Bismillahi walhamdulillah wa ‘ala Rasulillah صلى الله عليه وآله وسلم . Sehingga saat ini dan ketika ini Allah masih berkehendak memberikan ruang kepada kita untuk menikmati nikmat hidup dan yang lebih utama nikmat hidup di dalam Iman dan juga Islam. Berapa ramai sahabat-sahabat kita di luar sana, yang hidupnya terumbang-ambing tanpa mengetahui arah tujuan, tanpa mengenal siapa “Tuan” mereka, tanpa mengenal siapa “Kekasih” mereka. Maka, beruntunglah kita yang telah dipilih oleh Allah untuk merasakan nikmat yang tidak terhingga nilainya ini. Jadi, bilamana kita sudah diberi nikmat-nikmat ini maka, jagalah ia dengan sebaik-baik. Jangan sampai kita tersasar jauh daripada jalan permusafiran kita dalam menuju kepada Allah.
|
salam maal hijrah 1433H |
Subhanallah Tabarakallah, sudah lama jari hamba yang hina lagi faqir ini tidak menari-nari di atas papan kekunci laptop ini untuk melakarkan kalam. MasyaAllah, sudah banyak kali Allah gerakan hati agar menulis tetapi dek kerana kekangan masa dan ada perkara yang lebih diutamakan, maka hasrat hati disimpan terlebih dahulu. Selama blog ini sunyi sepi tanpa khabar berita, al-faqirah sebenarnya masih lagi berusaha untuk menyebarkan sebarang maklumat atau sedikit mutiara-mutiara ilmu daripada pengajian-pengajian bersama guru-guru dan kalam hati yang setiap hari berbeza bicaranya di laman sosial “facebook” . Hanya sekadarnya sahaja perkongsian ilmu yang amat cetek dan perkongsian bicara hati ilham daripada Allah. Dan Alhamdulillah bersempena kedatangan Maal Hijrah 1433H ini al-faqirah ingin sekali berkongsi dengan sahabat-sahabat pembaca yang dikasihi kerana Allah berkenaan Hijrah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم yang didengar daripada kalam guru kami Al-Fadhil Ustaz Uwais Al-Qarni. InsyaAllah
Menurut Ulama’, telah berlakunya hijrah Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pada akhir bulan Zulhijjah. Apakah kaitannya bulan Muharram dengan penghijrahan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم? Kata ulama’
“Di akhir bulan Zulhijjah, Baiah Aqabah (berlaku pada hari-hari tasyrik), Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم telah menyuruh umatnya berhijrah”
Pada akhir bulan Zulhijjah, sahabat mula berhijrah secara berkelompok-kelompok ssehingga membawa kepada penghijrahan Rasulullahصلى الله عليه وآله وس bersama Abu bakar As-Siddiq setelah mendapat perintah oleh Allah agar Baginda berhijrah pada awal bulan Rabiul Awal. Perjalanan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم bersama Sayyidina Abu bakar yang telah dipandu oleh Amir Bin Kuhafah ini telah mengambil masa selama 9 hari.
Berkata lagi ulama' tentang Hijrah Rasulullah saw bahawa pada malam tersebut, puak Quraisy telah membuat satu perbincangan di Baitul Nadwah untuk menyekat baginda dan dek kerana kebimbangan mereka melihatkan hijrah masyarakat Mekah bakal menggoyahkan kekuatan mereka. Perbincangan itu telah dihadiri oleh setiap pemimpin daripada setiap kabilah dan tidak ketinggalan, seekor syaitan yang menyamar sebagai seorang tua.
Terdapat 3 cadangan yang telah dikemukakan di dalam perbincangan itu yang telah dierekodkan di dalam Al-quran yakni :-
1) Tahan Baginda di rumahnya. (syaitan membangkang kerana menurutnya, itu berbahaya kerana nanti umat Islam akan mencari mereka)
2) Keluarkan Baginda daripada Mekah. (syaitan membangkang buat kali kedua kerana menurutnya umat Islam akan menyerang mereka kembali)
3) cadangan oleh Abu Jahal (gelaran asal Abu Hakam yang bermaksud bapa bagi orang yang bijak, tetapi digelar Abu Jahal oleh Rasulullah). Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم pernah berdoa kepada Allah agar salah seorang daripada dua Umar yakni Umar Al-Khatab dan Umar Bin Hisyam dimuliakan dirinya dengan Islam. Namun, Umar yang dipilih oleh Allah adalah Umar Bin Al-Khatab.
Cadangan Abu Jahal itu akhirnya dipersetujui oleh syaitan yang menyamar sebagai seorang tua itu. Kata Abu Jahal;
"Kita banyak kabilah, kumpulkan dan hantarkan wakil daripada setiap kabilah ke rumah baginda dan diberi pedang kepada mereka untuk membunuh Rasulullah" صلى الله عليه وآله وسلم
Rasional daripada cadangan bu Jahal itu : Bani Mutalib dan Bani Hashim pasti akan menuntut bela diatas kematian Baginda dan terpaksa berlawan dengan 100 kabilah dan mereka menawarkan 100 ekor unta sebagai hadiah atas kematian Rasulullah saw.
Namun, dengan izin Allah, Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم terselamat daripada kekejaman Quraish itu. Ketika sampainya Rasulullah ke Madinah, Baginda disambut oleh alunan Qosidah yang telah dialunkan oleh muslimat-muslimat Ansar yakni Qosidah Thola 'al Badru 'Alaina sebagai tanda kegembiraan mereka menyambut kedatangan Baginda saw. Di dalam peristiwa hijrah juga Rasulullah telah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Ikatan persaudaraan yang sangar kuat di antara Muhajirin dan Ansar ini sangat kuat sehinggakan Saad Bin Rabi' yang telah dipersaudarakan dengan Abdul Rahman Bin Auf oleh Rasulullahصلى الله عليه وآله وسلم telah menawarkan kepada Abdul Rahman Bin Auf harta dan juga agar dipilih salah seorang daripada isterinya yang disukai Abdul Rahman untuk diperisterikan. Namun, Abdul Rahman menolak pelawaan itu dan hanya diminta agar ditunjukkan kepadanya pasar untuk berniaga.
Selain daripada itu, peristiwa Hijrah ini mengisahkan tentang kehebatan Sayyidina Abu bakar As-Siddiq yang sangat mencintai Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم di dalam peristiwa bilamana ketika Rasulullah berbaring di atas pahanya, muncul seekor ular daripada sebuah lubang di dalam Gua Thur, maka ditutup lubang itu dengan kakinya agar ular itu tidak mengganggu Rasulullahصلى الله عليه وآله وسلم . Sayyidina Abu bakar tidak bergerak hatta dipatuk oleh kerana takut Rasulullah terjaga sehingga air matanya jatuh ke pipi Rasulullah dek kerana menahan kesakitan.
Subhanallah Tabarakallah jika dihayati dan diamati kisah Hijrah Rasulullahصلى الله عليه وآله وسلم , betapa sahabat-sahabat sangat taat dan sangat kasih kepada Baginda. Bacalah dan hayatilah kisah-kisah sahabat-sahabat dan Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم kerana daripada itu betapa kita akan merasakan bahawa indahnya ajaran Islam itu dan betapa molek dan cantiknya akhlak Rasulullah صلى الله عليه وآله وسلم dan para sahabat. Namun, kita pada hari ini, apa yang kita lakukan tanda cinta kita kepada Baginda? Sehinggakan untuk mengamalkan sunnah walaupun sedikit amat payah. Allahu Allah, kalau kita tak mampu buat semua, jangan ditinggal semua.
Wallahu’alam
Nota kaki : Salam Maal Hijrah Buat semua sahabat-sahabat yang saya hormati kerana Allah. Semoga tahun ini lebih baik daripada tahun sebelum-sebelumnya. Maaf segala silap dan bicara yang tidak molek daripada diri yang faqir ini. Semoga Allah sentiasa memayungi entum dengan rahmatnya. InsyaAllah.
No comments:
Post a Comment