Páginas

Saturday, August 27, 2011

:: Berkahwinlah jika sudah bersedia::


 Bismillahi walhamdulillah serta selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad صلى الله عليه وآله وسلم. Ramadhan hampir melabuhkan tirainya. Sedih kerana ia bakal meninggalkan kita. Bukan tidak gembira dengan kehadiran Eidul Fitr, tetapi dek kerana terlalu sukakan kemuliaan dan keberkatan bulan yang sangat indah ini, hati agak keberatan melepaskannya pergi. Seolah-olah ianya sesuatu yang sangat berharga dan sukar untuk dilepaskan. Teringin menjadi seperti para sahabat Rasulullah  صلى الله عليه وآله وسلم  yang bilamana datangnya bulan Ramadhan mereka bergembira tetapi saat berakhirnya  Ramadhan hanya tangisan yang mengiri. Subhanallah Tabarakallah sungguh mengagumkan akhlak para sahabat. Adakah hamba hina lagi faqir ini mampu menjadi seperti mana para sahabat? Adakah Ramadhan kali ini adalah Ramadhan yang lebih baik daripada sebelumnya?  Cukuplah persoalan ini dijawab di lubuk hati yang paling dalam ini kerana biarlah Allah sahaja yang menilainya kerana hanya Allah sebaik-baik penilai.

Barakallahulakuma Wajama'a Bainakuma fi khair
  Masih tercegat di hadapan laptop pada saat ini, kerana ada satu urusan yang belum diselesaikan. Sudah membuat perjanjian dengan seorang sahabat untuk berkongsi berkenaan isu Baitul Muslim. Maka rasa tidak enak pula ditangguh-tangguhkan. Nanti dulu, sebelum itu mari sama-sama kita tajdidkan niat dan berhusnu dhzon sesama kita kerana kebanyakan daripada kita apabila seseorang itu berbicara perilah nikah kahwin ini, terlintas perasaan yang bukan-bukan di hati.  Bukan anda yang membaca entri ini barangkali mereka-mereka di luar sana. Jangan pula menebak yang hamba yang faqir lagi hina ini terlalu mengfokuskan isu Baitul Muslim hingga hal yang lainnya ditinggalkan ke belakang. Tidak sama sekali, kerana sesungguhnya isu Baitul Muslim ini adalah isu yang harus dipandang serius dan bukan semudah mencoretkan kata-kata di FB mahupun ditututkan di bibir sahaja. Kerana isu ini isu yang bakal menentukan bagaimana bentuk serta hala tuju hidup kita pada masa hadapan kelak.

  Khair, berbalik kepada tujuan asal mencoret kali ini. Bilamana menyebut perihal “Baitul Muslim” ianya adalah melibatkan suami dan isteri serta anak-anak yang bakal dilahirkan kelak. Kelestarian sesebuah “Baitul Muslim” adalah bergantung ke atas setiap ahli di dalamnya. Adapun, tanggungjawab yang lebih utama di dalam sesebuah rumah tangga adalah bergantung di atas pundak si “ketua” keluarga. Bilamana menyebut “ketua keluarga” ianya adalah merujuk kepada si lelaki yang bergelar suami. Sekiranya si lelaki itu pincang akhlaknya bagaimana mungkin dia mampu untuk memberi didikan yang baik buat keluarganya. Kasihan pada si isteri dan anak-anak. Mulalah berlaku hal-hal yang tidak diingini seperti suami dera isteri, si suami suka keluar malam tanpa alasan yang jelas akhirnya beraku kesalahfahaman di antara satu sama lain. Natijah yang bakal terjadi seterus-seterusnya? Mungkin akan menjadi semakin rumit. MaasyaAllah, oleh sebab itu semakin ramai yang berani mengambil jalan mudah iaitu atau di dalam bahasa lainnya bercerai. Seolah-olah cerai  dan talak itu seperti perkara yang boleh dibuat main-main. Tidak suka pada suami minta cerai, tidak suka pada isteri jatuhkan talak. MaasyaAllah, takut pula melihat senario masyarakat kita.

 Walau bagaimanapun, ingin ditegaskan bahawa sesungguhnya setiap apa yang berlaku di dalam hidup kita adalah di atas kehendak dan kekuasaan Allah swt. Hatta perihal jodoh kita dengan siapa sekalipun, itu semua adalah atas kehendak daripadaNya. Sungguhpun, barangkali apabila bertemu jodoh dengan tidak seperti mana yang kita idamkan, damailah kerana apa sekalipun keadaan yang dikurniakan kepada kita itu adalah kerana barangkali Allah punya agenda yang lebih baik buat kita pada masa hadapan. 

“Dialah (Allah) yang menciptakan segala apa yang ada di bumi untukmu kemudian Dia menuju ke langit, lalu Dia menyempurnakannya menjadi tujuh langit. Dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu”
(Al-Baqarah:29)

lukisan cinta ini hanya buat si dia yang telah ditakdirkan buatku
 Namun,  Allah itu sifatnya Maha Adil. Diciptakan setiap makhluk berpasang-pasangan. Dan telah dikhabarkan oleh Allah di dalam kitabNya bahawa. “Perempuan yang baik untuk lelaki yang baik, lelaki yang baik buat perempuan yang baik. Manakala perempuan yang jahat buat lelaki yang jahat dan sebalikNya”. Subhanallah Maha Suci Allah Dialah yang mengatur segala-galanya. Allah Maha Hebat!  Kita jarang untuk bermuhasabah dalam kehidupan seharian kita tidak terkecuali diri yang faqir ini. MaasyaAllah Semoga Allah mengampuni segala dosa kita. Mana mungkin kita mahu si ‘dia’ yang baik akhlaknya untuk dijadikan suri mahupun peneman hidup kita sedangkan akhlak kita belum cukup baik untuk mendapatkannya. Pernah dengar atau terbaca ayat-ayat seperti ini di mana-mana? 

“ Hang ni walaupun aku ni mat rempit, hang ingat aku nak ka pompaan-pompuan yang terdedah sana terdedah sini dibuat isteri?”
(Anonymus)

 Subhanallah, bukanlah niat dihati untuk mengatakan yang buruk-buruk pada siapa-siapa tetapi hanya sekadar perkongsian berdasarkan senario masyarakat kita saat berbicara perihal perkahwinan. Adapun pada pandangan hamba yang faqir ini, setiap daripada kita itu berhak mengimpikan seseorang yang baik akhlaknya untuk dijadikan peneman hidup dalam melayari bahtera berumah tangga. Ya itu hak kita. Namun begitu, adalah menjadi hak pasangan kita itu untuk mendapatkan hal yang sama yang kita ingin daripadanya. Jikalau kita ingin si dia seorang yang rajin bertalaqi sebagai contoh, kita juga harus rajin bertalaqi. Indah bukan sekiranya tertanam sifat seperti ini di dalam diri kita. Menghormati hak satu sama lain. MaasyaAllah, masih banyak yang perlu al-faqir perbaiki. Sebab itu Allah masih simpan jodoh al-faqir. Bagaimana dengan anda? Jadi, jangan masih ada rasa mahu bertangguh-tangguh untuk memperbaiki akhlak. Kerana belum tentu ada hari esok buat kita. 



Ya Allah..kurniakanlah kami isteri atau suami penyejuk hati kami
  Selain daripada itu, ramai juga di antara kita yang sering kali menyatakan bahawa masih terlalu awal sekiranya dalam usia 20 tahun untuk memikirkan hal-hal berkaitan munakahat ini dan tidak terkecuali diri yang faqir ini suatu ketika dahulu. Apabila sudah banyak yang bertanya dan memberikan pendapat, sedikit demi sedikit rasa ketidakpentingan memikirkan hal ini dikikis daripada kotak fikiran al-faqirah. Bukanlah apabila kita memandang serius hal ini bermakna kita ini seorang yang terlalu ingin sangat mendirikan rumah tangga. Tidak sama sekali. Kita ada hak untuk menentukan dalam golongan apa diri kita ini patut dietakkan. Wajibkah? Sunatkah? Makruhkah? Haruskah? Adapun di dalam agama Islam tiada paksaan. Jika merasakan sudah masanya mendirikan berumah tangga, maka silakanlah. Adapun jika belum, tumpukan dahulu kepada apa yang lebih penting buat masa ini. Tetapi sekiranya kita masih dalam golongan yang belum berkeinginan, jangan pula kita berfikir yang tidak-tidak terhadap mereka yang cenderung untuk mendirikan rumah tangga di usia yang muda kerana mereka juga ada alasan yang kukuh.

   Namun begitu, adalah menjadi tanggung jawab kita untuk melestarikan salah satu sunah Rasulullah saw biarpun lambat mahupun cepat. Berusahalah untuk sentiasa berdoa dikurniakan yang terbaik buat kita tetapi bukan mahu yang begini dan begitu. Dan begitulah apa yang selalu diajarkan Guru kami iaitu Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll. Dalam kita berdoa, usaha dan tawakal kepada Allah, ianya juga haruslah sentiasa bergerak seiring. Allah tidak suka kita hanya meminta tetapi malas berusaha. Bagaimana bentuk usaha yang seharusnya dilakukan adalah bergantung kepada individu tersebut asalkan usahanya itu berjalan di atas landasan syari’atullah

  Di samping itu, tidak dilupakan kepada nasihat Guru kami Al-Fadhil Ustaz Muhadir Bin Haji Joll tatkala berbicara isu nikah kahwin ini. Kata ustaz, faktor yang harus ditumpukan dalam urusan menentukan siapa calon yang cocok selain daripada dia yang soleh mahupun solehah adalah penting bagi kita memastikan kesejahteraan Aqidah si dia yang bakal menjadi nakhoda mahupun anak kapal bahtera rumah tangga yang bakal berayar kelak. Sejahtera yang bagaimana? Sejahtera yang dimaksudkan ialah berpegang kuat dengan Aqidah Ahli Sunnal Waljamaah (ASWJ) kerana walaupun yang datang melamar ataupun dilamar itu baik akhlaknya namun, dek kerana aqidahnya yang menolak ASWJ adalah menjadi suatu masalah bagi kita terutamanya mereka yang dilamar. Bagi seorang isteri, ketaatannya adalah ke atas suaminya. Adapun sekiranya yang melamar itu aqidahnya menolak aqidah ASWJ, jadi kasihan bukan kepada si dia yang dilamar? Itulah yang ditakuti dan dibimbangi oleh guru kami itu. Aqidah adalah asas kepada kehidupan kita. Ia ibarat akar yang mencengkam tanah untuk mengukuhkan pertumbuhan sebatang pokok itu. Bilamana akarnya rapuh, mana mungkin pokok yang bertumbuh itu kukuh dan sihat. Sama seperti aqidah juga. Jika asas aqidah rapuh, bagaimana Baitul Muslim yang bakal dibina nanti? MaasyaAllah, semoga Allah permudahkan segala urusan kita.


Ikatan cinta di antara dua hati
  Oleh yang demikian, apabila ingin melamar mahupun mengkhitbah seseorang itu adalah lebih baik bagi seseorang lelaki itu untuk menggunakan seseorang yang kita thiqah padanya untuk mengusulkan hasrat kita itu dan sebelum meminta diusulkan hasrat adalah lebih baik sekiranya meminta pandangan daripada orang-orang ‘alim berkenaan hasratnya kerana sudut pandang orang ‘alim itu adalah lebih baik daripada apa yang sering kali menjadi sangkaan kita selama ini. Namun begitu, cara bagaimana hendak melamar adalah bergantung pada lelaki tersebut. Tetapi bagi al-faqirah sendiri dengan menggunakan orang yang kita thiqah padanya akan lebih molek caranya berbanding menyatakan sendiri hasrat ingin melamar kepada si wanita itu sendiri. Mengapa? Kerana sudah dinyatakan di dalam satu entry yang pernah ditulis al-faqirah dahulu bahawa ia baik buat menjaga hati kita.

   Akhirul kalam, dengan rendah hati hamba yang hina lagi faqir ini ingin memohon seribu kemaafan seandainya  percerahan berkenaan Baitul Muslim yang cuba disampaikan oleh al-faqirah kali ini tidak kena pada kehendak hati sahabat pembaca. Almaklumlah, Allah masih berkehendak menyimpankan jodoh al-faqirah. Namun demikian, coretan kali ini hanyalah sekadar pandangan peribadi dan sedikit sebanyak penghayatan terhadap perihal Baitul Muslim berdasarkan pemerhatian, pengalaman-pengalaman yang diceritakan oleh sahabat-sahabat yang terlebih dahulu melangsungkan perkahwinan dan daripada apa yang didengar daripada kalam guru kami. Pesanan akhir buat sahabat-sahabat pembaca sebelum menamatkan kalam dan buat diri sendiri khasnya, jangan ambil mudah urusan berkaitan baitul muslim ini kerana ia melibatkan bakal zuriat yang akan menjadi generasi penerus perjuangan Rasulullah saw pada masa akan datang.

Wallahu’alam



Nota kaki :Ambil tahu bukan bermakna kita terlalu ingin berkahwin pada waktu ini. Tetapi ambil tahu adalah sebagai persediaan fizikal dan rohani sebelum menghadapinya. Maka, bilamana datang yang melamar, kita sudah punya prinsip dan jawapan kita sendiri. Allahu Allah.. Coretan ini ikhlas daripada lubuk hati ini buat sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah. Adapun jika terdapat kecacatn tegurlah dan perbetulkanlah. ~ Barakallahu fik=)
 

4 comments:

Abu 'Ubaidah Al-Jaiz said...

uih..awt tiba2 cita BM time2 nak raya nie??

Ulama' ada membahaskan dlm kitab2 mereka keutamaan kahwin pada bulan syawal..

hmmm..(mcm ad bau2 kad wangi dari kulim je..)

Wardah Ad-Deen said...

MaasyaAllah..belum berkesempatan lagi. Ka nak kena ke Perak dulu makan nasi minyak syawal ni?~

Sebenarnya, ada perjanjian dengan seorang sahabat untuk mencoretkan sesuatu berkenaan BM ini memandangkan semenjak dua menjak ramai yang dok sembang-sembang pasal BM ini. Sudah lama nak mencoret tetapi baru Allah gerakan hati untuk menulis. Allahmdulillah berhasil juga menjadi sebuah entri.

Yang bertanya tu bilanya? Asyik dok tanya orang. Jangan lupa jemput ya!~

Abu 'Ubaidah Al-Jaiz said...

seronok tgk sahabat2 kawin, lebih2 lg sahabat2 muslimat..

doa-doalah Allah permudahkan urusan ini..nikah kawin nie sesuatu yang diluar jangkaan fikiran manusia..

nurnurani said...

masyaAllah..syukran ya ukhtah atas perkongsian ini...^_^..

salam ukhwah seluas mahabbah rasulillah!!!