini sudah menjangkau  4 bulan menjadi salah seorang pelajar Jurusan Biomedical Science di institusi yang banyak mengajar ana erti sebuah kehidupan yang sebenar. Rindu sebenarnya untuk menulis, namun dek kerana hambatan tanggungjawab sebagai seorang pelajar yang penuh dengan lambakan-lambakan assignment membuatkan masa untuk menupdate blog agak terbatas. Hanya mampu mencoretkan kata-kata ringkas di wall FB untuk berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang ada pada diri yang sangat fakir ini. Sungguh, apabila mendapatkan sesuatu ilmu yang baru, hati terasa sangat perlu untuk dikongsikan dan sekiranya hasrat untuk berkongsi itu tidak dapat ditunaikan, mulahlah gundah gulana hati. Allahu Allah…sungguh kami percaya bahawa setiap ilmu itu adalah milik Allah dan wajib dikongsikan agar dapat memberi manfaat kepada sesiapa yang membacanya.

  Terasa panjang pula mukadimah entry kali ini. Khair, InsyaAllah untuk perkongsian kali ini,  ingin sekali jari jemari menari di atas papan kekunci keyboard untuk berkongsi sedikit ilmu yang telah diperolehi bersama beberapa orang sahabat ketika menghadiri pengajian kitab Bidayatul Hidayah karangan Al Iman Hujjatul Islam Imam Ghazali R.H dan Kitab Idaman Bagi Orang Yang Solat karangan As-Syaikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani yang telah disampaikan oleh Al-Fadhil Ustaz Uwais Al-Qarni. Ketika pengajian itu juga Ustaz ada menyampaikan berkenaan mawlid Nabi. InsyaAllah semoga sedikit ilmu yang ada ini dapat memberikan manfaat buat semua yang membaca.

"Banyakkan berzikir keatas Baginda Muhammmad s.a.w pada hari yang mulia ini"
(Syaikhuna Al-Fadhil Ustaz Muhadir Haji Joll)

Pertama kali diadakan di UIAM
  Pada tanggal 12 Rabiul Awal, lahirlah seorang bayi yang manjadi rahmat buat seluruh alam. Siapakah bayi tersebut. Ya Rasulullah s.a.w, kekasih hati kita. Sedarkah kita bahawa pada 15 Februari 2011 merupakan hari ulang tahun kelahiran kekasih kita ini? Sungguh, apa yang dapat diperhatikan pada kebanyakan anak-anak muda kita pada masa ini Valentine’s Day lebih diingati berbanding Mawlid Nabi kekasih hati kita, sedangkan sambutan Valentine’s Day adalah haram dan bukanlah terdapat di dalam ajaran Islam. Lihat, betapa anak-anak muda kita disogokkan dengan lambakan-lambakan budaya barat yang bukan sahaja tidak diajarkan di dalam Islam malahan kerap kali menyebabkan mereka melanggari apa yang syariat tetapkan. Parah betul keadaan anak-anak muda sekarang.Wana’uzubillahi min zalik, semoga kita tidak tergolong dalam golongan yang menyia-nyiakan hidup mereka.
 
Maka apakah kamu mengira, bahwa Sesungguhnya kami menciptakan kamu secara main-main (saja), dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami? Maka Maha Tinggi Allah, raja yang Sebenarnya; tidak ada Tuhan selain Dia, Tuhan (yang mempunyai) 'Arsy yang mulia.”
(Al-Mukminun: 115-116)

MENGAPA RABIUL AWAL SANGAT MULIA?

“Setiap perkara yang di dalamnya terdapat perkara yang mulia, maka ia menjadi mulia”
(Al-Fadhil Ustaz Uwais Al-Qarni)

  Rabiul Awal merupakan bulan yang sangat mulia kerana pada bulan ini kekasih Junjungan Besar Nabi Muhammad s.a.w dilahirkan. Kemuliaan yang telah dianugerahkan oleh Allah kepada baginda menyebabkan Rabiul Awal  menjadi tersangatlah mulia. Maka, dengan itu kita dianjurkan untuk meraikan kelahiran baginda dengan mengadakan mawlid yang mana di dalamnya mengandungi perkara-perkara yang tidak sedikit pun menyimpang daripada ajaran Islam. Biarpun ia bid’ah tetapi ia adalah salah satu bid’ah (perkara yang baru dan tidak dilakukan oleh Rasulullah) yang dapat membawa kebaikan kepada agama (bid’ah Hasanah). Sahabat-sahabat terdahulu juga pernah mengadakan beberapa perkara yang baru dan tidak diajarkan oleh Rasulullah s.a.w. Sungguh, bukanlah pembaharuan yang dibawakan oleh para sahabat itu bukanlah semata-semata untuk kepentingan peribadi tetapi tidak lain dan tidak bukan untuk memudahkan kita. Antaranya:-

1)      Sayidina Abu bakar As-Siddiq : mengumpulkan Al-quran
2)      Sayidina Umar Al-Khatab : Solat terawikh berjemaah
3)       Sayidina Uthman : Azan sebanyak dua kali ketika solat Jumaat

  Lihat, betapa pembaharuan yang telah dibawakan oleh sahabat-sahabat ini memberikan kesan yang baik buat agama. Sebagai contoh Sayidina Abu Bakar As-Siddiq, yang mengarahkan agar Al-quran dikumpulkan dan dibukukan untuk memudahkan kita membacanya. Inikan pula Mawlid Nabi, majlis yang di dalamnya mengandungi zikir-zikir yang memuji Rasulullah serta qasidah-qasidah yang menyatakan kecintaan kita kepada Rasulullah, adakah ia bid’ah? MaasyaAllah. Menurut Al-Fadhil Ustaz Uwais, para ulama’ juga mengatakan bahawa Abu Lahab yang terkenal dengan kekejamannya dan mendapat laknat dari Allah, diringankan hukumnya pada setiap hari Isnin kerana suka akan kelahiran Baginda Rasulullah s.a.w. Wallahu’alam. Lihat analogi yang disampaikan guru kepada guru kami As-Syaikh Nuruddin Marbu Al-Banjari An-Nadwi:

Orang yang mengharamkan mawlid seolah-olah dia mengharamkan roti canai dimakan”


   Maka, dengan itu Al-Fadhil Ustaz Uwais Al-Qarni menganjurkan agar menghadirkan diri pada majlis-majlis mawlid, agar bertambah kecintaan kita kepada Rasulullah.

Orang yang menunjukkan sesuatu yang baik, maka, ia akan mendapat kebaikan”


Kupasan Kitab Bidayatul Hidayah

Adab-adab bertayamum:
Hikmah bertayamum hanyalah untuk Umat Rasulullah s.a.w. Kenapa?

Kerana menurut ulama’ feqah :

tidak ada debu yang suci melainkan pada umat Nabi Muhammad s.a.w dan bumi umat Nabi Muhammad s.a.w adalah bumi yang suci”

Kitab Bidayatul Hidayah
Selain itu, hikmah bertayamum adalah, agar setiap umat sentiasa berada di dalam thaharah(bersih)

Sebab-sebab dibolehkan bertayamum:

1)      Bertayamum di tempat yang kebiasaannya tiada air atau sukar untuk mendapatkan bekalan air. Tetapi sekiranya tempat yang pada kebiasaannya mempunyai air akan tetapi tiba-tiba terputus bekalan air, maka solat yang dilakukan dengan bertayamum wajib diqada’kan.

2)      Ke’uzuran. Menurut ulama’ Feqah :-
            -Penyakit yang akan memberi mudharat jika terkena air.
            - Boleh baik tetapi tempoh pemulihan akan menjadi lama sekiranya terkena air.
- Boleh baik tetapi parut akan jelas kelihatan sekiranya terkena air terutamanya di muka dan tangan.

3)      Air ada tetapi mempunyai halangan untuk mendapatkannya sebagai contoh ketika perang.

4)      Air sedikit yang hanya mencukupi untuk menghilangkan dahagamu atau dahaga sahabatmu kecuali orang yang “ghairu muhtara”.

6 Golongan yang tidak wajib ke atas kita memberinya air ketika kita ketiadaan air untuk berwudhuk dan hanya air itu sahaja yang ada:-

1)      Murtad (Wana’uzubillahu minzalik)
2)      Kafir harbi (perang) seperti Yahudi
3)      Zani Musnon (Orang sudah berkahwin berzina)
4)      Khinzir
5)      Anjing yang memudharatkan yakni liar
6)      Orang yang meninggalkan solat


  Selain itu, Ustaz juga ada berkongsikan bahawa pahala seorang muslimah itu adalah sama walaupun tidak menunaikan solat Jumaat. Antara amalan yang pahalanya bersamaan dengan kaum Adam:-

1)      Banyak berzikir
2)      Bersyukur  di dalam hatinya
3)      Seoarng wanita yang membantu suami dan ahli keluarganya untuk taat kepada Allah

  Sungguh, Islam itu agama yang adil dan menyeluruh. Setiap hukum yang ditetapkan punya sebab dan musababnya.

  Alhamdulillah, berikut adalah adalah sedikit mutiara ilmu yang sebab dicatat oleh Al-Faqirah ketika pengajian. Bagi kitab Idaman Bagi Orang yang solat karangan As-Syaikh Daud Bin Abdullah Al-Fathani ana tidak dapat berkongsi dek kerana topik dibincangkan adalah sambungan daripada minggu lepas. Ada masyghul dan tidak dapat menghadirkan diri. InsyaAllah, semoga sedikit coretan daripada hamba hina ini dapat memberikan sedikit manfaat buat semua pembaca yang dikasihi kerana Allah.

“Salah satu tanda kasih dan sayang sesorang itu kepada sahabatnya ialah berkongsi ilmu yang ada pada dirinya walaupun sedikit agar sahabatnya itu mendapat manfaat daripadanya”
(dipetik dari kata-kata seorang penceramah ketika menghadiri kuliah maghrib baru-baru ini. Inilah tanda kasih dan sayang ana kerana Allah)

Pondok Ar-Rahmaniah Sik Kedah

Nota kaki:  Kagum melihat mak cik-mak cik dan pak cik-pak cik yang istiqamah menghadiri pengajian. Malu pula rasanya pada diri sendiri. Teringat pengalaman ketika berada di Pondok Sik. Rindu Tok yah dan tok-tok yang lain. Apakah khabar mereka?

1 comment:

Umaidah Al-Abid said...

I.Allah, doa agr Allah terus mmberi ruang dan peluang, bgi kita utk terus menuntut ilmu yg wajib ini dan dijdikan sbg golongan faqih dlm ilmu agama.Cti kan pnjg, yantie.. =) (4 bulan tu) I.Allah, kita wat program mari bertalaqi kitab di pndok. Ajk semo shbt, sma2 memenuhi tuntutan ni