Páginas

Monday, July 19, 2010

::Hidup untuk berkongsi::


   Perbezaan antara orang yang tahu matlamat sebenar hidup di dunia berbanding mereka yang hidup bermatlamatkan dunia semata-mata memberikan satu gambaran bahawa permanifiestasian cinta terhadap Allah itu haruslah bertunjangkan pemahaman tentang tujuan penciptaan seseorang insan itu oleh Rabbnya serta sasaran akhir sebuah kehidupan. Ketijakjelasan terhadap asbab sebenar terhadap penciptaan setiap daripada makhluk Allah yang bergelar manusia itu memberikan implikasi yang jika dilihat pada hari ini amat menyedihkan. Manusia semakin hari semakin bijak tetapi malangnnya daripada segi segi akhlak kecundang. Bukankah Rasulullah mengajar kita agar sentiasa berakhlak mulia dengan berpandukan Al-quran dan as-Sunnah. Biarlah kepintaran kita itu selari dengan akhlak yang mulia dan memikat jiwa. Bukankah ia lebih cantik dan indah? Tahukah setiap daripada kita bawa tujuan Rasulullah itu diangkat menjadi Rasul dan Nabi adalah untuk menyempurnakan akhlak manusia dan merupakan pembawa rahmat  ke seluruh alam?

“Dan tidak kami(Allah s.w.t) mengutuskan engkau Muhammad melainkan membawa rahmat ke seluruh alam”
(Al-Anbiya’:107)

  Cuba tanyakan kepada Si Pencopet di jalanan apa matlamat hidup mereka? Cuba tanyakan kepada kaki-kaki rempit yang sedang melepak apa tujuan hidup mereka? Cuba tanyakan kepada seorang pengerak dakwah apa matlamat hidup mereka? Seharusnya sasaran sebuah kehidupan itu adalah untuk mencari keredhaan Allah. Teringat sewaktu belajar subjek FIM di universiti tercinta. Kata ustaz, “ The goals of our life if only to praise Allah s.w.t”. Ya, hidup kita ini hanyalah bermatlamatkan keredhaan daripada Allah s.w.t. Bukan bermatlamatkan pangkat di dunia dan bukan juga bermatlamatkan untuk mendapat tempat hati manusia. Kalau mahu dibandingkan sejauh mana penghayatan masyarakat kita pada masa ini berbanding ketika zaman para sahabat terhadap sasaran akhir hidup mereka memang jauh berbeza. Bagaimana mujahadahnya para sahabat untuk mendapatkan ilmu? Bagaimana tekunnya mereka menyampaikan risalah dakwah yang Rasulullah s.a.w bawakan? Subhanallah memang kita tidak mampu menandingi mereka.

“Dan berjihadlah kamu pada jalan Allah s.w.t dengan jihad yang sebenarnya. Dialah yang memilih kamu mengerjakan suruhan agama dan Dia tidak menjadikan kamu kesusahan dalam agama Islam”
(Al-Haj:78)

Manusia seperti magnet?

   Namun begitu, penglestarian sesuatu perkara itu bukanlah perkara yang mudah. Merujuk kepada sejauh mana pemahaman seorang penggerak dakwah atau yang mengikuti tarbiyah dengan si kaki-kaki rempit di jalanan atau “mat-mat pet” memanglah diibaratkan sperti langit dan bumi. Seorang da’ie itu dididik agar matlamat hidupnya adalah redha Allah manakala si mat rempit di jalanan itu matlamat hidupnya adalah enjoy. Apa yang berbeza antara dua kumpulan ini? Sudah semestinya cara mereka mengekspresikan erti sebenar hidup mereka. Kendatipun, bukankah perbezaan ini boleh dijadikan satu rahmat. Ya rahmat yang mana semua itu adalah dalam pengetahuan Allah Taa’la. Bukankah yang faham itu tugasnya memahamkan orang yang tidak faham? Analogi terhadap perbezaan antara dua kumpulan yang berbeza sikapnya, berbeza tingkah lakunya bukankah seharusnya seperti magnet yang berlainan kutubnya yang akan saling menarik antara satu sama lain? Lihat sahaja pada kisah Saidina Umar Al-Khatab yang sikapnya bengis sewaktu zaman jahiliyahnya. Apa yang menariknya masuk Islam? Bukankah kerana kesyahduan bacaan Al-Quran yang dibaca oleh adiknya yang lain perwatakannya? Bukankah itu seperti magnet yang sentiasa menarik tetapi yang menang pasti yang baik. Bukankah itu sunatullah?
  
   Begitu juga kita seharusnya. Yang faham itu sepatutnya menarik yang kurang faham itu untuk sama-sama faham. Nah, bila semua sudah faham bukankah ia akan menghasilkan satu implikasi yang amat besar. Mereka yang dahulunya mat-mat pet tanggungjawabnya menarik kawan-kawan mereka yang masih lagi hidup dengan angan-angan dunia yang tidak akan kemana. Tetapi apa yang terjadi sebaliknya. Yang terbiar dibiarkan begitu sahaja. Yang tidak faham dibiarkan tidak faham. Lebih teruk daripada itu yang tidak faham dihukum.Kita hanyalah manusia biasa yang tidak boleh menghukum seseorang itu tanpa usul periksa. Yang selayaknya menghukum itu adalah Allah Yang Maha Adil. Bukankah hidayah itu milik Allah? Sedangkan dakwah Rasulullah kepada bapa saudaranya yang tercinta sehingga saat sakaratul mautnya masih tidak berjaya, inikan kita yang hanya hamba yang hina.  Hati kita itu Allah yang pegang, jikalau Allah mengkehendaki seseorang itu baik, maka baiklah dia tetapi jika sebaliknya, bukankah semua itu perancangan Allah?

“Sesungguhnya, engkau Muhammad tidak dapat memberi petunjuk kepada orang yang engkau kasihi, tetapi Allah member petunjuk, kepada orang yang Dia kehendaki, dan Dia yang lebih mengetahui orang yang mahu menerima petunjuk”
(Al-Qasas:56)
 
Khalifah Allah atau I’badullah?

“dan (ingatlah ) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat:”Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seseorang khalifah di muka bumi”. Mereka bertanya (tentang hikmah ketetapan Tuhan itu dengan berkata) :”Adakah Engkau(Ya Allah) hendak menjadikan di bumi itu orang yang akan membuat bencana dan menumpahkan darah (berbunuh-bunuhan), padahal Kami sentiasa bertasbih dengan memujiMu dan mensucikanMu?” Tuhan berfirman: “Sesungguhnya Aku mengetahui akan apa yang kamu tidak ketahui”.


   Setiap daripada kita itu diciptakan Allah sebagai khalifah untuk mengimarahkan muka bumi. Tugas khalifah itu banyak cabangnya daripada sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara. Bukankah nada Allah di dalam ayat ini menunjukkan bahawa Allah percaya akan kemampun hambaNya yang bergelar manusia sedangkan Dia tahu yang kita ini pasti akan melakukan bencana dan melakukan merosakkan bumi? Bukankah ini amanah Allah kepada kita? Mengimarahkan bumi dengan perkara-perkara yang haq. Menggunakan sebaik-baik yang mungkin akal dan kudrat yang Allah kurniakan untuk tugas sebagai khalifah. Khalifah itu maksudnya ketua atau dalam kata lainnya “Amir” untuk semua pemduduk bumi. Diciptakan pelbagai kelebihan daripada makhluk yang lainnya. Diciptakan perasaan yang mampu merasakan bagaimana seharusnya tertanam rasa ambil berat dalam peri pentingnnya memakmurkan bumi Allah.

  Kalau pemimpin yang diberi jawatan di dalam sesuatu persatuan atau sesuatu pertubuhan hanya dianggap pemimpin bukankah ia menyalahi norma kepada natijah penciptaan manusia sebagai khalifah? Biarpun, tidak disandarkan sebagai pemimpin di dalam sesebuah persatuan mahupun pertubuhan tetapi kita juga adalah pemimpin buat diri sendiri. Si bapa pimpinannya keluarganya, si isteri pimpinannya anak-anaknya dan begitu juga si anak pimpinannya adalah diri sendiri. Bentuk dan cara yang digunakan untuk memimpin itu terpulang kepada diri sendiri asalkan tidak lari daripada apa yang Allah perintahkan. Tunggu nanti di akhirat kelak Allah akan tanya.


Kalian adalah pemimpin, maka kalian akan dimintai pertanggung jawaban.
Penguasa adalah pemimpin, maka akan dimintai pertanggungjawaban atas kepemimpinannya.
Suami adalah pemimpin keluarganya, maka ia akan dimintai pertanggung jawaban atas kepemimpinannya.
Istri adalah pemimpin (rumah tangga suaminya), maka akan dimintai pertanggungjawabannya.
Pelayan adalah pemimpin (atas harta tuannya), maka akan dimintai pertanggung jawaban atas pengelolaannya.
Oleh karena kalian adalah pemimpin, maka kailan akan dimintai pertanggungjawabannya.” (HR. Bukhari Muslim)


   Begitu peri pentingnya kita Allah ciptakan di dunia sebagai khalifah. Bagaimana pula dengan penciptaan kita untuk beribadah kepada Allah?


“Dan tidak Aku jadikan jin dan manusia itu melainkan untuk beribadat kepadaKu”

(Az-Zariyat:56)



    Selain daripada itu, tugas menyembah Allah s.w.t yang satu atau beribadat kepadaNya memberiakn satu pegangan kepada kita bahawa matlamat hidup kita hanyalah untuk Allah. Diciptakan syariat agar kita bersolat, berinfak, berpuasa dan juga menunaikan haji. Bukankah semuanya mengandungi hikmah? Bersolat adalah salah satu cara untuk kita berhubung dengan kekasih kita yang tercinta yakni Allah. Apabila kita mengangkat takbir maka terputuslah hubungan kita dengan dunia buat sementara dan tenggelamlah kita dengan sifat kehambaan kita yang sebenar-benarnya dengan Rabb kita. Bagaimana mungkin rasa perhambaan kita itu harus dipupuk andai tanggungjawab bersolat tidak dijalankan? Atau solat tetapi seperti menaiki bas express. Macam ayam mematuk makanan sahaja gayanya. Solat itu seharusnya dilakukan dengan tenang dan bisa merehatkan kita daripada kepenatan dunia yang macam-macam suasananya. Tambahan pula, solat itu merupakan pencegah kepada kelakuan mungkar. Kata Syeikhunna:

Bila solat seseorang hamba itu tidak dihadirkan secara zahir dan batinnya adalah umpama seorang hamba yang menghadiahkan Rajanya dengan seorang puteri yang cantik jelita tetapi malang sudah tidak bernyawa. Adapun seseorang hamba Allah yang solat yang hanya menghadirkan zahirnya diibaratkan seorang hamba yang menghadiahkan Rajanya seorang puteri yang bijak dan petah berkata-kata tetapi malang cacat”.

   Jadi, bukankah beribadah kepada Allah itu adalah salah satu tanda bahawa kita mahukan redha Allah? Jangan lupa bekal permusafiran kita adalah "TAQWA". Ya bagi mereka yang mahukan redha Allah Alhamdulillah tetapi yang mahukan sebaliknya? Wanau’zubillah.

   Kesimpulannya, kepentingan terhadap kefahaman seseorang itu terhadap matlamat hidup dan hikmah penciptaan sebagai khalifah serta hamba Allah itu merupakan salah satu induksi terhadap kematangan kita dalam meniti hidup sehari-hari. Hidup dibuai angan-angan bukanlah cara yang Rasulullah ajarkan. Berpijaklah di bumi nyata. Selagi mana hidup masyarakat di luar sana kucar-kacir dan masih lagi parah dek penangan virus-virus barat, jangan kan tidur lena, makan pun belum tentu kenyang. Ya, begitu seharusnya kita. Ibarat cubit paha kanan, paha kiri terasa sakitnya.

Sabda Rasulullah s.a.w

“Tidak sempurna iman seseorang sehingga ia mengasihi saudaranya seperti mana ia mengasihi dirinya sendiri”
(Hadis 40)

Wallahua’lam


  

No comments: