Páginas

Wednesday, May 25, 2011

::Antara keperluan hidup atau kehendak nafsu::


  Allahumma Solli ‘Ala Sayyidina Muhammad Wa ‘Ala Ali Sayyidina Muhammad. Dengan kalam Bismillahirrahmanirrahim serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad dititipkan agar mahabbah ke atas Rasulillah saw akan sentiasa subur di hati kita disertai dengan benih-benih keimanan dan ketaqwaan terhadap Rabbuna Tuhan yang Esa yang berhak ke atas segala-galanya. Semoga semakin hari semakin bertambah kecintaan kita kepada baginda di dalam perjalanan kita untuk menyelusuri kehidupan yang penuh mehnah dan cabaran ini.InsyaAllah Teringat petikan kata-kata yang sering dilafazkan Syeikhuna Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll;

“Kamu akan bersama dengan orang yang kamu cintai di akhirat kelak”


  Alhamdulillah, Alhamdulillah dan Alhamdulillah.. Apa lagi ucapan yang berhak keluar daripada mulut kita melainkan lafaz hamdalah  di atas setiap kurniaan yang Allah berikan kepada kita. Hitunglah sebanyak mana nikmat yang telah Allah kurniakan kepada kita, mampukah kita menghitungnya?  Hatta, seluas lautan sekalipun nikmat yang Allah kurniakan kepada kita itu, nescaya tidak mampu untuk kita menghitungnya apatah lagi untuk membalasnya melainkan dengan melakukan apa yang diperintahkan dan meninggalkan larangannya. Hanya itu yang dapat membuktikan bahawa kita bersyukur dengan nikmat yang kita terima daripada Rabbuna. Sesungguhnya, Allah tidak akan rugi sedikit pun sekiranya hambaNya tidak melakukan apa yang diperintahkannya dan meninggalkan apa yang dilarang sebaliknya yang bakal rugi dan tergolong dalam golongan Al-Khasirin yakni golongan yang rugi adalah hambaNya itu sendiri. Yang sombong untuk meminta daripadaNya dan berjalan penuh bongkak di atas muka bumi ini. Wana’uzubillahumin zalik Semoga kita tidak tergolong daalam golongan ini.

KESEDERHANAAN: BELAJARLAH DARIPADA AKHLAK RASULULLAH SAW

  Hiduplah dengan besederhana dalam setiap perkara. Itu sebenarnya yang Islam ajarkan. Tidak berlebih-lebihan dan tidak pula terlalu berjimat. Lihatlah pada kehidupan Rasululillah saw, Allahu Allah baginda seorang Nabi dan Rasul, berhak untuk memiliki apa-apa daripada Allah. Harta, kekayaan, rumah yang besar dan apa-apa juga yang dikehendaki baginda. Namun, lihatlah dan amatilah akhlak Rasulillah, hidup dalam penuh kesederhanaan. Allah… malunya diri, sedangkan seorang Nabi yang sangat mulia hidup dalam keadaan yang sangat besederhana dan tidak pula mengejar-mengejar kekayaan. Betapa mulianya diriMu dan akhlakMu ya Rasulillah… Jika diriMu hadir pada saat ini, di celah-celah manusia yang hidupnya yang hanya mengejar-ngejar dunia dan meninggalkan akhirat nun jauh di belakang, daku pasti dan sangat-sangat yakin bahawa akan merah padamlah muka mereka dek kerana terlalu malu dengan apa yang mereka cuba kejar-kejarkan sedangkan diriMu sangat mulia, ya tersangat mulia kerana tidak dikau pentingkan kekayaan dan keduniaan sedangkan hingga akhir hayatMu hanyalah ungkapan “Ummati,Ummati, Ummati !“ yang keluar daripada mulutMu ya Rasulillah.

  Tetapi, kami sedar ya Rasulillah biarpun kami tidak pernah dan tidak dapat menatap wajahMu yang sangat mulia, kami punya dua perkara yang dikau tinggalkan kepada kami yakni Al-Quran dan SunahMu agar kami tidak sesat dan hanyut dalam tipu daya dunia dan bisikan-bisikan yang melalaikan. Semangat dakwahMu akan terus subur dalam diri kami.InsyaAllah Petanda akhir zaman semakin menghampiri, manusia mengejar-mengejar dunia dan sudah menjadi perkara biasa pada pandangan masyarakat sedangkan yang benar sebaliknya dianggap “ghuraba” yakni asing pada mereka. Orang yang mendirikan solat di celah-celah kesibukan bekerja dianggap membazirkan waktu pada pandangan mereka dan orang yang memakai tudung pula dianggap extremist.  Itulah hakikat kehidupan kini yang harus diterima, agama ditolak ke tepi. Kata mereka, urusan kerja tidak boleh dicampur adukkan dengan agama dan haruslah diasingkan.Wana’uzubillahuminzalik Bukankah ini contoh yang menunjukkan bahawa terlalu berlebih-lebihan mengejar-mengejar dunia? Keperluan hidup atau kehendak nafsu? Sedangkan apa yang Islam ajarkan adalah dunia dan akhirat itu seharusnya berjalan seiring. Sangat susah untuk menerangkan kepada masyarakat kini berkenaan hal-hal yang bersangkutan dengan perihal agama hanya kerana kurangnya pemahaman mereka terhadap hal-hal berkaitan agama, daripada hal jual belinya, munakahatnya dan segala-galanya yang bersangkutan dengan kehidupan. Alangkah kasihannya mereka. Jikalau ditegur dijawabnya, “Kubur masing-masing.”

“ Serulah (manusia) kepada jalan TuhanMu dengan hikmah dan pengajaran yang baik, dan berdebatlah dengan mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya TuhanMu, Dialah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalannya dan Dialah yang lebih mengetahui siapa yang mendapat petunjuk”
(An-Nahl:125)

  Sunnah terbesar yang telah ditinggalkan Rasulullah adalah sunah dalam berdakwah.  Jikalau urusan dakwah itu kita anggap remeh dan hal yang tidak penting untuk diusahakan, maka semakin rosaklah masyarakat kita. Bergelumang dengan dosa dan maksiat itulah impak yang bakal disaksikan oleh kita. Adakah urusan dakwah ini amat perlu dalam kehidupan kita? Ya, sudah semestinya. Cuba anda bayangkan, dalam keadaan masyarakat yang semakin jauh daripada ajaran agama dan jika ditambah dengan golongan ‘alim dalam hal-hal agama ini hanya buat endah tidak endah dalam urusan dakwah ini, apa yang bakal berlaku?


KEPERLUAN

  Tatkala membeli-belah bersama-sama keluarga mahupun sahabat-sahabat di shopping-shopping complex mahupun di super market, banyak perkara yang boleh dipelajari melihatkan gelagat dan ragam masyarakat kita. Bukanlah niat dihati untuk berfikir yang bukan-bukan dan yang tidak-tidak tentang orang lain tetapi sekadar pengajaran dan pelajaran buat diri dalam mengenal erti sebuah kehidupan. Apa yang buruk dijadikan sempadan agar tidak pula kita mengulangi apa yang buruk itu dan segala yang baik itu pula tidak salah untuk kita contohi. Begitulah apa yang dikatakan belajar daripada kehidupan, bukan hanya sekadar menganggap kehidupan sebagai suatu  pertempuran tetapi anggaplah ia sebagai sebuah ladang untuk kita bercucuk tanam bagi menuai hasilnya di akhirat kelak. Kata mereka, “Biar papa asal bergaya”. Kehendak nafsu lebih diutamakan berbanding keperluan hidup. Barang-barang yang tidak perlu usahlah dibeli, jangan hanya kerana melihatkan jiran di sebelah rumah punya televisyen baru, dia juga mahu yang baru. “Dia ada televisyen plasma dan aku juga mahu”. Begitulah ragam masyarakat kita. Maka, belajarlah agar kita tidak mengikut kehendak nafsu semata.

  Selain itu, daripada segi pakaian dan mu’amalah juga. Mahu sahaja ana berjalan sambil memejamkan mata tatkala melewati segelintir daripada kita yang berpakaian seperti tidak cukup kain dan berpegangan tangan mengalahkan orang yang sudah menikah. MaasyaAllah, kasihan melihatkan keadaan mereka. Jikalau mereka mengetahui bahawa seksanya azab api neraka itu nescaya menangislah mereka kerana ketakutan. “Wahai Allah yang mengetahui segala isi hati kami, campakkanlah rahsia taufik dan hidayahMu ke dalam hati-hati kami”.Allahumma Ameen Bukankah ia hanya sebahagian daripada perkara-perkara yang hanya sekadar memenuhi kehendak nafsu? Kasihan bukan? Semoga Allah mengampuni dosa-dosa kita.Allahumma Ameen Usah menyalahkan orang lain seandainya ada mata-mata liar yang memandang, hisablah diri dan carilah apa yang salah pada diri yang menyebabkan mata-mata itu memandang. Kerana pakaiankah? Solekankah? Kita yang lebih mengetahui tentang diri kita tetapi jangan lupa Allah jauh lebih mengetahui segala-galanya sama ada tersembunyi atau tidak.

KEKAYAAN BELUM TENTU MEMBAHAGIAKAN

  Kekayaan belum tentu membahagiakan. Walaupun duit bertimbun-timbun bak Gunung Everest sekalipun jikalau ia tidak mampu membahagiakan tiada gunanya. Bekejar-kejar ke sana ke mari siang dan malam tanpa mempedulikan urusan sebagai seorang hamba Allah hanya kerana mahu menjadi kaya bukanlah kayu ukur untuk memperoleh kehidupan yang penuh mahabbah dan bahagia. Mana tidaknya, si  isteri kerjanya siang manakala si suami pula kerjanya malam. Bila masanya untuk bertemu? Anak-anak apatah lagi, ketandusan kasih sayang. Implikasi lain yang timbul, masalah-masalah sosial dalam kalangan remaja semakin menjadi-jadi. Tidak usah menuding jari pada orang lain apabila anak-anak rosak akhlak dan hilang moralnya. Lihatlah pada diri kita sendiri. Bagaimana kita mendidik mereka? Lihat, bukankah ini hanya menurut kehendak nafsu semata, sehingga keluarga terabai.

  Apa kata kita ambil Al-Quran dan renungkan pada ayat 63 sehingga akhir surah Al-Furqan. Bagaimana dengan jelasnya Allah nyatakan ciri-ciri seorang hamba Allah (‘Ibadullah) yang sebenarnya.

63.  Dan hamba-hamba Tuhan yang Maha Penyayang itu (ialah) orang-orang yang berjalan di atas bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang jahil menyapa mereka, mereka mengucapkan kata-kata (yang mengandung) keselamatan.

64.  Dan orang yang melalui malam hari dengan bersujud dan berdiri untuk Tuhan mereka[1072].

65.  Dan orang-orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, jauhkan azab Jahannam dari kami, Sesungguhnya azabnya itu adalah kebinasaan yang kekal".

66.  Sesungguhnya Jahannam itu seburuk-buruk tempat menetap dan tempat kediaman.

67.  Dan orang-orang yang apabila membelanjakan (harta), mereka tidak berlebihan, dan tidak (pula) kikir, dan adalah (pembelanjaan itu) di tengah-tengah antara yang demikian.

68.  Dan orang-orang yang tidak menyembah Tuhan yang lain beserta Allah dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah (membunuhnya) kecuali dengan (alasan) yang benar, dan tidak berzina, barang siapa yang melakukan yang demikian itu, niscaya dia mendapat (pembalasan) dosa(nya),

69.  (yakni) akan dilipat gandakan azab untuknya pada hari kiamat dan dia akan kekal dalam azab itu, dalam keadaan terhina,

70.  Kecuali orang-orang yang bertaubat, beriman dan mengerjakan amal saleh; Maka itu kejahatan mereka diganti Allah dengan kebajikan. dan adalah Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

71.  Dan orang-orang yang bertaubat dan mengerjakan amal saleh, Maka Sesungguhnya dia bertaubat kepada Allah dengan Taubat yang sebenar-benarnya.

72.  Dan orang-orang yang tidak memberikan persaksian palsu, dan apabila mereka bertemu dengan (orang-orang) yang mengerjakan perbuatan-perbuatan yang tidak berfaedah, mereka lalui (saja) dengan menjaga kehormatan dirinya.

73.  Dan orang-orang yang apabila diberi peringatan dengan ayat- ayat Tuhan mereka, mereka tidaklah menghadapinya sebagai orang- orang yang tuli dan buta.

74.  Dan orang orang yang berkata: "Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami isteri-isteri kami dan keturunan kami sebagai penyenang hati (Kami), dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertakwa.

75.  Mereka Itulah orang yang dibalasi dengan martabat yang Tinggi (dalam syurga) Karena kesabaran mereka dan mereka disambut dengan penghormatan dan Ucapan selamat di dalamnya,

76.  Mereka kekal di dalamnya. syurga itu sebaik-baik tempat menetap dan tempat kediaman.

77.  Katakanlah (kepada orang-orang musyrik): "Tuhanku tidak mengindahkan kamu, melainkan kalau ada ibadatmu. (Tetapi bagaimana kamu beribadat kepada-Nya), padahal kamu sungguh Telah mendustakan-Nya? Karena itu kelak (azab) pasti (menimpamu)".

[1072]  maksudnya orang-orang yang sembahyang tahajjud di malam hari semata-mata Karena Allah.
(Al-Furqan:63-77)

  Subhanallah, lihatlah bagaimana Allah itu sangat sempurna. Dinyatakan bagaimana ciri-ciri sebenar seorang hamba Allah itu. Hanya kita yang malas untuk ambil masa seminit atau lebih untuk mentadabbur setiap ayat daripada Al-quran yang merupakan warkah cinta daripada Allah s.w.t buat kita hambaNya. Sehingga kadang-kadang kita ambil mudah soal bacaan kita. Tajwid berteraburan sana sini. Wana’uzubillahuminzalik..Maka, sentiasalah simpan di dalam kotak ingatan kita berkenaan hadis yang ada menyebutkan bahawa “Sesungguhnya, hanya dengan mengingati Allah jiwa akan menjadi tenang.” Inilah keperluan kita sebenarnya. Ya, keperluan untuk rohani kita yang kadang-kadang menurun dan menaik imannya. Jikalau jasmani perlukan makanan, rohani juga perlu diberi makan. Barulah dikatakan seimbang hidup kita. Dunia dan akhirat berjalan seiringan.

  Justeru itu, janganlah kita menggunakan alasan bekerja untuk mengejar kekayaan untuk kebahagian keluarga sebagai tiket untuk mengambil mudah urusan akhirat dan anak-anak  serta isteri mahupun suami. Jangan sesekali. Takut nanti di kemudian hari kita yang akan menyesal dek kerana sikap kita sendiri. Sama-samalah berusaha untuk mendidik diri sendiri serta anak-anak dan isteri untuk menjadi seorang hamba Allah yang telah dinyatakan oleh Allah s.w.t melalui ayat daripada surah Al-Furqan ini.InsyaAllah

  InsyaAllah, konteks perbincangan yang cuba diketengahkan di dalam entri ini adalah bersifat umum. Tidak tertumpu hanya kepada material semata-mata tetapi mencakupi setiap aktiviti dan keadaan yang sering kali berlaku dalam kelompok masyarakat kita. Ana merasa terpanggil untuk mencoretkan berkenaan permasalahan ini agar ianya menjadi peringatan buat diri yang faqir ini terutamanya dan juga buat semua sahabat-sahabat pembaca yang dikasihi kerana Allah. Ini hanya pandangan hamba yang faqir yang gemar memerhati keadaan di sekeliling dan suka menjadikan apa yang dipandang sebagai motivasi buat diri dan InsyaAllah diterjemahkan di dalam bentuk penulisan yang penuh dengan cacat cela agar umum mendapat manfaatnya. Semoga Allah merahmati penulisan kali ini dan semoga sampai kepada hati-hati semua sahabat-sahabat pembaca.InsyaAllah

Wallahu’alam

Nota kaki: Cuti yang panjang membuatkan hati rindu pada Universiti tercinta. Tidak mengapa cuti yang panjang ini ambil peluang untuk belajar ilmu kekeluargaan.InsyaAllah=)






1 comment:

Scoreboard said...

Assalamu'alaikum W.B.T...

jazakallah untuk peringatan yg disampaikan...benar,dalam keadaan masyarakat sekarang ni,kita perlu banyak memerhati dan banyak berfikir...Segala yang sedang berlaku telah dinyatakan dalam al-Quran...terpulang kepada kita untuk memanfaatkannya atau hanya sekadar membaca...Semoga kita diberikan kekuatan untuk kekal istiqamah dalam menuyelusuri jejak Rasulullah dan mengajak yg lain ke arah kebaikan... INsyaAllah