Dengan kalam basmallah dan selawat dan salam buat junjungan besar Nabi Muhammad s.a.w, pena perjuangan Musafirah dakwah meneruskan gerak langkahnya di medan dakwah pena. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia kampus Kuantan, merupakan lokasi seterusnya yang bakal mendidik diri untuk menjadi lebih matang dalam meneruskan perjuangan dalam semua bidang hatta akademiknya mahupun dakwahnya. Keseimbangan bagi kedua-dua cabang lapangan yang pada hakikatnya telah ditentukan oleh Allah ini merupakan salah satu manifestasi kesungguhan setiap daripada mahasiswa muslim yang faham akan tanggungjawab besar bagi mencorakkan rupa bentuk masyarakat Islam pada masa akan datang.
“Jikalau ingin mengetahui bagaimana rupa sesebuah negara itu pada masa hadapan, lihatlah pada anak-anak mudanya”
Lain tempat lain cabarannya. Mencari kekuatan untuk istiqamah dalam sesuatu perkara itu adalah amat sukar dan sangat berharga. Ibarat mencari emas di celah-celah timbunan pasir. Biarpun sukar tetapi dek kerana bernilainya harga istiqamah itu, lautan api sanggup diredahi. Melihatkan pada maksud istiqamah itu sendiri, ana jadi tertarik. Cantiknya istiqamah. Subhanallah. Sudah menjadi sunnatullah setiap yang indah dan cantik itu pasti sukar untuk mendapatkannya. Seperti mana ikhlas, yang tersangatlah sukar untuk diterapkan di dalam hati kita seperti seekor semut hitam di batu yang hitam dan pada malam yang kelam. Begitulah analogi daripada sebuah hadis untuk menggambarkan betapa sukarnya mencari ikhlas itu.
Berbalik kepada istiqamah atau berpendirian tetap dan terus-terusan dalam melakukan sesuatu terutamanya amal ibadah yang telah dianjurkan di dalam Islam itu sendiri merupakan salah satu jalan yang bisa mendidik diri kita untuk mujahadah dalam melakukan sesuatu walaupun dalam kuantiti yang sedikit. Beristiqamah dalam melakukan sesuatu dalam kuantiti yang sedikit berbanding melakukan sesuatu perkara yang dianggap ibadah dalam jumlah yang banyak adalah lebih baik kerana Allah tidak memandang amal ibadah kita itu berdasar sebanyak mana yang telah lakukan tetapi Allah memandang amal ibadah kita itu pada sudut hati kita yang ikhlas dan sentiasa terus-terusan serta berpendirian teguh melakukannya.
Ertinya : Oleh kerana yang demikian itu, maka serulah (mereka wahai Muhammad kepada beragama dengan betul), serta tetap teguhlah engkau menjalankannya sebagaimana yang diperintahkan kepadamu, dan janganlah engkau menurut kehendak hawa nafsu mereka; sebaliknya katakanlah: "Aku beriman kepada segala kitab yang diturunkan oleh
(As-Syu’ara:15)
Melihatkan beberapa fenomena yang sering berlaku di hadapan mata sendiri, ana jadi risau. Berapa ramai sahabat-sahabat kita yang dulunya melalui zaman gelap dan akhirnya menemui petunjuk kembali pulang kepada zaman hitamnya kerana konsep istiqamah ini tidak dijadikan salah satu metodologi untuk terus kekal pada jalan yang Allah telah tetapkan buat kita yang bergelar muslim. Sedangkan dulu ketika di Luh mahfuz kita telah berjanji untuk mengikuti apa yang telah Allah tetapkan dan tidak akan sesekali melanggarinya. Di mana hilangnya “ISTIQAMAH” itu dalam diri kita? Hakikat yang berlaku? Ana kira tidak perlu ana nyatakan betapa kita ini sering kali lupa atau buat-buat lupa tentang apa yang telah kita janjikan di hadapan Allah sewaktu di Luh Mahfuz. Allah…semoga kita tidak tergolong dalam kalangan orang yang sering kali membolak balikkan perintah Allah seperti mana di dalam firmanNya:
Dan bila mereka berjumpa dengan orang-orang yang beriman, mereka mengatakan: "Kami Telah beriman". dan bila mereka kembali kepada syaitan-syaitan mereka[25], mereka mengatakan: "Sesungguhnya kami sependirian dengan kamu, kami hanyalah berolok-olok."Allah akan (membalas) olok-olokan mereka dan membiarkan mereka terombang-ambing dalam kesesatan mereka.
(Al-Baqarah:14-15)
Ruang lingkup Istiqamah itu sendiri amatlah luas. Dalam ibadahnya, dalam persoalan iman kita dan sebagainya. Perihal istiqamah ini boleh kita hayati berdasarkan kisah-kisah sahabat-sahabat Rasululullah seperti Bilal Bin Rabah, seorang hamba sahaya yang berpendirian teguh dengan kepercayaannya terhadap Allah merupakan Tuhan yang esa dan Tiada Tuhan selainnya kendatipun diseksa. Selain itu, kisah-kisah salah seorang syuhada’, Ukhti Reema Shalih yang tetap teguh dengan kepercayaannya bahawa Palestin itu harus dibela biarpun beliau terpaksa mengorbankan nyawa. Kalau dibandingan istiqamah yang ada pada diri ini dengan sahabat-sahabat yang terdahulu, amatlah jauh ibarat “langit dengan bumi”. Sangatlah kerdilnya diri ini.
Dunia sebagai ladang untuk bercucuk tanam |
Sungguh, diri ini amat takut apabila memikirkan perjalanan kehidupan yang masih panjang ini. Banyak lagi yang diri ini perlu tahu tentang erti sebuah kehidupan yang sebenarnya. Apabila mengenangkan keadaan semasa yang sangat mendukacitakan, ana jadi takut. Takut tatkala kembali kepada Allah nanti dalam Su’ Ul Khatimah. Allah… takut yang teramat sangat. Melihatkan ramai-ramai yang berlumba-lumba untuk meraih kemasyuran manusia berbanding kemasyuran daripada Allah. Takut diri tergolong daripada golongan ini. Semakin bertambah umur, semakin bertambah tanggungjawab yang bakal digalas. Seorang anak, anak yang bagaimana? Seorang masyarakat, masyarakat yang bagaimana? Seorang isteri, isteri yang bagaimana? Seorang suami, suami yang bagaimana? Dan seorang ibu dan bapa yang bagaimana?
Hidup kita ini penuh dengan tanda tanya, penuh dengan tribulasi-tribulasi yang kita tidak akan pernah meyangka. Cukup istiqamah itu menjadi kunci dalam memastikan kita untuk terus berada pada landasa yang sepatutnya. Indahnya, sekiranya semua faham apa yang dimaksudkan istiqamah. Sesungguh, Allah berhak untuk membolak-balikkan hati-hati kita sebagai salah satu ujian keimanan yang harus kita tempuhi. Sama ada untuk terus tetap pada apa yang telah ditetapkan ataupun mahu angkat kaki dari landasan yang sebenarnya? Kita yang menentukannya. Semoga kita sentiasa istiqamah pada jalanNya.
“Allahummar zuqnal istiqamah”
Nota kaki : Mohon agar kita sama-sama berdoa agar ditetapkan pada jalanNya. Allahumma Ameen
1 comment:
menarik. Mari kuatkan kemabli istiqamah kita! =)
Post a Comment