Páginas

Tuesday, May 28, 2013

::Nasihat Untuk Pemuda::


Khutbah Jumaat : Nasihat untuk pemuda

Cuba bayangkan ketika di padang mahsyar kelak, dalam keadaan yang panas terik terdapat 7 golongan yang telah disebutkan oleh Baginda Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam yang akan mendapat naungan atau teduhan oleh Allah. 7 golongan tersebut ialah :

“Sebilangan manusia yang dinaungi Allah di bawah naungan-Nya pada hari kiamat iaitu hari yang tidak ada sebarang naungan padanya selain daripada naungan Allah; di antaranya ialah: Pemerintah yang adil, pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Tuhannya, orang yang hatinya sentiasa terikat dengan masjid, dua orang yang berkasih sayang kerana Allah di mana kedua-duanya berkumpul dan berpisah untuk mendapat keredaan Allah, orang yang dipujuk oleh perempuan yang kaya lagi rupawan untuk bersatu dengannya lalu ia menolak dengan berkata: “Aku takut kepada Allah!”, orang yang bersedekah secara bersembunyi sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang diberi oleh tangan kanannya, dan orang yang menyebut atau mengingat Allah dengan keadaan tidak ada dalam ingatannya perkara lain, lalu menitis air matanya kerana mengingatkan sifat Jalal dan sifat Jamal Allah.” (HR. Abu Daud dan Ibnu Majah)

Lihat bagaimana Islam meletakkan golongan muda? Sehingga Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam sendiri telah menyebutkan bahawa golongan kedua yang bakal mendapat naungan Allah di akhirat kelak selepas pemerintah yang adil adalah pemuda yang hidupnya sentiasa dalam mengerjakan ibadah kepada Allah.

Melihatkan golongan tua rajin beribadah bukanlah suatu kehairanan bagi kita kerana umum mengetahui bahawa ketika umur inilah manusia merasakan semakin hampir untuk bertemu ilahi. Namun, yang perlu dihairankan adalah golongan tua yang masih tidak insaf dan menyedari akan kudrat dan waktu mereka yang semakin sempit. Tidak mahu ke masjid, sibuk berhibur dan sebagainya seolah-olah umur mereka masih panjang.

Tidak bagi golongan muda kerana fitrah atau kelaziman bagi anak muda atau pemuda biasa yang lebih cenderung untuk bermain cinta, berhibur dan sebagainya kerana merasakan masa mereka masih panjang. Islam amat menekankan bahawa golongan ini perlu diberi perhatian yang khusus.

Maka, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk mendidik anak-anak muda untuk dekat dengan agama demi keselamatan mereka daripada azab di akhirat kelak.

Sudah selesaikah mereka akan ilmu feqah?

Sudah selesaikah mereka akan ilmu fardhu ain?

Oleh yang demikian, manfaatkanlah waktu muda ini untuk beribadah kerana pada waktu mudalah peluang yang perlu dimanfaatkan sebaiknya untuk mendapat kemuliaan di Padang Mahsyar kelak.

"Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar; sesungguhnya mereka itu orang-orang muda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahi mereka dengan hidayah petunjuk" [AL-Kahfi:13]

Jadikanlah pemuda kahfi sebagai idola. Jadikanlah para sahabat di zaman Rasulullah sebagai "role model". Jangan hiraukan manusia lain dengan media yang melalaikan. FB, Gangan style, Twitter dan sebagainya.

Lihat bagaimana Usamah Bin Zaid yang pada ketika itu berumur 18 tahun yang menjadi panglima perang yang termuda membantu Rasulullah Solallahu 'alaihiwassalam. Lihat bagaimana Sultan Muhammad Al-Fateh yang telah berjaya menawan Konstantinople pada usianya 21 tahun. SubhanAllah...

Maka, pelajarilah lebih mendalam tentang agama kita kerana sesungguhnya agama Islam adalah agama yang mengeluarkan manusia daripada perhambaan, agama yang membebaskan manusia daripada kezaliman dan agama yang melepaskan manusia daripada kesempitan. Hayati kata-kata ini :

"Kalau kamu hendak bercinta, bercintalah setelah mendirikan rumah tangga. Kalau kamu hendak berhibur, berhiburlah dengan hiburan yang boleh mendekatkan dirimu dengan Allah. Kalau kamu ingin bermain, mainlah semahunya tetapi jangan sampai ibadahmu terabai"

Sayyiduna Umar Ibn Khatab berpesan kepada ibu bapa:

" Didiklah anak kamu, sesungguhnya mereka dilahirkan bukan untuk zamanmu"

Oleh yang demikian, ibu bapa bertanggungjawab dalam mendidik anak-anak.

"Kemudian mereka digantikan oleh keturunan-keturunan yang mencuaikan sembahyang serta menurut hawa nafsu (dengan melakukan maksiat); maka mereka akan menghadapi azab (dalam neraka)" [Maryam:59]

"Dan orang-orang yang beriman yang diturut oleh zuriat keturunannya dengan keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam Syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap seorang manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya" [At-Thur:21]

Al-Faqirah Wal Haqirah IlAllah Al-Ghani

اللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ عَبْدِكَ وَرَسُولِكَ النَّبِيِِّ الأُمِّيِّ وَعَلَى آلِهِ وَصَحْبِهِ وَسلِّمْ

WAllahu'alam

[Khutbah Jumaat oleh Ustaz Muhammad Bin Ibrahim, Masjid SHAS UIAMK, 4 Jamadil Awal 1434H]

Nota kaki : Kita (pemuda) punya pilihan sama ada untuk menjadi salah seorang pemuda yang telah disebutkan Rasulullah ini atau sebaliknya. Pemuda yang hebat adalah pemuda yang setiap perkara yang dilakukan hanya kerana Allah. Moga kita semualah pemuda dan pemudi tersebut. Ameen..

No comments: